Monday, May 30, 2016

Lim Kok Wing terima anugerah GLA 2016 - Utusan Malaysia

Pengasas dan Presiden Universiti Limkokwing, Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Lim Kok Wing telah dipilih sebagai penerima Anugerah Ikon Legenda sempena Majlis Anugerah Kepimpinan Global Keenam 2016 (GLA 2016).

Anugerah itu diberi atas peranan dan sumbangan Kok Wing dalam sektor perniagaan dan keusahawanan bidang pendidikan kreativiti dan inovasi negara selain pencapaian pengurusan kepimpinan dan pembangunan ekonomi.

Ia juga merupakan pengiktirafan terbesar Kok Wing sebagai perintis universiti itu yang turut diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) antara model terbaik universiti di Asia, Afrika dan United Kingdom.

Kejayaan Kok Wing membuka kampusnya di seluruh dunia mendapat pengiktirafan antarabangsa dan menerima penghargaan kerajaan Malaysia sebagai Bapa Malaysia Kreativiti dan Inovasi pada 2012.

Majlis penyampaian anugerah itu telah diadakan di Hotel Pullman, Legion Nirwana, Bali, Indonesia baru-baru ini.

Anugerah disampaikan oleh Penaung Diraja Anugerah Kepimpinan Global 2016, Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kepada Naib Presiden Jenama, Kreativiti dan Pembangunan Bakat, Universiti Limkokwing, Datuk Tiffanee Marie Lim yang mewakili Kok Wing.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Persatuan Pembangunan Kepimpinan Amerika (ALDA) yang juga Ketua Panel Hakim GLA 2016, Arthur F.Carmazzi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan The Leaders International, Shahul Hameed Shaik Dawood,

Tiffanee berkata, anugerah itu merupakan pengiktirafan yang 
sangat bermakna bagi universiti dan ayahnya.

"Anugerah ini wajar dikongsi bersama rakyat Malaysia yang banyak memberi sokongan atas kejayaan universiti. Ayah telah menyumbang kepada usaha ke arah pembangunan negara.

"Ayah telah berusaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan serta meningkatkan prospek ekonomi negara Malaysia serta di seluruh dunia. Kejayaan ini memperkukuh semangat ayah untuk lebih berdedikasi dan bekerja keras bagi meningkatkan status universiti ini sebagai hub pendidikan dunia," katanya.

Selain itu, Tiffanee berkata, dengan kejayaan ini juga, beliau akan berusaha membantu meningkatkan imej universiti dalam melahirkan pereka muda yang kreatif dan inovatif yang terbaik sejak penubuhan Limkokwing Fashion Club .

"Sejak 10 tahun lalu, kami telah berusaha dalam mewakili Malaysia menganjurkan acara fesyen terkemuka di seluruh dunia seperti di Paris, London, 
Osaka dan Jakarta," katanya.

No comments:

Post a Comment