KHAIRUL Idham Pawi yang memenangi perlumbaan Moto3 pada Grand Pix (GP) Argentina Isnin lalu. - Foto AFP
PELUMBA motosikal Khairul Idham Pawi yang memenangi perlumbaan Moto3 pada Grand Pix (GP) Argentina Isnin lalu, menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi perlumbaan motosikal di peringkat dunia.
Seluruh rakyat Malaysia bangga dengan kejayaannya itu. Dalam perspektif masyarakat Malaysia, Khairul Idham adalah pencipta sejarah dalam sukan permotoran negara.
Ia menjadi kebanggaan kerana tidak ramai rakyat negara ini yang mampu menjadi juara dunia. Mungkin pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, pemain skuasy negara Nicol David dan segelintir yang lain sahaja yang dapat menempa nama di peringkat tertinggi. Kemenangan Khairul Idhan dalam perlumbaan kelas Moto3 itu meletakkan pelumba motosikal negara kini setanding dengan pelumba terkemuka lain di dunia.
Kemenangan itu juga meletakkan nama Malaysia dalam peta sukan lumba motosikal dunia. Usaha memperkenalkan negara dalam sukan permotoran ini bukanlah baru, khususnya selepas Malaysia menjadi antara penganjur perlumbaan Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang. Cuma, malang bagi seorang lagi pelumba negara, Adam Norrodin yang terbabit dalam kemalangan di saat-saat akhir.
Namun, walaupun terjatuh, beliau berjaya menamatkan perlumbaan dengan menolak motosikalnya sambil berlari ke garisan penamat untuk membolehkan beliau menduduki tempat ke-11. Sikap Adam pula menjadi kebanggaan, semangat kesukanan yang ditunjukkan sangat menakjubkan.
Ia boleh dijadikan teladan untuk meningkatkan semangat orang lain dalam apa bidang sekali pun. Ia menunjukkan semangat tidak mengenal erti kalah atau dalam erti perjuangan, beliau berjuang hingga ke 'titisan darah' yang terakhir.
Sebelum meletakkan dirinya sebagai pelumba negara, sudah tentulah beliau terpaksa bertatih dari bawah. Jika tidak sabar atau mudah kecewa, apa yang dicapainya ini tidak mungkin berlaku. Kejayaan Khairul Idham ini adalah satu contoh ciri ketabahan diri yang perlu ada bagi setiap individu.
Untuk maju, seseorang itu perlu menempuh pelbagai rintangan sebelum meraih kejayaan. Barangkali, tidak ada seorang manusia pun yang tidak pernah menemui kegagalan dalam kehidupan. Setiap orang pasti pernah mengalami kegagalan dan faham erti kekalahan. Bagi mereka yang berusaha memperbaiki kelemahan, mereka akan maju dan mencapai apa yang dicita-citakan.
Khairul Idham pastinya bercita-cita menjadi pelumba terkemuka dunia dan cita-citanya sudah pun berhasil. Begitu juga dengan sikap manusia dalam menghadapi perubahan. Setiap individu perlu berubah mengikut keadaan dan suasana semasa. Di Malaysia, ramai rakyat yang berusaha mengubah diri untuk menjadi yang lebih baik daripada sebelumnya. Pepatah pun ada menyebut, kita mestilah berusaha menjadi manusia yang lebih baik daripada semalam.
Tekad untuk berjaya
Sebagai contoh, jika seseorang itu adalah pelumba haram motosikal, mungkin beliau boleh berubah dan mengikuti jejak kejayaan Khairul Idham. Tanya pada diri sendiri, sehingga bila mahu menjadi pelumba haram yang sentiasa diburu polis dan meletakkan nyawa ibarat tidak berharga. Kemungkinan mereka boleh berubah dengan menyertai kelab berkaitan dan belajar menunggang secara betul dan menyertai perlumbaan motosikal secara sah.
Dengan tekad yang bulat dan semangat tinggi, mungkin satu hari nanti, mereka boleh menempa kejayaan. Tetapi, jika lima tahun lalu mereka adalah pelumba haram dan sekarang pun masih pelumba haram, mereka hanya membazir masa tanpa mencipta sebarang kejayaan diri. Analogi ini sama dalam apa bidang sekali pun.
Begitu juga dengan seorang peniaga gerai atau kedai runcit yang perlu memikirkan cara mana mahu berubah dan mampu memenuhi kehendak pelanggan yang sentiasa berubah. Jika sepuluh tahun lalu, mereka berniaga di gerai atau kedai runcit, sepatutnya mereka sudah mempunyai sebuah restoran atau pasar mini. Perniagaan kedai runcit mungkin relevan di kampung itu kerana ia masih membenarkan amalan berhutang.
Pembeli boleh membeli barang tetapi membayarnya setiap hujung atau awal bulan. Di bandar-bandar, malah di pekan kecil, kedai runcit sudah hampir pupus. Konsep perniagaan pasar mini sudah pun berkembang di merata tempat di negara ini sejak sekian lama. Jika masih ada orang yang berniaga kedai runcit, khasnya di bandar-bandar besar, mereka dianggap sebagai ketinggalan zaman dan menjalankan amalan tradisi.
Adalah sukar bagi mereka untuk bersaing dengan perniagaan pasar mini yang dianggap sebagai 'kedai serenti' yang lebih praktikal.
Penulis ialah Felo Universiti Utara Malaysia (UUM)
No comments:
Post a Comment