PUTRAJAYA 21 April – Sekretariat Pembangunan Usahawan Malaysia (Same) menyasarkan sebanyak 50 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan terlibat dalam program memasarkan produk halal ke China.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, sehingga kini, 19 syarikat telah berdaftar dengan Same untuk tujuan tersebut dan pihaknya yakin mampu memenuhi sasaran dalam masa terdekat.
Beliau berkata, dalam pertemuannya bersama Bank of China baru-baru ini, bank tersebut menyatakan kesediaan memberi pinjaman kepada usahawan PKS yang berminat memasarkan produk halal di negara itu.
"Ini adalah peluang terbaik kepada usahawan PKS memasarkan produk halal masing-masing ke China, peluang yang ada perlu dimanfaatkan dan mereka yang berminat boleh berhubung terus dengan Same.
"Mei depan kita akan adakan lawatan ke China untuk meninjau pasaran di sana, masih ada masa untuk mereka yang berminat menyertai lawatan ini," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Ka Siong hadir perjumpaan siri kedua Kelab Juara Malaysia yang menghimpunkan usahawan-usahawan terkemuka yang telah mendapat pengiktirafan daripada kerajaan, pihak media dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menurut Ka Siong, usahawan PKS yang menyertai program memasarkan produk halal ke China diyakini mampu untuk mengembangkan lagi perniagaan masing-masing kerana permintaan produk halal di China amat tinggi.
Sementara itu katanya, Same merancang mengadakan sesi penerangan mengenai Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) kepada para usahawan dan juga setiap lapisan masyarakat di negara ini
"Langkah ini diambil kerana masih ada pihak yang kurang jelas mengenai AEC, melalui sesi penerangan yang akan dianjurkan ini saya berharap semua pihak akan mendapat manfaat secara menyeluruh," katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai perjumpaan siri kedua Kelab Juara Malaysia, Ka Siong merangkap Timbalan Presiden MCA berkata, perjumpaan yang mengumpulkan lebih 80 usahawan itu menjadi medan untuk saling bertukar-tukar pandangan dan berkongsi kejayaan.
No comments:
Post a Comment