Thursday, March 31, 2016

Kampit tanpa tanda - Harian Metro

Subang: Taktik sebuah syarikat perkhidmatan gudang, di sini, melakukan penipuan dokumen untuk melindungi kegiatan penyimpanan beras seludup terbongkar dalam pemeriksaan pihak berkuasa, Isnin lalu.

Dalam pemeriksaan Bahagian Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) diketuai Ketua Penolong Setiausaha Seksyen KPB Wan Abdul Hadi Wan Mohd Shafie itu, sebanyak 87 metrik tan beras pelbagai gred, beras gred Thai Super Special (69 metrik tan) dan beras pulut (18 metrik tan) bernilai RM252,000 dirampas.

Beliau berkata, beras yang dirampas itu dikampitkan tanpa sebarang tanda atau label perniagaan dan cop.

"Selain aduan awam mendakwa ada kegiatan penyimpanan beras seludup, makanan ruji itu bahan kawalan yang pergerakannya dapat dibaca dengan mudah menerusi keluar masuk stok.

"Ketika serbuan dibuat, tiada sebarang label atau tag berkenaan gred beras dan harga dipamerkan pada beras yang disimpan dalam gudang itu," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, beras itu dipercayai diperoleh dari sumber tidak sah.

Katanya, serbuan itu kejayaan terbesar KPB tahun ini dan beras berkenaan dipercayai akan dijual di sekitar Lembah Klang dan Selangor.

"Berdasarkan siasatan awal, pemborong berkenaan disyaki melakukan kesalahan mengikut Peraturan 9(4) Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522).

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 bagi kesalahan pertama atau RM50,000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya," katanya.

Wan Abdul Hadi berkata, siasatan lanjut akan dijalankan terutama mengenal pasti dalang di sebalik penyeludupan itu.

Wednesday, March 30, 2016

Platform beli-belah santai - Harian Metro

bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (RTMPB) menerusi kerjasama strategik dengan CJ O Shopping Co Ltd meneroka segmen perniagaan baharu iaitu perniagaan secara dalam talian, CJ WOW SHOP yakin menjadi platform beli-belah atas talian pilihan utama rakyat Malaysia yang inginkan pengalaman beli-belah lebih santai.

CJ WOW SHOP yang bakal ke udara pada 1 April 2016 iaitu bermula esok akan bersiaran selama lebih 16 jam di empat saluran RTMPB iaitu TV3, ntv7, 8TV dan TV9 mengikut waktu siaran berbeza pada setiap hari serta boleh dihubungi menerusi talian bebas 1800180808 untuk membuat tempahan.

Ketua Pegawai Eksekutif RTMPB Datuk Kamal Khalid berkata, CJ WOW SHOP akan menawarkan koleksi barangan dan produk meliputi segmen fesyen, kecantikan, barangan rumah dan gajet serta pada awal kemunculannya, 30 produk disediakan sebagai pilihan.

"Apa yang menarik dan membezakan CJ WOW SHOP dengan platform atas talian lain ialah kami menawarkan barangan eksklusif dan jenama antarabangsa yang tiada dalam pasaran biasa. Jadi ia akan menjadi kelebihan kepada orang ramai memiliki barangan diidamkan dengan tawaran harga berpatutan.

"Kami akan memastikan kualiti barangan disediakan pada tahap memuaskan pelanggan, sekali gus meningkatkan perhatian orang ramai dan pembeli dari semasa ke semasa. Orang ramai juga boleh muat turun aplikasi CJ WOW SHOP di Google Play Store atau Apple App Store," katanya.

Platform beli-belah dalam talian berkenaan adalah kerjasama strategik dengan pakar beli-belah antarabangsa dari Korea Selatan serta menempa kejayaan cemerlang di 10 negara di seluruh dunia.

Mengulas mengenai jangkaan jualan bagi CJ WOW SHOP bagi tempoh setahun pengendaliannya, Kamal berkata, pihaknya optimis meraih jualan kira-kira RM100 juta hingga RM150 juta menjelang suku pertama 2017.

"Malah, sebagai kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia, kami mempunyai kelebihan dari segi kepelbagaian saluran, kepakaran kandungan serta pengalaman dalam bidang penyiaran bagi merealisasikan jangkaan berkenaan.

"Kelebihan ini juga boleh dimanfaatkan untuk meneroka hasil perniagaan baharu di samping terus menawarkan nilai berterusan bagi audiens dan jenama syarikat mahupun pengiklan," katanya.

Katanya, potensi pasaran menggalakkan kerana saiz pasaran dijangka berkembang sehingga RM3.96 bilion pada 2016 dengan peningkatan 18.03 peratus hingga 2020.

Tuesday, March 29, 2016

Minimum kontrak RM5b - Utusan Malaysia

PUTRAJAYA 29 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan memberi penekanan terhadap dasar 'carve out and compete' dalam urusan penganugerahan kontrak projek besar atau ikonik kepada syarikat-syarikat bumiputera di negara ini.

Perdana Menteri berkata, dasar ba­haru itu memperuntukkan semua kontrak bagi projek tersebut dianugerahkan kepada syarikat-sya­rikat bumiputera berdasarkan kepada persaingan antara satu sa­ma lain, bukannya diberikan secara terus.

Kata beliau, salah satu projek be­sar yang telah dilaksanakan ia­lah projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak yang menjadi projek perin­tis dari segi pendekatan dasar baharu tersebut.

Menurutnya, sebuah lagi projek besar melibatkan dasar baharu itu ialah Bukit Bintang City Centre yang melibatkan pembangunan di kawasan tapak Penjara Pudu, Kuala Lumpur oleh UDA Holdings Berhad dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Sukacita saya ingin memaklumkan bahawa jumlah nilai kontrak yang akan diberikan kepada syarikat-syarikat bumiputera dijangka antara RM5 bilion dan RM8 bilion. Ini tertakluk kepada anugerah-anu­gerah yang diberikan selepas ini te­tapi minimum RM5 bilion dan boleh mencecah sebanyak RM8 bilion.

"Ini menunjukkan dasar carve out and compete ini memberi kesan yang besar terhadap penyertaan bumiputera," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Perdana Men­­teri turut menyaksikan pertuka­ran dokumen perjanjian antara Unit Pene­raju Agenda Bumiputera (Teraju) dengan rakan kerjasama Teraju.

Dalam pada itu, bagi projek Bukit Bintang City Centre, jelas Najib, peruntukan sebanyak 50 peratus atau RM1.6 bilion daripada kontrak pembinaan bakal diagihkan kepada syarikat-syarikat bumiputera berdasarkan kebolehan mereka bersaing.

Sementara itu, Najib memberi­tahu, Skim Usahawan Permulaan Bu­miputera (Superb) yang dilancar­kan dua tahun lalu telah melahirkan 90 usahawan bumiputera baha­ru daripada pelbagai industri.

"Melalui Superb, pihak Teraju mem­bantu syarikat-syarikat bukan sahaja dari segi pemberian modal da­na tetapi juga bimbingan," katanya.

Sebagai contoh, menurutnya, pa­da hari ini pihak Teraju telah be­kerjasama dengan Celcom Axiata dan Touch 'n Go untuk program ber­nama Adopt and Grow yang me­rupakan program bagi memberi bimbingan kepada syarikat-syarikat terlibat.

"Saya percaya, syarikat yang akan diletakkan di bawah program ini akan mendapat manfaat memandangkan kejayaan syarikat-syarikat bumiputera dalam bidang perniagaan di peringkat permulaan sepatutnya tidak bertumpu kepada pemberian modal dana sahaja tetapi perlu bertumpu kepada bimbingan.

"Melalui cara seperti ini, mereka dapat mengesan peluang-peluang yang ada untuk mereka manfaatkan perniagaan masing-masing," ka­ta­nya.

Najib berkata, salah sebuah sya­rikat yang telah berjaya pada program Superb tersebut iaitu Aiis Solutions Sdn. Bhd. yang kini mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan AirAsia berhubung produk pembersihan enjin pesawat berasaskan ais kering.

Kata beliau, inovasi sebegitu membawa manfaat kepada pihak penerbangan terutama daripada segi penjimatan tenaga berbanding kaedah pembersihan menggunakan air sebelum ini.

Monday, March 28, 2016

Lenovo berkembang sejak 1984 - Sinarharian

Lenovo

Sebahagian produk jenama Lenovo.

JENAMA Lenovo tidak asing di Malaysia yang terkenal dengan pengeluaran dan jualan komputer peribadi, komputer tablet dan telefon pintar.

Lenovo dikeluar Lenovo Group Ltd yang merupakan syarikat teknologi komputer, beribu pejabat di Beijing, China dan Morrisville, North Carolina, United States.

Lenovo diasaskan pada 1984 oleh Liu Chuanzhi dengan sekumpulan sepuluh jurutera di Beijing dengan bermodalkan 200,000 yuan dan diperbadankan di Hong Kong.

Pada awalnya, mereka guna nama Legend, sebelum menukarnya kepada Lenovo pada 2002 bagi mengembangkan jenama itu di peringkat antarabangsa memandangkan jenama 'Legend' banyak digunakan perniagaan lain.

Ketika mula berniaga, Liu Chuanzhi dan rakannya pernah mengimport televisyen, namun gagal. Mereka juga cuba memasarkan jam tangan digital, namun tak berjaya.

Kemudian, dalam tempoh setahun pertama perniagaan, mereka menguruskan pemeriksaan kualiti terhadap komputer untuk pembeli baharu.

Tidak lama selepas itu, Lenovo mula membangunkan sebuah papan litar yang membolehkan komputer peribadi IBM untuk memproses tulisan Cina dan ia menjadi kejayaan besar bagi Lenovo.

Pada 1990, Lenovo mula mengeluarkan dan memasarkan komputer menggunakan jenamanya sendiri.

Lenovo kemudian membeli perniagaan komputer peribadi IBM pada 2005 dan bersetuju mengambil alih perniagaan pelayannya berasaskan Intel pada 2014.

Sehingga kini, Lenovo sudah beroperasi di lebih 60 buah negara dan menjual produk jenama itu di 160 negara termasuk Malaysia.

Sunday, March 27, 2016

Terus niaga lepas terima ijazah - Harian Metro

rencana@hmetro.com.my

Perniagaannya bermula dengan modal RM1,500. Separuh daripadanya menggunakan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), manakala separuh lagi daripada rakan kongsi.

Daripada duit modal itu, Nurul Liyana Abdul Rahman mula menempah 10 pasang baju yang direkanya sendiri daripada tukang jahit untuk dijual menerusi Facebook.

"Walaupun pada awalnya agak kurang yakin, saya tetap nekad. Tak sangka, dalam masa beberapa jam sahaja selepas memuat naik iklan pakaian itu, semunya habis dijual.

"Sambutan hangat itu membangkitkan semangat saya untuk terus berniaga walaupun masih bergelar siswa," kata siswazah jurusan kewangan sebuah universiti awam ini .

Nurul Liyana, 28, berkata, sebenarnya dia bertatih memulakan perniagaan itu bagi menyambut seruan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk melahirkan siswazah berjaya dalam bidang keusahawanan.

Menurutnya, minatnya dalam perniagaan berputik sejak melanjutkan pelajaran kerana percaya dengan berniaga dia mampu membaiki kualiti kehidupan.

"Saya suka berniaga kerana yakin ia boleh membawa saya lebih ke depan dan berdaya saing," katanya.

Ternyata, Nurul Liyana berpegang teguh kepada keyakinanannya terhadap perniagaan. Ketika rakan lain sibuk mencari kerja selepas menamatkan pengajian, dia terus fokus pada perniagaannya.

Dia meneruskan aktiviti menjual pakaian selepas tamat belajar untuk mengumpul modal sebelum mempunyai sebuah butik di Bangi Sentral.

Hasilnya, kini dia memiliki jenama sendiri, Leeyanarahman yang menjual pakaian Muslimah.

"Selepas tamat belajar saya tidak berfikir untuk cari kerja. Hasil sokongan keluarga, saya berusaha merealisasikan impian dan beranikan diri untuk menceburi bidang perniagaan dan kekal hingga kini.

"Nasihat saya kepada golongan siswa, anda perlu berani mencuba bidang perniagaan atau keusahawan. Tidak semestinya bermula dengan modal besar kerana secara kecil-kecilan sudah memadai untuk mengumpul pengalaman," katanya.

Sementara itu, bagi Muhammad Nazmi Jamil, 24, walaupun bukan dalam jurusan perniagaan, minatnya menjadi usahawan bermula sejak tamat pengajian peringkat ijazah sarjana muda, tahun lalu.

"Sebaik tamat pengajian, ramai kawan sibuk cari kerja tapi saya tidak terfikir pun.

"Sebaliknya tercetusnya idea untuk berniaga dan mengeluarkan produk sendiri iaitu ayam goreng sos keju. Ini resipi yang saya dan rakan kongsi cipta sendiri," katanya.

Bekas siswa Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media dari UiTM Shah Alam itu bergabung idea bersama tiga rakannya mula membuka gerai menjual ayam goreng sos keju di Wangsa Maju, sejak akhir tahun lalu.

"Kami bermula kecil-kecilan dengan modal kecil kerana tidak mahu bergantung pada sesiapa.

"Walaupun hanya buka gerai, setakat ini ayam goreng kami mendapat sambutan dan saya tidak sangka ramai memberi sokongan terutama ahli keluarga dan rakan-rakan," katanya.

Selain untuk memperoleh pendapatan, hasil perniagaan itu turut menjadi simpanan mereka untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana. "Kami berniaga kerana memerlukan duit untuk sambung belajar disebabkan tidak mahu menyusahkan keluarga.

"Namun, kami tak bercadang untuk berniaga separuh jalan kerana selepas mendapat sambutan menggalakkan, kami merancang untuk mengembangkan perniagaan ini.

"Kami dalam perancangan membeli trak makanan (food truck) dalam masa terdekat dan mungkin membuka kedai atau restoran dalam beberapa tahun lagi," katanya.

Muhammad Nazmi berkata, persepsi orang ramai terutama siswa dan ibu bapa kononnya hanya kerja kolar putih dapat mengukur kejayaan seseorang perlu diubah.

"Ramai yang bertanya kenapa saya tak kerja sedangkan saya ada ijazah. Adakah kerana saya tidak layak?

"Pendapat saya, itu pandangan yang cetek kerana tidak semestinya ada ijazah mesti bekerja dengan orang lain.

"Saya mahu menyahut seruan kerajaan untuk melahirkan ramai usahawan dalam kalangan siswazah," katanya.

Niaga tanpa modal

"Bergelar siswa tidak semestinya tak boleh berniaga. Yang penting perlu bijak membahagikan masa untuk pelajaran dan perniagaan," kata siswa jurusan Kejuruteraan dan Teknologi Mekatronik di Malaysia- France Institute Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Habib Ariffin Isa, 23.

Dia yang kini menjalankan perniagaan secara dalam talian (online) juga berkata, memulakan perniagaan tidak semestinya memerlukan modal, sebaliknya kesungguhan dan minat lebih utama.

"Sebagai siswa, sukar mendapatkan modal untuk berniaga kerana sumber kewangan terhad. Duit yang ada pula digunakan untuk menampung pengajian dan belanja harian.

"Tapi tak semestinya tanpa modal kita tidak boleh berniaga. Saya bermula secara kecil-kecilan dengan menjadi ejen 'dropship' saja.

"Keuntungan juga kecil, tapi saya tekad dan kuat semangat menabung untuk dijadikan modal berniaga," katanya menjual pelbagai barangan termasuk kasut berjenama import dari United Kingdom. Hasilnya, kini pendapatan bulanannya mencecah empat angka.

Dia menanam minat untuk berniaga sejak tamat persekolahan, seterusnya ketika menyambung pengajian di peringkat diploma.

"Saya berniaga kerana minat. Itu yang menjadi pendorong untuk pergi jauh dalam perniagaan.

"Langkah pertama saya dalam bidang keusahawanan bermula pada tahun 2012. Sejak itu saya makin seronok dan tidak menoleh ke belakang lagi," katanya.

Habib Ariffin berkata, perniagaan yang dijalankan secara dalam talian itu tidak mengganggu pelajarannya, malah mendapat sokongan ibu bapanya.

"Sebagai pelajar, waktu belajar memang padat, namun setakat ini saya masih mampu menguruskan masa dan sama sekali tidak mengganggu pelajaran.

"Ibu bapa beri sokongan asalkan tidak mengabaikan pengajian. Saya hanya akan 'tutup kedai' pada waktu peperiksaan bagi memberi tumpuan penuh kepada ulang kaji.

"Bagi saya tiada istilah gangguan dalam pelajaran kerana ia bergantung kepada pengurusan masa," katanya.

Ditanya faktor lain menyebabkan dia bekerja, Habib mengakui wang yang diperoleh digunakan untuk membeli barangan idaman selain menyimpan.

"Duit yang saya simpan separuhnya digunakan untuk keperluan harian manakala selebihnya untuk mengembangkan perniagaan," katanya.

Saturday, March 26, 2016

Utusan raih anugerah - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 26 Mac - Penganjuran Utusan Business Awards 2015 pada awal bulan ini dilihat sebagai kejayaan besar Kumpulan Utusan sekali gus mengangkat syarikat akhbar itu sebagai akhbar tempatan terbaik di negara ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas berkata, kejayaan penganjuran majlis tersebut membuktikan Kumpulan Utusan mengorak satu lagi langkah ke hadapan.

Katanya, maklum balas yang diterima daripada komuniti perniagaan berhubung maj­lis anugerah tersebut jelas positif sekali gus membuka peluang kepada syarikat untuk terus menceburi bidang perniagaan.

"Saya percaya penganjuran Utusan Business Awards 2015 membolehkan syarikat menerima pengiktirafan sedemikian.

"Ekoran maklum balas yang positif, insya-Allah kita akan meneruskan penganjuran majlis itu pada tahun akan datang," katanya yang ditemui selepas Majlis Anugerah Perniagaan Malaysia 2015/2016 anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur (KLMCC) di sini hari ini.

Pada majlis itu, Kumpulan Utusan dipi­lih sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Industri bagi kategori Akhbar Tempatan yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan In­dustri, Datuk Ahmad Maslan.

Tambah Mohd. Noordin, sokongan warga kerja Kumpulan Utusan dan pihak pengurusan syarikat amat baik sehingga membolehkan tanggungjawab yang diberikan dapat digalas dengan baik.

"Bercakap tentang warga kerja, kita dapat melihat semangat pekerja dan pihak pengurusan. Kita nampak respon yang baik di antara kedua-duanya yang membolehkan tugas-tugas yang diberikan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya," ujarnya.

Friday, March 25, 2016

Zazadilla cemerlang 10 tahun berturut-turut - Utusan Malaysia

SHAH ALAM 25 Mac – Kegigihan dan komitmen tinggi dalam menjalankan tugas sehingga berjaya menyelesaikan banyak kes jenayah besar, menyebabkan seorang pegawai polis wanita di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Superintenden Zazadilla Tompang mendapat sijil penghargaan setiap tahun sejak beliau mula berkhidmat pada 2006.

Malah dalam majlis sempena Peringatan Hari Polis Ke-209 peringkat Selangor hari ini, Zazadilla sekali lagi dipilih sebagai penerima sijil penghargaan atas kejayaan beliau menjejaki mangsa kes culik kakak seorang ahli perniagaan ternama bergelar Tan Sri di Kelana Jaya pada 10 November lalu sekali gus membantu menyelesaikan kes itu.

Zazadilla yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Perancangan (D8), Jabatan Siasatan Jenayah IPK Selangor berkata, dalam kes tersebut, beliau berjaya mengesan lokasi mangsa yang diculik melalui telefon bimbit mangsa.

Menurutnya, selain mangsa, beliau juga berjaya mengesan lokasi suspek kes culik tersebut sekali gus membantu menyelesaikan kes itu dengan pantas.

"Bagi saya sijil penghargaan ini adalah motivasi untuk bekerja lebih gigih dan seterusnya berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

"Untuk berjaya kita perlu bekerja keras dan tidak malu meminta tunjuk ajar daripada mereka yang lebih senior daripada kita," katanya ketika ditemui selepas majlis itu di sini hari ini.

Terdahulu, seramai 37 pegawai, anggota dan kakitangan polis IPK selain pengamal media dan orang awam turut menerima sijil penghargaan daripada Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat itu.

Wartawan Utusan Malaysia, Norfazrina Ayu Raduian turut terpilih sebagai penerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar.

Thursday, March 24, 2016

Batal lesen jual rokok seludup - Harian Metro

hmkk@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Mana-mana peruncit atau peniaga yang didapati menjual, mengedar, memiliki rokok seludup atau minuman keras tidak sah (kontraban) akan dibatalkan lesen perniagaan mereka serta-merta.

Langkah itu adalah tindakan terbaharu yang diambil pihak berkuasa termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Pihak Berkuasa Tempatan dalam usaha membendung dan membanteras kegiatan penjualan rokok seludup yang sehingga kini sudah menguasai 36.9 peratus pasaran rokok tempatan.

Berdasarkan kajian dibuat sebuah firma perunding menunjukkan penguasaan rokok seludup di pasaran tempatan meningkat 3.2 peratus berikutan kenaikan cukai eksais tembakau yang menyumbang kepada kenaikan harga rokok berbanding tempoh sama 2014.

Peningkatan harga rokok itu menyebabkan rokok seludup menjadi pilihan.

Selain itu, peruncit yang ditahan juga boleh direman dan didakwa mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 jika ia membabitkan warga asing.

Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) JKDM Datuk Matrang Suhaili berkata, pihaknya tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak termasuk kakitangan kerajaan atau agensi penguatkuasaan yang didapati bersekongkol dengan aktiviti penyeludupan dan penjualan rokok seludup serta minuman keras.

Katanya, sepanjang dua bulan pertama tahun ini, lebih 70 juta batang rokok dianggarkan bernilai RM7.74 juta dengan cukai tidak berbayar sebanyak RM3.71 juta berjaya dirampas.

Beliau berkata, keseluruhan rampasan itu hasil kejayaan serbuan dan operasi dilaksanakan sebelum ini membabitkan premis perniagaan, kaki lima, pelabuhan serta pintu masuk utama seluruh negara.

"JKDM tidak akan berhenti melakukan operasi dan akan terus komited membanteras sebarang aktiviti penyeludupan rokok yang masih berleluasa.

"Kejayaan rampasan rokok ini adalah hasil operasi dilaksanakan sepanjang Januari dan Februari lalu di seluruh negara," katanya selepas merasmikan Op Pacak 2016 Peringkat Negeri Sabah di Bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JKDM negeri Mohd Idris Shaharom, Pengarah Perundangan dan Hal Ehwal Luar British American Tobacco (BAT) Malaysia Datuk Christine Lee Oi Kuan dan Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai.

Menurut Matrang, pihaknya merampas 841,780 batang rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM100,409 di negeri ini membabitkan serbuan ke atas 184 premis dan kaki lima di negeri ini.

"Nilai cukai rokok seludup ini dianggarkan RM513,587. Seramai 77 individu terdiri daripada pengusaha premis dan penjaja turut ditahan mengikut Akta Kastam 1967," katanya.

Matrang berkata, Op Pacak kali ini yang bermula semalam sehingga 31 Mac ini akan dilakukan secara bersepadu bersama empat agensi penguatkuasaan lain antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Jabatan Imigresen Malaysia dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Wednesday, March 23, 2016

Bermula layan minat anak - Harian Metro

rencana@hmetro.com.my

Tugas hakikinya sebagai jururawat jabatan pediatrik di sebuah hospital pakar di selatan tanah air. Namun, pada masa sama, Norassikin Mohd Kahar, 29, turut bergelar usahawanita pertanian yang berjaya apabila mampu menjadi penternak itik yang membekalkan telur serta itik di sekitar Melaka dan Muar, Johor.

Memanfaatkan tanah terbiar di belakang rumahnya di Kampung Parit Sidang Seman, Sungai Rambai, Melaka, Norassikin yang memulakan usahanya dengan hanya 20 anak itik pada April 2014, kini menternak 1,500 itik terdiri daripada itik telur, daging dan nila.

Sebab itu, ketika ramai dalam kalangan kita berkeluh-kesah dengan kos sara hidup yang meningkat sekarang, Norassikin tidak sedikit pun terkena tempias kegawatan ekonomi itu. Ini kerana, selain pendapatan sebagai jururawat, dia mendapat hasil yang lumayan daripada perusahaan ternakan itik.

Apa yang menarik, Norassikin menceburi bidang ternakan itik ini tanpa perlu meninggalkan kerjaya sebagai jururawat yang disandang sejak sembilan tahun lalu. Sebaliknya disiplin yang tinggi serta kebijaksanaan mengagih masa membolehkan dia menjalankan dua tugas serentak.

"Saya mengakui melakukan dua pekerjaan pada satu masa memang menuntut komitmen yang tinggi. Namun, dengan iltizam dan disiplin, saya mampu melakukan tanpa menjejaskan tanggungjawab terhadap kedua-dua bidang ini.

"Bidang kejururawatan sudah menjadi darah daging saya sehingga saya berasa sangat sayang untuk meninggalkannya. Apatah lagi, sudah sembilan tahun saya bergelar jururawat. Manakala, bidang ternakan, walaupun baru dua tahun diusahakan sudah memberi pulangan yang lumayan.

"Jadi, bagi memastikan kedua-dua bidang ini dapat diseimbangkan, saya mengatur masa saya sebaik mungkin. Sebagai jururawat, saya bekerja mengikut syif iaitu pagi, petang dan malam. Contohnya, apabila bertugas pada waktu pagi, tugasan memberi makan itik dan mengutip telur diserahkan kepada ayah (Mohd Kahar Haron) dan ibu saya (Arbakyah Jelani).

"Saya hanya mengambil alih tugas terbabit selepas pulang kerja. Begitulah sebaliknya jika saya bertugas syif petang, saya mengendalikan ternakan pada waktu pagi. Dan apabila bertugas malam, pulang pagi, saya pastikan tugas di ladang ternakan dibereskan sebelum berehat.

"Pada awalnya, memang ia agak meletihkan, tapi saya pastikan bidang ternakan yang saya ceburi ini tidak menjejaskan tanggungjawab sebagai jururawat. Alhamdulillah, dengan bantuan ibu bapa dan suami, Abdul Hadi Ibrahim, segala-galanya berjalan lancar," ujar Norassikin.

Menceritakan pembabitan awalnya sebagai usahawanita pertanian, Norassikin mendedahkan, ia bermula sekadar untuk melayan minat anak tung­galnya, Dhia Dami Abdul Hadi, 3, yang sangat sukakan haiwan terutama anak itik.

"Pantang jumpa anak itik atau anak ayam, Dhia Damia pasti mengejarnya sehingga dapat. Saya nampak dia mempunyai sifat pe­nyayang terhadap haiwan. Selain itik dan ayam, dia suka arnab dan kucing.

"Jadi bagi memenuhi minatnya, saya membeli 20 anak itik dengan harga RM3 seekor dan menternaknya di belakang rumah kami. Tidak sangka pula apabila semua itik ini dewasa dan menghasilkan telur, terdapat banyak permintaan.

"Dari situlah saya nampak perusahaan ternakan itik ini mempunyai potensi untuk dijadikan sumber pendapatan. Sedikit demi sedikit saya tambah jumlah itik dengan pelbagai jenis seperti itik telur, daging dan nila sehinggalah sekarang mencecah 1,500 ekor," ujarnya.

Menurut Norassikin, dia mengeluarkan modal sendiri untuk membeli anak itik itu, namun meminta khidmat nasihat daripada Persatuan Penternak Melaka dan Jabatan Veterinar, Merlimau, Melaka, bagi memastikan ternakannya tidak dijangkiti penyakit atau diganggu binatang seperti anjing liar dan biawak.

"Saya membelanjakan lebih kurang RM2,000 sebulan untuk makanan itik ini. Pada masa sama, saya menanam buluh madu sebagai sumber makanan tambahan di samping memberi makan nasi dan dedak," kata Norassikin.

Itik telur memerlukan tempoh empat bulan untuk matang dan mula menghasilkan telur sementara itik daging boleh dijual apabila mencecah usia dua bulan. Itik nila pula mengambil masa tiga bulan untuk dewasa.

"Memandangkan kami lebih banyak menternak itik telur, ia dapat menghasilkan antara 600 hingga 800 biji telur sehari atau purata 15,000 sebulan. Itik telur ini dapat menghasilkan telur selama dua tahun. Selepas itu itik ini dijual dan diganti dengan anak itik baru," kata Norassikin.

Mengenai pasaran, Norassikin sudah mempunyai pelanggan tetap yang terdiri daripada restoran dan kedai makan di sekitar Sungai Rambai, Melaka dan Muar, Johor.

"Setiap restoran dan kedai makan membuat pembelian tiga kali seminggu. Purata dalam sebulan saya membekalkan 1,000 biji telur kepada setiap pelanggan. Saya kini mempunyai lapan pelanggan tetap, bermakna 8,000 telur sudah ada pembelinya setiap bulan.

"Di samping itu, saya juga menerima tempahan untuk majlis perkahwinan dan keraian serta dijual kepada penduduk sekitar. Selebihnya, saya jadikan telur masin yang juga dibekalkan kepada restoran dan kedai makan serta dijual kepada penduduk setempat.

"Dan sejak dua bulan lalu, saya turut memasarkan telur itik mentah dan telur masin di kios yang saya sewa di Hentian Rehat dan Rawat, Sungai Rambai menuju arah selatan. Kios ini dikendalikan seorang saudara saya dan saya hanya memantau atau sesekali ke sana apabila hari cuti.

"Selain telur, itik daging dan nila serta ayam kampung juga mendapat permintaan yang tinggi dan saya bekerjasama dengan Koperasi Persatuan Ayam Kampung Melaka (Kepak) untuk meluaskan pasaran dengan merancang membekalkan itik dan ayam kampung sejuk beku," kata Norassikin.

Kejayaan Norassikin ini boleh dijadikan inspirasi kepada wanita lain untuk menceburi bidang pertanian. Ketika ramai wanita lebih cenderung membabitkan diri dalam perniagaan berasaskan kecantikan, Norassikin membuktikan bidang pertanian yang jarang diterokai oleh kaum wanita sebenarnya memberikan pulangan lebih lumayan.

Tuesday, March 22, 2016

Petronas terus lakar kejayaan besar - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 22 Mac - Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) terus melakar kejayaan besar sekali gus membuktikan sebagai sebuah organisasi bertaraf dunia walaupun syarikat minyak negara itu dalam usaha mengambil tindakan drastik untuk mengurangkan kos ekoran kejatuhan harga minyak dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, syarikat tersebut masih memberi tumpuan kepada soal kemampanan dalam aspek alam sekitar, sosial dan komersial.

Menurutnya, membuktikan per­kara itu, syarikat minyak negara itu telah memperkenalkan kemudahan gas asli cecair Terapung (PFLNG) Satu sebagai penggerak baharu di dalam perniagaan LNG dunia yang akan ditempatkan di lapangan gas Kanowit di luar pesisir Sarawak.

"Ini merupakan kejayaan membanggakan kepada Petronas dan negara keseluruhannya dengan kemudahan teknologi dan kejuruteraan kreatif itu yang membolehkan pemprosesan LNG berpangkalan di luar pesisir, sekali gus mampu mengurangkan kos berbanding pemprosesan LNG konvensional.

"Sementara itu, rancangan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petroki­mia (RAPID) pula akan meningkatkan permintaan produk tenaga dan petrokimia di Asia untuk tempoh 20 tahun lagi.

"RAPID akan menjadi 'magnet' kepada pemain teknologi global untuk memperluaskan 'kuasa' mereka di sini dan Asia Tenggara manakala para pekerja mahir bersedia untuk memenuhi permintaan dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Teknologi Luar Pesisir Asia 2016 di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Petronas, Tan Sri Sidek Hassan dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia yakin berada pada landasan betul untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 walaupun berlaku ketidaktentuan ekonomi dunia ketika ini.

Menurutnya, keyakinan itu berasaskan kepada tindakan dan langkah proaktif yang diambil kerajaan untuk mengatasi faktor luaran yang turut memberi kesan ke atas ekonomi negara.

Perdana Menteri menjelaskan, faktor tersebut seperti perubahan kadar faedah di dalam rizab mata wang antarabangsa, kelembapan pasaran untuk berkembang maju dan harga komoditi yang rendah.

"Oleh sebab itu kerajaan mempunyai asas dan tujuan untuk mempelbagaikan sumber ekonomi.

"Jika sebelum ini ekonomi Malaysia didorong oleh perbelanjaan awam, kerajaan berjaya menjadikan sektor swasta mengambil alih peranan itu sebagai 'enjin' dalam memacu ekonomi negara," katanya.

Monday, March 21, 2016

Kongsi ilmu berniaga - Harian Metro

sitizarinah@hmetro.com.my

Melihat perjalanan perniagaan jenama ini sehingga mencapai satu tahap yang boleh dibanggakan ia sememangnya satu proses yang sudah dirancang. Bermula dengan butik Muslimah Zawara pada 2012 secara dalam talian, pengasasnya Kapten Kamarul Karim dan adiknya Dilla Karim tidak menoleh ke belakang apabila satu demi satu butik fizikal secara francais dibuka sehingga sekarang berjumlah 20 butik dengan satu butik maya.

Tidak mahu bertapak dalam bidang fesyen saja, mereka seterusnya maju ke hadapan apabila melancarkan Zawara Coffee pertama di Bukit Jelutong, Shah Alam pada 2015. Dalam masa enam bulan saja mereka membuktikan sistem perniagaan yang dijalankan sememangnya terbukti berkesan.

Kejayaan Zawara fesyen turut dirasai tempiasnya apabila Zawara Coffee mula berada di bandar utama seperti Bangi Sentral, Setapak, Cyberjaya dan juga Taman Tun Dr Ismail.

Malah, dalam tempoh tiga tahun baik Kamarul mahupun Dilla berazam memastikan Zawara Coffee mempunyai 100 cawangan di seluruh Malaysia. Sistem yang dijalankan dua beradik ini terbukti berkesan dengan terbinanya empayar Zawara sama ada dalam fesyen mahupun industri makanan dan minuman.

Menurut Kamarul rahsia kejayaan Zawara selama ini adalah menganggap kakitangan adalah syarikat dan bukannya aset. Untuk itu kepentingan menjaga staf sebagai duta amat dititikberatkan.

"Untuk menjadikan pekerja cemerlang mereka perlu sentiasa dilatih setiap masa. Untuk itu wujudnya idea Akademi Zawara yang memberikan latihan kepada kakitangan syarikat dan semua pemilik francais di seluruh negara.

"Berpengalaman sebagai juruterbang, saya banyak mempraktikkan pengalaman dalam bidang penerbangan kepada perniagaan. Kecekapan mengurus sangat penting agar kesilapan dapat dikurangkan atau langsung tiada. Dengan ini dapat menjimatkan masa dan kos," katanya.

Tambahnya, kebanyakan kursus atau seminar yang diadakan selama ini di luar sana bukanlah berdasarkan ilmu amali sebaliknya teori semata-mata.Jadi, dengan pengalaman Zawara yang terbukti berjaya serta dalam kajian kes yang dijalankan, Kamarul dan Dilla mengambil keputusan berkongsi ilmu dengan usahawan menerusi program Masterclass Usahawan mereka.

"Program Masterclass anjuran Akademi Zawara ini dapat menyelamatkan usahawan daripada mengalami kerugian jutaan ringgit dengan kesilapan yang biasa dilakukan. Melalui program ini peserta me­ngetahui mengenai formula, strategi dan taktik perniagaan seperti Zawara dan membantu mereka mencapai jualan jutaan ringgit dalam tempoh sebulan," katanya.

Tambahnya lagi kesilapan adalah perkara biasa, namun sekiranya ia berulang, bermakna seseorang peniaga itu melakukan kesilapan yang besar kerana membabitkan kos yang tinggi. Program ini adalah pelan tindakan dalam memacu perniagaan sama ada perniagaan baru atau yang sudah lama bertapak.

Apa yang diajar bukan hanya motivasi, sebaliknya memperbetulkan kembali menerusi penjenamaan dan pemasaran yang sering dilupakan.

Dari segi penjenamaan, program ini menekankan kepada pentingnya memilih jenama yang betul yang dapat digunakan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Program selama tiga hari dengan Kamarul dan Dilla sebagai penceramah serta pakar syariah Prof Dr Azim Naim yang akan menerangkan mengenai pentingnya kewangan Islam.

Adaptasi sistem aeroangkasa

Sebagai bekas juruterbang berpengalaman Kamarul banyak mempraktikkan konsep 'roket' dalam perniagaannya iaitu pantas, tepat dan menggunakan teknik Rasulullah SAW berniaga selain membuang kepercayaan syirik dalam perniagaan yang banyak menjadi amalan orang Melayu.

Sentiasa berpegang kepada konsep rezeki, bagi Kamarul dia percaya perniagaan bukan setakat keuntungan sebaliknya cara menyelesaikan masalah dan krisis. Apabila kita memahami konsep ini kejayaan pasti akan datang bersama.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, bagi Kamarul menukar minda untuk berfikir melangkaui batas atau Think Big adalah proses yang akan menjadikan perjalanan seseorang usahawan itu lebih mudah. Misalnya usahawan yang menjual nasi lemak bukan hanya semata-mata berfikir untuk menjual nasi lemak di gerai sebaliknya mampu dipasarkan sehingga peringkat antarabangsa.

"Berfikir di luar kotak perlu untuk semua usahawan supaya mereka merancang bukan setakat jang­ka pendek, tetapi untuk jangka panjang," jelasnya.

Pada masa sama berniaga adalah jihad bagi menegakkan ekonomi Islam. Apabila ramai berniaga sumbangan lebih banyak akan diberikan untuk orang Islam, lebih banyak masjid didirikan dan zakat dibayar. Tenaga kerja Muslim juga menjadi lebih berkualiti.

Untuk maklumat lanjut mengenai Masterclass Usahawan ini boleh melayari www.zawara.academy.com. Kelas terdekat akan diadakan pada 2,3 dan 4 April bertempat di Hotel Sunway Putra.

Sunday, March 20, 2016

Trak makanan popular - Harian Metro

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jika dikenang semula kira-kira 10 tahun lalu, perniagaan trak makanan kurang mendapat sambutan disebabkan orang ramai masih memilih restoran atau lebih selesa makan di rumah.

Namun, sejajar dengan perkembangan dan arus kemodenan, idea trak makanan semakin mendapat tempat di hati rakyat khusus golongan muda yang ingin mula berjinak dengan dunia perniagaan mengikut citarasa masing-masing.

Tempias fenomena trak makanan yang bermula sejak dua tahun kebelakangan ini, turut dirasai pengeluar trak pelbagai jenis yang mengambil peluang keemasan ini untuk membuka cabang perniagaan baru iaitu pakej trak makanan.

Bermula dengan idea untuk menerapkan kesedaran kepada penjaja tepi jalan supaya beralih kepada konsep trak makanan, Pengurus Operasi Bintang Truck, Eric Kee melihat perniagaan berorientasikan trak makanan berpotensi untuk menjadi antara pekerjaan paling digemari rakyat berikutan kebebasan untuk bergerak tanpa had.

Menurut Kee, setiap hari dia akan didatangi ramai pelanggan baru sama ada di kedai mahupun laman sosial untuk meminta nasihat berkenaan tip untuk memulakan perniagaan trak makanan dan antara kerisauan utama yang selalu didengari adalah modal permulaan.

"Saya faham ramai yang masih belum jelas mengenai modal yang perlu dikeluarkan untuk memiliki perniagaan trak makanan, namun percayalah bahawa ia tidak serumit yang disangka.

"Sudah semestinya setiap perniagaan memerlukan modal permulaan, namun bagi trak makanan ia hanya membabitkan pembelian trak dan bahan mentah tanpa perlu risau mengenai komitmen jangka masa panjang iaitu sewa kedai.

"Di sini, kita bukan hanya mengaut keuntungan semata-mata, kerana apa yang lebih penting adalah peniaga berupaya mengekalkan perniagaan sekali gus dapat menjana pendapatan yang stabil.

"Kita akan memperkenalkan kepada orang ramai mengenai trak makanan yang dibuka peniaga melalui laman sosial kerana ia lebih berkesan," katanya ketika ditemui, di pejabatnya, di Gombak.

Lebih memudahkan, apabila Kee sendiri yang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mendapatkan lesen penjaja bagi pelanggannya yang ingin memulakan perniagaan trak makanan.

"Saya faham kepayahan bakal peniaga trak makanan untuk mendapatkan lesen kerana masih ada yang tidak tahu saluran yang perlu diikuti.

"Saya akan cuba sedaya upaya menyelesaikan semua urusan dalam tempoh singkat supaya pelanggan saya dapat berniaga secepat mungkin.

"Saya sedar apa yang saya lakukan berada di luar ruang lingkup perniagaan yang dijalankan, namun kepuasan dapat melihat pelanggan saya mula berniaga sukar untuk digambarkan melalui kata-kata," katanya.

Ditanya mengenai trend penjualan makanan, Kee mendapati peniaga trak makanan lebih gemar memilih menu barat kerana ia tidak membabitkan banyak ramuan selain lebih cepat untuk disiapkan.

"Apa yang perlu dititikberatkan peniaga adalah masa, kebersihan, lokasi dan menu. Semua ini menjadi faktor kejayaan sesebuah trak makanan itu kerana daripada pengalaman saya, pelanggan akan sedaya upaya mencari makanan daripada trak makanan yang digemarinya," katanya ketika ditemui.

Saturday, March 19, 2016

Nahas pesawat, 62 maut - Utusan Malaysia

MOSCOW 19 Mac - Kesemua 62 penumpang dan anak kapal sebuah pesawat penumpang syarikat tambang murah Flydubai terbunuh apabila jet yang mereka naiki itu terhempas dan terbakar ketika cuba membuat pendaratan kali kedua di Lapangan Terbang Rostov-on-Don, di selatan Rusia awal hari ini.

Kementerian Kecemasan Rusia berkata, pesawat Boeing 737-800 itu dalam penerbangan dari Dubai ke bandar Rostov-on-Don terhempas pada pukul 3.50 pagi waktu tempatan.

Kebanyakan penumpang pesawat FZ981 itu adalah warga Rusia.

"Pesawat berkenaan terhempas dan berkecai.

"Menurut data awal, terdapat 55 penumpang dan tujuh anak kapal dalam pesawat itu, Kesemua mereka terbunuh," kata Jawatankuasa Siasatan Rusia dalam satu kenyataan di laman web mereka, hari ini.

Kementerian Kecemasan wilayah Rostov dalam satu kenyataan berkata, bahagian sayap pesawat itu mencecah tanah terlebih dahulu ketika jet berkenaan cuba membuat pendaratan kali kedua sebelum terbakar.

Gabenor wilayah itu, Vasily Golubev berkata, cuaca buruk, angin kencang di bandar ber­kenaan dipercayai menjadi punca yang nahas tersebut.

Namun, penasihat kepada Menteri Pengangkutan Rusia, Zhanna Terekohova berkata, kesilapan juruterbang juga mungkin menjadi faktor nahas itu.

Pesawat itu mendarat dalam perimeter lapangan terbang, kira-kira 250 meter lebih rendah dari permulaan landasan.

Gambar kabur dari sebuah kamera keselamatan yang menghala ke arah lapangan terbang itu dan disiarkan televisyen Rusia menunjukkan satu letupan besar berlaku dan api menjulang ke udara.

Wakil Kementerian Kecemasan wilayah Rostov dalam satu taklimat berkata, kotak perakam penerbangan pesawat berkenaan masih belum ditemukan.

Sementara itu, Flydubai dalam satu kenyataan berkata, mereka sedang cuba mengumpul maklumat secepat mungkin berhubung nahas itu.

"Ketika ini, ingatan dan doa kami adalah bersama penumpang dan anak kapal kami yang berada dalam pesawat itu.

"Kami akan cuba apa yang kami mampu untuk membantu mereka yang terjejas dengan nahas ini," kata syarikat penerbangan itu, yang dimiliki kerajaan Dubai. – REUTERS

Friday, March 18, 2016

OKU sara hidup niaga cendol - Sinarharian

KLUANG - Seorang orang kurang upaya (OKU) tidak menjadikan kekurangan fizikal dialaminya, sebagai penghalang untuknya mengusahakan gerai menjual cendol bagi menjana pendapatan bulanan keluarganya.

Sulaiman Md Taib, 49, berkata, dia pernah berputus asa disebabkan mengalami kesukaran mencari pekerjaan, namun atas sokongan keluarga, dia nekad menjalankan perniagaan menjual cendol untuk menyara kehidupan.

Menurutnya, perniagaan cendol diusahakan diberi nama Man Cendol Plus di Simpang Renggam, semakin mendapat sambutan.

Mengimbau kenangan lalu, katanya, kecacatan dialaminya itu setelah terlibat kemalangan jalan raya di Jalan Felda Layang-Layang ketika berusia 21 tahun.

"Ketika itu saya menunggang motosikal balik dari kedai. Dalam perjalanan pulang, motosikal saya bertembung dengan kereta. Akibatnya, tangan kiri saya terpaksa dipotong.

"Disebabkan itu, saya agak sukar mencari pekerjaan dan terfikir untuk berniaga sahaja, walaupun ketika itu saya tidak mempunyai pengalaman buat cendol," katanya kepada Sinar Harian.

Hasil jualan cendol sara sembilan beranak

Walaupun tidak mempunyai pengalaman, hasil usaha gigih Sulaiman mempelajari kaedah membuat cendol yang sedap, akhirnya membuahkan hasil sehingga dikenali ramai.

Sulaiman berkata, sejak mengusahakan gerai cendol itu, dia mampu membesarkan enam anak yang kini berusia 10 hingga 23 tahun, di samping menyara ibunya.

"Hasil jualan selama 22 tahun inilah saya gunakan untuk menyara sembilan beranak. Walaupun rezeki diperoleh tidaklah semewah mana, namun saya tetap bersyukur saya mampu beri pendidikan kepada anak-anak.

"Pendapatan hasil jualan cendol yang diterima setiap hari, digunakan sehari-hari namun saya tidak pernah mengeluh dan tetap berusaha untuk menyara keluarga," katanya.

Tambahnya, dia menjual cendol bukan kerana minat tetapi mahu mencari nafkah untuk keluarga yang besar.

Katanya, hanya selepas mengetahui cara membuatnya, dia mulai minat melakukannya dan gemar mencuba menu baharu.

Terima bantuan mesin

Kejayaan diperoleh Sulaiman itu juga adalah hasil bantuan mesin diberikan Jabatan Pertanian dan program Azam 1Malaysia, bagi memudahkan penghasilan cendolnya.

Menurutnya, tanpa bantuan mesin berkenaan, proses membuat cendol akan menjadi lambat dan hasilnya sedikit.

"Tetapi sejak menerima bantuan ini, semua proses jadi mudah dan saya sendiri dapat jimat tenaga dan masa. Kalau tidak, mungkin saya terpaksa membuka gerai cendol lambat.

"Hasil jualan saya semuanya segar. Proses pembuatan dengan semua penyediaan bahan-bahan untuk cendol disediakan pada sebelah pagi dan dijual sebelah petang, lebih kurang jam 2 hingga 6 petang.

"Sehari saya buat lebih kurang 20 kilogram dan selalunya habis dijual tetapi bergantung kepada cuaca. Kalau musim panas jualan akan cepat habis, manakala kalau hujan, selalu saya akan kurangkan kuantitinya untuk mengelakkan kerugian," katanya yang membuka gerai cendol di tepi Jalan Benut-Simpang Renggam.

Sulaiman turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan akibat kecacatan yang dialami.

Pelbagai menu cendol

Disebabkan mempunyai kelebihan mempelbagaikan menu, Sulaiman berjaya menghasilkan lebih 20 menu berasaskan cendol.

Katanya, semua menunya sentiasa ada dijual dan kebanyakan menu popular di gerainya ialah cendol kacang pulut durian.

"Menu ini digemari pelanggan terdiri daripada pelbagai peringkat umur, bangsa dan agama.

"Saya memang suka mencuba sesuatu yang baharu dan sebelum menjualnya, saya akan rasa dulu sama ada sedap ataupun tidak," katanya.

Sulaiman berharap, menu yang ada di gerainya itu mampu menarik pelanggan, bukan sahaja dari dalam, malah dari luar kawasan Simpang Renggam untuk mengunjungi gerainya.

Thursday, March 17, 2016

Kazakhstan Melihat Peluang Di Sebalik Krisis Global - Bernama

Oleh Rema Nambiar

ASTANA, 18 Mac (Bernama) -- Pada Ahad, rakyat Kazakhstan akan melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mengundi bagi memilih Anggota Parlimen keenam negara itu.

Walaupun parti Nur Otan yang dipimpin Presiden Nursultan Nazarbayev diramal menang dengan majoriti besar, keadaan sebenarnya tidaklah mudah bagi kerajaan yang memerintah untuk berhadapan dengan cabaran ekonomi dunia.

Walau apa jua bentuk cabaran yang timbul akibat kejatuhan harga minyak dan faktor luaran lain, negara Asia Tengah itu mengambil pelbagai langkah bagi mengurangkan kesan akibat kelembapan ekonomi dunia yang berterusan.

Ketidakstabilan yang berlaku dalam sektor-sektor pasaran dunia - kewangan, hidrokarbon, logam, makanan dan lain-lain - telah menyebabkan kerugian dalam eksport negara yang dilingkungi daratan itu.

Kazakhstan adalah negara pengeluar minyak kedua terbesar di wilayah bekas Kesatuan Soviet, selepas Rusia dan harga minyak semasa - yang merosot kepada US$38 hingg a US$40 setong daripada harga pra-2014 sebanyak US$100 dan US$125 setong - menjadi antara faktor penyumbang kepada kemerosotan ekonomi negara itu, yang hanya berkembang 1.2 peratus tahun lepas, berbanding dengan 4.1 peratus pada 2014.

Krisis seumpamanya bukanlah sesuatu yang asing bagi Kazakhstan. Sebagaimana dinyatakan dengan jelas oleh Nazarbayev dalam Perutusan Khas Negara pada November lalu, bahawa Kazakhstan sendiri dilahirkan "dalam tempoh krisis".

"Dekad pertama kemerdekaan kita adalah yang paling sukar. Ketika itu, kita hidup 'tanpa minyak'. Pengeluaran (terpaksa) dihentikan, ramai yang hilang pekerjaan dan mata pencarian. Perlahan-lahan, langkah demi langkah, kita mengatasi krisis berkenaan.

"Sebaik sahaja negara kita mula merasai nikmat perubahan pertama, krisis kewangan melanda Asia Tenggara pada 1997-1998," kata beliau.

Kazakhstan memperoleh kemerdekaan daripada Kesatuan Soviet pada 16 Dis 1991. Pada Ahad ini, negara itu mengadakan pilihan raya pa rlimennya yang keenam, walaupun tempoh penggal Mazhilis (setaraf Dewan Rakyat) hanya akan berakhir pada hujung tahun ini. Kerajaan, yang menerajui ekonomi terbesar di Asia Tengah itu, dilapor sebagai berkata bahawa pilihan raya awal itu perlu bagi menangani cabaran ekonomi baharu.

RANCANGAN ANTIKRISIS

Bagi kerajaan Nazarbayev, krisis global bukan saja mewujudkan risiko tetapi juga peluang-peluang baharu. Menyedari bahawa hampir semua negara yang berjaya dalam 50 tahun lalu bermula daripada keadaan sukar, kerajaan itu mengambil tindakan strategik, termasuk penswastaan besar-besaran dan memberi kebenaran kepada syarikat multinasional untuk beroperasi di negara itu.

Dekad pertama kemerdekaan juga menyaksikan pembinaan ibu negara baharu Kazakhstan, Astana. Syarikat Caspian Pipeline Consortium mula berfungsi dan - Strategi Kazakhstan 2030 - yang menggariskan visi presiden untuk masa depan negaranya - mula diterima pakai.

"Kepentingan membuat keputusan bagi mewujud kan Dana Negara (ditubuhkan pada tahun 2000 untuk melindungi ekonomi Kazakhstan terhadap pergerakan turun naik harga minyak, gas dan logam) menjadi jelas apabila krisis kewangan global 2007-2009 meletus.

"Hampir AS$20 bilion diperuntukkan untuk projek-projek yang diwujudkan bagi mengekalkan sektor guna tenaga, membaiki dan membina jalan raya, serta meningkatkan perkhidmatan awam di bandar-bandar dan kampung-kampung. Bantuan telah diterima oleh sektor perbankan, petani, perniagaan kecil dan sederhana.

"Kita membangunkan dan secara konsisten melaksanakan dua pelan antikrisis. Ia telah membantu kita mencapai kejayaan dalam mengatasi masalah ekonomi," kata Nazarbayev, yang memimpin kerajaan itu sejak 16 Nov, 1991.

Kemudian berlaku pula krisis global semasa yang menurutnya, "tiba-tiba jatuh di atas kepala kami. Saya berulang kali berkata bahawa gelombang baharu hampir tidak dapat dielakkan".

STRATEGI PROAKTIF

Kali ini, Kazakhstan bersedia untuk mengguna paka i strategi antikrisis proaktif, yang mana teras utamanya adalah pertumbuhan, pembaharuan dan pembangunan.

Pertumbuhan dan pembangunan negara itu disokong oleh rancangan lima tahun kedua pembangunan industri inovatif, yang akan membantu Kazakhstan untuk mewujudkan ekonomi yang tidak bergantung kepada eksport bahan-bahan mentah.

Birokrasi pentadbiran untuk perniagaan kecil dan sederhana dimansuhkan, tadbir urus semakin bertambah baik, begitu juga dengan pendidikan dan kesihatan. Dana keperluan negara dan rizab pertukaran asing juga sedang dikumpul.

"Semua langkah ini," kata Nazarbayev, "akan memberikan margin keselamatan kepada negara, masyarakat dan ekonomi Kazakhstan."

Atas arahan beliau, pelan tindakan berasaskan senario yang berbeza telah digubal dan Kazakhstan "sudah bersedia untuk menghadapi penurunan harga minyak walaupun kepada serendah US$30 atau US$20 dolar setong".

Dalam usaha mengubah pengurusan kerajaan dan korporat, serta sektor kewangan dan fiskal, Kazakhstan melaksanakan lima pembaharuan institusi melalui "100 langkah-langkah konkrit", yang diumumkan Nazarbayev pada Mei 2015.

Lebih daripada 80 undang-undang baharu digubal tahun ini bagi melancarkan pelaksanaan pembaharuan, yang akan meliputi perkhidmatan awam; peraturan perundangan; industri dan ekonomi; perpaduan; dan ketelusan serta akauntabiliti kerajaan.

Satu suruhanjaya pemodenan negara, yang diterajui oleh presiden, ditubuhkan untuk melaksanakan pembaharuan.

(Bahagian 2: Kazakhstan akan melaksanakan perubahan penstrukturan untuk menangani kelembapan ekonomi.)

-- BERNAMA

Wednesday, March 16, 2016

Sasar senarai Seed College ke Bursa Malaysia - Harian Metro

Kuala Lumpur: Richworks International Sdn Bhd (Richworks) syarikat pembimbing kejayaan menyasarkan untuk menyenaraikan dua cabang perniagaannya dalam segmen pendidikan dan hartanah di Bursa Malaysia menjelang 2020.

Kedua-dua segmen perniagaan itu yang dilihat berpotensi tinggi untuk menjana pendapatan syarikatnya untuk jangka masa panjang berbanding segmen perniagaan bimbingan yang kini mendominasi sumbangan perolehannya setiap tahun pada kadar lebih 30 peratus.

Pengerusi Eksekutifnya, Dr Azizan Osman berkata, kolej berkenaan yang akan dinamakan Seed College dijangka dilancarkan pada April ini dengan kadar kemasukan permulaan 2,000 pelajar.

Beliau berkata, kolej berkenaan dianggarkan mempunyai nilai pelaburan melebihi RM6 juta ketika ini dan dijangkakan nilai asetnya pada 2020 mencecah RM200 juta menjadikannya sesuai untuk disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun berkenaan.

"Seed College yang menawarkan bidang pengajian yang khusus dalam bidang keusahawanan dijangka dapat menarik minat ramai golongan muda terutama pelajar lepasan sekolah menengah untuk menyertainya.

"Kami meletakkan sasaran antara 10,000 dan 15,000 pelajar akan menyertai kolej ini dengan fasa pertama iaitu bagi dua tahun pertama pembukaannya disasarkan kepada pelajar tempatan," katanya pada majlis pelancaran Buku Mudahnya Berniaga yang ditulisnya di sini, semalam.

Dalam majlis itu, Azizan melancarkan Klinik Usahawan Dr Azizan Osman: Mudahnya Berniaga yang akan diadakan di 11 lokasi antaranya Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru bermula 2 April ini hingga 15 Mei depan.

Azizan berkata, buku berkenaan boleh didapati di semua Kedai Buku MPH bermula semalam dengan harga RM45.90 senaskah dan sebanyak 3,000 diterbitkan ketika ini.

"Dalam keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini dan telah mengakibatkan isu pembuangan kerja mencetuskan idea kami untuk menerbitkan buku dan mengadakan bengkel bagi membantu orang ramai terus menceburi bidang perniagaan dan mencari wang lebih," katanya.

Tuesday, March 15, 2016

Malaysia Business Award iktiraf usahawan - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 15 Mac - Penganjuran Malaysia Business Award kali keenam oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur (DPMMKL) adalah suatu komitmen bagi mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada syarikat dan usahawan yang memberi sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi negara.

Presiden DPMMKL, Datuk Dr. Sharifuddin Musa berkata, anugerah tersebut yang bakal diadakan pada 26 Mac ini di Vivatel Kuala Lumpur menggalakkan kesungguhan para usahawan terus kekal berdaya saing bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di peringkat global.

Katanya, beberapa kategori dipertandingkan dan dibahagikan mengikut peringkat, antaranya usahawan terkemuka, baharu dan yang sedang meningkat naik.

"Selain itu kategori penerbitan terbaik 2016 turut dipertandingkan bagi mengiktiraf kejayaan syarikat penerbitan di Malaysia.

"Anugerah ini juga berperanan menarik dan memotivasikan usahawan baharu untuk terus berusaha mengembangkan perniagaan masing-masing ke peringkat yang lebih tinggi," ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Festival Fesyen DPMMKL Malaysia 2016, Roslinda Abd. Rahman dan Pengerusi Antarabangsa DPMMKL, Hashim Salleh.

Sementara itu Roslinda berkata, bersempena penganjuran anugerah tersebut, DPMMKL turut mengadakan Festival Fesyen DPMMKL Malaysia 2016.

Festival sehari yang bermula jam 10.30 pagi hingga 6 petang itu akan disertai pelbagai acara antaranya pameran fesyen, pemilihan 'Mr & Miss KLMCC' dan pertandingan 'Designer of Designer KLMCC 2016' serta penganugerahan Selebriti ICON KLMCC.

"Festival ini adalah bagi memberi peluang kepada pereka-pereka baharu di Malaysia untuk mengembangkan bakat rekaan fesyen mereka melalui platform yang disediakan DPMMKL," katanya.

Monday, March 14, 2016

BNM, Bank Of Thailand Wujudkan Kerjasama Mata Wang - Bernama

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank of Thailand (BoT) hari ini mengumumkan pelaksanaan rangka kerja penyelesaian mata wang tempatan bagi mempromosi penggunaan ringgit dan baht dalam penyelesaian perdagangan dua hala di antara kedua-dua negara.

Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, pelaksanaan itu merupakan satu lagi contoh kerjasama rapat untuk mengukuhkan integrasi ekonomi dan kewangan dalam ASEAN.

"Kedua-dua bank pusat itu memulakan inisiatif berkenaan dengan memeterai perjanjian dua hala perintis pada Ogos 2015 mengenai penggunaan mata wang tempatan kita untuk penyelesaian perdagangan.

"Ini menandakan pengaturan pertama di antara mata wang ASEAN yang kami berharap akan menggalak lebih banyak penyertaan di kalangan negara anggota tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas pengumuman pelaksanaan rangka kerja itu di sini, hari ini.

Zeti berkata, wujud pertumbuhan perdagangan yang pesat di antara Thailand dan Ma laysia dalam tempoh 15 tahun lepas.

Perdagangan dua hala meningkat setinggi RM86.2 bilion pada 2015 manakala pelaburan dua hala melonjak dalam tempoh 12 tahun lepas kepada RM1.4 bilion, katanya.

"Bagaimanapun hanya sembilan peratus dan dua peratus daripada perdagangan dua hala kita diselesaikan dalam baht dan ringgit.

"Ini menunjukkan potensi besar dalam penggunan mata wang tempatan kita untuk menyokong perdagangan dan pelaburan bukan sahaja di antara kedua-dua negara tetapi juga di rantau ini," kata Zeti.

Menurutnya, kerjasama itu akan menghasilkan kejayaan penting untuk kedua-dua ekonomi dengan kos menjalankan perniagaan lebih rendah berikutan kos pertukaran asing serta risiko berkaitan penggunaan mata wang ketiga (dolar US) yang lebih rendah.

Pada masa sama, katanya, pasaran kewangan akan juga mengukuh kerana permintaan mata wang tempatan, akan merangsang inovasi kewangan dengan limpahan positif untuk pembangunan pasaran kewangan serantau dalam jangk a sederhana.

"Kerjasama mata wang antara kedua-dua negara tepat pada masanya kerana dalam persekitaran di mana mata wang rizab antarabangsa lebih tidak menentu, kami menjangka hubungan yang lebih stabil di antara kedua-dua mata wang.

"Oleh itu, terdapat ketidaktentuan tinggi kepada mereka yang terlibat dalam perdagangan dan mereka yang mempunyai aktiviti pelaburan rentas sempadan," katanya.

Zeti berkata, dalam rangka kerja ini, tiga bank daripada setiap negara ditugaskan sebagai peniaga pasaran mata wang bersilang.

"Mereka akan diberikan kefleksibelan di bawah peraturan pertukaran asing kedua-dua negara yang membolehkan mereka menawar pelbagai perkhidmatan kewangan bagi menggalak penggunaan mata wang tempatan dalam penyelesaian perdagangan," katanya.

Di Malaysia, bank terlibat ialah Bangkok Bank Bhd, CIMB Bank Bhd dan Malayan Banking Bhd manakala di Thailand ialah Bangkok Bank plc, CIMB Thai Bank plc dan Kasikornbank plc.

"Sebaik sahaja pasaran be roperasi sepenuhnya, lebih banyak entiti di kedua-dua negara akan mendapat insentif untuk menggunakan mata wang tempatan, berikutan pengaturan pasaran yang lebih cekap," katanya.

-- BERNAMA

Sunday, March 13, 2016

Anugerah Utusan iktiraf usahawan - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 13 Mac - Penganugerahan Utusan Business Awards 2015 mampu mengangkat usahawan-usahawan bumiputera di tahap terbaik sebaris dengan tokoh-tokoh korporat terkemuka negara dan di peringkat global.

Ketua Pegawai Eksekutif Masterplan Consulting Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Faris Abdul Halim berkata, bukan mudah untuk mendapat pengiktirafan daripada panel penilai melainkan jika sesebuah organisasi atau usahawan yang diiktiraf itu benar-benar layak yang dilihat mampu memberi sumbangan kepada ekonomi negara.

Walau bagaimanapun, katanya, setiap anugerah yang diterima itu bukan untuk mendabik dada, tetapi sebagai batu loncatan untuk lebih maju dan sukses pada masa depan sekali gus mengukir nama di persada antarabangsa.

"Kami amat berterima kasih kepada Kumpulan Utusan yang menilai kebolehan kami yang merupakan sebuah syarikat bumiputera yang pesat membangun secara agresif, kreatif dan berkebolehan tinggi dalam bidang solusi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang ditubuhkan sejak tahun 1995.

"Kami telah dikenali dengan reputasi yang cemerlang dalam merancang dan mewujudkan solusi perniagaan untuk pelbagai sektor awam dan swasta di rantau ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Pada majlis Utusan Business Awards 2015 yang dianjurkan buat julung kalinya pada 1 Mac lalu, Ahmad Faris menerima Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif Berwawasan Terbaik daripada 31 anugerah yang diperkenalkan untuk mengiktiraf penggiat industri korporat tempatan.

Ahmad Faris berkata, kejayaan yang diterima bukan untuk dirinya seorang, tetapi hasil kerjasama berpasukan yang turut diterajui dan disokong oleh isteri beliau yang juga Pengarah syarikat itu, Datin Raja Azlina Raja Abdul Jalil.

Beliau berkata, tahun 2004 telah membuka tirai kejayaan syarikatnya apabila buat julung kali diiktiraf sebagai pembekal sistem keselamatan dan pertahanan yang aktif dengan memiliki kekuatan lebih 200 tenaga kerja berdedikasi yang bukan sahaja menyumbang secara aktif ke arah pertumbuhan perniagaan tetapi memperkasakan budaya dan nilai-nilai murni dalam syarikat.

Selain itu, katanya, organisasinya juga menerapkan hubungan bekerjasama yang baik dengan rakan kongsi kerana meyakini bahawa perkongsian jangka panjang akan memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

"Sesebuah perkongsian yang stabil bukan sahaja membawa kelebihan bersama, tetapi ia memberikan intipati pulangan yang lebih besar bagi pengguna produk dan perkhidmatan kami.

"Kejayaan syarikat adalah kerana kemampuan syarikat dari segi teknikal dan menyiapkan kerja-kerja dalam tempoh masa yang ditetapkan pada kos yang berpatutan. Kami berpegang kepada prinsip bahawa asas kejayaan adalah komitmen dalam memberikan hasil yang paling komprehensif dan tepat pada masa untuk pelanggan kami," katanya.

Saturday, March 12, 2016

Cabaran seorang seniman muda - Utusan Malaysia

Apabila ianya dilaung lantang, bermulalah satu dimensi lain yang tercipta hasil nukilan dalam sebuah skrip, diterjemah ke dunia yang hanya sesetengah orang mampu memahami, iaitu filem.

Pengarah mempunyai peranan besar dalam sesebuah pembikinan filem. Diibaratkan seperti nakhoda yang bertanggungjawab membawa sesebuah kapal pelayaran menyusuri lautan luas. Ke mana hala tuju diarahkan, ke situlah kapal terus belayar.

Individu-individu yang memegang gelaran ini adalah mereka yang mencorak, menghidupkan dan menyusun setiap babak untuk menghasilkan sebuah cerita lengkap yang tertulis di dalam skrip.

Amat penting kehadiran seseorang pengarah di lokasi, kerana mereka menjadi antara faktor, penentu kejayaan sesebuah filem di layar perak. Pendek kata, tiada pengarah, tiadalah filem.

Pendek kata juga, tiada lama tiada baharu. Namun yang baharu itu penyambung untuk kelangsungan di masa mendatang. Begitu juga dalam dunia pengarahan filem, ada pengarah lama, ada juga pengarah baharu. Dan pengarah baharu itulah penentu masa hadapan industri filem tempatan.

Bergelar pengarah pada usia muda pasti banyak kisah boleh diceritakan. Apatah lagi dalam industri yang sukar dijangka hala tujunya, seperti roda berputar. Kadang di atas kadang di bawah.

Tidak boleh dinafikan, lapangan perfileman tempatan banyak melahirkan pengarah-pengarah muda yang cukup kreatif dalam membentang hasil karya mereka di layar perak. Namun, ramai antara mereka yang bergelut dengan pelbagai cabaran, menarik tumpuan masyarakat demi sedikit apresiasi terhadap kerja-kerja mereka.

Penulis kali ini berkongsi cerita, tentang figura di sebalik pembikinan filem. Tiga nama besar penulis kumpulkan dan ketengahkan untuk berkongsi pengalaman mereka dalam membawa panggilan Mr. Director. – AL FAIZAL/ MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

MUNGKIN Syafiq Yusof, atau nama sebenar Muhamad Syafiq Md. Yusof, 24, tidak sepopular ayah dan abangnya. Namun anak kepada pelakon dan pengarah veteran, Datuk Yusof Haslam ini dilihat semakin menyinar sebagai pelapis muda dalam dunia pengarahan filem tempatan.

Penglibatan secara mainstream selama empat tahun dalam bidang itu mematangkan Syafiq. Walau masih mentah, anak muda ini boleh dikatakan miliki pengalaman luas hasil pengarahan dalam beberapa filem 'box office' seperti Saya Amat Mencintaimu (SAM) pada 2012, Abang Long Fadil (2014), Villa Nabila (2015) dan terbaharu, Mat Moto yang ditayangkan pada tahun ini.

Pertama kali mengarah ketika berumur 18 tahun, Syafiq mengakui agak kekok dan sedikit gentar. Katanya, perasaan itu bertambah apabila bekerja dengan kakitangan produksi yang dikenali sekian lama.

"Sewaktu kecil, saya sering ikut ayah dan abang ke lokasi. Dari situ, minat untuk membikin filem mula timbul. Saya cuba ceduk ilmu dengan pengamatan ketika mereka berdua menjalankan tugas.

"Saya kenal rapat dengan orang-orang yang bekerja dengan mereka. Tidak dinafikan, ketika pertama kali bekerjasama, perasaan kekok itu hadir," katanya kepada .com.

Syafiq menjelaskan dia tidak mahu diklasifikasikan sebagai sutradara yang sinonim dengan satu-satu genre sahaja. Katanya, sebagai peneraju dalam proses pembikinan sesuatu filem, dia harus lebih terbuka dalam meneroka genre yang lebih pelbagai.

"Filem berkualiti dihasilkan untuk kepuasan penonton. Saya meletakkan genre pilihan sebagai satu perkara subjektif dan berdasarkan permintaan ramai. Bagi saya, kejayaan sesebuah filem tertakluk pada jumlah kutipannya," tambahnya.

Syafiq mengakui memegang gelaran pengarah pada era perkembangan dunia filem pada masa kini banyak berdepan cabaran.

"Cabaran paling besar apabila membikin filem dengan peruntukan rendah. Saya tidak menolak hakikat dana memainkan peranan dalam menghasilkan filem berkualiti. Ini kerana, jika peruntukan itu mencukupi, ia dapat meluas potensi penghasilan filem yang bagus.

"Oleh itu, adalah satu cabaran untuk mengekalkan kualiti dengan peruntukan rendah. Jika mahu membikin filem, biarlah ia setara dengan standard kualiti terbaik," ujarnya.

BERMULA dalam lapangan pembikinan filem indie, Razaisyam Rashid, 30, boleh disenaraikan dalam kalangan pengarah muda yang cukup prolifik. Penyertaan dalam program televisyen, Nescafe Kick Start pada 2007 menjadi titik permulaan dalam kariernya sebagai pengarah filem.

Sebagai sutradara yang sudah sembilan tahun aktif mengarah, Razaisyam mengakui amat bertuah kerana permulaan itu banyak mengajarnya selok belok industri berkaitan.

Katanya, banyak cabaran ditempuh sewaktu mengalami fasa transisi ke arena arus perdana.

"Boleh dikatakan perjalanan karier seorang pembikin filem itu bukan mudah. Saya pernah tempuhi pelbagai kesukaran termasuk terpaksa berlapar dan hidup susah ketika mula-mula bergiat dalam pengarahan. Bayaran diterima untuk mengarah filem indie tidak seberapa jika dibandingkan dengan filem komersial.

"Namun, apabila karya-karya semakin dikenali, saat itulah paling menyeronokkan," katanya.

Disoal tentang perbezaan ketara mengarah filem indie berbanding komersial, Razaisyam memberitahu banyak boleh dikongsi khususnya daripada sudut cara kerja.

"Dalam filem indie, kakitangan produksi tidak ramai berbanding arus perdana yang melibatkan sekurang-kurangnya 50 tenaga kerja. Pada masa yang sama, tarikh untuk menyiapkan filem indie juga lebih fleksibel," katanya lagi.

Apabila disoal tentang identiti pengarahan, Sutradara bagi filem CEO ini memberitahu, seperti pengarah-pengarah lain ingin tampil dan dikenali dengan kelainan dan keunikan tersendiri.

"Bila bercakap soal identiti, saya boleh kategorikan setiap penceritaan yang saya tampilkan lebih membawa konsep persaudaraan. Ini boleh disaksikan menerusi filem indie pertama, My Indie Rock Darling yang diterbitkan pada 2007.

"Saya anak tunggal dan banyak berkongsi kehidupan dengan rakan-rakan. Mungkin kerana itu, saya cukup menghargai konsep persaudaraan sehingga membawakannya ke dalam filem," ujarnya.

BEBERAPA tahun lalu, filem KIL pernah menjadi satu fenomena, bukan sahaja meraih kutipan memberangsangkan di pawagam, malah turut memenangi banyak anugerah dalam dan luar negara.

Pengarahnya, Nik Amir Mustapha, 30, antara individu yang paling terkesan atas kejayaan filem itu. Kejayaan dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik dalam beberapa acara anugerah perfileman berprestij seperti Festival Filem Malaysia ke-26 dan Anugerah Skrin 2013 sudah mampu meletakkan pengarah muda ini sebaris dengan nama-nama besar dalam bidang yang sama.

Nik memberitahu, minatnya dalam filem bermula sejak kecil. Katanya pada ketika itu, beliau cenderung terhadap pembacaan komik-komik anime yang dirasakan mempunyai penceritaan menarik dan kreatif.

"Saya seorang yang suka bercerita. Ini mungkin sekali didorong oleh pembacaan komik-komik yang sarat dengan ilustrasi dan latar masa. Bagi saya itu adalah satu penceritaan lengkap," katanya.

Nik memberitahu, dalam bidang pengarahan, apa yang membezakan sutradara adalah cita rasa masing-masing. Baginya, dia meletakkan cita rasa dalam berkarya berdasarkan pengalaman semasa.

"Kalau berbicara tentang gaya dan identiti, saya belum pasti dan masih tercari-cari. Ia sesuatu yang sukar dijelaskan kerana berubah mengikut masa dan seberapa banyak pengalaman dalam kerjaya," ujarnya.

Seperti pengarah lain, Nik tidak menafikan karier sebagai pengarah muda adalah satu jalan sukar dan penuh pancaroba. Katanya, tambahan pula industri tempatan masih dalam fasa membangun dan pasti memberi kesan kepada sesiapa sahaja yang bergiat secara aktif di dalamnya.

"Industri perfileman tempatan masih belum sampai ke tahap di mana filem sebagai satu keagungan dan dipelihara sebaik mungkin. Pasaran kita juga kecil. Tambahan pula menerima persaingan luar.

"Semua pemain dalam industri ini perlu meletakkan kesungguhan dalam kerja mereka. Apa yang penting adalah meraih kembali keyakinan penonton kita terhadap produk tempatan," jelasnya.

Friday, March 11, 2016

Pengurusan Risiko Perusahaan Perlu Dalam Mengurus Perniagaan, Kata Pakar - Bernama

Oleh Rema Nambiar dan Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Enam belas tahun lalu, apabila kerajaan mengemukakan permintaan agar pakar pengurusan risiko Dr Bharathan Muniandy mewujudkan program berstruktur bagi pengajian pengurusan risiko perusahaan, beliau berasa amat gembira dengan peluang itu dan mencadangkan nama untuk institusi berkenaan - International College for Business Defence.

"Saya rasa nama itu amat sesuai memandangkan pengurusan risiko adalah berkaitan pelbagai aspek perlindungan perniagaan daripada 'serangan-serangan' dalaman dan luaran tetapi pihak berkuasa berpendapat sebaliknya," kata beliau sambil ketawa kecil.

Institusi itu, akhirnya dinamakan Putra Intelek International College (PIIC).

Kolej tersebut bermula dengan hanya menawarkan satu kursus pada tahun 2000, iaitu Diploma Pengurusan Risiko sepertimana permintaan kerajaan. Setelah beberapa tahun, ia semakin berkembang dan menawarkan kursus-kursus lain, yang dijalankan di kampusnya di Bandar Puteri di Puchong, Selangor.

"Kami diminta untuk mewujudkan pendidikan berstruktur bagi pengurusan risiko kerana kerajaan sedar akan keperluannya berikutan pertumbuhan pesat aktiviti-aktiviti perniagaan dan perdagangan di negara ini, serta evolusi pelbagai kerumitan berkaitan risiko," kata Barathan, yang memiliki PhD dalam pengurusan risiko, dan merupakan Ketua Pegawai Eksekutif PIIC, kepada Bernama dalam satu temu bual di sini baru-baru ini.

Memandangkan pengurusan risiko secara umumnya ditakrifkan sebagai "meramal dan menilai risiko kewangan untuk mengelakkan atau mengurangkan kesannya", pemilik perniagaan cenderung memberi tumpuan untuk mengurangkan risiko kewangan dalam strategi pengurusan risiko mereka.

Tetapi, Barathan menegaskan bahawa walaupun risiko kewangan digambarkan sebagai isu paling besar dalam mana-mana organisasi, kebanyakan syarikat yang kerugian besar sekarang bukanlah berpunca daripada salah urus kewangan atau penipuan, sebaliknya "kep utusan yang dibuat oleh pihak pengurusan kanan".

"Kira-kira 85 peratus kegagalan syarikat adalah disebabkan keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan kanan, hanya 15 peratus disebabkan salah urus kewangan," dakwa beliau.

PENGURUSAN RISIKO PERUSAHAAN

Barathan, yang menjadi perunding pengurusan risiko sejak 26 tahun lalu berkata, apabila seorang mengikuti pengajian pengurusan perniagaan, dia hanya belajar mengenai cara menjalankan dan mentadbir perniagaan. Ia berbeza dengan bidang pengurusan risiko yang lebih luas.

"Apabila anda belajar pengurusan perniagaan, mereka akan memberitahu anda apa yang sepatutnya anda lakukan tetapi dalam pengurusan risiko anda diajar apa yang sepatutnya dilakukan, apa yang tidak sepatutnya dilakukan; dan bagaimana melakukannya."

"Ketiga-tiga aspek ini digabungkan dan menjadi pengurusan risiko perusahaan (ERM)...ini bermakna (mengurus risiko) di keseluruhan organisasi perniagaan," jelas beliau.

Dunia hari ini, katanya, memberikan tumpuan kepada bidang pengurusan perniagaan yang beliau percaya lambat-laun akan diambil alih oleh pengurusan risiko yang kini semakin mendapat perhatian meluas.

Barathan, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Handal Group - yang menyediakan inisiatif ERM dan khidmat perundingan dan pengurangan risiko, berkata antara lain - syarikat-syarikat masa kini dikehendaki untuk beroperasi dengan keberkesanan kos, berhemah dan berfikir ke arah tanggungjawab sosial, dengan itu "pelaburan perniagaan adalah lebih berisiko daripada semua perspektif berbanding masa lampau, dan ia perlu ditangani dengan bersungguh-sungguh".

Apabila entiti perniagaan semakin bimbang mengenai usaha-usaha mengekalkan pertumbuhan dan untuk berjaya mengharungi iklim perniagaan yang sangat kompetitif, beliau membuat kesimpulan bahawa strategi ke arah kejayaan kepada mereka bukan sahaja memerlukan dinamisme operasi tetapi juga kemampuan untuk menilai dan mengurangkan risiko.

"Syarikat-syarikat har i ini harus menerima satu strategi baharu dan hendaklah mampu belajar untuk mengurus apa yang mereka tidak tahu," kata beliau sambil menambah kata bahawa di situlah perlunya kepakaran pengurusan risiko.

EMPAT UNSUR UTAMA

Menurut Barathan, pengurusan risiko meliputi empat elemen, iaitu strategik, operasi, risiko kewangan dan pematuhan.

"Risiko strategik adalah mengenai pengurusan peringkat atasan dan strategi mereka serta keputusan yang mereka buat. Kedudukan sesebuah syarikat perniagaan dan setiap kejayaan serta peluangnya pasti akan berhadapan pelbagai risiko," kata beliau.

Menurutnya risiko lain turut merangkumi keseluruhan operasi, dan perkara-perkara berkaitan kewangan dan pematuhan.

Dengan melindungi empat bidang utama, syarikat-syarikat boleh memanfaatkan spektrum lengkap pengurusan risiko perusahaan, katanya.

Menegaskan betapa pentingnya untuk mengenal pasti risiko dan perkara-perkara berkaitan risiko, Barathan berkata para pembuat keputusa n perlu memahami pelbagai risiko dalam menjalankan syarikat.

"Kejayaan perniagaan hari ini terletak pada kemampuan untuk mengenal pasti pemacu utama risiko dan langkah-langkah cekap mengurangkan risiko. Terdapat keperluan untuk memaksimumkan kawalan risiko dan potensi ketidaktentuan yang mungkin membawa kepada kerugian kewangan atau jenama," tambah beliau.

-- BERNAMA

Thursday, March 10, 2016

Utusan Online berwibawa, diyakini - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 10 Mac – Berwibawa dan diyakini menjadi antara kriteria utama Utusan Online dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Media Sosial pada Malam Gala Anugerah Minggu Media Sosial Malaysia (MSMW) 2016.

Gamal Nasir Mohd. Ali

Gamal Nasir Mohd. Ali

Pengarang Kanan Media Baharu Utusan Malaysia, Gamal Nasir Mohd. Ali berkata, hasil maklum balas, Utusan Online juga dilihat menjadi sumber maklumat yang boleh dipercayai dan diyakini dalam menyediakan laporan berita secara efisien dan tepat dalam masa sebenar.

"Kriteria lain ialah Utusan Online merupakan sumber aktif menyediakan laporan melalui laman media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram.

"Kejayaan itu merupakan berkat usaha pihak pengurusan dalam memperkembangkan saluran perniagaan, sekali gus memperluaskan platform penyebaran berita Utusan Malaysia dalam dunia tanpa sempadan masa kini," katanya di sini hari ini.

Jelasnya, pengembangan Utusan Online amat penting dan kritikal bagi memastikan Utusan Malaysia terus kekal relevan dan mampu bersaing dalam pasaran media baharu.

"Anugerah ini akan menjadikan pendorong bagi memastikan Utusan Online terus menghasilkan laporan berkualiti, tepat dan diyakini bagi segmen media baharu," ujarnya.

Anugerah Kecemerlangan Media Sosial itu merupakan salah satu daripada 20 kategori yang ditawarkan dalam Malam Gala Anugerah MSMW 2016 semalam.

MSMW 2016 adalah acara yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Pendidikan bertujuan menghargai sumbangan serta hasil kerja sektor korporat dan penulis blog kepada masyarakat melalui penggunaan media sosial.

Wednesday, March 9, 2016

Kehebatan strategi perisikan Jepun - Utusan Malaysia

ENAM bulan sebelum perang tercetus di Tanah Melayu, Kota Bharu, Kelantan dibanjiri dengan kehadiran ramai warga Jepun. Mereka melakukan pelbagai aktiviti perniagaan seperti membuka kedai gambar, menjaja barangan keperluan harian, menjual pinggan mangkuk, kedai runcit malah membuka kedai kopi.

Kerancakan warga Jepun menjalankan perniagaan di Kota Bharu yang turut menjual barangan pada harga yang begitu murah disukai penduduk tempatan.

Malah, sejak tahun 1930-an lagi, kedatangan warga Jepun bukan sahaja tertumpu di Kelantan tetapi juga hampir seluruh bandar utama serta pekan kecil di Tanah Melayu. Mereka menjalankan pelbagai perniagaan termasuk membuka ladang dan lombong melalui syarikat berskala besar yang melabur di sini.

Nama-nama warga Jepun seperti Tani Yutaka yang digelar Harimau Malaya oleh penduduk tempatan di Kuala Terengganu, Ohira, Matsunaga, Tok Kerepek dan Ayah Kawa yang dipanggil penduduk tempatan terhadap dua warga Jepun di Kota Bharu, Kelantan menunjukkan bagaimana kemasukan mereka diterima oleh masyarakat setempat pada peringkat awal.

Mengapa keadaan ini berlaku? Apakah kaitan kemasukan beramai-ramai warga Jepun ini dengan kejayaan tentera Jepun mengalahkan pihak British sekali gus menawan Tanah Melayu dalam masa kira-kira 70 hari sahaja?

Sebenarnya, sebahagian besar faktor kejayaan tentera Jepun itu berkait rapat dengan aspek perisikan yang berjaya berfungsi membekalkan maklumat lengkap kepada pihak Jepun untuk menawan Tanah Melayu, sekali gus menakluk Singapura pada 1942 dengan mudah sekali.

Selain kegagalan pihak British mengatur strategi taktikal berkesan dan sering memandang rendah kepada pihak musuh, gerakan perisikan atau Kosaku Jepun yang teliti dan efisien di Tanah Melayu bertahun-tahun sebelum 1941 menyebabkan ketumbukan tentera Jepun yang dipimpin oleh ketua-ketua berkaliber dapat menakluk Tanah Melayu dan Singapura tanpa banyak masalah.

Semangat patriotik dan cintakan negara juga mendorong perisik-perisik Jepun yang dihantar ke Tanah Melayu melaksanakan tugas pengintipan dan penyamaran mereka dengan baik sekali.

Prinsip kenali musuh peperangan melalui pengintipan seperti ditekankan dalam karya Sun Tzu, Art of War mendorong pihak Jepun meletakkan aspek perisikan sebagai perkara utama dalam strategi kemenangan menentang musuh.

Walaupun pendudukan tentera Jepun hanya berlaku tiga tahun di Tanah Melayu, namun aspek perisikan yang dilaksanakan sehingga membawa kepada kejayaan negara matahari terbit itu benar-benar meninggalkan kesan mendalam serta memalukan pihak British.

Ikuti pendedahan wartawan S2, FAIZAH IZZANI ZAKARIA yang menjejaki semula pergerakan perisikan tentera Jepun serta siapakah ejen-ejen pengintipan mereka yang beroperasi di Tanah Melayu sebelum 1941 termasuk tinggalan-tinggalan sejarah oleh mereka di negara ini suatu ketika dahulu.

Tuesday, March 8, 2016

Militan IS rancang culik PM - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 8 Mac – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendedahkan rangkaian anggota kumpulan militan Negara Islam (IS) di negara ini telah merancang empat plot serangan antara September 2014 hingga Mei 2015 yang turut membabitkan penculikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, selain Najib, antara pe­mimpin yang menjadi sasaran penculikan kumpulan itu ialah beliau sendiri dan juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri memberitahu, kecekapan pasukan keselamatan negara menerusi hasil risikan dan pertukaran maklumat dengan pelbagai negara telah berjaya menghalang 'hasrat' kumpulan militan berkenaan.

"Pada 30 Januari 2015, seba­nyak 13 anggota kumpulan militan IS telah merancang untuk menculik pemimpin negara termasuklah Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan.

"Mereka juga merancang untuk mencuri senjata di sebuah kem di Kedah dan merompak van syarikat keselamatan yang membawa wang tunai dari Genting Highlands sebagai dana bagi melancarkan jihad di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) mengenai kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggagalkan plot rancangan serangan pengganas IS di negara ini dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pada September 2014, IS merancang untuk menguji bahan letupan buatan sendiri dan menye­rang beberapa lokasi di Kedah antaranya masjid syiah dan tokong Cina.

Katanya, pada April 2015 pula, sebanyak 11 anggota kumpulan militan IS merancang untuk meletupkan Putrajaya serta memusnahkan pusat hiburan, perjudian serta maksiat di ibu negara dengan satu persiapan dan uji kaji letupan bom telah dilakukan.

"Pada Mei 2015, kumpulan militan ini merancang untuk mengebom bangunan Freemason at Oug di Bukit Jalil.

"Setakat ini, sebanyak 160 individu meliputi 15 anggota tentera, 12 pelajar, seorang polis lapangan terbang, kakitangan Jabatan Perangkaan, juru x-ray, kakitangan Jabatan Perkhidmatan Pembentungan dan 129 lain-lain kerjaya telah ditahan kerana terlibat dengan kumpulan militan ini," jelas beliau.

Menurut Ahmad Zahid, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri dan PDRM telah mengambil beberapa langkah secara berte­rusan termasuklah perkongsian maklumat dengan agensi risikan luar negara khususnya ASEAN.

Katanya, menerusi langkah itu, PDRM telah membuat pemantauan rapi dan menjejaki individu yang disyaki serta terlibat dengan kumpulan tersebut.

"Nama mereka yang disyaki hasil perkongsian maklumat ini dipanjangkan kepada Jabatan Imigresen untuk senarai hitam dan dimasukkan dalam senarai syak bertujuan menyekat pergerakan mereka di semua pintu masuk dan keluar imigresen seluruh negara.

"Kerajaan juga sedang berusaha melaksanakan sistem saringan pemeriksaan penumpang (APSS) yang merupakan saringan awal kepada pelancongan untuk masuk ke negara ini sebelum berlepas dari negara asal.

"Pihak berkuasa juga telah mendapat kerjasama daripada Su­ruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memantau media sosial yang men­jadi medium komunikasi go­longan muda yang terlibat atau disyaki terlibat," ujarnya.

Monday, March 7, 2016

Ada KKTM selepas SPM - Sinarharian

SETIAP kali keputusan peperiksaan keluar, tidak kira peringkat rendah seperti UPSR mahupun menengah seperti PMR, SPM dan STPM, soalan pertama yang akan muncul adalah berapa A yang dapat?

Sejak sekian lama, bilangan A menjadi penanda aras kejayaan pelajar tersebut. Makin kurang bilangannya, makin kuranglah peluang untuk berjaya, kononnya.

Jumlah calon SPM yang mendapat semua A pada tahun 2015 adalah seramai 9,721 daripada keseluruhan 440,682 calon, menurun sedikit berbanding 11,289 dari 455,839 calon pada 2014. Kepada semua lepasan SPM, banyak A bukan lambang puncak kejayaan dan kurang A pula bukan penamat kehidupan. Kehidupan baru bermula dan perjalanan masih jauh untuk ditempuhi.

Penulis teringat kisah drebar yang menjadi jutawan yang diceritakan oleh Muhamad Mat Yakim dalam kolumnya pada akhir tahun lepas. Kisah Samad Kinto yang gagal Bahasa Inggeris dan Matematik dalam peperiksaan SPM dan pernah bekerja sebagai pembantu kantin, pengangkat sampah, pemotong rumput, buruh binaan dan akhirnya sebagai pemandu kepada pengarah syarikat.

Beliau akhirnya menjadi jutawan selepas tujuh tahun berhenti kerja sebagai drebar. Beliau menceburkan diri dalam perniagaan membeli, membaiki dan menjual semula telefon bimbit; satu perniagaan yang diperkenalkan oleh Uncle Lim kepada beliau. Bagi beliau, tiada apa yang mustahil. Beliau telah berusaha untuk berubah daripada seorang kuli kepada seorang tauke.

Begitu juga kisah Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary. Mengikut laporan Bernama pada 4 Mac 2016, Syed Mokhtar ialah orang kesembilan terkaya di Malaysia dengan aset bernilai AS$1.45 bilion. Beliau datang daripaada keluarga susah dan sejak kecil lagi membantu ibunya menanam sayur-sayuran bagi menampung pendapatan keluarga. Berbekalkan SPM, beliau mula berniaga sejak berumur 19 tahun dan kini merupakan orang Melayu terkaya di Malaysia.

Tan Sri Syed Mokhtar memulakan perniagaan pengangkutan pada tahun 1972 dengan bantuan pinjaman Majlis Amanah Raya (Mara) untuk membeli dua buah lori. Selepas tiga tahun menjalankan perniagaan pengangkutan, beliau berjaya melangsaikan semua pinjamannya dan bisnes beliau terus berkembang hingga kini.

Untuk mereka yang kurang menyerlah dalam peperiksaan SPM, usah berduka. Sekiranya tidak mendapat tempat di universiti, ada institusi-institusi lain seperti kolej dan politeknik. Cuma perlu ada minat dan kehendak untuk belajar demi masa depan. Sekiranya lulus dengan kepujian dalam mata pelajaran Matematik dan mana-mana dua subjek daripada kumpulan Sains atau vokasional serta lulus Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah, anda boleh menyambung ke peringkat diploma di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), sebagai contoh.

KKTM Balik Pulau di Pulau Pinang, misalnya, adalah satu dari 10 KKTM di seluruh Malaysia yang menawarkan 84 program teknikal dan vokasional. Menurut Pegawai Perhubungan Industri KKTM Balik Pulau, Zafrina Ismail, mereka mempunyai 90% tenaga pengajar berkelulusan sarjana.

Setiap pelajar disediakan penginapan percuma dan yuran pengajian juga dikecualikan. Bukan itu sahaja, pelajar juga diberikan elaun sara diri setiap bulan. Malah, mereka berpeluang  menyambung pelajaran ke luar negara.

Menurut Ketua Program Diploma Teknologi Kejuruteraan Manufacturing Stamping Die (Acuan Tekan), Asmar Suid, peluang pekerjaan untuk lulusan kejuruteraan pembuatan amat luas. Pelajar didedahkan kepada pelbagai kemahiran teknikal dalam industri pembuatan dan mesin-mesin yang terkini. Malah, mereka juga boleh berniaga.

Ramai yang sudah menjadi usahawan berjaya pun. KKTM Balik Pulau boleh menempatkan 200 pelajar pada setiap sesi, iaitu Januari dan Julai. Walau bagaimanapun, jumlah pelajar yang berdaftar hanyalah separuh daripada kapasiti. Mengapa ini berlaku sedangkan kemudahan telah tersedia? Adakah anak-anak muda terutamanya Melayu atau Bumiputera memang malas berusaha?

Hidup bukannya bergantung pada sekeping kertas yang mempunyai deretan huruf A. Tan Sri Syed Mokhtar mempunyai lebih 67,000 pekerja walaupun hanya berbekalkan SPM. Ramai yang dulunya mendapat semua A dalam SPM kini bekerja dengan beliau. Bagaimanapun, ini tidak bermaksud kita tidak perlu berusaha untuk berjaya dalam SPM.

Tahniah kepada mereka yang cemerlang. Bagi yang kurang cemerlang, peluang untuk berjaya masih luas terbuka. Pilihan di tangan anda.

* Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Sunday, March 6, 2016

Mahu tingkatkan taraf pendidikan dorong kejayaan - Utusan Malaysia

JASIN 6 Mac – Kemahuan dan semangat tinggi untuk meningkatkan taraf pendidikan dan membalas jasa kedua ibu bapa mendorong Azrafizie Abu Aman untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi biarpun telah lima tahun meninggalkan alam persekolahan.

Perkara itu menjadi motivasi kepadanya sehingga diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Cemerlang pada Istiadat Konvokesyen Ke-15 Politeknik Merlimau (PMM) di Dewan Platinum, di sini semalam.

Graduan Diploma Pengajian Perniagaan yang mencatatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.76 itu menerima anugerah tertinggi iaitu Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum bagi kategori Jabatan dan Politeknik yang disampaikan pada sesi sidang pertama konvokesyen.

Menurutnya, berikutan kekangan kewangan yang dihadapi keluarga, dia melepaskan tawaran menyambung pelajaran di universiti awam selain berhenti meneruskan pengajian di tingkatan enam untuk bekerja dalam sektor kerajaan sebagai pembantu tadbir.

"Pendapatan ayah yang tidak seberapa dengan melakukan kerja-kerja kampung ketika itu membuatkan saya terpaksa melupakan hasrat untuk belajar kerana tidak mahu menambah beban keluarga yang turut menanggung seorang lagi kakak belajar di universiti.

"Namun demi cita-cita yang tidak pernah padam, saya akhirnya mengambil keputusan untuk memohon cuti kerja dan menyambung pengajian setelah menerima tawaran belajar sepenuh masa di PMM pada 2011.

"Saya sentiasa bertekad untuk meningkatkan taraf pendidikan kerana sedar dengan kepentingan ilmu untuk digunakan dalam kehidupan seharian di samping mahu membanggakan ibu dan ayah yang telah banyak berjasa dan mengharungi kesusahan untuk menyara kami," katanya ketika ditemui di sini.

Anak kepada pasangan Abu Aman Koming, 60, dan Habiyah Md. Yusof, 57, itu turut bercita-cita melanjutkan pelajarannya ke peringkat lebih tinggi pada masa akan datang.

Saturday, March 5, 2016

Empayar Arteffects: Hasil kepuasan Hafiz Hamidun - Sinarharian

MULA bertapak di dalam dunia seni sebagai seorang penyanyi nasyid, kini siapa sangka, Hafiz Hamidun berjaya mencipta namanya dengan kejayaan empayar perniagaan Arteffects Sdn. Bhd yang dibina sejak 10 tahun lalu.

Lebih membanggakan, pelantun lagu Jodoh Berdua ini berjaya mengembangkan perniagaan itu dengan pertambahan tujuh anak syarikat dalam pelbagai bidang bukan sahaja di dalam negara bahkan di peringkat antarabangsa sekali gus menambahkan lagi profil perniagaannya.

Bercerita di sebalik kejayaan itu, jejaka berusia 32 tahun ini mengakui tidak pernah mengehadkan bidang yang diceburi untuk mengembangkan perniagaannya.

"Sebenarnya sejak zaman saya belajar lagi saya sudah mulakan syarikat ini. Dahulu saya tidak ramai kawan dan banyak habiskan masa sendiri dengan membuat kajian mengenai individu-individu yang hebat dalam sesuatu bidang.

"Pengalaman yang paling saya tidak lupa pada 2008 apabila saya harus menebalkan muka untuk bertemu Datuk M Nasir semata-mata untuk mendapatkan pandangannya mengenai lagu yang saya cipta.

"Boleh dikatakan ramai individu yang berlainan bidang saya cuba dekati untuk meminta pandangan.

"Saya tidak kisah buat muka tebal sebab bila kita minat, kita harus belajar dan semuanya tidak mustahil kalau kita tidak takut untuk mencuba," katanya bersemangat.

Selain itu Hafiz berkata, pencapaian yang diraih pada hari ini tidak akan menjadi realiti tanpa bantuan team yang setia membina empayar bersamanya.

"Alhamdulillah, dalam masa 10 tahun saya nampak hasil yang membanggakan.

"Hasil ini juga adalah adalah kerja keras saya bersama team yang bersemangat dan tanpa mereka, saya tidak mampu melakukannya berseorangan.

"Mereka sangat dedikasi dan paling penting tidak berkira untuk melaksanakan tugasan semata-mata untuk mencari kepuasan dalam bekerja.

"Sebenarnya dalam perniagaan kita tidak boleh bekerja dalam masa yang terhad, jadi saya sangat bersyukur kerana memiliki team yang mampu mengikut rentak saya," katanya ketika ditemui baru- baru ini.

Selain Arteffects Records, Hafiz turut menjalankan enam lagi anak syarikatnya seperti Arteffects Records, Arteffects Egypt, Arteffects South Africa, Mikraj Concept, Suflyka, Yellow Packs dan Cdnasyid.

Nafi jutawan

Berpegang pada prinsipnya, Hafiz akui keuntungan dalam perniagaan bukanlah matlamat utamanya melainkan keikhlasan dalam mencari rezeki.

"Secara jujurnya, keuntungan dan gelaran jutawan bukanlah fokus utama saya.

"Cukuplah untuk mencari rezeki yang berkat. Bila kita kuat dan ikhlas bekerja, Insya-ALLAH lebih banyak rezeki yang akan dikurniakan.

"Soal untung atau rugi, semuanya saya serahkan kepada Allah," jelasnya.

Katanya lagi, penglibatannya dalam bidang perniagaan adalah mengikut permintaan dan keadaan semasa.

"Sebenarnya dalam perniagaan ini ada untung dan ruginya. Sebagai contoh, dalam keadaan sekarang ini peminat sudah tidak membeli CD. Jadi saya perlu pelbagaikan perniagaan tersebut dengan membuka perniagaan muat turun CD secara atas talian, tapi pada masa yang sama masih mengekalkan penjualan CD secara material.

"Ada di antara anak syarikat ini baru sahaja ditubuhkan dan syarikat yang sedia ada saya cuba perbaiki kelemahannya," ujarnya.

Dalam perkembangan terbaharunya, selain tampil dengan buku Cerita Hati Hafiz Hamidun, penyanyi nasyid yang terkenal dengan album Zikir Terapi itu juga bakal tampil dengan produk wangian di bawah anak syarikat Suflyka yang dijangka dilancarkan pada akhir April ini.

Friday, March 4, 2016

Asam Pedas Komando - Harian Metro

mahaizura@hmetro.com.my

Ampang: Mempunyai minat sama, suka memasak menimbulkan ilham kepada pasangan suami isteri mengusahakan asam pedas di Medan Selera Taman Dagang Avenue di sini, sejak lebih 10 tahun lalu dengan hanya bermodalkan RM500.

Kini walaupun sudah 10 tahun berlalu, gerai Asam Pedas Komando milik pasangan Hussain Abas, 72, dan isterinya Halimah Abd Wahab, 67, sentiasa dikunjungi ramai orang tidak kira dekat mahupun jauh dari luar Lembah Klang.

Keramahan kedua-duanya melayan kehadiran tetamu yang bertandang untuk menjamu selera, ditambah lagi wajah Hussain seiras aktor tersohor Hollywood Charles Bronson nyata menjadikan nama Asam Pedas Komando begitu istimewa bukan saja terletak pada keenakan rasanya.

Menurut bekas anggota pasukan khas itu, dia dan Halimah yang juga anak kelahiran Melaka mengusahakan perniagaan itu bagi mengisi masa lapang selepas masing-masing bersara dalam perkhidmatan awam.

"Pada mulanya kami buka gerai ini sekadar suka-suka bagi menghilangkan rasa bosan apatah lagi anak semua sudah besar dan berkeluarga.

"Lama-kelamaan tidak sangka alhamdulillah resepi asal isteri saya ini mendapat mendapat sambutan luar biasa bukan saja orang sini tetapi ada juga datang dari negeri lain sehingga kami perlu menyediakan 40 kilogram ikan sehari," katanya.

Menurutnya, mereka memulakan operasi berniaga seawal jam 10 pagi hingga 10 malam dan kebiasaannya gerainya mampu memuatkan 50 pengunjung dalam satu masa terutama pada waktu tengah hari.

"Setiap hari saya akan bangun seawal jam 4 pagi, untuk memilih sendiri ikan segar di Pasar Pudu kerana saya begitu mementingkan kualiti.

"Isteri saya pula akan mengambil alih tugas memasak menu utama asam pedas dengan dibantu empat pekerja serta ada kalanya anak menantu turut datang membantu jika mereka kelapangan.

"Kebanyakan pelanggan saya adalah pelanggan tetap, jadi saya hanya mengenakan harga berpatutan bermula RM9 mereka dapat merasa sepinggan nasi, sayur kobis goreng, ulaman dan sambal belacan serta menu utama asam pedas mengikut pilihan masing-masing seperti ikan jenahak, pari, kembong, tenggiri, mayong, parang atau daging tetel," katanya.

Sementara itu, Halimah berkata, dia mempelajari ilmu memasak asam pedas sejak dari kecil menerusi ibunya menggunakan resipi turun temurun keluarga mereka dan kini menurunkan resipi berkenan kepada anak perempuannya Yusliza berusia 33 tahun.

"Jika boleh saya mahu resipi ini dikekalkan sampai bila-bila kerana ia lambang identiti keluarga kami turun temurun.

"Justeru itu, saya selalu berpesan kepada anak, kalau kami tiada terus usahakan perniagaan ini di samping mengekalkan rasanya dan kualitinya yang menjadi rahsia kejayaan Asam Pedas Komando sampai sekarang," katanya.

Berkongsi pengalamannya sebagai pelanggan setia pasangan itu, Linda Hanim Othman, 42, dari Taman Maluri berkata, dia tidak jemu datang ke gerai berkenaan sekurang-kurangnya tiga kali sebulan kerana keenakan rasa asam pedas mereka masih kekal sejak 10 tahun lalu.

Thursday, March 3, 2016

Menteri Ekonomi ASEAN komited laksana perkara dipersetujui - Utusan Malaysia

CHIANGMAI 3 Mac – Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN komited untuk memastikan perkara yang te­lah dipersetujui dalam cadangan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dilaksanakan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa Mohamed

Beliau berkata, perkara yang telah dipersetujui berhubung pengurangan tarif barangan dalam perjanjian itu akan diteruskan.

"Hari ini kita (Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN) bersetuju dan komited untuk tidak akan berundur dalam RCEP dan perkara yang telah dipersetujui akan dilaksanakan," katanya kepada Bernama pada sesi Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN Ke-22 di sini hari ini.

Terdapat beberapa negara meng­anggap sukar untuk mengurangkan tarif 65 peratus barangan mereka sehingga ke tahap sifar apabila RCEP ditandatangani dan tambahan 15 peratus lagi bagi barangan selepas 10 tahun perjanjian dime­terai. RCEP yang se­patutnya dimukta­madkan pada tahun lepas merupakan ca­dangan perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara 10 negara anggota ASEAN dan enam negara yang mempunyai FTA sedia ada dengan ASEAN iaitu China, Jepun, India, Australia, Korea Selatan dan New Zealand.

RCEP dijangka dimeterai pada tahun ini.

Rundingan RCEP, yang meliputi tiga bilion penduduk dan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS$17 trilion (RM70.14 trilion) , dilancarkan secara rasmi pada November 2012 sempena Sidang Kemuncak ASEAN di Kemboja.

RCEP meliputi perdagangan barangan, per­­khidmatan dan pe­laburan, ekonomi dan kerjasama teknikal, hak harta intelek, persaingan, penyelesaian pertikaian dan isu lain.

Pusingan run­dingan mengenai RCEP seterusnya akan berlangsung di Perth, Australia, selepas pasukan perunding bertemu di Brunei baru-baru ini.

Mustapa berharap rundi­ngan RCEP di Australia itu akan memperoleh kejayaan.

Mengenai pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN yang dipengerusikan Laos hari ini, Mustapa berkata, usaha untuk memastikan integrasi ASEAN lebih mendalam dan menyeluruh akan dilaksanakan.

Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN juga bersetuju untuk meneruskan momentum yang dicapai di Kuala Lumpur pada tahun lepas dalam memastikan proses integrasi ASEAN lebih menyeluruh sebagaimana dikehendaki Komuniti ASEAN. Katanya, sehingga kini, ASEAN telah mencapai 93 peratus daripada perkara yang digariskan bersama untuk proses integrasi ASEAN dan akan terus berusaha mencapai perkara yang belum tercapai pada tahun ini. – BERNAMA