PEMASARAN produk makanan halal kini semakin berkembang pesat. - Foto hiasan
FAKTA sejarah dan banyak kajian ilmiah jelas menunjukkan bahawa kemajuan ekonomi antara faktor utama memacu perkembangan sesebuah negara mahupun komuniti. Ekonomi yang lemah akan lebih mudah mendedahkan sesebuah negara kepada ancaman luar dan kekacauan dalaman.
Namun, perkembangan ekonomi negara harus selaras dengan pengagihan kekayaan yang adil dan saksama. Dari segi ini, Malaysia adalah negara terulung, mengamalkan dasar 'growth with equity' atau 'Pembangunan dengan Kesaksamaan.'
Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Kedua pada 1971 oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein mempunyai matlamat suci iaitu perpaduan nasional. Matlamat ini hendak dicapai melalui pembasmian kemiskinan dan menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.
Biarpun banyak kritikan dilemparkan ke atas DEB, banyak kajian ilmiah menunjukkan kejayaan dan jasanya. Bagi penulis, antara kejayaan besar DEB adalah kewujudan kelas menengah dan kelas menengah atas dalam kalangan Bumiputera yang begitu ramai.
Namun kewujudan kelas menengah tidak cukup untuk mengimbangi penguasaan ekonomi dalam negara yang masih dipegang oleh golongan peniaga dan pemilik konglomerat perniagaan.
Kejayaan DEB
Secara jujur, DEB berjaya memulakan gerak ke arah perwujudan keadilan ekonomi di Malaysia apabila kadar kemiskinan negara dikurangkan kepada 17.1 peratus pada 1990 berbanding 49.3 peratus pada 1970. Kadar Kemiskinan pada 2014 pula terus turun kepada tahap 0.6 peratus saja.
Ketika DEB mula dilaksana, kemiskinan dalam kalangan masyarakat Melayu berada pada paras 64.8 peratus. Profesional Melayu ketika itu hanya 4.9 peratus (225 orang) berbanding bukan Melayu, 84.3 peratus (3,859 orang). Pada 1995, profesional Melayu meningkat kepada 31.1 peratus, manakala kaum Cina, 52.4 peratus. Pada akhir 2002 pula, profesional Melayu secara puratanya meningkat kepada 39 peratus dan 42.5 peratus pada 2008.
Umat Islam secara 'de facto,' ramai tergolong dalam pengkelasan Bumiputera, walaupun tidak semua Bumiputera beragama Islam dan tidak semua yang beragama Islam itu Melayu atau Bumiputera. Sungguhpun demikian, DEB secara tidak langsung, adalah perancangan strategik pembangunan ekonomi bagi sebahagian terbesar daripada umat Islam di negara ini.
Selepas penamatan DEB, Dasar Pembangunan Nasional (DPN) diperkenal pada tahun 1991 hingga 2000 dengan sedikit sebanyak masih meneruskan beberapa dasar utama DEB.
Malaysia tidak ada memperkenalkan apa-apa dasar ekonomi utama selepas DEB tamat kecuali meneruskan polisi atau dasar DEB melalui DPN, sehinggalah Perdana Menteri ketika ini, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB) pada Mac 2010.
MEB tingkat pendapatan negara
MEB berteraskan kepada peningkatan produktiviti pekerja bertujuan membantu mereka meningkatkan pendapatan bagi merealisasikan matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi.
Sejak penamatan DEB dan apabila MEB diperkenal, tidak ada lagi perancangan ekonomi yang memberi tumpuan kepada perkembangan ekonomi umat Islam, baik secara langsung mahupun tidak langsung.
Hari ini kita tahu kerajaan Malaysia banyak mempromosi pelbagai bentuk ekonomi Islam, sama ada bentuk kewangan Islam atau produk halal, yang berjaya meletak nama Malaysia pada tahap yang baik pada peringkat dunia.
Namun, apabila diteliti segala data yang berkaitan dengan ekonomi Islam yang menjadi sebahagian ukuran kejayaan Malaysia pada hari ini, ia tidak melambangkan ekonomi umat Islam. Malah ekonomi Islam, jika dilihat dari sudut semua aktiviti ekonomi negara yang dilabel sebagai patuh syariah atau dicop halal, ia tidak hanya berkait dengan umat Islam.
Produk halal milik bukan Islam
Malah, data dalam niaga kewangan Islam dan produk halal menunjukkan ia jauh lebih banyak dimiliki atau diusahakan oleh bukan Muslim. Maksudnya, ekonomi Islam negara ini tidak dikuasai oleh orang Islam.
Keadaan ini seharusnya tidak menggembirakan umat Islam, kerana pandangan dan persepsi dunia luar, malah ramai pada kalangan umat Islam Malaysia sendiri berasa bahawa mereka mempunyai daya kawal ekonomi yang baik bila dilihat kepada jumlah nilai niaga dan ekonomi yang dilabel sebagai ekonomi Islam.
Ia adalah persepsi yang tidak benar dan rasa yang boleh menipu diri sendiri. Malah dalam keadaan tertentu, ada kemungkinan kekuatan ekonomi yang berasaskan Islam ini boleh disalahgunakan terhadap umat Islam itu sendiri.
Nilai niaga makanan halal di dunia berjumlah sekitar AS$$2.77 trilion (RM10.52 trilion) setahun, manakala nilai eksport produk halal dari Malaysia mencecah RM37.7 bilion setahun (KPE Martrade, 25 Nov 2015).
Petunjuk ini memberi gambaran kuasa beli umat Islam seluruh dunia. Sayangnya, peratus besar niaga itu dimiliki dan dikawal orang bukan Islam. Daripada RM37.7 bilion eksport halal Malaysia itu, tidak sampai 10 peratus dimiliki oleh orang Islam.
Malaysia juga berbangga dengan aset Perbankan Islam pada 2007 mencapai jumlah AS$$65.6 bilion (RM255.7 bilion), dengan pengembangan tahunan pada kadar 18 hingga 20 peratus (Bank Negara). Namun kita tahu, peratus besar daripada jumlah ini tidak dalam penguasaan orang Islam.
No comments:
Post a Comment