KUALA LUMPUR 22 Mac - Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) terus melakar kejayaan besar sekali gus membuktikan sebagai sebuah organisasi bertaraf dunia walaupun syarikat minyak negara itu dalam usaha mengambil tindakan drastik untuk mengurangkan kos ekoran kejatuhan harga minyak dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, syarikat tersebut masih memberi tumpuan kepada soal kemampanan dalam aspek alam sekitar, sosial dan komersial.
Menurutnya, membuktikan perkara itu, syarikat minyak negara itu telah memperkenalkan kemudahan gas asli cecair Terapung (PFLNG) Satu sebagai penggerak baharu di dalam perniagaan LNG dunia yang akan ditempatkan di lapangan gas Kanowit di luar pesisir Sarawak.
"Ini merupakan kejayaan membanggakan kepada Petronas dan negara keseluruhannya dengan kemudahan teknologi dan kejuruteraan kreatif itu yang membolehkan pemprosesan LNG berpangkalan di luar pesisir, sekali gus mampu mengurangkan kos berbanding pemprosesan LNG konvensional.
"Sementara itu, rancangan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) pula akan meningkatkan permintaan produk tenaga dan petrokimia di Asia untuk tempoh 20 tahun lagi.
"RAPID akan menjadi 'magnet' kepada pemain teknologi global untuk memperluaskan 'kuasa' mereka di sini dan Asia Tenggara manakala para pekerja mahir bersedia untuk memenuhi permintaan dunia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Teknologi Luar Pesisir Asia 2016 di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Petronas, Tan Sri Sidek Hassan dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia yakin berada pada landasan betul untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 walaupun berlaku ketidaktentuan ekonomi dunia ketika ini.
Menurutnya, keyakinan itu berasaskan kepada tindakan dan langkah proaktif yang diambil kerajaan untuk mengatasi faktor luaran yang turut memberi kesan ke atas ekonomi negara.
Perdana Menteri menjelaskan, faktor tersebut seperti perubahan kadar faedah di dalam rizab mata wang antarabangsa, kelembapan pasaran untuk berkembang maju dan harga komoditi yang rendah.
"Oleh sebab itu kerajaan mempunyai asas dan tujuan untuk mempelbagaikan sumber ekonomi.
"Jika sebelum ini ekonomi Malaysia didorong oleh perbelanjaan awam, kerajaan berjaya menjadikan sektor swasta mengambil alih peranan itu sebagai 'enjin' dalam memacu ekonomi negara," katanya.
No comments:
Post a Comment