Wednesday, March 2, 2016

Malaysia Airlines lihat potensi laluan tradisional - Berita Harian

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Bhd, Christoph Mueller di Bangunan Pentadbiran KLIA. - Foto Fariz iswadi Ismail

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd akan menumpukan pasaran di mana Malaysia mempunyai hubungan perdagangan dan pelancongan yang kukuh dalam pengembangan rangkaian laluannya pada masa hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Christoph Mueller, berkata kebanyakan laluan yang dihentikan di bawah pelan penyusunan semula membabitkan laluan tradisional yang juga mencerminkan hubungan perdagangan Malaysia dalam tempoh 10 hingga 15 tahun lalu.

Namun kini, beliau berkata, berikutan ketidaktentuan dalam persekitaran perdagangan dunia, laluan tradisi perdagangan sebelum ini menjadi kurang menarik.

"Saya suka mengembangkan lebih banyak laluan ke tempat yang mana Malaysia sebagai negara, mempunyai minat ekonomi atau tempat yang mana kita boleh menjadi sumber pelancongan, sebagai contoh China.

"Malaysia sangat popular dalam kalangan rakyat China untuk bercuti kerana rakyat negara ini boleh bertutur dalam bahasa mereka dan kita boleh menawarkan makanan mereka.

"Ini adalah rujukan di dunia, yang mana anda boleh menjangkakan kami mengembangkan laluan sebaik saja kami mencatatkan untung," katanya dalam temubual bersama akhbar Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd di Sepang, Selangor, minggu lalu.

Mueller yang mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam sektor penerbangan, logistik dan pelancongan global berpendapat, syarikat penerbangan nasional itu hanya boleh melaksanakan pengembangan laluan secara agresif apabila aliran tunainya mula positif.

Buat masa ini, katanya, pengembangan laluan secara agresif tidak sesuai kerana fokus utama adalah menstabilkan kedudukan kewangan dan kembali meraih untung menjelang 2018.

Beliau berkata, apa yang boleh dilakukan ialah menjalin kerjasama strategik dengan pengendali penerbangan lain yang mempunyai laluan kukuh dari segi penumpang dan kargo.

"Perniagaan kargo milik Malaysia Airlines, MASKargo mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan mencatatkan untung tahun ini.

"Kejayaan yang dicatatkan perniagaan kargo itu harus dikagumi memandangkan mereka beroperasi dalam pasaran yang menguncup," katanya.

Mueller berkata, Malaysia Airlines memiliki empat pesawat kargo, dan bercadang untuk mengurangkannya kepada dua pesawat dengan menghentikan penggunaan pesawat Boeing 747-400.

Katanya, pemberhentian penggunaan pesawat itu kerana saiznya yang besar tidak sesuai dengan situasi permintaan semasa jika dibandingkan waktu kegemilangan apabila laluan China dan Australia mencatatkan permintaan yang tinggi.

Mengenai program pesawat Malaysia Airlines, beliau berkata, pihaknya akan mengendalikan 54 Boeing 737-800, 15 pesawat Airbus A330-300 dengan menaik taraf tempat duduk kelas perniagaan dan akan terus menerbangkan enam pesawat A380 sehingga diganti dengan empat pesawat A350.

Mengenai perkembangan MASwings dan Firefly, Mueller berkata pihaknya, sangat komited untuk meneruskan laluan di Sabah dan Sarawak bagi MASwings dan mengekalkan Firefly.

No comments:

Post a Comment