Latar belakang dan usia tidak pernah menjadi halangan untuk seseorang menggapai apa yang diimpikannya.
Ia sama sekali bukan ukuran dalam menentukan pencapaian seseorang. Tiada asas, tidak tahu dan tidak mahir juga tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak berusaha atau tidak mencuba perkara baru.
Bagi wanita ini, latar belakang, usia dan pengalaman nyata tidak memberikan sebarang justifikasi kepada apa yang dilakukannya sejak separuh dekad lalu.
Nama Huen Su-Yin mungkin jarang didengari namun andai Delectable by Su yang diperkatakan, ramai kalangan warga kota pernah merasai hasil air tangan wanita ini.
Huen Su-Yin atau Su ini bukan ada satu tetapi empat kedai kek yang majoritinya beroperasi di pusat beli-belah utama.
"Gila. Bila difikirkan semula itu memang kerja gila. Dua di pusat beli-belah yang sama, satu di Segitiga Emas dan satu lagi di bangunan kami sendiri.
"Tetapi saya percaya kita diberi peluang terbaik hanya satu atau dua kali dalam hidup. Jadi apabila peluang terbentang di depan mata, saya tak ambil masa untuk berfikir panjang.
"Biasanya saya ambil dulu peluang itu dan kemudian baru fikir mengenai masa depan. Berisiko tetapi saya percaya ia berbaloi.
"Kalau NIKE sering laungkan 'Just Do It', saya pula 'Do. Do. Do. Just Do It All.' Ada yang kata bahaya tetapi itulah yang banyak mengajar saya selok-belok perniagaan ini," katanya.
Azam dan kerja keras juga menjadi antara penggerak utama yang membantu Su mengharungi pelbagai ujian serta kesilapan pada saat awal pembabitannya dalam dunia keusahawanan.
Bagi seseorang yang tiada asas dalam pembuatan kek, bakeri dan sebagainya, Su berusaha untuk menutup kelemahannya itu.
Di atas kertas, Su adalah lulusan ijazah pengurusan pembinaan dan hartanah dari Sydney, Australia. Minatnya dalam bidang kek dan bakeri bermula di Sydney apabila bekerja secara sambilan di restoran dan kedai kek.
"Saya mula membuat kek ketika di universiti. Saya cuba banyak jenis kek dan suka bereksperimentasi dengan teknik serta peralatan baru di pasaran.
"Rakan sekelas dan teman serumah yang menjadi tukang uji setiap rekaan saya. Mujur majoriti sukakannya walaupun ada banyak yang tidak menjadi seperti diharapkan.
"Tidak lama selepas itu saya makin tertarik dengan pembuatan dan perhiasan kek yang lebih kompleks. Saya mula bermain dengan fondant.
"Semua yang saya pelajari diperoleh dari Internet dan YouTube. Ada juga saya gunakan buku panduan membuat kek dan fondant tetapi tidak banyak yang lengkap.
"Boleh dikatakan saya banyak belajar daripada kesilapan. Banyak kali saya gagal tetapi kegagalan itulah yang membuatkan saya terus bangun mencuba tanpa putus asa.
"Saya seorang yang sukakan cabaran, jadi secara semula jadi saya jadikan kegagalan itu sebagai cabaran yang perlu diatasi," ujarnya.
Usai pengajian di Australia, Hui kembali ke tanah air dan terbabit dalam bidang korporat.
Hatinya bagaikan meronta untuk segera kembali ke dunia bakeri dan kek hingga akhirnya wanita berasal dari Ipoh, Perak ini berhenti kerja lalu terbang ke Amerika Syarikat bagi menyertai kursus pembuatan kek jangka pendek di Notter School of Pastry Art, Florida.
"Saya tertarik dengan seni hiasan kek yang unik. Untuk menghasilkan kek yang penuh berseni, saya perlukan asas dalam pembuatannya dan nekad ke Florida.
"Keluarga menyokong sepenuhnya apa yang saya lakukan walaupun ia tampak sukar dan mustahil. Keputusan itu benar-benar mengubah kehidupan saya.
"Tidak dapat saya bayangkan apa yang akan berlaku kepada saya jika terus bekerja di bidang korporat," katanya.
Blog, buku dan Instagram
Blog menjadi medium utama Su sepanjang berada di Sydney dan blog itu jugalah menjadi saksi kepada setiap memori serta suka dukanya dalam bidang ini.
Selepas kembali ke Malaysia, Su mempunyai masa terhad untuk mengendalikannya lalu ia dihentikan sejurus perniagaan keknya bermula.
"Saya tiada pilihan. Ramai yang mengikuti kembara kek saya dalam blog itu dan di situ jugalah kek saya dikenali ramai.
"Dengan kekangan masa dan pertambahan kedai, saya tiada masa untuk menyelenggara blog itu jadi sebaik-baiknya ditutup.
"Bagaimanapun, kepesatan teknologi IT berterusan membantu perniagaan saya. Aplikasi Instagram saya gunakan sebaiknya sebagai medium promosi jenama Delectable ini.
"Instagram juga lebih mudah dan pantas berbanding blog, justeru ia membantu mengembangkan lagi perniagaan ini," jelasnya.
Bagaimanapun, peminat blog Su kini boleh kembali membaca perjalanan hidup dan kariernya menerusi buku 'How I Built My Cake Shops - A Delectable Story' yang dilancarkan bulan lalu.
Kata Su, peluang menerbitkan buku ini hadir tanpa diduga dan tiada perancangan penuh dilakukan untuk merealisasikannya.
"Ada sebahagian kecil inti pati dalam buku ini diambil daripada blog saya dan selebihnya adalah nukilan pengalaman saya sepanjang enam tahun dalam bidang ini.
"Mungkin ia pengalaman biasa bagi orang lain tetapi ia sama sekali pengalaman luar biasa dan menakjubkan bagi saya.
"Diharapkan buku ini dapat memberi ilham atau inspirasi untuk wanita muda meneroka setiap kemungkinan tanpa terlalu bimbang atau runsing mengenai masa depan," katanya.
No comments:
Post a Comment