Monday, February 22, 2016

Iklim ekonomi semasa tidak jejas Sunway - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Iklim ekonomi semasa tidak menjejaskan operasi perniagaan Sunway Bhd. (Sunway) dan syarikat tersebut akan terus melancarkan beberapa projek bernilai RM1.6 bilion pada tahun ini, 70 peratus daripadanya di sekitar Lembah Klang, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM1 bilion.

Pengarah Urusan Bahagian Pembangunan Hartanah Malaysia dan Singapura, Sarena Cheah berkata, untuk tahun ini juga, Sunway bakal melancarkan beberapa projek hartanah lain termasuk di Johor dengan GDV RM400 juta, manakala di Ipoh dan Pulau Pinang dengan GDV kira-kira RM200 juta.

Ujarnya, biarpun pasaran hartanah ketika ini mencabar, Sunway berjaya merekodkan purata kadar pembelian sebanyak 80 peratus daripada pelancaran projek di Bangi, Cheras, Ipoh dan Johor dalam tempoh empat bulan kebelakangan ini.

Katanya, syarikat turut yakin dapat mencapai sasaran jualan hartanahnya bernilai RM1.4 bilion bagi tahun ini, selepas berjaya merekodkan jualan sebanyak RM1.2 bilion tahun lalu.

"Kejayaan tersebut adalah hasil rekod kami sebagai pemaju komuniti yang kukuh, lokasi pembangunan yang menarik serta kesungguhan syarikat untuk membina hubungan jangka panjang dengan pelanggan-pelanggan kami," katanya pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina Sunway di sini hari ini.

Tambahnya, bagi projek di Lembah Klang, Sunway bakal melancarkan Sunway Geo Residences 3 terdiri daripada 420 unit kondominium dengan GDV RM400 juta yang juga merupakan pelancaran akhir bagi projek berintegrasi di Sunway South Quay.

"Pelancaran sebelum ini merekodkan kadar pembelian sebanyak 90 peratus dan ini disebabkan lokasi strategik projek tersebut yang terletak berhampiran Sunway Resort City," katanya.

Cheah berkata, sebagai pemaju hartanah jangka panjang, pihaknya sentiasa mengintai peluang-peluang bagi mencari bank tanah di kawasan strategik dan menjalin kerjasama dengan syarikat lain yang berkongsi falsafah sama dalam membangunkan sesebuah komuniti.

Setakat ini, Sunway memiliki bank tanah seluas 1,337.1 hektar dengan GDV berjumlah RM47.7 bilion dan jangka masa pembangunan sehingga 15 tahun.

"Kami akan terus meneroka potensi hartanah di kawasan-kawasan strategik bagi membangunkan projek yang holistik," ujarnya.

No comments:

Post a Comment