Wednesday, February 17, 2016

Gerak gempur rokok seludup - Harian Metro

yusmizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketika usaha membasmi penjualan rokok seludup dipergiatkan dan menunjukkan kejayaan memberangsangkan, masih ada pihak yang ingkar semata-mata demi meraih keuntungan walaupun sedar ia mengancam kesihatan pengguna berikutan kadar nikotin serta tar berlebihan daripada paras dibenarkan.

Sehubungan itu, pelancaran Op Outlet 3.0 di seluruh negara bukan saja bakal memperlihatkan lebih banyak penguatkuasaan penjualan rokok seludup oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), malah memperkukuhkan tindakan undang-undang terhadap peruncit yang tidak bertanggungjawab.

Ia termasuk pembatalan lesen perniagaan kerana dalam operasi sebelum ini, ramai pekerja asing ditangkap, ditahan, dipenjara dan dihantar pulang ketika serbuan dikuatkuasakan JKDM sedangkan pemilik perniagaan terlepas begitu saja.

Dalam Op Outlet 3.0 yang dilaksanakan serentak di lima negeri iaitu Johor, Selangor, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang dan Perak, kelmarin, 16 premis didapati memiliki rokok seludup termasuk menjualnya.

Pada serbuan di Johor, dua pekerja warga asing ditahan dan boleh didakwa mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan dihantar pulang ke negara asal.

Selain daripada Akta Kastam 1967, polis akan menguatkuasakan Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) yang boleh diambil sebagai tindakan menghukum pemilik perniagaan yang tidak bertanggungjawab menggunakan pekerja asing dan menjual rokok seludup.

Pada 18 Januari lalu, Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Matrang Suhaili dilaporkan berkata, pelbagai nilai tambah diberikan dalam Op Outlet 3.0 bagi meningkatkan impak termasuk mengambil tindakan ke atas mana-mana peruncit atau pemilik lesen perniagaan yang menyewakan premis atau menggaji pekerja untuk menjalankan perniagaan terbabit.

Katanya, pihaknya meningkatkan tindakan undang-undang dan lebih tegas dalam operasi siri ketiga 2016 bagi membanteras rangkaian pengedaran serta penjualan rokok seludup di negara ini.

Menurutnya, pihaknya akan turut bekerjasama dengan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan membatalkan lesen perniagaan atau menarik balik penyewaan premis perniagaan sekiranya didapati terbabit dalam penjualan rokok seludup.

Sejak Op Outlet pertama kali dilancarkan pada 2010, lebih daripada 11,009 kes disiasat membabitkan 1.43 bilion rokok seludup bernilai RM116.9 juta sehingga menyebabkan kerajaan kerugian RM719.62 juta hasil cukai.

Pada 2015 saja, 2,341 kes disiasat membabitkan 397 juta batang rokok seludup bernilai RM206.46 juta manakala sepanjang 2014 hingga 2015, 593 individu dihukum penjara antara sehari hingga setahun kerana memiliki, mengedar dan menjual rokok seludup.

No comments:

Post a Comment