Saturday, May 7, 2016

Kaji buka ladang rusa di Banggas kepada umum - Utusan Malaysia

LABIS 7 Mei – Kerajaan negeri sedang mengkaji untuk membuka ladang ternakan rusa yang dikendalikan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negera (Perhilitan) di Banggas, dekat sini kepada orang ramai bagi mempelbagaikan fungsi dan peranannya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, orang ramai akan berpeluang melihat dan mempelajari secara lebih dekat cara menternak haiwan yang dipelihara di ladang tersebut dengan kadar bayaran minimum sekiranya cada­ngan tersebut dilaksanakan.

"Selepas dilaksanakan nanti, ladang tersebut bukan sahaja menjadi pengeluar daging rusa, malah berpotensi sebagai satu daya tarikan agro pelancongan serta salah satu pusat kajian ternakan rusa di daerah ini yang bakal menjadi hab pertanian di negeri ini.

"Sudah sampai masanya kita mempelbagaikan fungsi projek pertanian yang diusahakan bukan sekadar berfungsi sebagai pengeluar makanan, malah menjadi salah satu daya tarikan pelancongan serta pelbagai projek hiliran yang mampu memberi pulangan lumayan," katanya selepas merasmikan Mini Agro Johor peringkat daerah Segamat di Dataran Labis, malam tadi.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim dan Pegawai Daerah Segamat, Mohd. Hafiz Ahmad.

Ayub yang juga ADUN Kemelah berkata, penduduk di daerah ini harus merebut peluang mengusahakan projek

pertanian termasuk ternakan rusa yang boleh dipelajari sebaik sahaja ladang tersebut dibuka kepada orang ramai.

"Penduduk di sini harus sentiasa peka dan kreatif menghidu serta merebut peluang yang ada kerana kita tidak mahu hanya menjadi pemerhati dan berbangga dengan kejayaan orang luar menikmati kejayaan yang sepetutnya menjadi milik kita.

"Kita harus membuka minda untuk menilai bidang pertanian dengan lebih positif kerana sektor ini terlalu luas serta tidak terhad terhadap aktiviti tanaman mahupun ternakan semata-mata, malah merangkumi pelbagai bidang perniagaan seperti membekalkan peralatan, pengurusan dan pemasaran hasil pertanian," katanya.

No comments:

Post a Comment