Yang di-Pertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur (DPMMKL), Datuk Sharifuddin Musa berkata sebanyak empat ruang pempamer yang setiap satu bernilai RM20,000 telah disewa di pameran tersebut bagi mempamerkan produk tempatan.
"Produk-produk seperti minuman penambah tenaga dan perkhidmatan makanan halal yang dibawa ke Timur Tengah ini telah mendapat pengiktirafan antarabangsa," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan DPMMKL kali ke-40 di sini, hari Sabtu.
Selain itu, katanya, 30 usahawan tersebut juga akan dibawa melawat beberapa syarikat perdagangan untuk melihat potensi sama ada produk usahawan tersebut berpeluang dipasarkan di pasar raya terkemuka di Arab Saudi.
"Kami telah bekerjasama dengan Matrade di Jeddah untuk menguruskan perjumpaan dengan pengusaha pasar raya di sana untuk memasarkan produk kita di pasar raya seperti Bin Dawood, Panda dan Al-Raya," katanya.
Sharifuddin turut mengambil contoh kejayaan syarikat tempatan, Delima Emas Sdn. Bhd. yang bakal menembusi pasaran Arab Saudi dengan membekalkan 300,000 ekor ayam sejuk beku kepada syarikat, Siman United Ltd selepas menyertai Jeddah International Trade Fair pada Disember tahun lepas.
Satu perjanjian persefahaman akan ditandatangani pada 14 Mei ini di Jeddah yang akan menyaksikan empat pasar raya di Arab Saudi memasarkan produk ayam sejuk beku pertama dari Malaysia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Datuk Dzulkifli Mahmud berkata pihaknya akan membantu memastikan produk usahawan yang menyertai pameran itu menepati piawaian akses pasaran di Arab Saudi.
"Kita juga percaya melalui penyertaan pameran antarabangsa ini usahawan dapa t melihat secara langsung keadaan pasaran dan bagaimana kehendak pengguna di Arab Saudi dan negara lain yang turut menyertai pameran itu, dari segi pembungkusan dan sebagainya.
"Pameran di Arab Saudi akan dikunjungi peserta dari pelbagai negara dan ini adalah masa terbaik untuk usahawan menjalinkan hubungan dengan pengeluar lain dan mengambil input bagi mengeluarkan barangan yang mengikut citarasa mereka," katanya.
Pameran yang berlangsung selama empat hari itu bermula 9-12 Mei akan disertai lebih 20 negara asing termasuk Bangladesh, China, India, Itali dan Turki.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment