Friday, February 26, 2016

Teduhan Cinta dipilih johan - Sinarharian

KUALA TERENGGANU –  Dengan bertemakan pelamin Teduhan Cinta,  Butik Rose Bridal House milik Noriati Adnan, 53, dinobatkan johan bagi kategori Pelamin Seni Persembahan Kreatif  sempena Festival Pelamin dan Rias Pengantin 2016.

Kemenangan itu mengulangi kejayaan kali pertamanya ketika menyertai pertandingan tersebut pada tahun 2013 bagi kategori yang sama.

Noriati berkata, pada pertandingan kali ini, dia bersaing dengan 19 peserta lain yang tidak kurang hebatnya.

"Alhamdulillah, kali ini rezeki memihak kepada Rose Bridal House.  Walaupun kos bagi menghasilkan pelamin ini lebih daripada jumlah yang dimenangi, tetapi berbaloi kerana penat lelah dan kesungguhan kami sekeluarga sehingga membawa kepada kemenangan ini," kata ibu tujuh anak ini.

Bagi kemenangan tersebut, dia membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000, set kerusi pengantin, plak penghargaan dan sijil penyertaan.

Berkongsi pengalaman, Noriati berkata, sebelum ini dia menjalankan pelbagai perniagaan termasuk kedai makan tetapi disebabkan persaingan dan banyak kedai makan, dia akhirnya memilih untuk membuka butik pelamin setelah mendapat sokongan ahli keluarga lain.

Memandangkan dia juga berkemahiran dengan fesyen dan jahitan manik, dengan modal permulaan sekitar RM80,000 bagi membuka butik hampir empat tahun lalu, perniagaan itu terus bertahan.

Butik tersebut beroperasi di Wisma Armon, Jalan Kamaruddin, Kuala Terengganu dan menjadi perniagaan keluarga apabila turut mendapat sokongan daripada suami,  Mohd Yahunza, 58.

Noriati turut berkongsi tip, dalam menjalankan perniagaan perkhidmatan kepada pelanggan khususnya kepada bakal pengantin, dia sama-sama berkongsi idea dengan pelanggan bagi menghasilkan pelamin dan pakaian yang diidamkan mengikut bajet mereka.

No comments:

Post a Comment