GOLONGAN muda perlu bijak menilai penggunaan media sosial supaya ia tidak digunakan untuk tujuan yang tidak baik. – Gambar hiasan
KETIKA generasi pada era globalisasi hari ini berlumba-lumba mengejar kejayaan, tidak dinafikan kemajuan teknologi menjadi pemangkin kepada kecemerlangan itu.
Seiring dengan perkembangan itu, kehadiran platform digital seperti internet memainkan peranan yang besar dalam kehidupan harian baik daripada aspek sosial, pendidikan dan perniagaan.
Perkembangan itu membuka dimensi baharu dan kesempatan tersebut dimanfaatkan oleh pengeluar telefon pintar serta tablet yang kini menjadi satu kemestian dalam kehidupan manusia.
Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara, Kampus Puncak Alam, Selangor, Afizan Amer berkata, media sosial antara platform digital yang membolehkan seseorang itu berinteraksi dengan individu lain di serata dunia.
"Jika media tradisional menggunakan bahan bercetak dan stesen penyiaran, media baharu pula melibatkan penggunaan internet.
"Medium ini mendorong individu untuk berkomunikasi tanpa batasan kerana ia memberi peluang penglibatan secara terbuka, menyampaikan komen dan berkongsi maklumat dengan cepat.
"Media sosial merupakan sejenis perisian komputer yang menjadi pemangkin berinteraksi sesama manusia dalam dunia siber. Antara yang terkenal dan menjadi tumpuan pengguna terutamanya golongan remaja ialah Facebook, Twitter, Instagram dan MySpace," katanya.
Afizan menambah, media sosial akan memberi kesan negatif kepada masyarakat apabila generasi muda mula melihat ia sebagai sumber informasi dan rujukan utama tanpa meneliti kesahihan sesuatu maklumat itu berbanding media tradisional seperti surat khabar, televisyen dan radio.
Penggunaan media sosial seperti itu mempunyai banyak implikasi negatif yang harus diberikan perhatian oleh semua pihak.
Penggunaan media sosial tanpa panduan, pendidikan dan kawalan yang betul akan menjadikan seseorang itu leka serta membazirkan masa.
Sesetengah ahli masyarakat terutamanya golongan muda yang tertarik dengan pembangunan media sosial itu akan menghabiskan masa berjam-jam untuk menelaah semua bahan yang terdapat dalam laman itu.
Mendidik
Satu mekanisme kepenggunaan diperlukan untuk mendidik mereka agar dapat mengoptimumkan penggunaan media sosial itu.
"Pengguna harus melihat perkembangan kemajuan teknologi yang menjadi pemangkin kepada penggunaan media sosial itu sebagai sesuatu yang bersifat pemudah cara dalam kehidupan, sekali gus mengikis persepsi individu yang melihat ia sebagai wadah baharu bagi mengisi kekosongan hidup mereka.
"Apabila golongan muda gagal mentakrif kegunaan media sosial melalui pendidikan, mereka akan gagal memanfaatkan perkembangan teknologi itu secara efisien dan efektif. Ia akan menyebabkan produktiviti seseorang yang berbakat itu menjadi tidak produktif," katanya.
Bagaimanapun, Afizan menjelaskan, keburukan media sosial itu juga dikaitkan dengan amalan pendedahan hal peribadi seseorang.
Banyak pihak yang tidak berpuas hati dengan orang lain akan mendedahkan pelbagai kelemahan individu yang dibenci itu dengan tujuan untuk memalukan mereka.
Tindakan negatif seperti itu menjadi satu kebiasaan dan ia membawa kepada kes jenayah apabila mangsa membuat laporan polis.
Lantaran itu, ada pihak yang mendesak supaya media sosial dikawal lebih ketat agar amalan mendedahkan hal peribadi tersebut tidak menjadi satu kelaziman.
Tambahan pula, ada pengguna media sosial itu mencetuskan isu sensitif yang berupaya menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan hidup masyarakat majmuk.
Sudah banyak tulisan berunsur perkauman dan mengkritik dasar kerajaan yang disiarkan menerusi media sosial menimbulkan kemarahan pihak berkuasa.
Kehidupan masyarakat yang berbilang kaum di negara ini begitu mudah terganggu dan kritikan berunsur perkauman mampu mencetuskan pergaduhan besar.
Namun, kajian juga membuktikan bahawa media sosial mempunyai impak positif seperti menjadi platform masyarakat meluahkan perasaan.
"Kehidupan pada zaman moden ini banyak tekanan seperti mementingkan kebendaan dan kejayaan di sekolah yang boleh menjejaskan kesihatan perasaan individu itu.
"Kewujudan media sosial seperti ini memudahkan masyarakat untuk menulis tentang keresahan jiwa mereka, sekali gus mengubati kemurungan itu.
"Jadi, masyarakat akan memperoleh ketenangan jiwa apabila meluahkan perasaan mereka menerusi penulisan di media sosial," tambahnya.
Tambah kenalan
Malah, masyarakat yang sering melayari media sosial juga akan mempunyai ramai kenalan tanpa disedari.
Ini kerana, media sosial menerima permohonan semua pengguna di dunia tanpa sebarang sekatan yang menyebabkan sesiapa sahaja boleh menghubungi mana-mana pihak yang dikehendaki.
Situasi itu menyebabkan pengguna mempunyai beribu-ribu sahabat dengan hanya satu sentuhan. Sudah tentu media sosial boleh digunakan sebagai alat untuk memperoleh lebih ramai kenalan.
Kesimpulannya, semua implikasi yang dibicarakan di atas membuktikan bahawa media sosial mempunyai kesan positif dan negatif.
Semua pihak terutamanya ibu bapa perlu mengubah persepsi mereka terhadap penggunaan media sosial kerana sekali air bah, sekali pantai berubah yang membuktikan perubahan itu akan berlaku mengikut peredaran zaman.
Golongan muda pula perlu bijak menilai penggunaan media sosial itu supaya ia tidak digunakan untuk tujuan yang tidak baik.
Sudah sampai masanya, semua pihak merenung dan memahami bahawa media sosial akan terus wujud serta digunakan oleh masyarakat sejagat.
No comments:
Post a Comment