Sunday, April 10, 2016

Nasihat jutawan baja... Sizi Oraza - AgendaDaily

Terakhir dikemaskini: 11 April 2016 By ZAINI ZAA Bak kata pengarah drama TV terkenal, Murali Haji Abdullah mengenai nasihat bekas pelakon yang kini bergelar jutawan baja Sidi Oraza, kepadanya, untuk berjaya jangan lupa solat dan mempercepatkan pelan dari sepuluh tahun kepada lima tahun.

"Antara nasihat yang dia beri untuk saya ialah jangan lupa solat dan mempercepatkan pelan kita.

"Kalau kita ada pelan dan kita perlukan masa sepuluh tahun untuk capai pelan itu, nasihat beliau ialah pendekkan waktu itu kepada lima tahun," kata Murali.

Sidi Oraza atau nama sebenarnya, Syed Osman Syed Rashtan, antara pelakon yang mencipta nama pada era 1990-an.

Antara pengiktirafan yang diterima beliau ialah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-41 (1996) di Auckland, New Zealand menerusi filem Sayang Salmah, dan juga Pengarah Terbaik Anugerah Skrin 1999 menerusi drama Surah Terakhir.

Kini selepas meninggalkan dunia lakonan, selepas 15 tahun lalu dengan drama TV berjudul Najwa pada 2004, anak kelahiran Ayer Hitam, Pulau Pinang, ini meneroka bidang perniagaan.

Mendapat gelaran Datuk Paduka, Haji Sidi mengorbankan dirinya dari menjadi pelakon dan bersusah payah membina syarikatnya.

Kata Murali: "Dia banyak membantu saya. Antara banyak-banyak manusia yang saya kenali, inilah manusia yang berjaya. Moga-moga Allah rahmati usahanya".

Bagi Presiden Diversatech, syarikat yang menghasilkan produk bajanya 'Ajib' bermaksud ajaib dalam bahasa Arab, berpegang pada kegigihan dan kesungguhan kunci utama kejayaan.

Berdasarkan komitmen dan kecekalan, usahawan ini terpilih sebagai penerima Anugerah Keusahawanan-Bio Terbaik pada Majlis Malam Penghargaan Bio pada tahun lalu.

"Saya amat bersyukur kerana terpilih sebagai penerima anugerah berprestij itu yang dianggapnya ibarat menerima anugerah pelakon terbaik tahun ini.

"Saya tidak menyangka apabila dimaklumkan mengenai perkara tersebut, namun semua ini adalah ketentuan Allah SWT dan apa yang paling penting kita kena berusaha bersungguh-sungguh jika mahu berjaya.

"Sama juga dalam bidang lakonan dahulu, saya menang tujuh anugerah sebab saya lakukannya dengan bersungguh-sunguh dan ikhlas.

"Pokok pangkalnya tidak kira dalam apa jua lapangan yang kita ceburi, kita harus bekerja keras kerana kejayaan tidak akan datang dengan mudah," katanya.

Mengulas lanjut berhubung cabaran ketika menceburkan diri dalam dunia perniagaan, Sidi Oraza memulakan perniagaan itu hanya berbekalkan modal sebanyak RM6,000 yang dipinjam daripada arwah ibunya pada 1997.

"Selepas berhenti berlakon, pada awal 2000-an bersama abang saya, Prof Dr Syed Omar, kami memulakan penghasilan produk baja.

"Oleh kerana kesungguhan untuk memajukan diri saya juga sanggup pergi ke China untuk mempelajari selok-belok menjalankan perniagaan.

"Pada awalnya, amat perlahan perniagaan kami iaitu 1998 tetapi kini sudah menghasilkan baja berasaskan teknologi bio sintetik.

"Baja Ajib 99 yang berfungsi untuk mengawal penyakit Ganoderma khusus untuk tanaman sawit," katanya.

Sidi yang akan mencapai usia 51, pada 31 Oktober ini, dikenali sebagai seorang pelakon yang selektif.

Dia juga telah mencuba berlakon teater bagi mengasah kembali bakat berlakon setelah berhenti seketika.

Antara belasan filem lakonannya bermula filem Pelumba Malam pada 1989 diikuti Pening-pening Lalat, Juara, Suci Dalam Debu, Konstable Mamat, Anak Angkat, Aku Anak Siapa dan sebagainya.

Tetapi filem Sayang Salmah pada 1995, benar-benar mengubah namanya sebagai pelakon lelaki popular di hati peminat filem tanah air.

Meskipun Sidi Oraza telah meninggalkan bidang lakonan, namun masih ramai peminat yang mengingati pelakon hebat ini.

Pada tahun lalu, Sidi Oraza menunaikan haji bersama-sama isterinya, Tengku Ismawati Badrulzaman dan anak perempuan mereka. -11/4/2016 OLEH ZAINI ZAA

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

No comments:

Post a Comment