Friday, February 5, 2016

Kualiti produk tawaran Touratech Malaysia - Kosmo!

Kualiti produk tawaran Touratech Malaysia

TONY (kanan sekali) sambil ditemani dua orang staf Touratech Malaysia berdiri di hadapan produk tawaran syarikatnya ketika ditemui Garaj baru-baru ini.

PERSIAPAN. Itulah topik yang sentiasa bermain di minda penggemar aktiviti sukan lasak baik dijalankan di dalam atau pun luar negara.

Namun, sebahagian dalam kalangan pengguna kenderaan terutamanya motosikal sering kali buntu mencari solusi kepada masalah melengkapkan keperluan tunggang tidak kira sama ada tunggangan bagi perjalanan jarak jauh mahu pun dekat.

Menyedari kesulitan yang sering membelenggu rata-rata penunggang motosikal berkuasa tinggi tempatan, Touratech Malaysia selaku wakil pengedar rasmi kelengkapan tunggangan berpengaruh, Touratech tampil dengan pelbagai tawaran aksesori menarik khusus bagi dimanfaatkan pelanggan pasaran domestik.

Pengarah Urusan Touratech Malaysia, Tony Lim berkata, objektif utama beliau membawa masuk jenama tersebut adalah bertujuan mengurangkan impak kecederaan lebih serius dialami pengguna motosikal yang boleh dikatakan sentiasa berhadapan dengan risiko kemalangan saban hari.

"Rangkaian produk tawaran kami meliputi pelbagai jenis aksesori seperti kotak simpanan barangan di belakang dan sisi, beg tangki, sut tunggangan, topi keledar, beg sandang, besi kerangka dan lain-lain.

"Sebanyak RM400,000 diperlukan setiap hari bagi menjalankan rutin mengimport stok-stok baharu daripada kilang Touratech yang terletak di Jerman," katanya ketika ditemui Garaj.

Menurutnya, antara koleksi aksesori yang paling mendapat sambutan ialah produk topi keledar karbon fiber jenis modular seperti Aventuro dan Destino yang ditawarkan dalam tujuh pilihan varian kesemuanya.

Kualiti premium Touratech

Tambah Tony, beberapa orang wakil penjual turut dilantik bagi memastikan jenama edarannya itu dikenali dan terus mendapat tumpuan dalam kalangan pengguna motosikal berkuasa tinggi tempatan.

Selepas hampir tiga tahun beroperasi, Touratech Malaysia sudah memiliki kelompok penggemar jenamanya sendiri.

Pemegang Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Lincoln University, United Kingdom berusia 44 tahun ini menambah, kepercayaan terhadap kualiti produk yang ditawarkan Touratech antara alasan utama mengapa beliau memilih penjenamaan semula label ini di pasaran domestik.

"Galakan yang diberikan rakan baik saya, Herbert Schwarz yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Touratech antara penyumbang kepada kejayaan diraih pada hari ini.

"Enggan menoleh ke belakang, kami dijangka bakal membawa masuk beberapa produk baharu khas buat pengguna domestik Mac depan," ujarnya.

Produk baharu

Besar kemungkinan barisan produk berkenaan ialah dua lagi varian topi keledar Destino dan Aventuro versi modular baharu (ciptaan hasil kolaborasi bersama pengeluar helmet terkenal, Schuberg) sekali gus menjadikan jumlah topi keledar yang bakal dijual Touratech Malaysia sembilan varian secara keseluruhannya serta jaket tunggangan Companero Boreal bermula April depan.

Menerusi kemasukan produk-produk baharu itu, Touratech Malaysia yakin mampu mencapai unjuran jualan dua kali ganda lebih banyak tahun ini berbanding tahun lepas yang mana syarikatnya berjaya mencatatkan rekod keuntungan jualan mencecah RM1 juta bagi penyata kewangan terakhir Disember 2015.

Bagi mengetahui perkembangan terkini berkaitan produk terbaharu tawaran Touratech Malaysia, pengguna boleh melayari laman web rasmi di www.touratech.com.my atau berkunjung terus ke pusat pameran yang terletak di Jalan Pentadbir, Kawasan Perindustrian Glenmarie, Shah Alam, Selangor.

No comments:

Post a Comment