Tuesday, February 2, 2016

Wakaf korporat perkasa ekonomi Muslim - Kosmo!

Wakaf korporat perkasa ekonomi Muslim

KETIKA rakan seperjuangan lebih memberi fokus untuk meneruskan pelajaran dalam bidang sastera, tokoh usahawan itu mengambil langkah berani apabila menyambung pengajian dalam bidang ekonomi yang baru diperkenalkan oleh Profesor Ungku Aziz di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

Meskipun tidak mempunyai latar belakang dalam bidang itu, Tan Sri Muhammad Ali Hashim, 68, berjaya menyemai minat dalam bidang perniagaan sehingga mengangkat namanya di peringkat nasional.

Selain tidak lokek berkongsi ilmu, usahawan yang dikenali menerusi perjuangan jihad bisnes itu merupakan seorang insan yang sangat peramah dan mudah didekati.

Setelah lebih tiga dekad mencurah ideologi dan formula bisnes dalam membina empayar Johor Corporation (JCorp), beliau tetap bersemangat untuk meneruskan perjuangan dalam mengetengahkan konsep jihad bisnes ke tahap antarabangsa berlandaskan prinsip Islam.

Dilahirkan pada 19 April 1947, anak jati Johor itu berkongsi pengalaman zaman mudanya yang masih tersimpan rapi walaupun sudah melewati usia enam dekad.

"Saya dilahirkan sebelum negara mengecapi kemerdekaan dan keadaan pada masa itu jauh berbeza berbanding sekarang. Walaupun pada usia muda, azam saya untuk berubah sangat tinggi.

"Apabila kita lahir sebagai anak sebelum merdeka, secara automatik perasaan cintakan tanah air dan semangat perjuangan telah wujud dalam diri untuk berubah ke arah lebih baik," katanya ketika ditemu bual Kosmo! di Kafe Flikcles, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah bapa kepada empat cahaya mata itu, beliau pernah berkhidmat sebagai anggota askar wataniah semasa menuntut di UM sekitar tahun 1960-an.

Pengalaman semasa berkhidmat sebagai askar wataniah memberi input yang kuat dalam pembentukan disiplin menjadi seorang usahawan.

Muhammad Ali mengupas mengenai konsep wakaf korporat melalui buku baharunya Strategi Jihad Bisnes.

Askar wataniah

Momen semasa dikerahkan sebagai askar di kampus UM ketika tragedi 19 Mei 1969 telah memahat memori yang tidak akan dilupakan.

Sebelum menimba ilmu di UM, Muhammad Ali mendapat pendidikan awal di sebuah sekolah Melayu di Johor sehingga darjah lima.

Selepas itu, beliau menyambung pengajian di Special Malay Class iaitu sebuah sekolah Inggeris sebelum menuntut di Muar High School dan English Collage dalam bidang sastera sehingga tingkatan enam.

Kecemerlangan dalam bidang akademik telah melayakkan Muhammad Ali untuk mendapat biasiswa daripada Bank Negara yang juga merupakan organisasi pertama beliau mencurahkan khidmat kepakaran dalam dunia ekonomi.

Dari 1970 hingga 1976, perjalanan karier Muhammad Ali bersama Bank Negara telah menghubungkan beliau dengan institusi yang mengangkat namanya dalam sektor perniagaan iaitu JCorp.

muhammad Ali (kanan) bersama Pengarah Urusan Telaga Biru Sdn. Bhd., Datuk Zahazan Mohamed bergambar bersama trofi sempena Anugerah Buku Negara di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur

Dorongan

Pengalaman bersama JCorp merupakan modul yang menjadi panduan dalam perjuangan beliau untuk memperkenalkan platform wakaf korporat.

"Penglibatan bersama JCorp banyak mengajar saya tentang selok-belok struktur ekonomi tempatan. Pada masa sama, saya memulakan konsep wakaf korporat sebagai jalan jihad bisnes melalui syarikat ini.

"Modul wakaf korporat di bawah JCorp, An-Nur Corporation Berhad merupakan satu-satunya konsep yang berjaya membuktikan implementasi prinsip Islam dalam perniagaan," ujarnya.

Kejayaan An-Nur Corporation Berhad menggandakan aset wakaf daripada RM250 juta kepada lebih RM500 juta setakat ini memberikan dorongan yang kuat untuk Muhammad Ali untuk membawa konsep sama di luar JCorp.

Setelah menamatkan perkhidmatan bersama entiti korporat ternama itu, beliau tidak berehat daripada dunia perniagaan.

Beliau meneruskan empayar pengaruh perniagaannya sebagai Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) berdasarkan semangat untuk membawa konsep wakaf korporat sebagai jalan jihad bisnes.

Bersama DPIM, Muhammad Ali merencanakan satu lagi model baharu wakaf korporat dengan penubuhan Awqaf Holdings Berhad.

Melalui Awqaf Holdings Berhad, perlaksanaan konsep wakaf korporat merupakan tunjang utama dalam operasi perniagaan, sekali gus menjadi platform untuk membangunkan semula peniaga-peniaga bumiputera Islam.

Usaha itu direalisasikan melalui projek pertama syarikat tersebut menerusi pembinaan Awqaf Coorporate Park yang bakal dibina di atas tanah seluas 0.89 hektar berdekatan dengan Masjid Besi di Putrajaya.

Projek yang melibatkan kos lebih RM400 juta itu bakal menempatkan lima blok perniagaan dan salah satunya merupakan milik bersama DPIM dan Awqaf Holdings Berhad manakala selebihnya akan dijual atau disewa kepada pelabur mahupun syarikat Muslim.

"Setakat ini, projek Awqaf Coorporate Park berjaya menarik minat ramai pihak yang positif dengan konsep wakaf korporat. Sekiranya projek ini berjaya, nilai modal yang dilaburkan bakal memperoleh keuntungan RM40 hingga RM60 juta.

"Melalui keuntungan ini, Awqaf Holdings Berhad akan menjadikannya sebagai modal untuk membangunkan projek-projek baharu bagi membantu peniaga dan memperkasa ekonomi Muslim," jelasnya.

Tambahnya, Awqaf Coorporate Park bakal menjadi model pertama yang mengimplementasikan konsep wakaf korporat dan ia adalah satu pencapaian yang mendapat maklum balas positif daripada pelbagai pihak.

Selain melaksanakan usaha praktikal dalam memperjuangkan konsep wakaf korporat, Muhammad Ali juga bergiat aktif dalam bidang penulisan buku dan menjadi penceramah pada majlis-majlis ilmu anjuran pelbagai agensi serta badan-badan bukan kerajaan.

Buku-buku karya Muhammad Ali mendapat sambutan menggalakkan daripada pembaca. Beliau menjadikan bidang penulisan sebagai platform untuk memberi pendedahan kepada masyarakat berkenaan konsep jihad dalam bisnes.

illustrasi Awqaf Cooporate Park merupakan projek pertama Awqaf Holdingsyang berdekatan dengan Masjid Besi Putrajaya.

Wakaf korporat

Selepas menghasilkan empat karya berkaitan perniagaan berteraskan Islam, dua daripadanya, Khalifah Ganti Superman terbitan Utusan Publication pada 2011 dan Strategi Jihad Bisnes oleh Telaga Biru Sdn. Bhd. (2015) mendapat pengiktirafan Anugerah Buku Negara anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara.

Muhammad Ali memberitahu, selain mengetengahkan konsep yang masih hijau dalam sektor ekonomi, dia juga mahu memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai keperluan untuk berjihad melalui perniagaan, sekali gus memperkasakan ekonomi diri, keluarga dan komuniti.

"Pada usia sekarang, sudah tiada apa yang mahu saya capai melainkan membantu masyarakat untuk memajukan diri melalui landasan Islam. Pada masa sama, ia membuka jalan kepada Muslim untuk memperkasakan ekonomi.

"Saya mahu konsep wakaf ini menjadi amalan dalam pelbagai sektor supaya ia dapat memberi manfaat turun-temurun berlandaskan syariat Islam," ujarnya.

No comments:

Post a Comment