PEMILIK rangkaian barangan kulit yang semakin dikenali, Rushai Leather, mampu tersenyum bangga kerana cawangan ketujuh bakal dibuka di Putrajaya tidak lama lagi.
Kherul Kamal Mohd Rubi, 44, berkata, dia mengukir kejayaan dengan cara tersendiri tanpa memberi tekanan kepada diri.
"Saya datang ke sini dari kampung berbekalkan RM1. Keinginan untuk berjaya membuatkan saya tidak jemu untuk terus berusaha dari bawah.
"Usaha saya berbaloi kerana telah memiliki enam cawangan iaitu di Plaza Alam Sentral, Plaza Masalam, Amcorp Mall, Pertama Kompleks, Ampang Park, Dataran Pahlawan dan akan datang di Putrajaya.
Katanya, persaingan sentiasa ada namun dia akan pastikan ia tidak memberi tekanan kerana percaya dengan konsep words of mouth.
"Saya sentiasa memastikan barangan yang dijual berkualiti dan beri perkhidmatan terbaik untuk pelanggan.
"Perkhidmatan caj rendah selepas jualan telah disediakan khas untuk pelanggan kami seperti membaiki buckle tali pinggang yang patah, zip rosak, kulit koyak dan sebagainya tanda penghargaan serta komitmen kepada pelanggan," katanya yang ditemui di cawangan butiknya yang terletak di Shah Alam.
Meterial luar negara
Menurut Kherul Kamal, bekalan material kulit diperoleh dari luar negara seperti New Zealand, Brazil ,India, Thailand dan Pakistan.
"Ada produk kami hasilkan sendiri. Kami beli kulit haiwan yang sudah siap diproses dan buat rekaan sendiri berdasarkan permintaan. Namun kini kami tak dapat penuhi kerana permintaan meningkat dan perlu dapatkan perkhidmatan luar.
"Antara material yang sering digunakan ialah kulit lembu. Ia bersifat 'universal' iaitu boleh dibuat kasut, beg tangan, jaket, kasut dan pelbagai lagi di samping lebih ekonomi serta tahan lama," katanya.
Jelasnya, kulit kambing biri-biri juga sering digunakan untuk buat jaket dan 'lining' kasut kerana lebih lembut dan selesa.
"Ada juga produk dari kulit buaya tapi sikit sahaja," katanya yang turut menjual produk penjagaan barangan kulit pada harga RM30 hingga RM100.
Promosi atas talian
Katanya, dia turut membuat promosi di atas talian dan akan dipergiat lagi selepas ini bagi memenuhi permintaan dan memudahkan pelanggan mendapatkan produk Rushai Leather.
"Saya orang yang berpinsip slowly but surely. Walaupun lambat tapi saya akan pastikan sampai juga akhirnya kerana saya percaya ia lebih bertahan dan bermakna. Apa yang perlu saya tekankan, kualiti produk.
"Kami juga ada keluarkan jenama pakaian sendiri sejak 2005 seperti baju T dan kurta yang berharga sekitar RM90 ke bawa," katanya.
Kherul Kamal yang turut dibantu isteri, Zalida Sulaiman, 40, dalam pengurusan akaun syarikat, menyarankan mereka yang berhasrat memulakan perniagaan jangan takut berdepan cabaran.
"Banyak ciri yang melemahkan antaranya modal, malu, dan bimbang rugi sedangkan perniagaan berkaitan untung serta rugi. Saya juga pernah rugi namun ia tidak pernah mematahkan semangat malah terus bangkit.
"Kita perlu buat kajian sendiri dalam masa tiga tahun untuk kenal pasti produk kita boleh diteruskan atau tidak kerana ia bergantung pada permintaan, jika tinggi dan mampu bertahan...teruskan melangkah," katanya.
No comments:
Post a Comment