Saturday, February 13, 2016

Gunakan khidmat koperasi laksana pengagihan MyBeras - Utusan Malaysia

PUTRAJAYA 13 Feb. – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dicadangkan menggunakan khidmat koperasi-koperasi komuniti seperti koperasi kariah masjid dan Koperasi Bela Rakyat (Kobera) untuk kerja-kerja pengagihan beras di bawah Program MyBeras.

Abdul Fattah Abdullah

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, kewujudan koperasi-koperasi tersebut perlu dimanfaatkan memandangkan kedudukannya yang hampir dengan golongan sasar program berkenaan.

Katanya, koperasi-koperasi ber­kenaan juga memiliki mekanisme kawalan tersendiri melibatkan audit dalaman serta mesyuarat agung tahunan yang dapat mengelakkan sebarang ketirisan.

"Masalah utama apabila kerajaan mengagihkan barang bersubsidi ini adalah ketirisan, namun melalui koperasi-koperasi ini saya memberi jaminan bahawa perkara itu tidak akan berlaku.

"Kalau kita lihat Kobera, ramai daripada ahlinya terdiri daripada golongan sasar program MyBeras, jadi, ini akan memudahkan lagi proses pengagihan beras berkenaan sekali gus menjamin kejayaan program berkenaan," katanya selepas merasmikan mesyuarat agung serta Pameran dan Hari Jualan Koperasi Kariah Surau al-Hidayah Taman Desa Dengkil Berhad (Kopsah) di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd. Sharif dan Pengerusi Kopsah, Md. Salehdin Abd. Rashid.

Pada 28 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan pengubahsuaian Bajet 2016 mengumumkan pelaksanaan program MyBeras sehingga Disember tahun ini bertujuan mengurangkan beban hidup keluarga miskin di negara ini termasuk Sabah dan Sarawak.

Berdasar statistik, terdapat sebanyak 751 koperasi kariah masjid dan 320 Kobera di negara ini.

Dalam pada itu, Abdul Fattah berkata, Angkasa dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyasarkan kesemua 6,210 masjid di negara ini mempunyai koperasi kariah masjid mereka sendiri menjelang 2020.

"Adalah penting bagi masjid-masjid ini menubuhkan koperasi mereka sendiri bagi meneroka potensi-potensi perniagaan baharu sekali gus memperkukuhkan ekonomi umat Islam di negara ini," katanya.

No comments:

Post a Comment