Monday, March 7, 2016

Ada KKTM selepas SPM - Sinarharian

SETIAP kali keputusan peperiksaan keluar, tidak kira peringkat rendah seperti UPSR mahupun menengah seperti PMR, SPM dan STPM, soalan pertama yang akan muncul adalah berapa A yang dapat?

Sejak sekian lama, bilangan A menjadi penanda aras kejayaan pelajar tersebut. Makin kurang bilangannya, makin kuranglah peluang untuk berjaya, kononnya.

Jumlah calon SPM yang mendapat semua A pada tahun 2015 adalah seramai 9,721 daripada keseluruhan 440,682 calon, menurun sedikit berbanding 11,289 dari 455,839 calon pada 2014. Kepada semua lepasan SPM, banyak A bukan lambang puncak kejayaan dan kurang A pula bukan penamat kehidupan. Kehidupan baru bermula dan perjalanan masih jauh untuk ditempuhi.

Penulis teringat kisah drebar yang menjadi jutawan yang diceritakan oleh Muhamad Mat Yakim dalam kolumnya pada akhir tahun lepas. Kisah Samad Kinto yang gagal Bahasa Inggeris dan Matematik dalam peperiksaan SPM dan pernah bekerja sebagai pembantu kantin, pengangkat sampah, pemotong rumput, buruh binaan dan akhirnya sebagai pemandu kepada pengarah syarikat.

Beliau akhirnya menjadi jutawan selepas tujuh tahun berhenti kerja sebagai drebar. Beliau menceburkan diri dalam perniagaan membeli, membaiki dan menjual semula telefon bimbit; satu perniagaan yang diperkenalkan oleh Uncle Lim kepada beliau. Bagi beliau, tiada apa yang mustahil. Beliau telah berusaha untuk berubah daripada seorang kuli kepada seorang tauke.

Begitu juga kisah Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary. Mengikut laporan Bernama pada 4 Mac 2016, Syed Mokhtar ialah orang kesembilan terkaya di Malaysia dengan aset bernilai AS$1.45 bilion. Beliau datang daripaada keluarga susah dan sejak kecil lagi membantu ibunya menanam sayur-sayuran bagi menampung pendapatan keluarga. Berbekalkan SPM, beliau mula berniaga sejak berumur 19 tahun dan kini merupakan orang Melayu terkaya di Malaysia.

Tan Sri Syed Mokhtar memulakan perniagaan pengangkutan pada tahun 1972 dengan bantuan pinjaman Majlis Amanah Raya (Mara) untuk membeli dua buah lori. Selepas tiga tahun menjalankan perniagaan pengangkutan, beliau berjaya melangsaikan semua pinjamannya dan bisnes beliau terus berkembang hingga kini.

Untuk mereka yang kurang menyerlah dalam peperiksaan SPM, usah berduka. Sekiranya tidak mendapat tempat di universiti, ada institusi-institusi lain seperti kolej dan politeknik. Cuma perlu ada minat dan kehendak untuk belajar demi masa depan. Sekiranya lulus dengan kepujian dalam mata pelajaran Matematik dan mana-mana dua subjek daripada kumpulan Sains atau vokasional serta lulus Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah, anda boleh menyambung ke peringkat diploma di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), sebagai contoh.

KKTM Balik Pulau di Pulau Pinang, misalnya, adalah satu dari 10 KKTM di seluruh Malaysia yang menawarkan 84 program teknikal dan vokasional. Menurut Pegawai Perhubungan Industri KKTM Balik Pulau, Zafrina Ismail, mereka mempunyai 90% tenaga pengajar berkelulusan sarjana.

Setiap pelajar disediakan penginapan percuma dan yuran pengajian juga dikecualikan. Bukan itu sahaja, pelajar juga diberikan elaun sara diri setiap bulan. Malah, mereka berpeluang  menyambung pelajaran ke luar negara.

Menurut Ketua Program Diploma Teknologi Kejuruteraan Manufacturing Stamping Die (Acuan Tekan), Asmar Suid, peluang pekerjaan untuk lulusan kejuruteraan pembuatan amat luas. Pelajar didedahkan kepada pelbagai kemahiran teknikal dalam industri pembuatan dan mesin-mesin yang terkini. Malah, mereka juga boleh berniaga.

Ramai yang sudah menjadi usahawan berjaya pun. KKTM Balik Pulau boleh menempatkan 200 pelajar pada setiap sesi, iaitu Januari dan Julai. Walau bagaimanapun, jumlah pelajar yang berdaftar hanyalah separuh daripada kapasiti. Mengapa ini berlaku sedangkan kemudahan telah tersedia? Adakah anak-anak muda terutamanya Melayu atau Bumiputera memang malas berusaha?

Hidup bukannya bergantung pada sekeping kertas yang mempunyai deretan huruf A. Tan Sri Syed Mokhtar mempunyai lebih 67,000 pekerja walaupun hanya berbekalkan SPM. Ramai yang dulunya mendapat semua A dalam SPM kini bekerja dengan beliau. Bagaimanapun, ini tidak bermaksud kita tidak perlu berusaha untuk berjaya dalam SPM.

Tahniah kepada mereka yang cemerlang. Bagi yang kurang cemerlang, peluang untuk berjaya masih luas terbuka. Pilihan di tangan anda.

* Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

No comments:

Post a Comment