Wednesday, April 13, 2016

Khazanah lakar hala tuju baharu - Harian Metro

kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Khazanah Nasional Berhad terus berada di landasan tepat untuk menjadi pusat peneraju pelaburan strategik yang mencipta nilai mampan untuk Malaysia berdaya saing di seluruh dunia.

Pengarah Urusannya, Tan Sri Datuk Azman Mokhtar berkata, biarpun Malaysia terus berhadapan cabaran yang kian bertambah, Khazanah yakin dengan kekukuhan asas dan pelan tindakan yang dilaksanakan akan meletakkan negara mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi.

Beliau berkata, Khazanah sebagai peneraju ke atas beberapa syarikat besar Malaysia dalam sektor tenaga, telekomunikasi, kewangan dan pelbagai lagi sudah menghasilkan keuntungan yang memberangsangkan.

"Kami sentiasa positif terutama dalam situasi mencabar ekonomi dunia. Tahun sebelumnya, menyaksikan penstrukturan semula aktiviti dan pelupusan strategik untuk menyokong matlamat pembangunan negara.

"Dari segi tumpuan lain, Khazanah menunjukkan kemajuan berterusan dan hasil konsisten termasuk prestasi kewangan dan strategik, aktiviti kemasyarakatan dan pengagihan serta pembinaan keupayaan dan penginstitusian berterusan," katanya pada sesi taklimat temu bual dengan kumpulan The New Straits Times Press Bhd (NSTP) di sini.

Khazanah mempunyai kepentingan dalam membantu kerajaan menggubal dasar serta mewujudkan hubungan merentasi rangkaian pengetahuan global.

Azman berkata, pencapaian Khazanah dalam tempoh 12 tahun ini juga menyaksikan beberapa syarikat pelaburan Khazanah mencatatkan prestasi kukuh.

"Pertumbuhan portfolio kami dibantu syarikat seperti Tenaga Nasional Berhad, IHH Healthcare Berhad dan sektor telekomunikasi iaitu Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Axiata Group Berhad.

"Kami juga banyak dibantu oleh tawaran awam awal global Kumpulan Alibaba yang meningkatkan kedudukan kewangan kami.

"Pembabitan kami dalam Iskandar Malaysia juga terus menunjukkan kemajuan baik, dengan projek pemangkin seperti Pinewood Iskandar Malaysia Studios," katanya.

Beliau berkata, Khazanah turut memacu prestasi dan melakar hala tuju baharu dengan terbabit dalam pelbagai kegiatan ekonomi dan perniagaan.

"Portfolio pelaburan kami meliputi pelbagai sektor dan industri, mencerminkan usaha kami untuk mencipta nilai, kesan ekonomi dan jalinan hubungan bagi Malaysia. Kami turut mempunyai kepentingan dalam lebih 70 syarikat, sama ada secara langsung atau tidak langsung melalui pemilikan saham," katanya.

Menurutnya, Khazanah sentiasa berusaha untuk membina sebuah institusi yang akan terus menghasilkan kejayaan secara berterusan dan konsisten.

"Warga kerja kami ialah aset utama dalam organisasi ini. Kami memupuk persekitaran yang mempromosikan integriti, kepercayaan, semangat kerja berpasukan dan sikap saling menghormati.

"Bagi memajukan warga kerja, kami membuat pelaburan besar dalam proses dan infrastruktur yang diperlukan untuk membangun dan menyokong modal insan," katanya.

No comments:

Post a Comment