Friday, May 13, 2016

Peluang peminat JDT jadi 'pemilik kelab' - Sinarharian

YAYASAN Johor Darul Ta'zim (JDT), yang akan dilancarkan secara rasmi September ini, bakal menjadi satu lagi mercu tanda kemajuan bola sepak di Malaysia.    

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan JDT, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata ia memberi peluang kepada peminat JDT untuk mempunyai "suara" dalam kelab itu melalui pemilikan.     

Mengambil contoh langkah yang diambil kelab bola sepak Eropah seperti Valencia dan Barcelona, beliau berkata peminat di sana sebenarnya menjadi "pemilik" kelab berkenaan.

"Kami akan mencadangkan sesuatu seperti yuran keanggotaan, tapi belum membuat keputusan mengenai mekanisme dan yurannya. Ia mungkin berupa tawaran pemilikan secara ekuiti atau mungkin melalui derma," katanya kepada pemberita di Johor Bahru,‎ pada Khamis.    

Di samping itu, Hasni berkata, dana atau pendapatan yang dikumpul melalui yayasan itu boleh dijadikan dana rizab untuk kelab secara jangka panjang.    

"Setelah mendapat sijil daripada Pendaftar Syarikat (ROC), barulah kami boleh melibatkan diri dalam bidang perniagaan seperti industri kreatif dan perkhidmatan bagi menjana pendapatan," katanya.    

Beliau berkata Penaung JDT Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang mahu yayasan itu menjadi platform bagi membolehkan penyokong JDT menjadi lebih terlibat dengan pasukan berkenaan berhubung masa depannya dan pembangunan program bola sepak JDT.    

"Selain itu, yayasan berkenaan juga akan menjaga kebajikan bekas ahli sukan yang telah menyumbang kepada pembangunan sukan di negeri ini, bukan sahaja dalam bidang bola sepak, tetapi juga sukan lain," kata Hasni.    

Menurut beliau, setakat ini, kira-kira RM1.5 juga telah dikumpul daripada penaja dan individu untuk memulakan aktiviti yayasan tersebut.    

Hasni berkata memandangkan Johor Southern Tigers Facebook mempunyai lebih 1.5 juta pengikut, mereka tentu bersedia membantu dengan menghulurkan sumbangan kepada yayasan.    

"JDT sudah menjadi satu jenama terkenal di negara dan rantau ini. Kami amat yakin ia boleh membantu mengukuhkan lagi Yayasan JDT dan menjadikannya suatu kejayaan," kata beliau. - Bernama

No comments:

Post a Comment