Sunday, February 21, 2016

J-Biotech yakin tarik pelabur bio ke Johor - Utusan Malaysia

JOHOR BAHRU 21 Feb. - Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech) yakin mampu terus menarik pelaburan berasaskan bio ke negeri ini, biarpun dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi pada masa kini.

Malah, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Amir-Jeffery Wan Abdul Majid optimis, industri tersebut menerusi inisiatif bioekonomi juga mampu menjadi satu daripada enjin pertumbuhan, sekali gus merancakkan lagi ekonomi negeri ini.

Beliau berkata, keyakinan itu juga bersandarkan kejayaan J-Biotech merekodkan pelaburan dalam pelbagai sektor berasaskan bio yang bernilai RM670.3 juta pada tahun lalu, melebihi RM500 juta yang disasarkan.

"Dengan pencapaian tahun 2015, J-Biotech menyasarkan untuk menarik pelaburan dari dalam dan luar negara sebanyak RM700 juta pada tahun ini, malah kita juga sedang berbincang dengan 15 syarikat bagi tujuan tersebut.

"Selain itu, ia juga disokong dengan pelan perniagaan dan strategi yang dirancang J-Biotech, sekali gus mampu memacu ke­rancakan industri itu di Johor pada tahun ini," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Wan Amir-Jeffery berkata, J-Biotech juga yakin jumlah itu dapat dicapai dengan berpaksikan kadar nilai pelaburan semasa terutama menerusi segmen AgroBio dan Bio Industri serta inisiatif pembangunan bio yang dijangka dilaksanakan tahun ini.

Beliau berkata, sokongan daripada kerajaan Pusat dan kerajaan negeri serta agensi terlibat juga dapat memastikan J-Biotech mampu terus memacu industri itu lebih berkembang selain meningkatkan saingan di peringkat global.

"Pada tahun ini, kita juga sudah merancang pelbagai program meneruskan usaha sedia ada, antaranya memperkasakan Johor Bio Talent, pembangunan Bio-SME dan program pembangunan komuniti bioekonomi (BCDP 2.0).

"Selain itu, J-Biotech akan me­nganjurkan Persidangan Antarabangsa Bio-Ekonomi Johor yang mampu menjadi platform bagi pihak terlibat membincangkan tentang pembangunan ekosistem sektor tersebut," katanya.

No comments:

Post a Comment