Tuesday, May 24, 2016

Pelaburan Malaysia-Chile dijangka meningkat - Utusan Malaysia

SANTIAGO 24 Mei - Hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Chile dapat ditingkatkan lagi dengan komuniti perniagaan memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) sedia ada yang ditandatangani kedua-dua negara.

Pengarah Kanan Perancangan Strategik Matrade, Wan Latiff Wan Musa berkata, komuniti perniagaan Chile juga boleh mengambil kesempatan daripada kelebihan persaingan Malaysia serta menggunakan negara ini sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN.

Ini susulan peluang luas yang ada berikutan pelaksanaan Komuniti Ekonomi ASEAN, katanya.

"Malaysia merupakan ekonomi terbuka. Nilai jumlah dagangan lebih tinggi berbanding KDNK. Kami akan meneruskan pendekatan ini dalam meningkatkan perdagangan antarabangsa, termasuk dengan Chile," kata Wan Latiff dalam ucaptamanya semasa perasmian seminar mengenai peluang-peluang perniagaan dengan Malaysia, di sini hari ini.

Seminar anjuran Perbadanan Pembangunan dan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) yang menampilkan perkhidmatan dan produk Malaysia, mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti perniagaan di sini.

Wan Latiff berkata, komuniti perniagaan Chile boleh memanfaatkan FTA yang ditandatangani kedua-dua negara pada 2012.

Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Chile (MCFTA) itu merupakan yang pertama dan satu-satunya FTA dua hala antara Malaysia dan negara Amerika Latin yang berkuat kuasa 25 Februari 2012, katanya.

Semasa berkongsi kejayaan Malaysia dalam mengurus ekonominya, beliau berkata, Malaysia mencatatkan AS$375.8 bilion (RM1,549.57 bilion) dalam jumlah dagangan dengan lima peratus pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2015. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment