Friday, February 19, 2016

MMC, KeTTHA tandatangani kontrak bernilai RM1.5b - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 19 Feb. – MMC Corporation Berhad. (MMC) menerusi anak syarikat milik penuhnya, MMC Pembetungan Langat Sdn. Bhd. (MMC PLSB) menandatangani kontrak perjanjian bernilai RM1.5 bilion dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) bagi projek Loji Langat Berpusat Rawatan Kumbahan (CSTP) dan Sistem Pemindahan Pembentungan.

Pengarah Urusan Kumpulan MMC, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, MMC PLSB dianugerahkan kontrak tersebut berdasarkan pengalaman dan kejayaan syarikat yang membangunkan Perbadanan Perkhidmatan Kumbahan Tokyo Metropolitan di Jepun.

"Sebagai utiliti utama dan kumpulan infrastruktur dengan perniagaan dalam segmen pelabuhan dan logistik, tenaga dan utiliti serta kejuruteraan dan pembinaan, kami dilengkapi dengan sumber dan pengalaman yang membuktikan keupayaan kami dalam sektor kejuruteraan dan pembinaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Majlis tandatangani perjanjian itu yang diadakan baru-baru ini, dihadiri Ketua Setiausaha KeTTHA, Datuk Loo Took Gee; Ketua Pe­ngarah Jabatan Perkhidmatan Pembentungan, Datuk Ir. Dr. Zullkefle Nordin dan Pengarah MMC PLSB, Ir. Chee Weng Loon

Projek tersebut dijangka siap pada Oktober 2020 dan mampu meningkatkan kualiti kumbahan di samping mengurangkan satu daripada sumber pencemaran ammonia di Sungai Langat.

Fasiliti yang moden dan dilengkapi dengan inisiatif teknologi hijau dan kemudahan awam itu mampu menampung aliran kumbahan sebanyak 207,000 kubik meter setiap hari atau 920,000 kesetaraan penduduk meliputi kawasan tadahan seluas 60.9 kilometer per segi dari Cheras Batu 11 ke Kajang.

Projek tersebut akan menyusun semula 164 loji kumbahan tempatan di Cheras Batu 11, Desa Baiduri, Cheras Jaya, Kajang 1 dan Kajang 3.

Ia melibatkan pembinaan Sistem Pemindahan Pembentungan meliputi kawasan tadahan, pembinaan enam stesen pam baharu dan menaik taraf empat stesen pam sedia ada.

No comments:

Post a Comment