Permintaan yang menggalakkan terhadap tongkat ali atau penawar pahit menjadi pendorong kuat kepada seorang usahawan wanita untuk terbabit dalam perniagaan membekalkan produk herba tradisional berkenaan.
Kini selepas lebih tujuh tahun menceburi perniagaan berkenaan Norhayati Abdullah, 51, mampu berbangga apabila muncul antara pembekal terbesar tongkat ali di negeri ini apabila mampu menyediakan dua hingga tiga tan sebulan.
Menurutnya, selain menjadi pembekal utama kepada sebuah syarikat kosmetik tempatan bertaraf antarabangsa, produk yang dihasilkan turut dijual kepada pengguna tempatan termasuk pelancong asing.
Dia mendapat bekalan tongkat ali daripada beberapa individu termasuk masyarakat Orang Asli yang begitu mahir selok-belok mencari herba berkenaan di kawasan hutan di beberapa daerah di Pahang.
Dia yang sebelum ini terbabit dengan projek kraftangan berkata, tongkat ali yang dihantar pembekal perlu melalui beberapa proses seperti pembersihan, pengeringan, meracik, menjemur dan mengisar kepada bentuk kepingan halus dan serbuk.
"Saya kini mempunyai dua bengkel memproses dan penyimpanan yang terletak di Kampung Pulau Rumput dan Kampung Gumum, Pekan dan menggunakan khidmat 18 pekerja terdiri daripada masyarakat setempat.
"Selain menjual dalam bentuk serbuk dan kepingan halus, saya juga memasarkan tongkat ali racik, kepingan termasuk yang belum diproses mengikut permintaan pengguna," katanya yang bercadang menghasilkan produk kesihatan herba suatu hari nanti.
Norhayati berkata, dia membeli tongkat ali jenis putih, merah dan hitam daripada pembekal dengan harga RM2 hingga RM2.50 sekilogram. Dia hanya menerima tongkat ali bersaiz lebih 10 sentimeter dengan berat antara enam hingga 50 kilogram sahaja bertujuan mengekalkan kualiti produk herba yang dihasilkan.
Menurut ibu kepada lima anak itu, selain menggunakan tenaga manusia untuk aktiviti meracik, dia turut memiliki dua mesin meracik dan menghancur bagi melancarkan lagi tugas harian di kilangnya di Kampung Pulau Rumbia.
Katanya, selepas diracik ia perlu dijemur di atas jemuran khas selama lima hingga sembilan hari bergantung keadaan cuaca. Apabila benar-benar kering baru ia dikisar mengikut saiz diperlukan.
"Saya bersyukur perjanjian dengan syarikat Biotrapic Malaysia Berhad yang mengeluarkan pelbagai produk kesihatan berasaskan tongkat ali berjaya melancarkan lagi perniagaan ini.
"Kini perniagaan yang bermula dengan modal RM400 terus berjaya dan berkembang. Saya kini mampu memasarkan lebih satu metrik tan tongkat ali proses setiap bulan dengan pendapatan RM15,000," katanya yang berketurunan Orang Asli Kampung Gumum.
Beliau berkata, untuk berjaya seperti hari ini pelbagai cabaran dan dugaan terpaksa dilalui kerana perniagaan yang diusahakannya pernah dua kali gulung tikar disebabkan beberapa faktor seperti kewangan.
Sebagai contoh katanya, tiga tahun lalu dia menanggung kerugian lebih RM45,000 apabila kira-kira tiga tan tongkat ali yang diracik rosak selepas bilik penyimpanan dan tempat jemuran ditenggelami banjir besar.
Norhayati berkata, untuk menjaga kualiti tongkat ali yang dihasilkan dia sentiasa menitikberatkan soal kebersihan dan kelembapan, sekiranya dua faktor berkenaan gagal diberi perhatian pasti produknya tidak akan dapat dipasarkan.
"Tongkat ali sejenis herba yang begitu terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu, Cina dan Orang Asli, ia menjadi penawar pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi bergantung kepada kesesuaian badan individu terbabit.
"Kajian yang dilakukan juga mendapati ekstrak tongkat ali kini dijadikan bahan campuran produk kecantikan, usaha beberapa syarikat antarabangsa berjaya membawa produk berasaskan herba tradisional itu ke pasaran antarabangsa," katanya.
Katanya, selain tongkat ali dia turut memasarkan raja kayu atau damar minyak iaitu sejenis herba yang digunakan untuk perubatan tradisional selain digunakan untuk menghasilkan produk hiasan berasaskan ukiran.
Bantuan agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang menyediakan kemudahan pinjaman RM100,000 melancarkan lagi rancangannya.
Norhayati berkata, sokongan dan bimbingan yang diberikan pihak terbabit menambahkan semangatnya untuk terus berusaha memajukan perniagaan yang diusahakan sejak tujuh tahun lalu walaupun terpaksa berhadapan pelbagai cabaran.
Pihak yang berminat mendapatkan tongkat ali boleh menghubunginya melalui Facebook Norhayati Abdullah datang terus ke kilangnya di Kampung Pulau Rumbia untuk melihat proses yang dilakukan. Malah, dia turut mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan.
Sementara itu, Pengarah JAKOA negeri, Isa Abdul Hamid berkata, pihaknya berbangga melihat kejayaan dikecapi Norhayati yang membuktikan wanita tetap memiliki kelebihan sama seperti lelaki.
"Kesungguhan dan semangat yang ditunjukkan begitu tinggi, bagi pihak JAKOA saya akan menyediakan bantuan diperlukan bagi memastikan perniagaan diusahakan terus mencapai matlamat diimpikan," katanya.
No comments:
Post a Comment