Wednesday, February 3, 2016

Kedinamikan bajet tahunan negara - Utusan Malaysia

KEBETULAN Ahad lalu, semasa menghadiri kenduri kahwin anak saudara di Ampang, Selangor, saya berkesempatan mengunjungi Galeri Petronas di Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC). Kunjungan saya semata-mata untuk melihat sendiri pameran iklan-iklan Petronas sempena Hari Kebangsaan dan perayaan-perayaan di Malaysia sejak 1996.

Iklan-iklan Petronas berkenaan telah membawa mesej perpaduan, berbangga menjadi rakyat Malaysia dan mengukuhkan persahabatan pelbagai kaum di Malaysia.

Pastinya ramai yang terkenang iklan-iklan seperti Tan Hong Ming, Ke Pangkuan Bonda dan Akrab yang banyak memberi seribu erti tentang kehidupan masyarakat di Malaysia. Melalui iklan-iklan inilah kita sebagai rakyat Malaysia sewajarnya menghargai apa yang kita ada dan bersyukur untuk mempertahankannya serta meningkatkan usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang sejahtera buat seluruh rakyat.

Tidaklah hanya ketika negara berada dalam keadaan ekonomi yang baik tetapi juga ketika ketidaktentuan ekonomi yang sedang dihadapi oleh negara kita. Yang penting kita tetap berdiri teguh untuk sentiasa mempertahankan Malaysia pada setiap masa. Bukanlah hanya sentiasa memuji ketika senang dan memburuk-burukkan negara ketika keadaan sukar. Jauh sekali melemparkan tuduhan tidak berasas yang langsung tidak membantu ke arah kebaikan negara dan masyarakat Malaysia.

Maka itu, usahlah terlalu percaya dengan segala perkara yang dihebohkan dan diviralkan di media-media sosial seolah-olah kita ini mudah untuk diperdayakan. Inilah yang berlaku apabila ada cakap-cakap sebelum pengumuman pengubahsuaian Bajet 2016 bahawa biasiswa untuk pelajar akan ditarik. Tidakkah mereka yang sengaja menyebarkan maklumat palsu ini berasa bersalah sehinggakan masyarakat berada dalam keadaan gundah gulana? Apakah mereka ini lebih suka melihat masyarakat kita berada dalam keadaan haru-biru dengan pelbagai fitnah dan hasutan yang memudaratkan masyarakat?

Malang sekali, jika masyarakat mudah sungguh terhasut dengan maklumat-maklumat palsu walhal untuk menjadi masyarakat maju, asasnya memiliki keupayaan untuk melihat sesuatu perkara dengan fakta yang sebenar. Kalau ingin berhujah pun biarlah dengan fakta bukanlah mengelirukan masyarakat sehingga mengeruhkan keadaan.

Walhal, dalam konteks biasiswa pendidikan, kerajaan tetap meneruskannya meskipun semasa ketidaktentuan ekonomi. Hal ini berlaku sedemikian kerana pendidikan adalah asas kemajuan ekonomi bagi sesebuah negara. Masyarakat yang maju dari sudut ilmu dan juga sahsiah bukan setakat mampu mempertahankan kemerdekaan, bahkan merealisasikan kemampanan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dalam tempoh panjang.

Melalui ilmu juga kita akan dapat membuat keputusan yang tepat terutamanya ketika keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan. Maka, itulah iltizam kerajaan untuk meneruskan agenda pendidikan sebagai fokus utama negara sebagaimana yang kita dapat lihat semasa pengumuman pengubahsuaian Bajet 2016 minggu lalu. Malah, kerajaan telah menambahkan usaha untuk meningkatkan bantuan pendidikan kepada rakyat Malaysia yang ingin meneruskan pelajaran ke peringkat sarjana dan doktor falsafah.

Peningkatan pendidikan sehingga ke peringkat tertinggi bagi membolehkan masyarakat Malaysia menjadi masyarakat yang dapat berfikir dalam konteks lebih menyeluruh berdasarkan fakta sebenar. Namun, itu bukan bermakna mereka yang tidak memiliki segulung ijazah tidak memiliki ciri-ciri sebegini.

Cuma dalam konteks meneruskan pelajaran ke peringkat tertinggi, pelajar akan belajar dan dilatih sama ada melalui penyelia mahupun usaha-usaha sendiri mencari ilmu yang sememangnya terbentang luas di bumi ciptaan Allah SWT ini. Pokoknya, mencari ilmu itu amat dituntut oleh agama Islam sehinggakan orang berilmu itu diangkat mulia terutamanya jika ilmu itu diamalkan dengan ikhlas dan bukannya untuk tujuan lain selain kerana Allah SWT.

Ilmu yang ada itulah digunakan untuk kebaikan misalnya untuk memikirkan jalan bagaimana mengubahsuaikan Bajet 2016 agar sesuai dengan keadaan ekonomi semasa. Sayugia diingatkan dengan ilmu itu jugalah kita memahami bahawa bajet tahunan kerajaan itu sendiri adalah berbentuk dinamik. Ini bermaksud bajet tahunan perlu selari dengan keadaan ekonomi global, domestik dan masyarakat Malaysia. Keadaan ekonomi itu pula tidak statik tetapi dinamik dan berbeza-beza pada setiap era. Jika pada 1970-an orang bercakap mengenai kemiskinan tegar yang mana kadarnya cukup tinggi pada ketika itu tetapi pada masa kini masyarakat mengambil berat mengenai kos sara hidup yang cukup tinggi.

Kerajaan juga mengetahui hal ini maka mahu tidak mahu sejak kebelakangan ini kerajaan berusaha mengurangkan beban kos sara hidup rakyat dalam bajet-bajet tahunan agar dapat melindungi rakyat Malaysia. Malah, kerajaan juga mengetahui bahawa ada yang tidak kena dengan gaji pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta dalam kalangan pengurusan tertinggi dengan pekerja bawahan. Hal ini telah menyebabkan jurang pendapatan yang cukup tinggi antara pengurusan tertinggi dan pekerja bawahan.

Ini jelas kelihatan apabila mereka yang berada dalam kelompok pengurusan tertinggi ini mampu hidup mewah dan lebih daripada mencukupi meskipun tatkala ekonomi berada dalam keadaan tidak memberangsangkan. Walhal, pekerja bawahan yang bergaji rendah ini pula terpaksa mengharungi tekanan kehidupan. Jika asas perbezaan gaji dihujahkan berasaskan kelayakan akademik semata-mata sudah tentu hujah ini mudah dipatahkan kerana gaji bagi pengurusan bawahan amat rendah berbanding gaji yang diterima oleh pengurusan tertinggi walhal kelayakan akademik mereka adalah sama.

Jika pengalaman kerja yang ingin dihujahkan, ada di antara pengurusan bawahan ini memiliki pengalaman kerja yang lama tetapi gaji mereka tetap jauh berbeza dengan pengurusan tertinggi. Inilah antara aspek yang dikenal pasti oleh kerajaan melalui pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan Khamis lalu untuk mengurangkan jurang pendapatan rakyat Malaysia. Seterusnya, menandakan bajet tahunan negara sentiasa dinamik bagi meneruskan agenda melindungi kebajikan rakyat Malaysia secara keseluruhannya pada setiap masa.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia.

No comments:

Post a Comment