WEST mendominasi industri berlian di Afrika yang rata-ratanya diterajui oleh golongan lelaki.
INDUSTRI perhiasan permata merupakan salah satu sektor yang jarang diterajui oleh golongan wanita warga Afrika.
Bagaimanapun, seorang wanita Nigeria, Thelma West, 32, memecah tradisi apabila mengungguli pengeluaran produk batu permata di benua Afrika yang terkenal sebagai lokasi sumber utama batu-batu berharga di dunia itu.
Dia menjadi legasi pertama dalam keluarganya yang berkecimpung dalam industri berlian. West juga sudah biasa menjadi orang luar kerana dibesarkan oleh sebuah keluarga berbangsa Yahudi.
"Saya seorang sahaja wanita Nigeria berbangsa Yahudi yang terbabit dalam industri ini dan saya tidak tahu sekiranya ada pesaing wanita lain di luar sana," jelasnya yang berpangkalan di London, Britain.
Setiap pelanggan yang datang ke premisnya itu disambut mesra. Pada masa sama, dia turut memperagakan beberapa aksesori pada pergelangan tangannya.
Baginya, budi bicara dan faktor keselamatan sangat penting. Disebabkan kedainya menjadi sasaran penjenayah, ia dijaga dengan rapi menggunakan sistem interkom, pintu automatik dan televisyen litar tertutup.
Selepas menyambung pengajian di sekolah antarabangsa yang paling berprestij di Lagos, Nigeria, West mengembara ke Britain pada usia 16 tahun untuk menyambung pengajian.
"Saya bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera kerana pada masa itu, anda terpaksa memilih kerjaya yang kukuh seperti doktor, peguam dan bidang profesional lain di Nigeria," ujarnya.
Setiap perhiasan dihasilkan West mempunyai ciri yang unik dan tersendiri.
Namun, seperti kata pepatah Inggeris, Diamons Are Forever, kilauan batu-batu berharga itu memukau dirinya dan orang-orang Barat sejak zaman kanak-kanak lagi.
"Ibu saya mempunyai banyak barang kemas.
"Kami sentiasa bermain dengan kotak barang kemas manakala ibu akan sentiasa membersihkan perhiasannya dan saya akan membantu," katanya.
Ibunya merupakan pekerja di sebuah syarikat minuman, manakala bapanya bekerja sebagai pemaju hartanah.
Pada usia 17 tahun, West berhijrah sendirian ke Antwerp, Belgium iaitu pengeluar utama batu berlian.
Di sana, dia belajar di sekolah antarabangsa Hoge Raad Voor Diamant untuk mengasah kemahirannya.
"Walaupun saya pergi ke sekolah, kebanyakan pengetahuan sebenarnya diperoleh melalui pengalaman bekerja dengan berlian setiap hari," katanya.
Usahanya tidak sia-sia kerana selepas menjalani latihan selama enam bulan, dia diambil bekerja oleh seorang peniaga berlian berketurunan Yahudi Ortodoks. Dia bekerja pada setiap petang selepas sekolah selama setahun.
West kemudian diambil bekerja oleh salah satu pembekal berlian terbesar di Eropah yang berpangkalan di Sepanyol.
"Ia merupakan pengalaman yang telah memberikan pendedahan mendalam tentang berlian. Pada usia 19 tahun, saya diberi tanggungjawab untuk setiap berlian milik syarikat tunggal itu," ujarnya.
Bekerjasama dengan rakan-rakan sekolah dari Lagos yang rata-ratanya telah berpindah ke sektor perbankan pelaburan, West menubuhkan perniagaan sendiri di London untuk berdagang batu berharga.
Dengan memegang penyepit logam di tangan, West menjelaskan rahsia beberapa stok berlian miliknya.
"Berlian mempunyai api," kata West.
Potongan berlian yang sempurna mampu menghasilkan kilauan yang mengagumkan.
"Batu itu terlalu rata tetapi ia mendapat banyak kehidupan di dalamnya, ia dipotong kira-kira 100 tahun lalu," katanya sambil menunjuk ke satu batu yang kecil.
Bengkel
"Batu ini berharga AS$141,000 (RM563,717). Ia mempunyai warna yang kurang menyerlah tetapi batu ini telah dipotong dengan sempurna supaya ia mencerminkan cahaya dalam apa-apa cara yang menakjubkan," jelasnya.
Daripada 50 pelanggan, 12 daripada mereka adalah pelabur dan mempunyai akses kepada pengetahuan Barat.
"Saya boleh mencari berlian dan memanggil pengusaha. Saya memberitahu bahawa mereka perlu membeli berlian ini... mereka menuruti kata-kata saya," ulas usahawan itu.
Mempunyai pelanggan dari pelbagai negara seperti Switzerland, Rusia, Ghana, Nigeria dan Perancis yang diperkenalkan dari mulut ke mulut, ia menjadi faktor kejayaan kedai berliannya.
Dibantu oleh pasukan kakitangan yang terdiri daripada 10 orang wanita, West memberikan jaminan seumur hidup untuk produk berlian keluarannya.
Rekaan paling berharga ialah seutas kalung yang ditempah khas bernilai kira-kira AS$2 juta (RM8 juta).
Dia merancang untuk membuka sebuah bengkel di Nigeria untuk melatih kanak-kanak perempuan dalam seni pembuatan barang kemas.
Baginya, ia merupakan sumbangan kecil untuk masyarakat. Dia turut mencipta peralatan revolusioner yang akan membantu orang ramai dalam perniagaan mereka.
"Alat itu harus menjadi sebahagian daripada setiap peniaga berlian dan kedai," ujarnya. – AFP
No comments:
Post a Comment