Thursday, May 19, 2016

Perniagaan satu ibadah - Sinarharian

SEJAUH mana pandangan Islam terhadap perniagaan? Perniagaan merupakan suatu kegiatan untuk menjana ekonomi yang amat dianjurkan oleh Islam kepada umatnya.

Hal ini disebabkan aktiviti perniagaan boleh memberikan hasil pulangan berlipat kali ganda kepada peniaga yang berusaha bersungguhsungguh dan memastikan perniagaan mereka sentiasa mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak.

Di samping itu, perniagaan merupakan satu ibadah yang sekiranya dilakukan dengan niat yang ikhlas pastinya beroleh keredaan serta ganjaran daripada Allah s.w.t. Perniagaan juga merupakan salah satu metodologi tanggungjawab sosial yang merupakan fardu kifayah dalam sesebuah masyarakat Islam.

Bahkan menjadi sebahagian daripada tuntutan umum supaya manusia saling bantu-membantu dan bekerjasama dalam memenuhi keperluan hidup bermasyarakat.

Justeru itu, perniagaan merupakan salah satu cabang takwa dalam bentuk sumbangan kepada masyarakat umum dan disifatkan di dalam al-Quran sebagai salah satu aktiviti yang dihalalkan oleh Allah s.w.t melalui fi rman-Nya yang bermaksud; "Dan Allah menghalalkan jual beli iaitu perniagaan (al -Bai') dan mengharamkan riba." (Surah al- Baqarah : 275)

Berdasarkan bukti daripada al- Quran jelaslah bahawa Islam amat menganjurkan umatnya terlibat dalam aktiviti perniagaan lebih-lebih lagi menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Kedudukan Peniaga Dalam Islam.  Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. telah berkata kepada sekumpulan peniaga dan mereka memberikan perhatian penuh kepada baginda; "Sesungguhnya, para peniaga akan dibangkitkan pada hari kiamat sebagai pendosa, kecuali peniaga yang bertakwa, berbuat kebajikan dan amanah" (Hadis riwayat Tirmizi).

Dalam konteks hadis ini, Rasulullah s.a.w. memberikan galakan kepada peniaga untuk bersikap profesional dan beretika kerana mereka yang berbuat baik pasti akan mendapat ganjarannya.

Sebelum Baginda diangkat menjadi nabi, ramai daripada kita juga sudah tahu tentang kejayaan Rasulullah s.a.w. yang membawa pulang keuntungan daripada barang dagangan Siti Khadijah dengan mengamalkan prinsip amanah dalam perniagaan Baginda.

Di samping itu, melalui akhlak yang mulia serta pergaulan yang sihat yang ditonjolkan, peniaga Islam dapat menggunakan kesempatan berniaga ini untuk berdakwah kepada masyarakat untuk mencerminkan sifat Islam yang sebenarnya; saling menghormati dan berakhlak mulia.

Sejarah Islam telah membuktikan bahawa sesetengah dakwah Islamiah yang telah bertapak kukuh di rantau ini adalah hasil usaha saudagar-saudagar Islam terdahulu dalam berdakwah. Mereka berdakwah kepada orang bukan Islam sehingga beriman dengan agama Islam dan mendapat pahala yang tiada bandingannya.

Daripada Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah s.a.w. bersabda; "Sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal yang baik, adalah baginya pahala sebanyak pahala orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala itu daripada pahala-pahala mereka, dan sebaliknya sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal yang menyesatkan, adalah ia menanggung dosa sebanyak dosa orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dosa itu daripada dosa-dosa mereka." (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam konteks sistem kewangan Islam pada masa sekarang khususnya industri takaful, kerjaya sebagai ejen pemasaran takaful merupakan salah satu kerjaya yang sangat digalakkan oleh syarak kerana mereka ini bukan sahaja membantu masyarakat menyediakan cara untuk menguruskan risiko masa pada hadapan bahkan dalam masa yang sama berdakwah ke arah sistem kewangan Islam yang bebas daripada belenggu riba'.

Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa aktiviti perniagaan asalkan berteraskan nilai-nilai Islam ia akan memberikan kebaikan di dunia dan di akhirat kelak. Wallahu'alam.

Sila layari laman web kami di www.greateasterntakaful.com atau facebook.com/greateasterntakaful.com

No comments:

Post a Comment