Tuesday, March 1, 2016

Forum Ekonomi Jeddah: Najib kongsi kisah kejayaan Malaysia - Berita Harian

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di hotel penginapan di Jeddah, semalam untuk memulakan lawatan kerja ke Arab Saudi sehingga 3 Mac ini. - Foto BERNAMA

JEDDAH: Malaysia perlu mencari peluang baharu pelaburan dan perniagaan di luar negara yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonominya, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, langkah itu perlu dalam usaha mempelbagaikan strategi ekonomi berikutan kejatuhan harga minyak, namun bidang mahu diterokai perlu sesuai dengan kepakaran seperti Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang berjaya menguruskan Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul di Turki.

"Kini MAHB berminat untuk mengendalikan Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah. Kita juga melihat bidang lain seperti penjagaan kesihatan, penjanaan tenaga dan perumahan. Kita sentiasa mencari peluang untuk meningkatkan penyertaan Malaysia di luar negara, termasuk Arab Saudi," katanya.

Najib berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Jeddah (JEF), di sini, malam tadi.

JEF adalah forum tahunan yang diadakan sejak tahun 1999 dan menjadi hab peneraju bagi pemimpin, ahli ekonomi dan ahli perniagaan dari seluruh dunia berbincang serta bertukar pandangan dalam pelbagai isu utama global.

Najib berkata, penyertaan dalam forum itu amat berfaedah kerana berpeluang mengetengahkan kejayaan negara, sekali gus mempromosi Malaysia di peringkat antarabangsa serta dapat memperlihatkan dasar serta pendekatan yang dilaksanakan negara.

"Ini membolehkan kita mencari peluang baharu menerusi kerjasama dengan pelabur Arab Saudi atau terbabit dalam projek di negara ini," katanya.

Terdahulu dalam ucaptamanya, Najib berkata, perkongsian awam swasta (PPP) amat penting dalam proses pembangunan sesebuah negara.

Perdana Menteri turut memberi contoh pengalaman Malaysia yang memulakan dasar penswastaan pada tahun 1983 dan diikuti pengenalan PPP serta Inisiatif Pembiayaan Swata (PFI) pada tahun 2006.

Kerajaan, katanya, turut menubuhkan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) pada tahun 2009 yang berperanan sebagai agensi pusat bagi merancang, menyelaras dan memudah cara dalam projek di seluruh negara.

"PPP juga menjadi teras dalam Rancangan Malaysia Ke-10 menerusi pengumuman Program Transformasi Ekonomi yang akan memacu Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020," katanya.

Najib berkata, pembinaan lebuh raya bertol, pelabuhan dan lapangan terbang serta pejabat kerajaan juga dilakukan secara PPP.

Sehingga Disember lalu, sebanyak 754 projek secara PPP dilaksanakan yang membolehkan kerajaan menjimatkan perbelanjaan modal sebanyak RM203.45 bilion dan perbelanjaan operasi sebanyak RM9.25 bilion.

"PPP juga menawarkan kerja yang lebih dan cepat," katanya.

No comments:

Post a Comment