Tuesday, February 23, 2016

Wanita mewah kasih sayang - Utusan Malaysia

Bagaimanapun bercerita mengenai kehidupannya selepas kematian suami pada 24 Januari 2008, ternyata Ziela juga tidak sekuat mana. Mengambil masa beberapa bulan untuk menerima kenyataan, jelas Ziela atau nama sebenarnya Norzilah Abdul Jalil, 46, antara ubat paling mujarabnya ketika itu adalah pesanan terakhir suaminya, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub.

"Bukan mudah sebenarnya, selepas kematian suami selama beberapa bulan saya cuba menerima kenyataan. Setiap hari, dua kali saya berulang alik ke kubur arwah suami dengan membawa anak-anak.

"Malah ketika itu juga baru saya sedar bahawa segala tanggungjawab telah terpikul atas bahu saya seorang. Apa yang menguatkan saya adalah permintaan arwah untuk saya menjaga dua zuriatnya, jadi saya bingkas bangkit demi mereka," katanya.

Selama sembilan tahun kehilangan, cinta yang terus wujud antara dia dan suami tidak pernah luntur walaupun sedikit. Dia tidak pernah sekalipun berfikir soal mencari pengganti, jauh sekali untuk kembali berumahtangga, buat waktu sekarang.

Memberi gambaran betapa dia sedang berbahagia dengan apa yang menjadi miliknya hari ini, kehidupan sebagai seorang ibu tunggal cukup selesa buat dirinya.

"Arwah adalah seorang yang sangat baik, malah sehingga kini saya masih terasa kasih sayangnya terhadap saya dan anak-anak. Selepas sembilan tahun tanpa dia di sisi, jujur saya katakan dunia saya hanya anak-anak dan ibu saya sendiri.

"Tidak mahu saya mendabik dada soal ini, tetapi tulus dari hati memang tiada niat untuk saya kembali bergelar isteri lagi di waktu sekarang. Malah, saya tidak boleh lihat adanya kehidupan bersama orang lain selain anak-anak saya," katanya lembut.

Pernah dirundung dengan pelbagai sangkaan jahat sesetengah pihak, ternyata perkara itu tidak pernah menjadi kudis buat dirinya. Jika suatu ketika dulu dia hanya dikenali sebagai seorang artis yang juga isteri kedua kepada Megat Junid, kini status dirinya berubah sama sekali.

Ketika ini dia sudah membuktikan bahawa status ibu tunggal memberi sebab untuk dia bekerja lebih keras demi menyara keluarga.

"Saya tidak perlu beritahu berapa banyak harta yang ditinggalkan Allahyarham suami, tetapi apa yang orang kena faham, jika sudah terlalu senang buat apa saya perlu bekerja keras. Betul tak? Jangan anggap kerjaya sebagai penerbit kerja mudah, sebabnya kerjaya ini juga ada tekanan.

"Kini saya sudah buktikan yang saya tidak perlu harapkan sesiapa untuk meneruskan kehidupan. Sungguhpun saya hanya seorang ibu tunggal itu tidak bermakna ada kekurangan untuk saya menyediakan kehidupan yang baik buat mereka. Rahsianya mudah, iaitu dengan rezeki Allah dan usaha ikhlas kita," katanya.

Ibu yang garang

Melihat cara didikan kepada anak-anaknya, jangan tidak tahu Ziela merupakan seorang yang agak tegas di rumah. Dilahirkan sebagai seorang anak polis, dia mengambil serius tentang cara didikan setiap anak-anaknya termasuk seorang anak angkat bernama Ibrahim Junid Abdullah, empat tahun.

"Berbeza dengan saya, mereka dilahirkan sebagai anak menteri, jadi kehidupan mereka itu sendiri boleh dikatakan mewah sedari awal. Sebab itu saya mengambil berat tentang didikan agama, yang bagi saya itu sahaja yang boleh menjadi pendinding buat mereka berhadapan dengan dunia luar.

"Bila ada yang kata saya berjaya didik anak-anak, tiada ucapan lain yang boleh saya luahkan selain Alhamdulillah. Sebenarnya bukan mudah, melalui kehidupan sebagai seorang ibu tunggal dan menjadi satu-satunya orang yang membuat keputusan berkaitan keluarga, saya pada mulanya juga agak keliru. Namun, lama-kelamaan, Allah permudahkan semua untuk saya," katanya.

Bercerita mengenai anak bongsunya, Ibrahim, Ziela melahirkan perasaan bersyukur kerana dikurniakan bayi comel itu. Ketika dia mengambil keputusan untuk membesarkan Ibrahim, antara alasan utamanya adalah dalam mengubati hati selepas kehilangan suami. Justeru, nama Ibrahim Junid diambil sempena nama arwah suami, sebagai kenangan-kenangan abadi. Ia bergabung dengan nama Ibrahim, semoga anak itu membesar dengan semangat Nabi Ibrahim A.S.

"Saya masih ingat ketika mahu mengambil Ibrahim ketika itu, kali pertama melihat dia juga hati saya sudah tertawan. Malah apa yang paling seronok untuk mengetahui hari lahirnya sama dengan arwah suami saya.

"Sekarang untuk melihat ada ciri-ciri suami saya turut terbawa kepada Ibrahim terutamanya cara dia berjalan. Meskipun mereka tidak pernah berjumpa, banyak sifat Ibrahim mewarisi arwah suami. Saya anggap ini rahmat Allah kepada kami keluarga," katanya dalam nada penuh kesyukuran.

Bukti kerja keras

Berkongsi magis dalam bidang penerbitan drama yang semakin menjadi-jadi kini, ada yang melihat Ziela cukup mewah dan selesa dalam bidang ini. Berkongsi cerita kata penerbit ini, setiap kali menghasilkan sesuatu dia sangat menitikberatkan hasil persembahan setiap karyanya kepada penonton.

"Kehilangan suami beberapa tahun lalu sebenarnya yang membuka mata saya tentang perkara ini. Jika dahulu saya tidak terlalu fikirkan untung rugi dalam bidang ini, namun selepas ketiadaan dia baru saya faham penting bagi saya memberi tumpuan sepenuhnya dalam bidang ini memandangkan ini adalah satu-satunya sumber rezeki kami anak-beranak.

"Saya anggap ini rezeki Allah, memang semua orang juga mahukan keuntungan dalam perniagaan. Macam saya juga, tetapi apa yang saya cari dalam setiap drama adalah kesempurnaan terutamanya dari bahagian kreativiti," katanya.

Pernah mendapat tentangan untuk berada dalam bidang seni pada awal pembabitannya, ternyata Ziela kini sudah membuktikan glamor bukan tujuan utama dia memilih industri ini.

Malah ketika ini sedikit sebanyak ada rasa lega untuk memberitahu dua anaknya iaitu Puteri Julia Nabilah, 23, dan Megat Jufri Nasrullah, 21, bahawa pengiktirafan dalam apa-apa juga bidang, hanya akan hadir melalui kerja keras.

"Ayah memang tidak pernah setuju dengan keputusan saya berada dalam bidang ini. Sebabnya, dahulu dia mahu saya menjadi seorang doktor. Tetapi saya buktikan kini kerjaya yang saya pilih ini tidak sekadar meletakkan saya di kedudukan biasa.

"Itu juga yang saya kongsi dengan dua anak, pilih apa juga bidang yang mereka suka, namun dalam masa yang sama kena kerja keras dalam memastikan tidak berada dalam takuk yang sama," katanya.

Dianugerah dengan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) oleh Istana Pahang, baru-baru ini, Ziela percaya. kejayaan itu bukan hadir dari dirinya sahaja.

Selain keluarga, tentunya dia tidak menafikan rasa gembiranya apabila tahu ada pihak yang turut menghargai nilai seni yang diterapkan dalam setiap karya miliknya.

"Bila saya dapat tahu akan dianugerahkan dengan gelaran tersebut oleh Istana Pahang, apa yang bermain di fikiran hanyalah anak-anak dan ibu saya sendiri Fatimah Othman, 66.

"Saya anggap ini kejayaan mereka juga sebabnya mereka adalah tunjang kehidupan saya sampai bila-bila. Tidak sekadar itu, membawa gelaran ini bukan perkara yang mudah. Bagi saya di masa depan dengan penghargaan ini saya mahu membuktikan kepada mereka semua yang saya akan berusaha lebih keras sebagai penerbit dalam menyediakan lebih banyak produk yang bermutu," katanya.

No comments:

Post a Comment