Monday, February 8, 2016

Isu defisit keyakinan cubaan jejas imej Malaysia - Berita Harian

DI negara ini, Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Peguam Negara (AG), Tan Sri Mohamed Apandi Ali, untuk membuat keputusan menurut budi bicaranya. Namun, media sosial, akhbar luar negara, pembangkang mahupun orang perseorangan terus menimbulkan pelbagai tohmahan dan spekulasi, malah memperlekeh integriti dan kredibiliti AG.

Ini khususnya selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan dana yang didakwa dimasukkan dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, datangnya daripada keluarga Diraja Arab Saudi sebagai 'derma' disusuli keputusan Apandi bahawa Najib tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Akhbar United Kingdom, Financial Times (FT), menerusi artikel baru-baru ini bertajuk The threat Najib poses to Malaysia's reputation dengan mendakwa Malaysia dijangka menghadapi 'defisit keyakinan' dalam kalangan rakyat kerana kononnya AG melepaskan Perdana Menteri daripada tuduhan dana 1MDB dimasukkan dalam akaun peribadi beliau.

Laporan itu juga mendakwa bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hampir mengalahkan kerajaan pimpinan Najib dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, selain sokongan warga bukan Melayu terhadap kerajaan kian merosot.

Jadi, apakah benar wujud 'defisit keyakinan' seperti dilaporkan oleh FT sedangkan Malaysia adalah antara ekonomi dunia yang mencatat prestasi terbaik bagi tempoh lima tahun berturut-turut?

Selain itu, tiga firma penarafan dunia seperti Standard & Poors, Moody's Investors Services dan Fitch Ratings, sepakat melaporkan bahawa Malaysia mempunyai asas ekonomi kukuh dan tidak menghadapi sebarang krisis walaupun berdepan persekitaran ekonomi global mencabar seperti yang dihadapi banyak negara lain.

IMF beri nilaian positif

Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) turut memberi penilaian positif dalam portalnya bertajuk Favourable Prospects For Malaysia's Diversified Economy berdasarkan pertemuan dan kajian ahli ekonomi IMF dalam kalangan pegawai kanan kerajaan Malaysia, Bank Negara, wakil komuniti perdagangan dan perniagaan, think-tank dan ahli akademik di Kuala Lumpur.

IMF menyatakan, After a year of very strong growth of 6 percent, lower energy export prices in 2015 will likely contribute to growth moderating to a still impressive rate of close to 5 percent.

IMF mengakui, ekonomi mikro dan kewangan Malaysia pada landasan yang kukuh dan stabil. Kerajaan dengan dasar strategik telah mengurus kewangan untuk menghadapi pelbagai cabaran seperti masalah kejatuhan harga komoditi dan minyak dalam pasaran dunia, kekurangan permintaan dunia, implikasi ekonomi China, aliran pengeluaran modal dan pelbagai persepsi terhadap politik dalam negeri (media@imf.org).

Ini bermakna, IMF menjangka, Malaysia mampu capai matlamat mengukuhkan struktur ekonomi supaya dapat memastikan pertumbuhan ekonomi lebih 4.4 peratus pada 2016. Petunjuk ekonomi lain seperti prestasi kadar inflasi, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), GDP didapati amat memberangsangkan. Pendapatan perkapita meningkat kepada RM33,385. Pelaburan langsung asing (FDI) terus meningkat daripada RM31.118 bilion pada 2012 kepada RM38.8 bilion pada 2013 dan seterusnya kepada RM39.6 bilion pada 2014.

Ekonomi negara kukuh

Kadar defisit fiskal berkurang daripada 6.7 peratus pada tahun 2009 kepada 5.3 peratus pada tahun 2010, 4.7 peratus pada tahun 2011, 4.3 peratus pada 2012, 3.8 peratus pada 2013, 3.4 peratus pada 2014 hingga 3.2 peratus pada 2015. Negara yang defisitnya sekitar empat peratus atau kurang adalah sebuah negara yang ekonominya kukuh dan selamat. Rizab antarabangsa pula kekal pada RM418 bilion pada 2015.

Selain itu, 1.8 juta peluang pekerjaan diwujudkan, kadar pengangguran dikurangkan kepada 0.6 peratus berbanding 3.8 peratus pada tahun 2009. Kadar kemiskinan pula dikurangkan kepada 1.7 peratus malah kemiskinan tegar telah hampir sifar.

Bank Pembangunan Asia (ADB) mengumumkan, Malaysia mencatat penurunan 55.3 peratus bagi peratusan penduduk di bawah garis kemiskinan yang juga penurunan terbesar dalam kalangan negara ASEAN. Malah, pendapatan purata bulanan atau keluarga juga semakin meningkat, iaitu daripada RM2,007 sebulan pada 2013 kepada RM 2,300 sebulan pada 2015.

Berdasarkan statistik prestasi ekonomi negara, laporan kononnya rakyat Malaysia menghadapi defisit keyakinan terhadap kerajaan tidak timbul, malah tidak masuk akal berdasarkan kejayaan pelan transformasi ekonomi (ETP), kerajaan (GTP) dan politik (PTP) yang diperkenalkan kerajaan Najib.

Pada hemat saya, rakyat tanpa mengira fahaman politik, perlu pertahan kepemimpinan negara yang jadi sasaran tuduhan liar yang jelas didorong meraih keuntungan juga dari segi wang ringgit dengan menjalankan propaganda pembohongan, sama ada media baharu atau lama untuk membantu kumpulan tertentu mencapai agenda politik mereka dengan menggunakan isu defisit keyakinan yang turut bertujuan menjejaskan imej negara.

No comments:

Post a Comment