Saturday, May 14, 2016

Usia muda bukan penghalang - Sinarharian

USIANYA baru mencecah 34 tahun, namun beliau sudah diberikan tanggungjawab besar dengan dilantik menjadi Pengurus Pusat Giat Mara Pekan.

Lelaki berkulit putih, memiliki perwatakan sederhana dan mudah mengukir senyuman itu juga tidak kekok menjalankan tugasnya.

Malah, kredibiliti Wan Mohd Zaki Wan Mohamad Razali terserlah apabila berjaya menguruskan seramai 265 kakitangan, termasuk pelatih yang bakal bergelar usahawan di pusat kemahiran berkenaan.

Katanya, beliau menerima tanggungjawab dan memberi komitmen penuh terhadap semua tugas seorang pengurus selepas 11 tahun berkhidmat.

"Saya tak sangka dalam usia muda dapat menyandang jawatan itu dan sememangnya tugas dipikul berat tapi saya perlu menghadapinya," katanya kepada pemberita.

Wan Mohd Zaki mengakui bakat kepimpinannya dibentuk sejak kecil memandangkan bapanya, Wan Mohamad Razali pernah menjadi wakil rakyat di kawasan Dun Chini, 33 tahun lalu.

"Sejak kecil saya sentiasa didedahkan dengan seorang pemimpin yang boleh dibanggakan iaitu ayah saya sendiri dan disebabkan itu saya tak takut pikul tanggungjawab ini," katanya.

Bapa tiga cahayamata itu berkata, tugas sebagai pengurus bukan sekadar jawatan tetapi beliau bertanggungjawab merancang, mengurus dan memantau kewangan, pentadbiran, latihan serta mengendalikan program khidmat masyarakat seperti Program Bantuan Rumah (PBR), Program Peningkatan Pendapatan (PPP) dan Program Latihan 1Malaysia..

Katanya, perkara paling mencabar baginya adalah memastikan latihan kemahiran diberikan kepada pelatih berjaya menjadikan mereka usahawan serta dapat memenuhi permintaan industri.

Bagi memenuhi permintaan industri, Wan Mohd Zaki berkata, beliau menggalakkan pelatih mempelbagai inovasi dalam setiap produk yang ingin dihasilkan.

Beliau berkata, produk inovasi itu akan dipamerkan, setiap kali pertandingan dan secara tidak langsung menaikkan nama Pusat Giat Mara.

"Ini sebenarnya bukan tugas mudah kerana ia memerlukan idea dan kerjasama semua," katanya.

Berdepan banyak cabaran

Bercerita lanjut mengenai tanggungjawab digalasnya, Wan Mohd Zaki berkata, pelbagai cabaran terpaksa dihadapinya.

Katanya, cabaran pertama memastikan kuota pengambilan pelatih dapat dipenuhi, di samping memastikan tenaga pengajar dapat mendidik pelatih menjadi usahawan.

Selain itu, menurutnya, beliau juga terpaksa memastikan setiap tenaga pengajar dapat memberi ilmu memandangkan Giat Mara sekarang memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

"Saya perlu pastikan kualiti subjek diajar selain mampu melahirkan pelatih kreatif dan inovasi," katanya.

Beliau berkata, banyak pengalaman diperoleh sepanjang perkhidmatannya seperti melihat kejayaan pelatih menjadi usahawan terkemuka selain penerima bantuan teruja memperoleh kelengkapan membuat kuih.

"Saya gembira bila pelatih berjaya selain individu mahir membuat kuih diberikan bantuan peralatan untuk membantu mereka meningkatkan taraf hidup. Perkara seperti ini buat saya puas hati," katanya.

Beliau yang pernah terpilih menerima Anugerah Khidmat Cemerlang Giat Mara 2011 ini mempunyai visi dan misinya tersendiri.

Wan Mohd Zaki mahu melihat anak muda dan bangsanya berjaya dalam perniagaan seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat.

"Saya sendiri bersedia untuk sentiasa membantu dan menjalankan tugas serta amanah yang diberikan sebagai seorang pengurus atau ketua belia demi melihat misi dan visi saya tercapai," katanya.

No comments:

Post a Comment