Melihat perjalanan perniagaan jenama ini sehingga mencapai satu tahap yang boleh dibanggakan ia sememangnya satu proses yang sudah dirancang. Bermula dengan butik Muslimah Zawara pada 2012 secara dalam talian, pengasasnya Kapten Kamarul Karim dan adiknya Dilla Karim tidak menoleh ke belakang apabila satu demi satu butik fizikal secara francais dibuka sehingga sekarang berjumlah 20 butik dengan satu butik maya.
Tidak mahu bertapak dalam bidang fesyen saja, mereka seterusnya maju ke hadapan apabila melancarkan Zawara Coffee pertama di Bukit Jelutong, Shah Alam pada 2015. Dalam masa enam bulan saja mereka membuktikan sistem perniagaan yang dijalankan sememangnya terbukti berkesan.
Kejayaan Zawara fesyen turut dirasai tempiasnya apabila Zawara Coffee mula berada di bandar utama seperti Bangi Sentral, Setapak, Cyberjaya dan juga Taman Tun Dr Ismail.
Malah, dalam tempoh tiga tahun baik Kamarul mahupun Dilla berazam memastikan Zawara Coffee mempunyai 100 cawangan di seluruh Malaysia. Sistem yang dijalankan dua beradik ini terbukti berkesan dengan terbinanya empayar Zawara sama ada dalam fesyen mahupun industri makanan dan minuman.
Menurut Kamarul rahsia kejayaan Zawara selama ini adalah menganggap kakitangan adalah syarikat dan bukannya aset. Untuk itu kepentingan menjaga staf sebagai duta amat dititikberatkan.
"Untuk menjadikan pekerja cemerlang mereka perlu sentiasa dilatih setiap masa. Untuk itu wujudnya idea Akademi Zawara yang memberikan latihan kepada kakitangan syarikat dan semua pemilik francais di seluruh negara.
"Berpengalaman sebagai juruterbang, saya banyak mempraktikkan pengalaman dalam bidang penerbangan kepada perniagaan. Kecekapan mengurus sangat penting agar kesilapan dapat dikurangkan atau langsung tiada. Dengan ini dapat menjimatkan masa dan kos," katanya.
Tambahnya, kebanyakan kursus atau seminar yang diadakan selama ini di luar sana bukanlah berdasarkan ilmu amali sebaliknya teori semata-mata.Jadi, dengan pengalaman Zawara yang terbukti berjaya serta dalam kajian kes yang dijalankan, Kamarul dan Dilla mengambil keputusan berkongsi ilmu dengan usahawan menerusi program Masterclass Usahawan mereka.
"Program Masterclass anjuran Akademi Zawara ini dapat menyelamatkan usahawan daripada mengalami kerugian jutaan ringgit dengan kesilapan yang biasa dilakukan. Melalui program ini peserta mengetahui mengenai formula, strategi dan taktik perniagaan seperti Zawara dan membantu mereka mencapai jualan jutaan ringgit dalam tempoh sebulan," katanya.
Tambahnya lagi kesilapan adalah perkara biasa, namun sekiranya ia berulang, bermakna seseorang peniaga itu melakukan kesilapan yang besar kerana membabitkan kos yang tinggi. Program ini adalah pelan tindakan dalam memacu perniagaan sama ada perniagaan baru atau yang sudah lama bertapak.
Apa yang diajar bukan hanya motivasi, sebaliknya memperbetulkan kembali menerusi penjenamaan dan pemasaran yang sering dilupakan.
Dari segi penjenamaan, program ini menekankan kepada pentingnya memilih jenama yang betul yang dapat digunakan sehingga ke peringkat antarabangsa.
Program selama tiga hari dengan Kamarul dan Dilla sebagai penceramah serta pakar syariah Prof Dr Azim Naim yang akan menerangkan mengenai pentingnya kewangan Islam.
Adaptasi sistem aeroangkasa
Sebagai bekas juruterbang berpengalaman Kamarul banyak mempraktikkan konsep 'roket' dalam perniagaannya iaitu pantas, tepat dan menggunakan teknik Rasulullah SAW berniaga selain membuang kepercayaan syirik dalam perniagaan yang banyak menjadi amalan orang Melayu.
Sentiasa berpegang kepada konsep rezeki, bagi Kamarul dia percaya perniagaan bukan setakat keuntungan sebaliknya cara menyelesaikan masalah dan krisis. Apabila kita memahami konsep ini kejayaan pasti akan datang bersama.
Menjelaskan dengan lebih lanjut, bagi Kamarul menukar minda untuk berfikir melangkaui batas atau Think Big adalah proses yang akan menjadikan perjalanan seseorang usahawan itu lebih mudah. Misalnya usahawan yang menjual nasi lemak bukan hanya semata-mata berfikir untuk menjual nasi lemak di gerai sebaliknya mampu dipasarkan sehingga peringkat antarabangsa.
"Berfikir di luar kotak perlu untuk semua usahawan supaya mereka merancang bukan setakat jangka pendek, tetapi untuk jangka panjang," jelasnya.
Pada masa sama berniaga adalah jihad bagi menegakkan ekonomi Islam. Apabila ramai berniaga sumbangan lebih banyak akan diberikan untuk orang Islam, lebih banyak masjid didirikan dan zakat dibayar. Tenaga kerja Muslim juga menjadi lebih berkualiti.
Untuk maklumat lanjut mengenai Masterclass Usahawan ini boleh melayari www.zawara.academy.com. Kelas terdekat akan diadakan pada 2,3 dan 4 April bertempat di Hotel Sunway Putra.
No comments:
Post a Comment