Monday, May 9, 2016

Rasa takoyaki sebenar Gindaco - Harian Metro

Gindaco yang terkenal di seluruh dunia dengan takoyaki premium mereka, kini membuka cawangan pertamanya di Malaysia.

Snek berbentuk bebola yang dibuat daripada tepung gandum premium berintikan sotong itu kini boleh didapati di AEON Shah Alam dan akan dikembang­kan sehingga 40 cawangan dalam tempoh tiga tahun.

Sempena perasmian pembukaannya, pengguna akan menerima segelas teh hijau percuma dengan setiap pembelian makanan. Promosi ini berlangsung sehingga 31 Mei 2016.

Loob Holding yang terkenal dengan kejayaan mereka dalam memperkenalkan pelbagai jenama F&B seperti Chatime, Tino's Pizza, Soda Express dan llaollao ke Malaysia dilantik sebagai pe­ngurus jenama Gindaco oleh Hotland Co iaitu syarikat awam yang disenaraikan di Jepun dengan lapan jenama di 669 lokasi di tujuh negara.

Kerjasama antara Loob Holdings dan Hotland Co melahirkan Loob Ventures Sdn Bhd dan perkongsian ini akan mencorak peluang untuk memperkenalkan jenama Hotland Co yang lain ke Malaysia.

Pengarah Urusan Loob Holding, Bryan Loo menjelaskan, mereka sentiasa mencari makanan atau minuman yang pantas dan mudah dimakan, selain boleh diautomasikan serta berskala.

"Ini adalah jenama DNA yang kita cari - makanan yang bergerak pantas, ber­automasi dan berskala. Ia membolehkan kita sentiasa mencapai tahap kualiti secara konsisten serta dapat mengurangkan masa untuk melatih kakitangan.

"Sebagai contoh, automasi Gindaco membolehkan tukang masak dilatih dalam masa empat hari, berbanding 30 hari sebelum ini," katanya.

Selain itu, Loo berkata, hasil penyelidikan pasaran juga menunjukkan bahawa pengguna beralih daripada makanan segera kepada gourmet pantas yang me­ngekalkan piawaian kualiti bahan.

"Kami menawarkan takoyaki Gindaco sebagai snek premium yang pantas dan disasarkan untuk pasaran terpilih. Sotong yang digunakan diperoleh dari lautan di benua Afrika dan setiap takoyaki mengandungi lapan gram sotong berkualiti tinggi.

"Begitulah komitmen kami untuk menggunakan bahan berkualiti walaupun kos sotong yang digunakan adalah 50 peratus daripada kos bahan mentah kami. Untuk adunan, kami meng­gunakan tepung gandum berkualiti tinggi dan sup stok makanan laut.

"Kami bangga dapat mencapai rasa takoyaki sebenar. Di Gindaco, takoyaki hanya disediakan sebaik menerima pesanan untuk menjaga standard rangup di luar namun lembut di bahagian dalam," kata Loo.

Gindaco menyediakan empat pilihan takoyaki iaitu rasa Original, Negidako, Cheese Mentaiko dan Teritama. Perisa Original adalah produk utama Gindaco. Ia disiram dengan sos istimewa Gindaco dan ditabur dengan rumpai laut kering dan kepingan bonito. Negidako pula dihidangkan dengan sos celup tempura, ditabur dengan lobak putih dan bawang hijau serta rumpai laut kering dan kepingan bonito.

Bagi perisa Cheese Mentaiko, ia ditabur dengan keju mozzarella, pasli kering dan keju parmesan. Ia juga dihidangkan dengan telur ikan kod berempah dalam sos mayo Jepun dan sos soya berkualiti tinggi.

Bagi Teritama, ia disiram dengan sos premium teriyaki dan mayo Jepun yang ditabur dengan salad telur segar, rumpai laut kering dan kepingan bonito serta tujuh rempah terkenal Jepun.

Selain takoyaki, Gindaco juga menghidangkan yakisoba - mi soba Jepun yang digoreng dengan hirisan kubis, hirisan ayam, rumpai laut hijau kering dan kepingan bonito. Semua makanan Gindaco adalah halal.

Kisah jenama Gindaco di Malaysia bermula apabila Loo bertemu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hotland Co Morio Sase pada Anugerah Usahawan Sedunia Ernst & Young (EY) pada Julai lalu di Monte Carlo. Sase yang memenangi anugerah itu tahun lalu bagi rantau Jepun dan Loo - pemenang anugerah Usahawan Emerging EY bagi 2013 - dengan mudah menjalinkan hubungan perniagaan kerana masing-masing menceburi industri makanan dan minuman.

Selain Malaysia, Loob Ventures mempu­nyai perancangan untuk mengembangkan jenama Gindaco di Indonesia, Vietnam dan Singapura.

No comments:

Post a Comment