Monday, May 23, 2016

Semangat gadis OKU - Harian Metro

Gen.y@hmetro.com.my

Berstatus orang kurang upaya (OKU) bukan penghalang untuk seseorang itu mencipta nama dan kejayaan sendiri.

Malah, kekurangan yang dialami mereka itu sebenarnya boleh membawa kepada kejayaan yang lebih besar berbanding orang biasa sekiranya mereka bijak mencari peluang.

Demikian prinsip yang dipegang gadis OKU, Khairunnisa Johari, 28, gadis yang berasal dari Sungai Petani, Kedah yang baru saja terbang ke Bordeaux, Perancis baru-baru ini bagi mewakili negara dalam Pertandingan Abilympics Antarabangsa ke-9 untuk kategori Word Processing yang berlangsung lima hari bermula 23 hingga 27 Mac lalu.

Khairunnisa seorang daripada 15 peserta di bawah Majlis Pemulihan Malaysia (MCR) yang turut bersaing dalam pertandingan yang hanya diadakan empat tahun sekali itu.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Maklumat dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Merbok ini juga pernah dianugerahkan Anugerah Naib Canselor ketika menuntut di universiti berkenaan.

Kekurangan bukan penghalang

Anak kedua daripada empat beradik ini berkata, dia perlu membuktikan kepada ibu bapanya dia mampu berjaya dalam bidang yang diceburinya meskipun dilahirkan sebagai OKU.

Katanya, selama ini dia melihat kesusahan ibu bapa, Johari Othman, 56, dan Nooreha Hashim, 52, untuk membesarkan mereka empat beradik apatah lagi kakak sulungnya, Juliana Johari, 30, juga berstatus OKU dan mempunyai masalah sepertinya.

"Hanya dua adik saya yang dilahirkan normal sementara saya dan kakak sulung saya berstatus OKU.

"Namun kami tidak menjadikan kekurangan itu sebagai penghalang untuk berjaya dalam bidang masing-masing malah kakak sulung saya itu juga mempunyai kerjayanya sendiri dalam bidang perniagaan secara dalam talian dan mempunyai pendapatan sendiri," katanya yang turut mengagumi semangat kakak sulungnya itu.

Batu loncatan

Khairunnisa yang mengalami kecacatan osteogenesis omperfecta (brittle bone) dan tidak boleh berjalan seperti orang biasa sejak lahir berkata, pada awalnya sukar untuk dia mempercayai kekurangan yang dialami ini sebenarnya satu batu loncatan untuknya menempa nama ke peringkat antarabangsa.

"Namun begitu, berkat sokongan ibu bapa, ahli keluarga dan rakan, saya kini lebih yakin untuk menguji kebolehan diri dalam pelbagai bidang yang bersesuaian dengan kemampuan diri," katanya.

"Saya sendiri tidak menyangka dapat pergi sejauh ini apatah lagi mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa memandangkan keadaan fizikal saya ini.

"Meskipun sedih kerana tidak berjaya membawa pulang sebarang pingat, saya menganggap ia sebagai adat dalam pertandingan dan tidak pernah menjadikan ia sebagai alasan untuk tidak mengejar lebih banyak kejayaan pada masa depan.

"Bagi saya ini pengalaman paling manis seumur hidup saya kerana tidak pernah terfikir untuk pergi sejauh ini, saya bersyukur diberi peluang untuk merasa pengalaman yang tidak semua orang berpeluang merasainya," katanya.

Katanya, dia mula menyertai pertandingan berkenaan di peringkat saringan negeri pada Februari lalu mewakili Kedah di Shah Alam dan menewaskan empat peserta dari negeri lain bagi kategori sama sekali gus melayakkan diri untuk bersama 15 peserta lain mewakili negara ke peringkat antarabangsa.

Khairunnisa berkata, pada awalnya dia menyertai pertandingan berkenaan sekadar mahu mencuba nasib dan tidak menyangka usaha keras untuk melepasi saringan peringkat negeri itu berhasil.

Khairunnisa yang kini berkhidmat sebagai Pembantu Tadbir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Daerah Kuala Muda, berkata dia mengetahui adanya pertandingan berkenaan ketika menguruskan surat hebahan pertandingan itu kepada golongan OKU.

"Ketika itu, saya ditugaskan menguruskan surat hebahan mengenai pertandingan itu dan tertarik dengan salah satu kategori yang dipertandingkan kerana ia bersesuaian dengan jurusan yang pernah saya ambil ketika belajar di universiti selain pengalaman kerja saya yang banyak menggunakan komputer.

"Saya kemudian meminta pendapat daripada rakan sekerja dan mereka memberi pandangan yang positif selain menyokong hasrat saya untuk menyertai pertandingan berkenaan," katanya.

Langkau batasan keupayaan

Menurut Khairunnisa, ini adalah kejayaan pertama dan paling bermakna dalam hidupnya kerana berpeluang membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa meskipun belum mengetahui nasibnya sama ada menang atau kalah ketika itu.

"Semua ini adalah pengalaman baru bagi saya kerana belum pernah berpeluang menaiki kapal terbang apatah lagi menjejakkan kaki di luar negara memandangkan keadaan fizikal saya ini.

"Melalui penyertaan ini, saya bukan sahaja berpeluang mengharumkan nama negara malah dapat keluar dari kepompong ketakutan sekali gus lebih berani melangkaui batasan keupayaan selama ini.

"Jika sebelum ini saya berasa rendah diri dan malu berdepan masyarakat namun kini saya lebih berani dan yakin untuk mencuba pelbagai benda baru yang dianggap mustahil untuk golongan seperti saya," katanya.

Ujian pembakar semangat

Katanya, dugaan dan halangan yang dihadapinya selama ini menjadi suntikan semangat untuk terus berani berhadapan dengan masyarakat malah kini Khairunnisa sudah mempunyai lesen kenderaan sendiri dan boleh membawa ibu bapanya keluar bersiar-siar.

"Sebelum ini, ayah yang akan menghantar saya ke mana-mana namun, ayah secara tiba-tiba diserang strok sebelah badan menyebabkan saya hilang tempat bergantung.

"Saya kuatkan semangat dan bertekad untuk berdikari sehingga saya mempunyai lesen memandu sendiri," katanya.

Harapan

Khairunnisa berkata, dia berharap rakan remaja sentiasa bersikap positif dalam kehidupan dan tidak menganggap kekurangan diri sebagai halangan untuk menempa nama ke peringkat yang lebih tinggi.

"Saya juga berharap supaya sebarang peluang baru yang ada untuk golongan OKU ini dihebahkan dengan lebih meluas kerana masih ramai berbakat tetapi tidak mengetahui saluran betul untuk menonjolkan kebolehan mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment