Thursday, February 18, 2016

Chin Hin sasar RM41.08 juta dari IPO - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 18 Feb. - Syarikat pembekal bahan binaan bersepadu, Chin Hin Group Bhd. (Chin Hin) me­nyasarkan untuk meraih sebanyak RM41.08 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) dengan sejumlah 128 juta saham biasa pada harga terbitan RM0.65 sesaham.

Chiau Haw Choon (kiri) melihat buku prospektus yang dilancarkan sambil disaksikan Pengarah Urusan M&A Securities Sdn. Bhd. Bill Tan di Kuala Lumpur, semalam.

Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Chin Hin, Datuk Dr. Nik Nozrul Thani Nik Hassan Thani berkata, hasil IPO akan digunakan untuk mengembangkan kemudahan pengeluaran sedia ada dan bagi pembelian peralatan dan mesin baharu iaitu sebanyak 36.5 peratus, pembayaran balik hutang bank (36.5 peratus), keperluan modal kerja (17.2 peratus) dan per­belanjaan penyenaraian (9.8 peratus).

Katanya, terdapat 25.30 juta saham yang boleh dimohon orang awam, 6.4 juta saham bagi pengarah-pengarah yang layak, kakitangan dan mereka yang telah menyum­bang kepada kejayaan kumpulan dan 50.59 juta saham bagi pelabur bumiputera yang diluluskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri selain 45.91 juta saham lagi tersedia bagi permohonan melalui pelabur terpilih.

"Berdasarkan harga terbitan RM0.65 setiap saham dan modal saham modal terbitan dan berbayar Chin Hin 505 juta saham biasa, Syarikat akan mempunyai modal pasaran sebanyak RM328.83 juta.

"Tahun 2016 merupakan tahun yang penuh dengan peluang dan prospek bagi Chin Hin untuk berkembang," katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Sementara itu Pengarah Urusan Kumpulan Chin Hin, Chiau Haw Choon berkata, beliau yakin sektor pembinaan akan kekal kukuh de­ngan beberapa kontrak besar terus diterima sepanjang tahun.

"Dengan asas yang kukuh dan kuat, kami percaya Chin Hin Group bersedia untuk mengambil peluang-peluang yang akan datang dan mencatatkan satu lagi pres­tasi yang memberangsangkan," katanya.

Ujarnya, hasil yang diperoleh akan digunakan terutamanya untuk pengembangan perniagaan yang meliputi pengembangan kemudahan pengeluaran sedia ada seperti Concrete G-Cast dan Star­ken AAC untuk meningkatkan kapasiti pengeluarannya kepada 67,500 juta tan setahun dan 600,000 meter padu yang dijangka siap akhir tahun ini.

"Penutupan permohonan bagi terbitan awam dijangka pada 25 Februari 2016 manakala penyenaraian dijadualkan pada 8 Mac 2016," katanya.

No comments:

Post a Comment