Sunday, May 1, 2016

Program Bassita salur air buat warga Mesir - Kosmo!

Program Bassita salur air buat warga Mesir

Tenaga kerja untuk program Bassita sentiasa berusaha meningkatkan jumlah dana bantuan buat keluarga daif di Mesir.

SEORANG ibu di Mesir, Aaz Menhom menadah air menggunakan tangannya daripada sebuah pili di halaman rumah untuk memberikan anak-anaknya, Atef dan Nada minum.

"Ia merupakan rahmat Tuhan. Sebelum ini, anak-anak saya hanya dapat mandi sekali dalam empat hari tetapi kini mereka boleh membersihkan diri setiap hari," katanya sambil tersenyum.

Menhom, 27, merupakan antara keluarga yang berkongsi bilik separa berperabot di kediaman satu kamar bersama kakaknya dan lima anak saudara. Dalam keadaan daif, dia pernah meminta dari pintu ke pintu untuk mendapatkan bekalan air.

Berbekalkan baldi, dia terpaksa mengulangi proses yang meletihkan itu beberapa kali sehari supaya dia boleh melakukan kerja-kerja hariannya.

Kini, semuanya telah berubah apabila clickfunding, sebuah konsep yang dilancarkan di Mesir oleh program perniagaan permulaan, Bassita. Program itu telah mengubah kehidupan Menhom menjadi lebih baik.

Kumpul dana

Bassita yang bermaksud mudah dalam bahasa Arab sedang menggembleng kelebihan internet yang semakin meningkat di negara ini dan mengumpul dana melalui kempen rangkaian sosial.

Ia menyiarkan gambar dan video daripada projek mikro pembangunan, dan penaja akan berpeluang untuk memberikan sumbangan apabila jumlah share (kongsi) dan like meningkat.

"Anda hanya mempunyai satu klik untuk mengubah dunia." Ia merupakan slogan yang terpampang di laman web, bassita.org yang diasaskan pada 2014 oleh dua orang lelaki Perancis berusia 30-an yang menetap di Kaherah, Alban Menonville dan Salem Massalha.

Menurut Menonville, matlamat Bassita adalah untuk merevolusikan pengiklanan dalam talian.

"Jika saya mahu pengiklanan di Facebook untuk mendapat capaian satu juta orang, syarikat itu akan memberikan saya harga untuknya.

"Daripada menghabiskan modal untuk itu di Facebook, lebih baik idea ini disalurkan buat membayar sesuatu yang positif dan pengguna internet akan memberikan ketelusan untuk itu.

"Pengguna menjadi dermawan," kata Massalha yang berasal dari Mesir. Setakat yang kita tahu, tidak ada orang lain menggunakan model ini," katanya.

Syarikat itu juga telah mencapai kejayaan dalam bidang-bidang lain.

Bekerjasama dengan pakar optik Kaherah, mereka berkempen pada 2014 untuk membiayai 1,000 pasang cermin mata buat tukang kayu dan wanita termasuk penyulam yang miskin di wilayah Fayoum, barat daya Kaherah.

Menhom (kiri) bersama anaknya, Atef (depan) dan Nada di kediaman mereka yang usang di Mesir.

Perubahan dramatik dalam kehidupan Menhom merupakan hasil daripada kempen bersama dengan Tabung Darurat Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) untuk membekalkan air buat 1,000 rumah di selatan Mesir.

Kira-kira 7.5 juta orang di Mesir tidak mempunyai akses kepada air bersih di rumah mereka.

Sebuah rakaman video yang menunjukkan pelawak, Maged al-Kedawny menampilkan hashtag Arab klik bersambung dengan air, telah dilayari di Facebook lebih dua juta kali dalam tempoh tiga hari selepas pelancaran kempen tersebut pada Februari lalu.

Menurut UNICEF, 100 buah rumah telah disambungkan kepada bekalan air paip sejak pertengahan bulan Mac lalu.

"Dalam tempoh enam bulan akan datang, sebanyak 1,000 rumah dari empat wilayah akan disambungkan dengan bekalan air bersih," kata jurucakap UNICEF di Mesir, Bruno Maes.

Anugerah

Beberapa buah syarikat telah membiayai projek tersebut sebanyak AS$170,000 (RM664,572) yang merangkumi program kesedaran kebersihan.

Antara penaja yang terlibat ialah syarikat gergasi dari Amerika Syarikat, SC Johnso, Wadi Degla Mesir dan Emirati ride hailing app Careem.

"Pada akhirnya, semua pihak adalah pemenang. Sekiranya lebih ramai orang yang mengetahui akan kempen tersebut, dana diperoleh akan semakin meningkat. Hala tuju kami akan lebih telus buat syarikat-syarikat rakan kongsi," kata Pengarah Careem di Mesir, Shalaby Hadeer.

Bassita yang memenangi anugerah Orange Prize 2015 untuk usaha sosial di Afrika, mahu memperluaskan lagi kisah kejayaannya kepada orang ramai.

"Eropah memerlukan projek alam sekitar, Afrika mungkin lebih memerlukan dalam aspek kesihatan dan pengangkutan. Model ini boleh digunakan untuk semua masalah tersebut," kata Menonville. – AFP

No comments:

Post a Comment