Tuesday, May 3, 2016

Cameron Centrum LBS rekod 40% tempahan - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 3 Mei - Projek pembangunan bercampur Cameron Centrum yang dibangunkan LBS Bina Group Bhd. (LBS) berjaya merekodkan tempahan sebanyak 40 peratus dalam tempoh pra jualannya sehingga hari ini.

Pengarah Urusan LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, Presint 1 Cameron Centrum dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM183 juta mengandungi 58 buah unit komersial pelbagai tingkat dan menawarkan keluasan kawasan binaan antara 205 meter persegi hingga 856 meter persegi.

Katanya, LBS yakin mampu menjual keseluruhan unit yang ditawarkan menjelang hujung tahun ini didorong oleh pembelian hartanah daripada pembeli tempatan.

"Cameron Centrum mampu me­narik hati masyarakat tempatan dengan lokasi dan reka bentuk keseluruhannya, terutamanya bagi para pelabur dan peniaga yang ingin mengembangkan perniagaan mereka," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Presint 1 Ca­meron Centrum di sini hari ini.

Yang turut hadir, Tengku Mahkota Pahang, Tuanku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Pengarah Eksekutif LBS, Datuk Seri Lim Hock Sing.

Hock San berkata, Cameron Centrum menyediakan tawaran komersial terbesar di Cameron Highlands yang dirancang untuk mengubah Brinchang menjadi sebuah moden.

"Projek ini akan dibangunkan di atas tanah seluas 36.8 hektar dan mengandungi tujuh presint me­rangkumi komponen kediaman, peruncitan, komersial, perhotelan dan pelancongan bagi mewujudkan sebuah bandar moden yang meriah.

"LBS kekal komited untuk terus menyumbang kepada pembangunan jangka panjang di kawasan ini dan berharap mampu mengubah Brinchang menjadi sebuah bandar mo­den seterusnya meningkatkan status Cameron Highlands sebagai destinasi pelancongan terkemuka," katanya.

Cameron Centrum merupakan projek kelima bagi LBS di Cameron Highlands selepas Carnation Park, Taman Royal Lily, Cameron Golden Hills di Tanah Rata serta Brinchang Square di Brinchang.

Keseluruhan projek tersebut yang mengandungi tujuh presint dijangka siap dalam tempoh tujuh hingga 10 tahun.

No comments:

Post a Comment