Saturday, April 30, 2016

Lagi projek kediaman artis - Harian Metro

Walau jauh di luar negara kerana bercuti, berita dunia hiburan tetap tidak dilupakan. Paling menjadi bualan, projek banglo mini untuk selebriti yang dilancarkan baru-baru ini.

Bukan kali pertama projek seperti ini diadakan. Malah persatuan artis pun pernah melakukannya tidak lama dulu.

Ada yang bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk pembelian tanah khusus untuk kalangan seniman tanah air membina rumah ala-ala di Hollywood. Ada yang bekerjasama dengan pemaju perumahan, untuk kemudahan artis yang sukar mendapatkan pinjaman bank membeli rumah.

Harganya memang murah, jauh lebih rendah daripada yang ditawarkan pemaju perumahan. Namun demikian, apa jadi dengan semua projek itu?

Berjayakah mereka membantu kalangan artis tanah air? Maaflah, rasanya ia sekadar meriah ketika pelancaran, selepas itu senyap saja.

Lebih malang lagi, kedengaran cerita ada yang menjadi mangsa penipuan. Duit pendahuluan sudah dibayar tetapi projek dirancang tidak nampak bayang.

Media yang memberi publisiti kepada projek itu pula yang dipersalahkan. Jika pengusaha projek kali ini benar-benar ikhlas hendak membantu, biarlah betul caranya memandangkan yang hendak dibantu pun bukan orang lain, kalangan rakan mereka juga.

Sebaiknya belilah iklan di akhbar untuk uar-uarkan projek mereka, tidak sekadar majlis pelancaran dan undang media membuat liputan. Apa-apa pun yang berlaku nanti, media tidak dipersalahkan.

Dari setinggan ke rumah besar

Membesar di rumah setinggan di tengah-tengah ibu kota, melalui keperitan dan kesusahan hidup dalam keluarga yang serba kekurangan.

Itu antara rentetan perjalanan awal dilalui pelakon dan penerbit Datuk Rosyam Nor, 49, sebelum meraih kejayaan seperti sekarang.

Dilahirkan di Kuala Lumpur pada 1 Mac 1967, Rosyam atau Mohd Nor Shamsuddin kini tidak saja terus bertahan sebagai pelakon disegani, malah melakar kejayaan sebagai ahli perniagaan hingga bergelar jutawan.

Kesusahan hidup di rumah yang sempit dan serba kekurangan, menerap azam kepadanya untuk mengubah nasib keluarga. Rosyam tidak mahu anak-anaknya melalui kesusahan yang pernah dilaluinya dulu.

Ketika usianya 41 tahun, Rosyam berjaya membeli rumah besar untuk keluarganya. Rosyam juga membina rumah yang selesa untuk ibunya.

Namun, semua itu tidak datang dalam sekelip mata. Kerja keras, tabah, kuat semangat dan berjiwa kental antara rahsianya.

Semua pengalaman ini diluahkan Rosyam dalam buku biografinya, Impian Jutawan Budak Setinggan.

Majlis pelancarannya dilakukan di Bangsar South (dulu Kampung Kerinchi) pada 12 April lalu kerana tempat itu cukup bermakna buat Rosyam. Di situlah dia dilahirkan dan dibesarkan, tempatnya bermain ketika zaman kanak-kanak.

Apabila dirinya berjaya, tempat itu menjadi satu memori yang sukar dilupakan.

Insan penting dalam hidupnya, ibunya, Rubiah Kamaruddin dipilih melancarkan bukunya. Turut hadir isteri, anak-anak perempuannya serta cucu perempuannya dan ahli keluarganya.

Besarlah harapan Rosyam agar pengalaman dan perjalanan hidupnya itu memberi inspirasi kepada mereka yang membaca buku ini supaya turut berjaya.

Bak kata Rosyam dalam bukunya, "Ternyata aku dicipta untuk melalui jalan yang jarang diteroka oleh mereka yang sebaya aku. Sebagai ganjaran, Allah berikan juga kejayaan."

Friday, April 29, 2016

Mengubah persepsi pengguna media sosial - Kosmo!

Mengubah persepsi pengguna media sosial

GOLONGAN muda perlu bijak menilai penggunaan media sosial supaya ia tidak digunakan untuk tujuan yang tidak baik. – Gambar hiasan

KETIKA generasi pada era globalisasi hari ini berlumba-lumba mengejar kejayaan, tidak dinafikan kemajuan teknologi menjadi pemangkin kepada kecemerlangan itu.

Seiring dengan perkembangan itu, kehadiran platform digital seperti internet memainkan peranan yang besar dalam kehidupan harian baik daripada aspek sosial, pendidikan dan perniagaan.

Perkembangan itu membuka dimensi baharu dan kesempatan tersebut dimanfaatkan oleh pengeluar telefon pintar serta tablet yang kini menjadi satu kemestian dalam kehidupan manusia.

Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara, Kampus Puncak Alam, Selangor, Afizan Amer berkata, media sosial antara platform digital yang membolehkan seseorang itu berinteraksi dengan individu lain di serata dunia.

"Jika media tradisional menggunakan bahan bercetak dan stesen penyiaran, media baharu pula melibatkan penggunaan internet.

"Medium ini mendorong individu untuk berkomunikasi tanpa batasan kerana ia memberi peluang penglibatan secara terbuka, menyampaikan komen dan berkongsi maklumat dengan cepat.

"Media sosial merupakan sejenis perisian komputer yang menjadi pemangkin berinteraksi sesama manusia dalam dunia siber. Antara yang terkenal dan menjadi tumpuan pengguna terutamanya golongan remaja ialah Facebook, Twitter, Instagram dan MySpace," katanya.

Afizan menambah, media sosial akan memberi kesan negatif kepada masyarakat apabila generasi muda mula melihat ia sebagai sumber informasi dan rujukan utama tanpa meneliti kesahihan sesuatu maklumat itu berbanding media tradisional seperti surat khabar, televisyen dan radio.

Penggunaan media sosial seperti itu mempunyai banyak implikasi negatif yang harus diberikan perhatian oleh semua pihak.

Penggunaan media sosial tanpa panduan, pendidikan dan kawalan yang betul akan menjadikan seseorang itu leka serta membazirkan masa.

Sesetengah ahli masyarakat terutamanya golongan muda yang tertarik dengan pembangunan media sosial itu akan menghabiskan masa berjam-jam untuk menelaah semua bahan yang terdapat dalam laman itu.

Mendidik

Satu mekanisme kepenggunaan diperlukan untuk mendidik mereka agar dapat mengoptimumkan penggunaan media sosial itu.

"Pengguna harus melihat perkembangan kemajuan teknologi yang menjadi pemangkin kepada penggunaan media sosial itu sebagai sesuatu yang bersifat pemudah cara dalam kehidupan, sekali gus mengikis persepsi individu yang melihat ia sebagai wadah baharu bagi mengisi kekosongan hidup mereka.

"Apabila golongan muda gagal mentakrif kegunaan media sosial melalui pendidikan, mereka akan gagal memanfaatkan perkembangan teknologi itu secara efisien dan efektif. Ia akan menyebabkan produktiviti seseorang yang berbakat itu menjadi tidak produktif," katanya.

Bagaimanapun, Afizan menjelaskan, keburukan media sosial itu juga dikaitkan dengan amalan pendedahan hal peribadi seseorang.

Banyak pihak yang tidak berpuas hati dengan orang lain akan mendedahkan pelbagai kelemahan individu yang dibenci itu dengan tujuan untuk memalukan mereka.

Tindakan negatif seperti itu menjadi satu kebiasaan dan ia membawa kepada kes jenayah apabila mangsa membuat laporan polis.

Lantaran itu, ada pihak yang mendesak supaya media sosial dikawal lebih ketat agar amalan mendedahkan hal peribadi tersebut tidak menjadi satu kelaziman.

Tambahan pula, ada pengguna media sosial itu mencetuskan isu sensitif yang berupaya menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan hidup masyarakat majmuk.

Sudah banyak tulisan berunsur perkauman dan mengkritik dasar kerajaan yang disiarkan menerusi media sosial menimbulkan kemarahan pihak berkuasa.

Kehidupan masyarakat yang berbilang kaum di negara ini begitu mudah terganggu dan kritikan berunsur perkauman mampu mencetuskan pergaduhan besar.

Namun, kajian juga membuktikan bahawa media sosial mempunyai impak positif seperti menjadi platform masyarakat meluahkan perasaan.

"Kehidupan pada zaman moden ini banyak tekanan seperti mementingkan kebendaan dan kejayaan di sekolah yang boleh menjejaskan kesihatan perasaan individu itu.

"Kewujudan media sosial seperti ini memudahkan masyarakat untuk menulis tentang keresahan jiwa mereka, sekali gus mengubati kemurungan itu.

"Jadi, masyarakat akan memperoleh ketenangan jiwa apabila meluahkan perasaan mereka menerusi penulisan di media sosial," tambahnya.

Tambah kenalan

Malah, masyarakat yang sering melayari media sosial juga akan mempunyai ramai kenalan tanpa disedari.

Ini kerana, media sosial menerima permohonan semua pengguna di dunia tanpa sebarang sekatan yang menyebabkan sesiapa sahaja boleh menghubungi mana-mana pihak yang dikehendaki.

Situasi itu menyebabkan pengguna mempunyai beribu-ribu sahabat dengan hanya satu sentuhan. Sudah tentu media sosial boleh digunakan sebagai alat untuk memperoleh lebih ramai kenalan.

Kesimpulannya, semua implikasi yang dibicarakan di atas membuktikan bahawa media sosial mempunyai kesan positif dan negatif.

Semua pihak terutamanya ibu bapa perlu mengubah persepsi mereka terhadap penggunaan media sosial kerana sekali air bah, sekali pantai berubah yang membuktikan perubahan itu akan berlaku mengikut peredaran zaman.

Golongan muda pula perlu bijak menilai penggunaan media sosial itu supaya ia tidak digunakan untuk tujuan yang tidak baik.

Sudah sampai masanya, semua pihak merenung dan memahami bahawa media sosial akan terus wujud serta digunakan oleh masyarakat sejagat.

Thursday, April 28, 2016

Minat permotoran sejak sekolah - Harian Metro

Industri automotif tempatan bukan saja rancak dengan kehadiran pelbagai model kereta baru di pasaran malah ia turut memberi peluang kepada pengusaha tempatan meneroka beberapa bidang baru berkaitan.

Ini termasuk inovasi teknologi baru seperti gajet penjimatan minyak yang dapat membantu pengguna menjimatkan penggunaan bahan api kenderaan dan secara tidak langsung memberi nilai tambahan kepada wang mereka.

Antara gajet penjimat minyak yang terdapat di pasaran iaitu MaxPower Revolution (MP-R).

Ia bukan satu jenama baru dalam pasaran Malaysia malah sudah lebih tujuh tahun jenama ini diperkenalkan oleh sebuah syarikat milik penuh Bumiputera iaitu Kilauan Impian Sdn Bhd yang beroperasi di Taiping,

Perak.

Bertemu figura di sebalik jenama itu, Shaharizal Ariffin yang turut menggalas tugas sebagai ketua pegawai eksekutif syarikat itu baru-baru ini memberi perspektif berbeza buat penulis malah terselit rasa kagum kerana anak muda sepertinya gigih menempuh pelbagai dugaan untuk mencapai ke tahap ini.

Bagi Shaharizal atau lebih senang disapa Shah, MP-R memang memberinya rezeki yang mencurah-curah, tetapi rezeki yang diperoleh bukan datang bergolek.

"Mungkin ada yang hanya melihat kesenangan saya, tetapi sebelum mencapai tahap ini, saya berdepan 1,001 dugaan dan kepayahan yang mungkin tidak mampu dilalui orang lain.

"Saya bukan orang berada. Arwah ayah hanya bekerja di majlis perbandaran untuk menyara keluarga sebelum meninggal dunia ketika saya berusia sembilan tahun dan disebabkan itu perjalanan hidup saya penuh liku.

"Selepas ayah ­meninggal, ibu yang menggalas tugas membesarkan saya dan empat adik-beradik lain dengan pencen arwah ayah sebanyak RM200. Ibu saya juga mengajar kanak-kanak mengaji di kampung ketika itu, namun upah bergantung kepada keikhlasan ibu bapa mereka.

"Kehidupan kami ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Justeru, kesusahan hidup itu menjadi pengajaran berguna buat saya untuk sentiasa berusaha meningkatkan diri.

"Mungkin disebabkan itu, saya dan adik-beradik saya yakin hanya dengan perniagaan dapat mengubah nasib kami sekeluarga. Oleh itu, selepas tamat belajar, saya mengikut jejak langkah semua abang saya untuk memulakan perniagaan sendiri," katanya.

Sanggup tebalkan muka

Menurut jejaka berusia 32 tahun ini, sebelum menceburi bidang ini, dia terlebih dulu memulakan perniagaan membekal mesin, cetakan dan rekaan majalah syarikat yang kebanyakannya tender daripada kerajaan.

Bagaimanapun, perniagaannya mula merosot apabila kerajaan tidak lagi mengambil khidmatnya untuk menjimatkan kos dan selama enam bulan dia tidak berbuat apa-apa kerana tidak dapat meneruskan operasi syarikat.

Dia bagaimanapun tidak berputus asa apabila diperkenalkan dengan teknologi penjimat minyak oleh seorang rakan yang juga jurutera dan dari situ, dia mula berminat untuk memasarkan gajet terbabit.

Kebetulan minatnya terhadap dunia permotoran dan pengubahsuaian kenderaan memang ada sejak di bangku sekolah membuat­kan dia cenderung memilih perniagaan sedemikian.

Selepas berjaya membuka perniagaan sendiri, tanpa menoleh ke belakang, Shah menjual sendiri produknya kepada orang ramai.

"Berkat usaha dan kesanggupan menebalkan muka, sedikit demi sedikit saya mendapat pembeli. Yalah, bukan mudah hendak yakinkan orang dengan produk seumpama itu, saya sendiri turun padang dan tidak jemu membuat promosi dan pemasaran di Internet dan seluruh negara.

"Namun, ketika perniagaan baru hendak berkembang, ada masalah pula dengan rakan kongsi me­nyebabkan saya terkontang-kanting seorang diri. Mujur, semangat saya kuat dan berbekalkan lebihan

modal yang ada, saya teruskan perniagaan sama," katanya.

Begitupun, Shah tidak tewas dengan dugaan yang dilaluinya dan berkat usaha tanpa jemu, alat penjimat minyak yang dinamakannya MP-R mula memberi impak positif apabila pelanggannya semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Hanya dalam tempoh dua tahun, jenama berkenaan semakin mendapat tempat dalam kalangan pemilik kenderaan, membuatkan permintaan semakin bertambah.

"Strategi pemasaran dan pengiklanan yang saya pilih nampaknya berkesan. Ditambah dengan situasi kenaikan harga minyak, produk ini berjaya menarik perhatian dan kini memiliki lebih 300 ejen dan pengedar syarikat yang aktif," katanya.

Apa yang dikecapi Shah sememangnya satu kejayaan buat dirinya, tetapi anak bongsu daripada lima beradik itu tidak mahu mendabik dada mengatakan dia benar-benar berjaya.

Ini kerana, bagi bapa kepada tiga cahaya mata itu, perjalanannya untuk benar-benar berjaya masih jauh dan banyak lagi onak dan duri perlu ditempuhinya.

Jenama MP-R yang terkenal dengan beberapa siri produk penjimatan minyak kenderaan iaitu MP-R Fuel Saver, MP-R Extra dan MP-R HD memberi kesan positif kepada pemandu atau pemilik kenderaan yang mahukan penjimatan minyak, kelancaran pemanduan dan kuasa tambahan dalam pemanduan mereka.

Semua gajet jimat minyak itu berfungsi dengan menstabilkan arus elektrik kenderaan sekali gus memantapkan pembakaran bahan api, melancarkan pemanduan, mengurangkan tekanan terhadap enjin dan menambah kuasa pecut kenderaan.

Kini, syarikat itu me­ngorak langkah dengan memasarkan minyak pelincir kenderaan dengan formulasi tersendiri yang turut bertujuan memberikan prestasi terbaik enjin kenderaan.

Shah berkata, dia kini giat mempromosi produk terbaru keluaran syarikatnya dan berharap terus diterima masyarakat lebih-lebih lagi ia adalah hasil keluaran tempatan.

Untuk maklumat lanjut boleh layari Facebook Maxpower Revolution

atau laman web www.mpr4u.my.

Wednesday, April 27, 2016

Kanada tidak tunduk tuntutan Abu Sayyaf - Utusan Malaysia

OTTAWA 27 April – Kanada tidak akan sesekali tunduk kepada permintaan Abu Sayyaf berhubung tuntutan wang tebusan, selepas seorang warganegaranya dibunuh dengan kejam oleh kumpulan militan tersebut.

Perdana Menteri, Justin Trudeau berkata, untuk itu pihaknya akan meningkatkan usaha bagi membebaskan baki tebusan selain 'memburu' dan 'mengheret' kumpulan yang melakukan penculikan terbabit ke muka pengadilan.

Menurut beliau, kerajaan juga telah mengadakan kerjasama dengan Perdana Menteri Britain, David Cameron bagi menangani isu tersebut.

"Kita (Kanada) tidak akan membayar wang tebusan kepada pengganas, secara langsung atau tidak langsung. Kita akan menentang isu keganasan yang berlaku seperti ini habis-habisan.

"Kita perlu memastikan, pengganas ini diberikan pengajaran bahawa mereka tidak boleh berterusan membiayai kegiatan haram dan keganasan dengan melakukan penculikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan kumpulan militan Abu Sayyaf memenggal kepala seorang mangsa culik warga Kanada di sini semalam.

Mangsa, John Ridsdel, seorang pesara berusia lingkungan 60-an dipenggal selepas diculik selama tujuh bulan di kawasan limbung­­an di Holiday Ocean View Samal Resort di Pulau Samal, Filipina.

Tiga lagi yang masih diculik ialah warga Kanada, Robert Hall dan teman wanitanya, Marites Flor dan seorang pengurus resort warga Norway, Kjartan Sekkingstad.

Enam minggu selepas diculik, kumpulan bersenjata itu memuat naik video yang merakamkan gambar mangsa di sebuah hutan, sambil menuntut wang tebusan sebanyak AS$21 juta (RM82 juta).

Namun baru-baru ini, Ridsdel dalam video yang disiarkan Abu Sayyaf memberitahu kumpulan militan berkenaan akan membunuhnya jika wang tebusan sebanyak AS$6.4 juta (RM24 juta) tidak dibayar pada 25 April lalu. – AFP

Tuesday, April 26, 2016

M'sia mampu jadi negara maju menjelang 2020 - PM - Berita Harian

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyuarakan keyakinan beliau bahawa Malaysia mampu merealisasikan status negara maju sebenarnya menjelang 2020 menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP) .

Namun, beliau mengakui bahawa ia adalah tugas berat, yang memerlukan ketekunan dan sokongan tidak berbelah bahagi oleh sektor awam dan swasta, juga daripada rakyat.

Beliau juga mengingatkan bahawa sikap ambil mudah boleh menjejaskan matlamat 2020 berikutan persaingan sengit dalam menarik pelaburan, selain peraturan perdagangan baharu yang jelas menunjukkan bahawa hanya yang kuat akan berdaya tahan dalam persekitaran ekonomi dunia yang sukar ini.

Meskipun Program Transformasi Kerajaan (GTP) menyumbang 'keputusan besar dan pantas' dalam penyampaian perkhidmatan awam sejak tiga tahun lalu, selain ETP yang mendorong penyertaan sektor swasta dalam ekonomi, banyak lagi cabaran yang perlu ditangani, kata Perdana Menteri.

"Kejayaan ini tidak bermakna kita boleh merasa selesa. Kita harus akur bahawa persaingan untuk meraih pelaburan terbaik dan keinginan untuk berjaya adalah matlamat setiap negara.

"Dengan peraturan yang senantiasa berubah dan perjanjian perdagangan baharu seperti Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), lima tahun yang akan datang ini adalah satu cabaran yang amat besar. Namun Malaysia boleh menghadapi cabaran ini melalui usaha dan dedikasi yang sama yang telah membawa kejayaan kepada kita sepanjang enam tahun ini," kata Najib, yang juga Menteri Kewangan.

Perdana Menteri juga memuji usaha sektor awam dan swasta dan gabungan sokongan rakyat dalam merealisasikan matlamat NTP.

"Dengan memanfaatkan langkah-langkah terangkum dan mampan, program di bawah GTP kini berada dalam pelbagai peringkat kemajuan ke arah merealisasikan matlamat diperlukan untuk menuju ambang 2020.

Beliau berkata, GTP telah menjadi pemangkin dalam memainkan peranan penting dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam melalui GTP dan membentuk semula kerjasama sektor awam-swasta melalui ETP.

ETP, melalui Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI), berjaya mewujudkan persekitaran perniagaan yang baik untuk pertumbuhan perniagaan.

Sektor awam, berganding bahu dengan penggiat sektor swasta terus menyelesaikan sasaran komitmen menerusi pemantauan rapat petunjuk prestasi utama dan pendekatan penyelesaian masalah," katanya.

Selain pertumbuhan 5.0 peratus tahun lalu, satu lagi pencapaian yang patut dipuji ialah kejayaan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang walaupun wujud keraguan, 'terbukti tepat pada masanya dalam mewujudkan penampan kewangan untuk negara ketika kejatuhan harga minyak yang menjejaskan tabungan negara, katanya merujuk harga minyak dunia yang merosot ke paras terendah dalam sejarah kepada US$30 setong beberapa bulan lalu.

Harga kini telah meningkat kepada US$45 dengan sentimen keyakinan yang semakin tinggi bahawa lebihan bekalan dunia mungkin berkurangan.

Najib berkata kerajaan juga peka terhadap kebajikan rakyat, terutama kos sara hidup yang meningkat, yang mejurus kepada pelaksanaan beberapa program bantuan kepada rakyat.

Ia termasuk bantuan tunai bersasaran menerusi BR1M (skim bantuan rakyat 1Malaysia), BB1M (Baucar buku 1Malaysia), serta BKAP1M untuk pelajar.

- BERNAMA

Monday, April 25, 2016

D' Legend 91 penggerak alumni TMS - Kosmo!

D' Legend 91 penggerak alumni TMS

Alumni D'Legend 91 mengadakan majlis tahlil dan doa selamat sebagai tanda kesyukuran setelah 25 tahun terpisah.

SEKOLAH Menengah Kebangsaan Tuanku Muhammad atau lebih dikenali sebagai Tuanku Muhammad School (TMS) di Kuala Pilah, Negeri Sembilan memiliki keistimewaan yang tersendiri.

Sebagai sekolah terkemuka dan tertua di daerah itu, ia menjadi tumpuan pelajar daripada setiap golongan serta peringkat.

Sepanjang 100 tahun beroperasi, TMS berjaya melahirkan ramai individu cemerlang dalam pelbagai bidang antaranya, ahli perniagaan, tokoh politik, cendekiawan dan ahli akademik yang berbakti kepada negara.

Seorang bekas pelajar, Abd. Hadi Kudin, 42, mengakui, banyak momen indah dilakar ketika menuntut di sekolah itu pada 1989 hingga 1993.

"Banyak ilmu yang diperoleh sepanjang empat tahun belajar di sekolah itu. Semua kenangan itu masih kekal dalam ingatan saya.

"Nostalgia tinggal di asrama adalah satu pengalaman yang cukup manis. Meskipun terpaksa melalui minggu orientasi yang mencabar fizikal dan mental, akhirnya kami seperti adik-beradik.

"Hubungan pelajar-pelajar senior dan junior menjadi lebih erat terutamanya selepas bersama-sama menjayakan aktiviti sukan seperti bola sepak.

"Apa yang lebih membanggakan kami ialah pelajar TMS dikenali dan dihormati pelajar-pelajar sekolah lain di sekitar daerah Kuala Pilah," katanya yang ketika ini sedang melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor.

Abd. Hadi antara individu yang bergiat aktif di bawah persatuan bekas pelajar atau alumni batch 1991 yang dikenali sebagai D'Legend 91 di bawah pimpinan Raja Zuhari Raja Idris, 42.

Raja Zuhari berkata, mereka mengambil masa lebih daripada lima tahun untuk mengumpul bekas-bekas pelajar.

Menggunakan medium media sosial seperti Facebook, WeChat dan sumber-sumber lain, mereka kini berjaya mengesan lebih 100 ahli selepas bermula hanya dengan lima orang pada 2010.

Pada asalnya, kumpulan ini diwujudkan untuk mengumpul bekas-bekas pelajar TMS tidak kira kelompok sempena sambutan 100 tahun TMS yang dijadualkan pada 2014.

Idea

"Idea penubuhan kumpulan ini bermula pada pertengahan tahun 2014 menggunakan nama D'Legend TMS. Nama itu dipilih sendiri oleh ahli jawatankuasa yang dilantik setelah meneliti nama-nama yang dicadangkan.

"Oleh kerana terdapat ramai legenda TMS dalam kumpulan ini, maka nama D'Legend dipilih sebulat suara untuk digunakan," katanya.

Bagaimanapun, kumpulan itu ditukar nama kepada D'Legend 91 dan dikhaskan kepada bekas pelajar batch 1987-1991 berkuat kuasa pada 1 Januari 2015 selepas kurang mendapat sambutan.

Antara aktiviti yang diadakan ialah menganjurkan acara sukan bola sepak, badminton dan sepak takraw tiga penjuru bersama bekas pelajar, murid serta guru pada November 2014.

D'Legend 91 yang bergerak sendiri pada awal 2015 melakukan beberapa lagi aktiviti seperti majlis tahlil dan doa selamat setelah 25 tahun terpisah serta mengenang beberapa orang rakan bekas pelajar batch 91 yang telah kembali ke rahmatullah.

Pada majlis pertemuan semula (reunion) itu, D'Legend 91 turut melancarkan Tabung Khairat D'Legend 91 untuk membantu bekas pelajar atau ahli keluarga yang memerlukan.

Mereka turut mengadakan program amal dengan melawat bekas pelajar yang sakit dan kurang bernasib baik. Selain itu, mereka juga sedang menyediakan kertas kerja untuk penubuhan Koperasi D'Legend TMS 91.

Sementara itu, Presiden Alumni TMS, Datuk Seri Hasan Malek yang juga bekas pelajar sekitar tahun 1963 berkata, beliau bersyukur dan gembira dengan usaha serta komitmen alumni, Yayasan Alumni dan setiap warga TMS yang menjayakan Majlis Pelancaran Mercu Tanda 100 Tahun TMS pada 16 April lalu.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan melancarkan mercu tanda yang dinamakan sebagai Knowledge Is Power sempena cogan kata TMS.

Ia dibina sebagai simbolik 100 tahun kecemerlangan sekolah itu dalam melahirkan pelajar-pelajar yang berjaya sejak ditubuhkan pada 1914.

Lebih istimewa, Tuanku Muhriz merupakan antara bekas pelajar yang mendapat pendidikan di TMS.

Keahlian

Bentuk mercu tanda 100 tahun itu diilhamkan oleh guru TMS, Mohammad Naquib Abd. Halim yang memperlihatkan sepasang tangan menjulang obor api melambangkan kejayaan dan kecemerlangan.

Warna biru pula merupakan simbol keharmonian dan ketenangan jiwa manakala putih membawa maksud kesucian dan kebersihan hati serta jasmani dalam kehidupan setiap warganya.

Hasan berkata, alumni TMS yang mempunyai keahlian seramai 100,000 telah menganjurkan pelbagai program sempena 100 tahun penubuhan TMS dalam usaha menjalinkan semula persahabatan dalam kalangan bekas penuntut.

"Persatuan Alumni juga menubuhkan Yayasan Alumni TMS pada 2013 bertujuan untuk mengutip dan mengumpul dana bagi membantu pihak sekolah melaksanakan aktiviti berkaitan kebajikan, pendidikan dan program pelajar serta guru.

"Sempena pelancaran mercu tanda ini, Yayasan Alumni menyeru kepada bekas pelajar TMS untuk menghulurkan sumbangan supaya lebih banyak aktiviti dapat dirancang oleh persatuan untuk manfaat bekas (pelajar) dan pelajar sedia ada," kata Hasan selaku Ahli Parlimen Kuala Pilah yang kini menggalas tugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Kemboja. – NORZASRUDIN MOHAMED NOR

Sunday, April 24, 2016

Platform graduan ceburi perniagaan - Kosmo!

Platform graduan ceburi perniagaan

PADA mulanya dia merancang untuk melihat kucing comel yang menjadi viral di laman sosial, Jepp Jepp pada sebuah ekspo usahawan. Begitupun, Afidatul Nadiah Azizan, 30, tidak menyangka ekspo Fiesta Usahawan 2.0 (FIUS 2.0) yang menampilkan Jepp The Cat sebagai ikon itu menawarkan pelbagai jenis produk menarik dan unik pada harga berpatutan.

Ekspo itu diadakan di Dewan Raja Musa, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

"Saya selalu pergi ke ekspo-ekspo usahawan di sekitar Lembah Klang tetapi ekspo ini menawarkan pelbagai produk yang sebahagiannya hanya boleh didapati melalui pembelian secara online.

"Bukan sekadar murah, lokasi dan kemudahan meletak kenderaan pada ekspo ini juga mudah untuk diakses. Walaupun saya pada mulanya hanya ingin berjumpa dengan Jepp, tawaran istimewa sempena FIUS 2.0 kali ini menarik saya untuk membeli-belah," kata anak jati Klang, Selangor itu.

Tambahnya, sebagai seorang Muslimah, dia sangat tertarik dengan pakaian-pakaian wanita yang dijual kerana kebanyakannya menampilkan rekaan baharu, moden, menarik dan berkualiti.

Meskipun saban tahun ekspo usahawan sering dianjurkan oleh pelbagai pihak, FIUS 2.0 mendukung matlamat tersendiri untuk membuka platform kepada golongan pelajar, graduan dan usahawan baharu memperkenalkan produk mereka dalam arus perniagaan perdana.

Ia juga membuka peluang kepada peniaga online untuk menjual produk mereka secara langsung kepada pelanggan, sekali gus menambah pengikut di laman sosial perniagaan mereka.

FIUS 2.0 merupakan susulan atas kejayaan penganjuran terdahulu yang dikelolakan sebagai program pelajar di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Bandar Seri Putra, Kajang.

Praktikal

Merupakan idea asal pengasas Castanea Resources Sdn. Bhd., Hardiana Abd. Jalil, 34, inspirasi FIUS adalah hasil daripada impak positif penganjuran FIUS 1.0 pada 2014 dan potensinya untuk menjadi salah sebuah ekspo utama di Malaysia.

"Selepas kejayaan FIUS 1.0, saya melihat penganjuran ekspo sebagai salah satu platform yang mampu memberikan pendedahan praktikal kepada pelajar untuk mempersiapkan diri dalam dunia perniagaan.

Fius 2.0 memberikan platform perniagaan buat usahawan baharu dan belia untuk berniaga pada ekspo atau karnival dengan harga murah.

"Pada masa sama, ia juga merupakan ruang yang produktif buat golongan usahawan muda mencari peluang dan ruang bagi memperkukuhkan perniagaan mereka," kata bekas pensyarah KUIS itu.

Tambahnya, sebagai penganjur, FIUS mendukung matlamat untuk membantu golongan sedemikian meraih peluang dan mendapat tempat berniaga pada ekspo.

Bagi merealisasikan matlamat itu, Hardiana mengorak langkah dengan menubuhkan syarikat konsultasi sendiri dan mengambil langkah berani dengan menganjurkan FIUS 2.0 sebagai ekspo umum.

Malah, dalam memastikan kejayaan FIUS 2.0 dikecapi selaras sasaran penganjurannya, Hardianah turut menawarkan sewa tapak yang sangat rendah berbanding harga pasaran kepada bakal vendor.

Pada penganjuran kali ini, FIUS 2.0 menampilkan 150 peniaga yang terdiri daripada 20 pelajar dan 130 usahawan luar. Ia merupakan program yang mengambil inisiatif sebagai penggerak untuk membantu meningkatkan lagi pendapatan para usahawan, terutamanya yang berskala kecil dan sederhana.

Dalam usaha mencapai saranan itu, harga tapak ditawarkan pada kadar terendah iaitu sebanyak RM300 untuk pelajar dan RM560 bagi usahawan luar.

Kelainan

Bagi membawa kelainan dan merancakkan lagi penganjuran FIUS 2.0, Hardiana menampilkan ikon tersendiri iaitu kucing selebriti Jepp sebagai tarikan utama.

Selain itu, aktiviti FIUS 2.0 bukan sahaja menjurus kepada perniagaan semata-mata.

Menurut Hardianah, perancangan atur caranya juga diselitkan dengan pelbagai aktiviti seperti majlis ilmu.

Ia adalah salah satu visi FIUS yang melihat kepada kepentingan untuk menerapkan ilmu agama dan teori dalam perniagaan, khususnya bagi membentuk seorang usahawan yang mapan.

"FIUS bukan sahaja platform berniaga tapi ia merupakan wadah untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat tentang kepentingan berniaga, sekali gus membentuk usahawan yang berlandaskan prinsip agama.

Seorang peniaga menunjukkan demonstrasi rekaan corak kepada pengunjung.

"Kami juga membawakan Jepp sebagai ikon kerana popularitinya yang berjaya mengumpulkan lebih 150,000 pengikut di laman sosial. Mereka bukan sahaja mengikuti perkembangan Jepp tetapi turut membentuk komuniti peminat yang utuh," kata anak jati kelahiran Muar, Johor itu.

Dalam pada itu, seorang peniaga aksesori buatan tangan Goolygooly, Zana Yahya, 43, memberitahu, ekspo FIUS 2.0 merupakan wadah buatnya untuk memperluaskan pengaruh jenama yang selama ini hanya dikenali melalui laman Instagram.

"Penyertaan pada FIUS 2.0 sebagai vendor merupakan kali pertama saya membuat jualan secara langsung kepada pelanggan. Sejak hari pertama, kunjungan pelanggan sangat menggalakkan dan ramai yang berminat dengan produk keluaran saya.

"Saya menawarkan aksesori buatan tangan yang menggunakan batu berharga sederhana dan barangan kitar semula pada harga rendah.

"Selain berniaga, saya tidak menyangka bahawa FIUS juga menampilkan pelbagai aktiviti," ujar usahawan yang memulakan minatnya terhadap pembuatan aksesori sebagai hobi pada 2008 itu.

FIUS adalah antara usaha anak watan yang melihat penganjuran program ekspo bukan atas dasar keuntungan tetapi lebih kepada peluang buat usahawan membina asas kukuh dalam perniagaan.

Saturday, April 23, 2016

30 Usahawan Tempatan Mahu Teroka Pasaran Arab Saudi - Bernama

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Tiga puluh usahawan makanan dan perkhidmatan tempatan berhasrat untuk menembusi pasaran Timur Tengah menerusi Pameran Makanan Saudi, Hotel dan Hospitaliti 2016 yang akan diadakan di Jeddah, Arab Saudi pada bulan depan.

Yang di-Pertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur (DPMMKL), Datuk Sharifuddin Musa berkata sebanyak empat ruang pempamer yang setiap satu bernilai RM20,000 telah disewa di pameran tersebut bagi mempamerkan produk tempatan.

"Produk-produk seperti minuman penambah tenaga dan perkhidmatan makanan halal yang dibawa ke Timur Tengah ini telah mendapat pengiktirafan antarabangsa," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan DPMMKL kali ke-40 di sini, hari Sabtu.

Selain itu, katanya, 30 usahawan tersebut juga akan dibawa melawat beberapa syarikat perdagangan untuk melihat potensi sama ada produk usahawan tersebut berpeluang dipasarkan di pasar raya terkemuka di Arab Saudi.

"Kami telah bekerjasama dengan Matrade di Jeddah untuk menguruskan perjumpaan dengan pengusaha pasar raya di sana untuk memasarkan produk kita di pasar raya seperti Bin Dawood, Panda dan Al-Raya," katanya.

Sharifuddin turut mengambil contoh kejayaan syarikat tempatan, Delima Emas Sdn. Bhd. yang bakal menembusi pasaran Arab Saudi dengan membekalkan 300,000 ekor ayam sejuk beku kepada syarikat, Siman United Ltd selepas menyertai Jeddah International Trade Fair pada Disember tahun lepas.

Satu perjanjian persefahaman akan ditandatangani pada 14 Mei ini di Jeddah yang akan menyaksikan empat pasar raya di Arab Saudi memasarkan produk ayam sejuk beku pertama dari Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Datuk Dzulkifli Mahmud berkata pihaknya akan membantu memastikan produk usahawan yang menyertai pameran itu menepati piawaian akses pasaran di Arab Saudi.

"Kita juga percaya melalui penyertaan pameran antarabangsa ini usahawan dapa t melihat secara langsung keadaan pasaran dan bagaimana kehendak pengguna di Arab Saudi dan negara lain yang turut menyertai pameran itu, dari segi pembungkusan dan sebagainya.

"Pameran di Arab Saudi akan dikunjungi peserta dari pelbagai negara dan ini adalah masa terbaik untuk usahawan menjalinkan hubungan dengan pengeluar lain dan mengambil input bagi mengeluarkan barangan yang mengikut citarasa mereka," katanya.

Pameran yang berlangsung selama empat hari itu bermula 9-12 Mei akan disertai lebih 20 negara asing termasuk Bangladesh, China, India, Itali dan Turki.

-- BERNAMA

Friday, April 22, 2016

Tanpa asas Su tempa kejayaan - Harian Metro

faizah@hmetro.com.my

Latar belakang dan usia tidak pernah menjadi halangan untuk seseorang menggapai apa yang diimpikannya.

Ia sama sekali bukan ukuran dalam menentukan pencapaian seseorang. Tiada asas, tidak tahu dan tidak mahir juga tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak berusaha atau tidak mencuba perkara baru.

Bagi wanita ini, latar belakang, usia dan pengalaman nyata tidak memberikan sebarang justifikasi kepada apa yang dilakukannya sejak separuh dekad lalu.

Nama Huen Su-Yin mungkin jarang didengari namun andai Delectable by Su yang diperkatakan, ramai kalangan warga kota pernah merasai hasil air tangan wanita ini.

Huen Su-Yin atau Su ini bukan ada satu tetapi empat kedai kek yang majoritinya beroperasi di pusat beli-belah utama.

"Gila. Bila difikirkan semula itu memang kerja gila. Dua di pusat beli-belah yang sama, satu di Segitiga Emas dan satu lagi di bangunan kami sendiri.

"Tetapi saya percaya kita diberi peluang terbaik hanya satu atau dua kali dalam hidup. Jadi apabila peluang terbentang di depan mata, saya tak ambil masa untuk berfikir panjang.

"Biasanya saya ambil dulu peluang itu dan kemudian baru fikir mengenai masa depan. Berisiko tetapi saya percaya ia berbaloi.

"Kalau NIKE sering laungkan 'Just Do It', saya pula 'Do. Do. Do. Just Do It All.' Ada yang kata bahaya tetapi itulah yang banyak mengajar saya selok-belok perniagaan ini," katanya.

Azam dan kerja keras juga menjadi antara penggerak utama yang membantu Su mengharungi pelbagai ujian serta kesilapan pada saat awal pembabitannya dalam dunia keusahawanan.

Bagi seseorang yang tiada asas dalam pembuatan kek, bakeri dan sebagainya, Su berusaha untuk menutup kelemahannya itu.

Di atas kertas, Su adalah lulusan ijazah pengurusan pembinaan dan hartanah dari Sydney, Australia. Minatnya dalam bidang kek dan bakeri bermula di Sydney apabila bekerja secara sambilan di restoran dan kedai kek.

"Saya mula membuat kek ketika di universiti. Saya cuba banyak jenis kek dan suka bereksperimentasi dengan teknik serta peralatan baru di pasaran.

"Rakan sekelas dan teman serumah yang menjadi tukang uji setiap rekaan saya. Mujur majoriti sukakannya walaupun ada banyak yang tidak menjadi seperti diharapkan.

"Tidak lama selepas itu saya makin tertarik dengan pembuatan dan perhiasan kek yang lebih kompleks. Saya mula bermain dengan fondant.

"Semua yang saya pelajari diperoleh dari Internet dan YouTube. Ada juga saya gunakan buku panduan membuat kek dan fondant tetapi tidak banyak yang lengkap.

"Boleh dikatakan saya banyak belajar daripada kesilapan. Banyak kali saya gagal tetapi kegagalan itulah yang membuatkan saya terus bangun mencuba tanpa putus asa.

"Saya seorang yang sukakan cabaran, jadi secara semula jadi saya jadikan kegagalan itu sebagai cabaran yang perlu diatasi," ujarnya.

Usai pengajian di Australia, Hui kembali ke tanah air dan terbabit dalam bidang korporat.

Hatinya bagaikan meronta untuk segera kembali ke dunia bakeri dan kek hingga akhirnya wanita berasal dari Ipoh, Perak ini berhenti kerja lalu terbang ke Amerika Syarikat bagi menyertai kursus pembuatan kek jangka pendek di Notter School of Pastry Art, Florida.

"Saya tertarik dengan seni hiasan kek yang unik. Untuk menghasilkan kek yang penuh berseni, saya perlukan asas dalam pembuatannya dan nekad ke Florida.

"Keluarga menyokong sepenuhnya apa yang saya lakukan walaupun ia tampak sukar dan mustahil. Keputusan itu benar-benar mengubah kehidupan saya.

"Tidak dapat saya bayangkan apa yang akan berlaku kepada saya jika terus bekerja di bidang korporat," katanya.

Blog, buku dan Instagram

Blog menjadi medium utama Su sepanjang berada di Sydney dan blog itu jugalah menjadi saksi kepada setiap memori serta suka dukanya dalam bidang ini.

Selepas kembali ke Malaysia, Su mempunyai masa terhad untuk mengendalikannya lalu ia dihentikan sejurus perniagaan keknya bermula.

"Saya tiada pilihan. Ramai yang mengikuti kembara kek saya dalam blog itu dan di situ jugalah kek saya dikenali ramai.

"Dengan kekangan masa dan pertambahan kedai, saya tiada masa untuk menyelenggara blog itu jadi sebaik-baiknya ditutup.

"Bagaimanapun, kepesatan teknologi IT berterusan membantu perniagaan saya. Aplikasi Instagram saya gunakan sebaiknya sebagai medium promosi jenama Delectable ini.

"Instagram juga lebih mudah dan pantas berbanding blog, justeru ia membantu mengembangkan lagi perniagaan ini," jelasnya.

Bagaimanapun, peminat blog Su kini boleh kembali membaca perjalanan hidup dan kariernya menerusi buku 'How I Built My Cake Shops - A Delectable Story' yang dilancarkan bulan lalu.

Kata Su, peluang menerbitkan buku ini hadir tanpa diduga dan tiada perancangan penuh dilakukan untuk merealisasikannya.

"Ada sebahagian kecil inti pati dalam buku ini diambil daripada blog saya dan selebihnya adalah nukilan pengalaman saya sepanjang enam tahun dalam bidang ini.

"Mungkin ia pengalaman biasa bagi orang lain tetapi ia sama sekali pengalaman luar biasa dan menakjubkan bagi saya.

"Diharapkan buku ini dapat memberi ilham atau inspirasi untuk wanita muda meneroka setiap kemungkinan tanpa terlalu bimbang atau runsing mengenai masa depan," katanya.

Thursday, April 21, 2016

Same sasar 50 usahawan PKS produk halal - Utusan Malaysia

PUTRAJAYA 21 April – Sekretariat Pembangunan Usahawan Malaysia (Same) menyasarkan sebanyak 50 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan terlibat dalam program memasarkan produk halal ke China.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wee Ka Si­ong berkata, sehingga kini, 19 syarikat telah berdaftar dengan Same untuk tujuan tersebut dan pihaknya yakin mampu memenuhi sasaran dalam masa terdekat.

Beliau berkata, dalam pertemuannya bersama Bank of China baru-baru ini, bank tersebut menyatakan kesediaan memberi pinjaman kepada usahawan PKS yang berminat memasarkan produk halal di negara itu.

"Ini adalah peluang terbaik kepada usahawan PKS memasarkan produk halal masing-masing ke China, peluang yang ada perlu dimanfaatkan dan mereka yang berminat boleh berhubung terus de­ngan Same.

"Mei depan kita akan adakan lawatan ke China untuk meninjau pasaran di sana, masih ada masa untuk mereka yang berminat menyertai lawatan ini," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Ka Siong hadir perjumpaan siri kedua Kelab Juara Malaysia yang menghimpunkan usaha­wan-usahawan terkemuka yang te­lah mendapat pengiktirafan daripada kerajaan, pihak media dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut Ka Siong, usahawan PKS yang menyertai program memasarkan produk halal ke China diyakini mampu untuk mengembangkan lagi perniagaan masing-masing kerana permintaan produk halal di China amat tinggi.

Sementara itu katanya, Same merancang mengadakan sesi pe­ne­rangan mengenai Komuniti Eko­nomi ASEAN (AEC) kepada para usahawan dan juga setiap lapisan masyarakat di negara ini

"Langkah ini diambil kerana masih ada pihak yang kurang jelas mengenai AEC, melalui sesi penera­ngan yang akan dianjurkan ini saya berharap semua pihak akan mendapat manfaat secara menyeluruh," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perjumpaan siri kedua Kelab Juara Malaysia, Ka Siong merangkap Timbalan Presiden MCA berkata, perjumpaan yang mengumpulkan lebih 80 usahawan itu menjadi medan untuk saling bertukar-tukar pandangan dan berkongsi keja­ya­an.

Wednesday, April 20, 2016

Rafidah: yuran penerbangan jejaskan pelancongan - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 20 April – Kenaikan caj penerbangan akan memberi kesan kepada sektor pelancongan apabila syarikat penerbangan menerima tekanan daripada kos operasi yang tinggi hingga menyebabkan lapangan terbang tidak dapat beroperasi seperti sedia kala.

KUALA LUMPUR 20 APRIL 2016 - PENGERUSI Air Asia, Tan Sri Rafidah Aziz pada Majlis Perlancaran 'Niseko Super Summer Saver', Pakej Kerjasama Air Asia X dengan Myecolodge di Ferderal Hotel di sini hari ini. Gambar GAIE UCHEL/Berita JUNAIDAH (Utusan) & MUSTAKIM (Kosmo)

Pengerusi AirAsia X Berhad (AirAsia X), Tan Sri Rafidah Aziz berkata, ketika ini AirAsia Berhad (AirAsia) dan AirAsia X menguasai 96 peratus operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Beliau menyifatkan, keputusan oleh kerajaan itu juga tidak sejajar dengan visi syarikat penerbangan tambang rendah itu untuk menawarkan tambang yang murah kepada seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, mana-mana syarikat penerbangan termasuk AirAsia dan AirAsia X sama sekali tidak boleh mengenakan caj yang tinggi kepada penumpang sebagai langkah untuk menampung kos operasi syarikat.

"Kita tidak boleh mengembalikan semula caj ini kepada penumpang kerana ia tidak selari dengan matlamat syarikat. Ini bukan sahaja dialami oleh AirAsia mahupun AirAsia X tetapi Malaysia Airlines Berhad (MAB) juga tidak boleh bertoleransi dengan isu ini," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran pakej pelancongan Green Season's ke Niseko, Jepun kerjasama antara AirAsia X dan MY ecolodge di sini hari ini.

DCA bercadang untuk menaikkan yuran tersebut pada 15 April lalu setelah tidak pernah diperbaharui sejak 1970 tetapi kerajaan memutuskan kenaikan itu akan dibuat secara berperingkat-peringkat.

Peningkatan pelbagai yuran itu antara lain membabitkan caj penerbangan udara (ANFC), yuran lesen juruterbang, yuran pendaratan, meletak pesawat dan yuran terminal.

MAB dalam kenyataan 10 April lalu juga menganggap langkah DCA menaikkan yuran penerbangan tempatan akan menyebabkan syarikat-syarikat penerbangan asing tidak menjadikan Malaysia sebagai destinasi mereka.

Sehubungan itu, Rafidah mengharapkan penubuhan Persatuan Pengangkutan Udara Malaysia (AMAC) yang disertai tujuh syarikat penerbangan di negara ini dapat membantu menangani isu-isu tersebut.

"Pada ketika ekonomi tidak menentu, adalah penting bagi kerajaan tidak mengenakan sebarang peraturan atau caj baharu yang boleh memberi kekangan secara langsung kepada perniagaan apatah lagi sektor swasta terutama hospitaliti dan penerbangan merupakan tunjang kepada ekonomi negara.

"Malah, apa jua implikasi kepada perniagaan akan memberi kesan kepada negara dan juga rakyat," katanya.

Tuesday, April 19, 2016

OGPC unjur perolehan meningkat 5-10% - Utusan Malaysia

SHAH ALAM 19 April - OGPC Sdn. Bhd., yang bakal menjadi anak syarikat Dagang NeXchange Berhad (DNeX), mengunjurkan peningkatan perolehan sebanyak lima hingga 10 peratus pada tahun ini.

Syarikat OGPC merupakan pembekal peralatan dan perkhidmatan untuk sektor minyak dan gas (O&G), petrokimia, tenaga dan industri de­ngan pelanggannya termasuk Petronas, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV).

Pengarah Urusan OGPC, Azman Karim berkata, peningkatan itu akan didorong oleh perancangan strategik syarikat yang mahu mengembangkan perniagaan ke luar negara, selain peningkatan secara relatif harga minyak mentah di pasaran global ketika ini.

Beliau berkata, di sebalik kejatuhan harga minyak mentah dunia tahun lalu, syarikat mencatat perolehan lebih tinggi iaitu RM101 juta dengan keuntungan selepas cukai (PAT) RM22 juta, daripada RM89 juta dengan PAT RM19 juta yang dicatatkan pada tahun 2014.

"Tahun ini kita jangkakan perolehan syarikat akan meningkat dengan segmen O&G kekal sebagai penyumbang utama iaitu tahun lalu antara 75 hingga 80 peratus," katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian sijil Sistem Pengurusan Bersepadu (IMS) daripada NIOSH Certification Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Sijil itu disampaikan oleh Pe­ngerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye dan turut dihadiri Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Zainal Abidin Jalil.

Pada majlis itu, Lam Thye turut merasmikan bangunan baharu OGPC di sini membabitkan pelaburan sebanyak RM10 juta.

Azman berkata, sehingga kini syarikat telah melaksanakan projek dalam buku berjumlah lebih RM40 juta dan dijangka akan terus bertambah menjelang hujung tahun, sekali gus membantu kepada peningkatan pendapatan syarikat.

Mengenai pelaburan baharu syarikat, beliau berkata, OGPC telah dan akan mengenal pasti peluang-­peluang baharu termasuk di Asia Barat, selain memperkukuhkan kewujudannya di Terengganu, Bintulu, dan Labuan serta mengembangkan pusat perkhidmatan di Johor.

Mengulas kejayaan syarikat mem­peroleh IMS, beliau berkata, ia merupakan satu kebanggaan kepada OGPC dalam membina imejnya sebagai sebuah syarikat yang berkaliber dan boleh diyakini pelanggan dalam menyediakan perkhidmatan tanpa mengetepikan aspek-aspek ke­selamatan dan kesihatan pekerjaan, alam sekitar dan kualiti.

DNeX sebelum ini telah me­nerima kelulusan pemegang saham bagi mengambil alih kepentingan keseluruhan ekuiti OGPC Sdn. Bhd. dan 52 peratus kepentingan OGPC O&G Sdn. Bhd., bernilai RM170 juta. OGPC O&G adalah syarikat bersekutu dimiliki oleh OGPC sebanyak 48 peratus.

Monday, April 18, 2016

Kembali pada fitrah [METROTV] - Harian Metro

garret@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: "Selepas ini, saya akan fokus kepada perniagaan produk kecantikan yang dijalankan sejak 2012 dan menyasarkan jualan RM20 juta tahun ini," kata jutawan muda Mohd Safiuddin Ilias.

Safiuddin, 22, yang melakukan pembedahan membuang implan payudaranya Sabtu lalu berkata, dia kini mahu mengadakan seminar dalam usaha mengembangkan perniagaan.

"Tindakan saya membuang implan payudara adalah hidayah yang saya peroleh dari Allah. Saya benar-benar mahu kembali kepada fitrah asal iaitu seorang lelaki.

"Tiga tahun berada dalam kegelapan membuatkan saya kurang yakin apabila berdepan dengan orang terutama ketika memperkenalkan perniagaan yang saya miliki," katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.

Dia yang dibenarkan pulang selepas empat hari berada di wad berkata, perubahan itu juga dilakukan kerana mahu lebih ramai pelanggan menjadi lebih yakin kepadanya apabila membuat seminar.

"Kejayaan yang saya peroleh sudah tentu mahu dikongsi bersama. Ilmu yang saya ada itu patut diketahui orang ramai yang ingin maju dalam hidup.

"Namun, dengan perwatakan saya yang menyerupai wanita, terlintas dalam fikiran bahawa orang tidak akan percaya dengan kata-kata mak nyah.

"Mungkin dengan perubahan ini, saya akan lebih yakin menyampaikan ilmu keusahawanan, bentuk pemasaran berjaya dan pemasaran dalam talian selain ilmu agama yang harus diterapkan dalam perniagaan," katanya.

Seminar yang dijalankan Safiuddin sejak Disember lalu mendapat sambutan hangat daripada orang ramai terutama mereka yang mahu menjalankan perniagaan dan katanya ia diadakan bagi membantu dan mengajak lebih ramai Bumiputera menguasai perniagaan.

Kata Safiuddin lagi, niatnya selepas ini adalah ingin membantu golongan yang memerlukan selain mendekatkan diri dengan agama.

"Sepanjang hidup menjadi 'wanita' saya lalai dan lupa kepada Allah, malah, meninggalkan solat.

"Saya sebenarnya rindu untuk solat berjemaah, mahu keluar berdakwah dan ke Makkah serta Madinah mengerjakan umrah.

"Namun, perwatakan 'wanita jadian' membataskan saya untuk melakukannya kerana takut akan dipandang rendah atau hina oleh orang sekeliling," katanya.

Kisah Safiuddin menjalani pembedahan membuang implan payudara menjadi viral di Facebook selepas pendakwah bernama Ali Russia membuat pendedahan itu.

Menceritakan perubahan dirinya yang dijalankan tiga tahun lalu, Safiuddin berkata, naluri remaja yang keliru dan tidak keruan membuatkan dia nekad untuk berubah menjadi perempuan.

"Jiwa dan perasaan keperempuanan membawa saya berubah menjadi wanita sedangkan pada zahirnya dilahirkan sebagai lelaki," katanya.

Sunday, April 17, 2016

Barisan tenaga muda dengan 'wajah baharu' - Utusan Malaysia

MAJLIS Perbandaran Kangar (MPK) bukanlah asing dalam kalangan media di Perlis bahkan diakui antara 'lubuk' berita di negeri itu. Untuk makluman bagi mereka di luar Perlis, MPK 'menjaga' tiga daerah iaitu Kangar, Padang Besar dan Arau - iaitu meliputi seluruh Perlis.

Banyak isu melibatkan rakyat daripada lesen perniagaan, tempat letak kenderaan sehinggalah kepada kebersihan dan keindahan bandar. Begitu pun tiada atau hampir tiada sebarang laporan media dipaparkan lantaran pendekatan 'tutup pintu' diamalkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Boleh dikatakan keadaan ini berlarutan sejak beberapa tahun lalu. Tidak pasti di mana silapnya tetapi itulah realitinya. Maka sebab itu, tidak hairanlah penduduk Perlis seakan-akan tidak mengetahui apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Pelantikan Yang Dipertua MPK yang baharu, baru-baru ini bagaimanapun menggambarkan perubahan kepada senario itu dan membuka satu lembaran baharu. Ini jelas apabila Khairin Nazry Karim menjemput rakan-rakan media untuk makan tengah hari secara santai di sebuah lokasi, baru-baru ini.

Menurut seorang rakan media yang sudah lebih lima tahun berkhidmat di Perlis, ini adalah pertama kali berlaku dalam sejarah MPK.

Khairin yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ialah seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) muda yang berusia kurang 40 tahun. Difahamkan, pelantikan be­liau juga mencatat sejarah kerana Khairin menjadi YDP Ka­ngar termuda setakat ini.

Lebih menarik, Khairin dibantu oleh Setiausaha MPK yang baru disandang Wan Ahmad Fazli Wan Kamis, pada Januari lalu, yang juga seorang tenaga muda berusia 39 tahun.

Walaupun masih muda, Khairin seorang berpengalaman luas dan pernah berkhidmat sebagai pegawai Kedutaan Malaysia di Kemboja selama tiga tahun selain di Jabatan Per­khidmatan Awam (JPA).

Perlis juga bukanlah asing baginya kerana beliau ialah bekas pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, sekitar tahun 90-an.

Dalam sembang-sembang santai itu, setiap pandangan pihak media dalam memajukan Perlis dipandang serius oleh Khairin yang mendengarnya dengan teliti.

Dengan raut wajah bersungguh-sungguh, beliau memberi jaminan akan cuba mengatasi masalah dihadapi penduduk Perlis dengan pasukannya sebaik mungkin.

Ini termasuklah melihat rungutan pelancong tentang isu penjaga letak kenderaan di Kuala Perlis yang berlagak seperti samseng dan gerai-gerai jualan di tepi jalan yang tidak teratur sehingga menjejaskan pemandangan.

Selain itu, isu kebersihan dan kesesakan gerai-gerai jualan di kawasan tumpuan pelancong seperti di Kuala Perlis dan Padang Besar yang berlarutan sejak sekian lama diberi jami­n­an olehnya akan cuba diselesaikan.

Semoga perubahan yang dijanjikan YDP baharu MPK ini akan menjadi kenyataan dan menyerlahkan tenaga orang muda dalam membawa kecemerlangan kepada Kangar khususnya dan Perlis amnya.

Saturday, April 16, 2016

Tuah nama baharu - Harian Metro

hellinie@hmetro.com.my

Pemilihan nama menarik cukup penting bagi selebriti hingga ada menukar dengan nilai lebih komersial jika nama asal dilihat kurang sesuai.

Perkara sama berlaku kepada aktres China, Bai Baihe yang sebelumnya dikenali dengan nama sebenar, Bai Xue. Bagaimanapun disebabkan nama itu sama dengan seorang penyanyi, dia disarankan menukar namanya.

Rakan menyarankan sama ada dia menggunakan nama Bai He ataupun Bai Jia tetapi akhirnya dia memilih Bai Baihe.

Ternyata dengan nama baru itu, kerjayanya semakin berkembang. Dari kaca TV dia melangkah ke layar perak.

Bai Baihe mula dikenali menerusi drama romantik komedi Love Is Not Blind pada 2011. Filem bajet rendah itu mencatat kejayaan besar dengan kutipan pecah panggung di China.

Kejayaan tiga filem dibintangi termasuklah A Wedding Invitation di samping Eddie Peng pada 2013 mengukuhkan lagi namanya. Walaupun ketika itu bergelar isteri, status itu tidak menghalangnya untuk terus diminati.

Bai Baihe mengambil keputusan berkahwin dengan Chen Yufan, gandingannya dalam drama Bloom Of Youth ketika namanya berada di puncak populariti pada 2006.

Bai Baihe akui ketika memaklumkan akan berkahwin, ibunya sangat terkejut. Ketika itu usianya 22 tahun dan kerjayanya juga baru saja berjalan dengan lancar.

"Ibu menganggap ia bukan masa yang sesuai. Katanya saya masih muda dan menasihati saya terlebih dulu memberi tumpuan sepenuhnya mengukuhkan karier.

"Bagaimanapun, saya tetap dengan keputusan untuk berkahwin. Selepas dua tahun, saya bergelar ibu apabila melahirkan Chen Shengtong.

"Ketika itu semua wanita ingin berkahwin pada pertengahan atau lewat 20-an tetapi saya tidak menyesal berkahwin awal. Saya rasa itu adalah keputusan paling tepat yang pernah saya buat," katanya.

Anaknya yang kini berusia sembilan tahun tidak pernah tahu ibunya seorang bintang filem. Bagaimanapun, Shengtong menyedari ayahnya seorang pelakon yang mempunyai nama besar.

Walaupun Baihe dan suaminya pelakon, pasangan ini tidak mahu anaknya mengikut jejak langkah mereka sebaliknya ingin melihat anaknya mempunyai pekerjaan tetap.

"Saya tidak mahu Shengtong mengikut jejak langkah ibu dan ayahnya. Biarlah kami saja yang terbabit dalam dunia seni. Berlakon adalah pekerjaan yang memenatkan. Kami tidak banyak masa untuk diri sendiri dan keluarga. Saya tidak mahu dia menjadi seperti kami.

"Malah media pada masa kini juga tidak seperti awal pembabitan saya dalam industri. Ia amat menakutkan. Saya tahu betapa susahnya bergelar pelakon. Biarlah Shengtong memilih pekerjaan lain.

"Kalau boleh saya mahu dia memilih pekerjaan yang tidak ada kaitan langsung dengan dunia seni sama ada pelakon, pengacara, penyanyi atau bekerja di sebalik tabir. Lebih menggembirakan kalau dia mempunyai pekerjaan profesional," katanya.

Sepanjang bergelar pelakon, Baihe akui tidak pernah mendapat tidur yang cukup. Penggambaran memakan masa yang lama, masa tidur juga cuma 30 minit.

Pada waktu cuti, Baihe lebih suka duduk dan berehat di rumah. Dia juga jarang mempunyai masa dengan anaknya.

Kata Baihe, sebagai pelakon dia harus kelihatan cantik dan menarik pada luaran, namun dalamannya hanya dia yang tahu dan rasakan.

"Orang nampak kita sentiasa segar dan menawan. Hakikatnya, saya hanya dapat tidur 30 minit sehari ketika ada penggambaran. Bayangkan, penggambaran memakan masa kira-kira sebulan.

"Kalau saya memegang watak utama, sepanjang tempoh itu saya hanya tidur sekejap kemudian harus ke lokasi semula untuk bersolek. Proses itu saja akan mengambil masa yang lama. Harus tiba di lokasi lebih awal dari masa ditetapkan," katanya.

Melihat kerjayanya masa kini, Baihe dilihat mampu mengambil tempat pelakon hebat Fan Bingbing kerana hampir semua filem lakonannya mendapat sambutan pecah panggung.

Filem Monster Hunt lakonannya hampir mencipta sejarah dengan hasil kutipan kira-kira RM300 juta begitu juga Go Away Mr. Tumor juga mendapat sambutan luar biasa.

Bagaimanapun dengan rendah diri, Baihe akui Fan Bingbing pelakon yang sangat hebat. Katanya, ketika dia masih merangkak, Fan Bingbing sudah terbang tinggi.

"Tidak mungkin saya dapat mengatasi kehebatannya sebagai pelakon. Sedangkan saya banyak belajar daripada cara dia berlakon," katanya.

Filem baru lakonan Baihe, ChongQing Hot Pot bakal ditayangkan pada 21 April depan. Ia mengisahkan tiga rakan baik sejak sekolah menengah yang membuka restoran 'hotpot' di Chongqing.

Bagaimanapun, perniagaan itu gagal dan mereka mula mencari pembeli. Seorang individu sanggup membeli, namun restoran itu harus diubah suai terlebih dulu. Dalam proses pengubahsuaian, mereka menyedari lubang yang mereka gali bersebelahan dengan bilik kebal sebuah bank.

Friday, April 15, 2016

SEKULARISME DAN WIBAWA MANUSIA - Utusan Malaysia

FAHAMAN sekularisme yang dianuti oleh masyarakat di negara Barat bukan sahaja boleh menyebabkan penganutnya memisahkan kehidupan mereka daripada nilai-nilai agama malah boleh juga menghapuskan fitrah penciptaan manusia. Kefahaman terhadap nilai-nilai agama dan jati diri sebagai makhluk Allah yang berwibawa kian hari semakin pupus. Masyarakat sekular lebih mementingkan kemewahan dan kemajuan material daripada pembentukan kerohanian dan keperibadian berunsurkan kepada perundangan dan nilai-nilai agama.

Matlamat kehidupan mereka adalah tertumpu kepada kemajuan berbentuk material di mana mereka begitu gigih membangun dan membina negara serta berjaya mencipta teknologi moden sehingga mereka mampu menguasai dunia dalam abad terkini. Kegigihan dan ketekunan mereka dalam urusan duniawi amat dikagumi jika dibandingkan dengan masyarakat Islam masa kini. Mereka mempunyai disiplin dalam urusan pekerjaan seharian di mana mereka mampu untuk mengendalikan pel­bagai permasalahan berkaitan dengan urusan duniawi. Kejayaan mereka dalam aspek ini tidak boleh ditandingi oleh kebanyakan masyarakat Islam masa kini.

Kejayaan dan kecapaian mereka dalam mengendalikan urusan negara dan material sehingga dapat menguasai dunia bukan satu simbol kejayaan yang hakiki jika masyarakat dalam negara mereka mengenepikan nilai-nilai agama dan fitrah kejadian manusia. Tidak di­nafikan bahawa masyarakat sekular amat prihatin terhadap individu yang miskin dan kurang berkeupayaan di mana mereka memiliki institusi kebajikan yang sistematik dan boleh dijadikan contoh kepada masyarakat lain. Perkara berkaitan kemanusiaan dan kebajikan adalah salah satu agenda negara-negara sekular yang maju dan progresif.

Kelemahan dan kegagalan negara-negara sekular adalah berkaitan dengan pembentukan masyarakat dalam hal ehwal kerohanian dan keperibadian. Konsep individualistik berkaitan hal ehwal peribadi di mana hak individu untuk melakukan sesuatu secara bebas tidak boleh ditegur atau dicegah selama mana individu tersebut tidak melanggari undang-undang negara, menyebabkan ramai masyarakat dalam negara tersebut terumbang-ambing dalam arus hawa nafsu.

Konsep individualistik yang di­anuti oleh masyarakat sekular menafikan hak ibu bapa terhadap hal ehwal peribadi anak-anak apabila mereka apabila mencapai umur 18 tahun menyebabkan anak-anak memilih corak kehidupan sendiri tanpa pedoman daripada ibu bapa. Kebebasan yang sering menjadi pilihan mereka adalah lebih tertumpu kepada perkara berkaitan hawa nafsu dan corak hidup hedonistik yang bercanggah daripada kerohanian dan nilai-nilai keagamaan.

Dalam konteks kehidupan ­ma­­sya­rakat sekular tokoh-tokoh aga­ma tidak mempunyai hak untuk menghalang atau mencegah masyarakat daripada melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan nilai-nilai dan budaya agama. Mereka hanya mampu menjelaskan perundangan agama sebagai panduan untuk masyarakat. Sejauh mana masyarakat menerima atau menolak panduan mereka bukan persoalan yang perlu dibahaskan. Misalnya, pada 1990-an terdapat gereja di Barat menjelaskan bahawa homoseks (hubungan sejenis jantina) adalah diharamkan oleh Tuhan kerana perkara tersebut dijelaskan di dalam kitab Injil.

Pengaruh sekularisme mengatasi pengaruh gereja kerana majoriti masyarakat Barat menganuti fahaman sekularisme maka kegiatan homoseksual menjadi satu kebiasaan bagi masyarakat di mana akhirnya terdapat gereja di Barat menerima gay dan lesbian menjadi biskop. Kehidupan masyarakat yang berteraskan kepada material dan kepuasan hawa nafsu sering mendorong mereka melakukan sesuatu kegiatan berdasarkan kepada bisikan naluri tanpa menghiraukan nilai agama dan fitrah kejadian mereka.

Apabila agama tidak dijadikan sebagai panduan hidup maka manusia bebas melakukan sebarang kegiatan sehingga di luar batas fitrah kejadian. Bisikan naluri yang mendorong kepada perbuatan yang bertentangan dengan fitrah kejadian dianggap sebagai hak individu yang perlu dihormati. Kemajuan sains dan teknologi yang terlalu tinggi dan canggih sehingga ke tahap yang boleh mencipta sesuatu yang menakjubkan menjadikan manusia terlupa akan hakikat fitrah kejadian mereka.

Dalam era teknologi yang serba canggih dan maju penjualan benih lelaki dan wanita mudah didapati dalam dunia sekular. Keturunan dan pertalian kekeluargaan individu yang adalah asas penting sebagai pengiktirafan ahli keluarga luput daripada pemikiran masyarakat sekular. Mereka bebas mendapatkan benih daripada lelaki atau wanita untuk mendapat anak melalui proses di luar fitrah kejadian manusia. Seorang lelaki yang menjual benihnya mampu memberi ramai wanita anak dan pasangan suami isteri.

Islam amat prihatin terhadap pertalian keturunan dan darah kerana ia menentukan hak dan pengiktirafan ahli keluarga yang mempunyai hubung kait dengan harta warisan dan mahram. Bagi masyarakat sekular, kepuasan dalam kehidupan tidak berdasarkan kepada nilai dan perundangan agama.

Pemikiran dan konsep hidup begini semakin hari kian menjadikan masyarakat sekular hilang pedoman hidup sebagai manusia yang berwibawa. Setiap perbuatan janggal yang dilakukan oleh mereka perlu dianggap sebagai fitrah kejadian mereka walaupun perbuatan tersebut tidak dilakukan oleh masyarakat primitif. Peristiwa ibu atau bapa melakukan hubungan seks dengan anak-anak secara sukarela sudah tidak dianggap sebagai perbuatan terkutuk. Kejadian begini berlaku dalam masyarakat sekular kerana kepuasan dalam hidup sering dinilai dalam perspektif kepuasan hawa nafsu bukan pemikiran rasional yang berlandaskan kepada perundangan Tuhan.

Sebagai masyarakat Islam setiap kegiatan yang terkeluar daripada fitrah kejadian manusia atau hukum hakam Islam berkaitan keperibadian umat Islam perlu dicegah dan ditangani secara berhemah. Sikap membiarkan kejadian itu berleluasa dalam masyarakat boleh menjadikan umat Islam hilang kewibawaan sepertimana berlaku dalam masyarakat sekular di Barat. Takutilah Allah dalam berurusan dengan kehidupan di dunia ini.

PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN berkhidmat di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Thursday, April 14, 2016

Wanita diseru tunjukkan kelebihan-Rohani - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 14 April – Golongan wanita diseru menunjukkan kelebihan diri mereka seperti boleh dipasarkan dan sebagai individu yang penting dalam usaha meningkatkan lagi penglibatan di peringkat pembuat keputusan di sektor korporat khususnya di syarikat tersenarai awam (PLC).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, perkara itu perlu kerana peratusan pengarah wanita di PLC hanya menunjukkan sebanyak 10.5 peratus sehingga Ogos tahun lalu.

Katanya, walaupun kerajaan komited dalam setiap inisiatif untuk memperkasakan golongan tersebut, wanita dengan sendiri juga perlu lebih berusaha meningkatkan kebolehan diri ke arah mencapai sasaran itu.

"Inisiatif ini menjadi pemangkin menuju ke arah kesaksamaan jantina dalam sektor korporat dan menyediakan peluang yang sama kepada wanita untuk maju dalam kerjaya mereka.

"Oleh itu, wanita perlu menja­dikan diri mereka marketable dan indispensable serta mem­buktikan mereka benar-benar la­yak berada di kedudukan terse­but berdasarkan merit," katanya ketika memberi ucaptama bertajuk Models of Achievement: Reflections of Eminent Women di Konvensyen Usahanita Binaan (Kubina) 2016, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya yang juga Penaung Kubina 2016, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Kira-kira 600 usahanita dan profesional wanita yang terbabit se­cara langsung dalam industri binaan hadir pada konvensyen bertemakan 'Wanita Pemacu Kelestarian Negara' anjuran Kemen­terian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Kubina menyediakan plat­form bagi membina intelek, per­bincangan aktif, membuka peluang dan potensi perniagaan selain menjadi tapak peserta bertukar idea dan pandangan.

Mengulas lanjut, Rohani ber­kata, terdapat ramai wanita tempatan yang berjaya membuktikan me­re­ka 'indispensable' dengan menyum­bang terhadap pembangunan negara.

Katanya, wanita berkenaan yang mempunyai daya saing dan ketokohan yang mengagumkan itu perlu dijadikan sebagai pemangkin kepada kejayaan wanita lain.

"Antara wanita yang berjaya di bidang masing-masing pada hari ini adalah seperti Pengasas K&N Kenanga Holdings Bhd; Tengku Datuk Noor Zakiah Tengku Ismail; Pengasas TA Enterprise Bhd; Datin Alicia Tiah; Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd; Datuk Rohana Rozhan dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar.

"Justeru, mereka semua ini perlu dijadikan sebagai idola untuk lebih maju dalam sebarang bidang yang diceburi dan membuktikan tiada mustahil bagi wanita untuk mencapai kejayaan itu," katanya.

Dalam pada itu, menurut Rohani, kajian yang dijalankan oleh Syarikat Komunikasi Global Weber Shandwick mendapati, sya­rikat yang kukuh adalah syarikat yang mempunyai dua kali ganda lebih wanita dalam jawatan pe­ngurusan kanan.

"Bagaimanapun, kajian indeks Weber Shandwick Gender Forward Pioneer (GFP) mendapati statistik wanita yang menjadi eksekutif kanan di 500 buah syarikat besar masih rendah iaitu hanya 10.9 peratus.

"Sweden mempunyai kadar tertinggi wanita dalam pengurusan kanan iaitu sebanyak 26 peratus manakala Malaysia mencatatkan 19 peratus yang merupakan negara kelima tertinggi," katanya.

Wednesday, April 13, 2016

Khazanah lakar hala tuju baharu - Harian Metro

kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Khazanah Nasional Berhad terus berada di landasan tepat untuk menjadi pusat peneraju pelaburan strategik yang mencipta nilai mampan untuk Malaysia berdaya saing di seluruh dunia.

Pengarah Urusannya, Tan Sri Datuk Azman Mokhtar berkata, biarpun Malaysia terus berhadapan cabaran yang kian bertambah, Khazanah yakin dengan kekukuhan asas dan pelan tindakan yang dilaksanakan akan meletakkan negara mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi.

Beliau berkata, Khazanah sebagai peneraju ke atas beberapa syarikat besar Malaysia dalam sektor tenaga, telekomunikasi, kewangan dan pelbagai lagi sudah menghasilkan keuntungan yang memberangsangkan.

"Kami sentiasa positif terutama dalam situasi mencabar ekonomi dunia. Tahun sebelumnya, menyaksikan penstrukturan semula aktiviti dan pelupusan strategik untuk menyokong matlamat pembangunan negara.

"Dari segi tumpuan lain, Khazanah menunjukkan kemajuan berterusan dan hasil konsisten termasuk prestasi kewangan dan strategik, aktiviti kemasyarakatan dan pengagihan serta pembinaan keupayaan dan penginstitusian berterusan," katanya pada sesi taklimat temu bual dengan kumpulan The New Straits Times Press Bhd (NSTP) di sini.

Khazanah mempunyai kepentingan dalam membantu kerajaan menggubal dasar serta mewujudkan hubungan merentasi rangkaian pengetahuan global.

Azman berkata, pencapaian Khazanah dalam tempoh 12 tahun ini juga menyaksikan beberapa syarikat pelaburan Khazanah mencatatkan prestasi kukuh.

"Pertumbuhan portfolio kami dibantu syarikat seperti Tenaga Nasional Berhad, IHH Healthcare Berhad dan sektor telekomunikasi iaitu Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Axiata Group Berhad.

"Kami juga banyak dibantu oleh tawaran awam awal global Kumpulan Alibaba yang meningkatkan kedudukan kewangan kami.

"Pembabitan kami dalam Iskandar Malaysia juga terus menunjukkan kemajuan baik, dengan projek pemangkin seperti Pinewood Iskandar Malaysia Studios," katanya.

Beliau berkata, Khazanah turut memacu prestasi dan melakar hala tuju baharu dengan terbabit dalam pelbagai kegiatan ekonomi dan perniagaan.

"Portfolio pelaburan kami meliputi pelbagai sektor dan industri, mencerminkan usaha kami untuk mencipta nilai, kesan ekonomi dan jalinan hubungan bagi Malaysia. Kami turut mempunyai kepentingan dalam lebih 70 syarikat, sama ada secara langsung atau tidak langsung melalui pemilikan saham," katanya.

Menurutnya, Khazanah sentiasa berusaha untuk membina sebuah institusi yang akan terus menghasilkan kejayaan secara berterusan dan konsisten.

"Warga kerja kami ialah aset utama dalam organisasi ini. Kami memupuk persekitaran yang mempromosikan integriti, kepercayaan, semangat kerja berpasukan dan sikap saling menghormati.

"Bagi memajukan warga kerja, kami membuat pelaburan besar dalam proses dan infrastruktur yang diperlukan untuk membangun dan menyokong modal insan," katanya.

Tuesday, April 12, 2016

Fizo nafi bayar, ciplak corak tudung - Kosmo!

Fizo nafi bayar, ciplak corak tudung

Oleh SUHANA MD. YUSOP

Jualan tudung terbaharu Fareeda, Sweet Love baru-baru ini menimbulkan kekecohan sehingga berlaku adegan tolak menolak yang turut menyebabkan beberapa kerosakan. Insiden tidak dijangka itu mengundang reaksi daripada pelbagai pihak, termasuk teguran daripada bekas pelakon sitkom Spanar Jaya, Wardina Safiyyah yang menyarankan agar pihak syarikat tersebut merangka satu sistem lebih sistematik. Kata Wardina, tidak manis untuk lelaki dan wanita bersesak-sesak hanya kerana mahu membeli sehelai tudung.

Bukan itu sahaja, ada pihak menganggap insiden tersebut sengaja dirancang Fareeda sebagai strategi pemasaran. Selepas beberapa hari dikecam hebat di laman sosial, Fizo dan Mawar mengadakan sidang akhbar bagi memberi penjelasan.

KOSMO!: Apakah penjelasan kalian berdua tentang pembeli bersesak demi sehelai tudung Fareeda dan videonya menjadi viral?

Fizo Omar: Alhamdulillah, keluaran tudung Sweet Love mendapat sambutan menggalakkan sehingga berlakunya serangan luar jangkaan. Pada 2 April lalu, kami menjangkakan hanya 1,000 orang pengunjung dan telah keluarkan nombor giliran. Sebaliknya seramai 2,000 orang yang datang termasuk dari Johor dan Singapura.

Sebenarnya apakah yang berlaku pada hari kejadian sehingga teruk dikecam oleh pengguna di internet?

Pada hari tersebut, Fareeda mengeluarkan nombor giliran untuk ejen dan pelanggan bagi membeli produk terbaharu Sweet Love. Nombor giliran yang sepatutnya mula diberi pada pukul 5 petang telah dipercepatkan kepada pukul 3 petang. Suasana pada mulanya terkawal dengan setiap pelanggan beratur mengikut barisan lelaki dan wanita bertukar sebaliknya menjelang pukul 3 petang. Fareeda telah menyediakan hampir 20 orang pengawal keselamatan termasuk Rela dan 30 kakitangan untuk mengawal keadaan serta memastikan kelancaran proses pemberian nombor tersebut. Kejadian itu menyebabkan kami terpaksa mengeluarkan nombor giliran lebih awal memandangkan keadaan semakin tegang dan di luar kawalan.

Bagaimanakah pula dengan dakwaan yang mengatakan pihak Fareeda mengupah individu tertentu untuk bersesak-sesak ketika pelancaran koleksi baharu edisi terhad itu demi tujuan pemasaran?

Dakwaan Fareeda mengupah atau membayar individu tertentu mengambil nombor giliran untuk membeli tudung. Sebaliknya mereka dibayar oleh ejen-ejen untuk mendapatkan nombor giliran yang banyak. Ini kerana satu nombor, hanya boleh membeli sebanyak empat hingga lima helai tudung sahaja. Justeru, memandangkan stok terhad dan permintaan terlalu tinggi, ejen telah mengupah individu lain bagi mendapatkan nombor giliran sebanyak mungkin. Fareeda tiada kuasa untuk menghalang.

Ramai mempersoalkan, tidakkah ada cara lain yang lebih sistematik untuk pelanggan dan ejen membeli keluaran terbaru Fareeda?

Sebenarnya perkara ini merupakan isu lama. Sebelum ini ada pelanggan dan ejen bermalam di hadapan butik, oleh itu kami mengambil inisiatif menyediakan sistem pembelian secara online untuk koleksi tudung Fareeda. Kami juga ada menawarkan sistem penghantaran di sekitar Lembah Klang, Putrajaya dan Seremban. Namun, lebih 500 ejen kami serta pelanggan mahukan Fareeda menjual tudung secara konvensional iaitu di butik.

Justeru itu, apakah langkah terbaik untuk mengelakkan insiden yang sama berulang?

Fareeda merancang untuk mengadakan jualan tudung terbaharu selepas ini di lokasi yang lebih besar seperti di stadium bagi mengelakkan insiden kekecohan dan perebutan berulang.

Apakah komen Fizo berhubung kenyataan yang agak kasar dikeluarkan oleh pengurus laman Facebook Fareeda Nyata Jelita?

Apabila satu teguran itu diberikan secara positif maka kami terima secara baik. Namun, komen yang ditinggalkan di Facebook tersebut kebanyakan adalah negatif. Pada saya jawapan yang diberikan pengurus Facebook tersebut tidak menjatuhkan orang lain. Pihak kami hanya memberitahu perkara sebenar kepada mereka yang tidak berada di tempat kejadian.

Mengapakah anda memuat naik video berkenaan kerana ia mendapat kecaman masyarakat sehingga ada pihak menuduh kalian suami isteri riak dengan sambutan luar biasa tersebut?

Tujuan dikongsikan video di laman sosial milik saya bukan untuk riak, tetapi cuma berkongsi kejayaan Fareeda. Tidak benar untuk mendakwa saya tidak melakukan apa-apa untuk meredakan keadaan. Apa daya saya untuk mengawal seramai 2,000 orang yang datang serentak. Pihak keselamatan pun ada yang terjatuh dan ditolak.

Apakah impak kejadian terbaharu ini kepada kalian?

Sudah tentu ia memberi kesan, namun saya ambil semuanya sebagai pengalaman baru untuk saya dan isteri pelajari bagi memperbaiki jenama Fareeda.

Apakah reaksi anda apabila ada pihak menyamakan pelanggan Fareeda seperti haiwan, selain mendoakan perniagaan kalian muflis?

Saya rasa kecewa ada segelintir pihak menyamakan pelanggan dan ejen kami dengan haiwan. Ejen ini mencari rezeki dengan menjual tudung Fareeda dan insiden yang berlaku pada hari itu bukanlah dirancang. Tidak profesional membuat kenyataan atau ulasan tanpa mengetahui perkara yang sebenar dan meletakkan taraf manusia sama dengan haiwan.

Boleh pihak anda jelaskan tentang corak tudung Sweet Love yang didakwa tidak eksklusif, malah pernah dikeluarkan syarikat lain tiga tahun lalu?

Corak Sweet Love Fareeda yang menjadi fenomena ini sebenarnya kami pernah keluarkan sekitar 2012 tetapi dengan rekaan tudung berbeza. Namun, atas permintaan peminat, kami mengeluarkan corak sama, tetapi dengan rekaan tudung berbeza. Ia telah didaftarkan dengan Perbadanan Harta Intelek Negara (MyIPO). Bagaimanapun, Fareeda tidak boleh mendaftarkan corak disebabkan ia bukan hak milik kami. Setiap corak kain yang digunakan adalah diimport dari luar negara dan ia bukan hasil rekaan sendiri. Namun sehingga kini, Fareeda telah mendaftarkan lebih 100 rekaan tudung jenama kami.

Monday, April 11, 2016

Anak muda dan motosikal - Sinarharian

TAHNIAH diucapkan kepada pelumba motosikal negara, Khairul Idham Pawi, yang mengharumkan nama Malaysia dengan menjuarai perlumbaan motosikal Moto3 (kategori 250 cc) Grand Prix Argentina, baru-baru ini.

Kemenangan itu menyaksikan buat pertama kalinya lagu Negaraku berkumandang mengiringi acara penyampaian hadiah.

Sekalung tahniah juga kepada seorang lagi pelumba kategori yang sama, Adam Norrodin, yang walaupun telah terjatuh di selekoh terakhir kira-kira 20 meter dari garisan penamat, telah bangun dan menolak motosikalnya dengan tabah untuk menamatkan perlumbaan.

Khairul Idham yang berusia 17 tahun memilih untuk berlumba dengan cara yang sah, bukannya merempit. Beliau yang mendapat dorongan daripada ayahnya berlatih di litar Dato' Sagor di kampungnya di Kampung Gajah, Perak.

Bercerita mengenai anak muda dan motosikal, penulis begitu tertarik dengan seorang anak muda Melayu bernama Mohammad Hazmin Yaacob. Pada usia yang baru mencecah 35 tahun, beliau sudah mempunyai 4 cawangan kedai menjual motosikal.

Beliau bermula lebih 10 tahun yang lepas dengan membuka bengkel motosikal secara kecil-kecilan di pekan Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan. Sekarang, beliau mempunyai cawangan di Jalan Sultanah Zainab dan Jalan Hamzah, Kota Bharu serta di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Kedai motosikal di Jalan Ipoh merupakan satusatunya kedai milik Melayu dan beliau bangga untuk menggunakan tulisan Jawi pada papan tanda kedainya.

Apabila ditanya bagaimana beliau bersaing dengan peniaga-peniaga lain yang kebanyakannya bukan Melayu dalam industri motosikal ini, beliau mengatakan bahawa pengalaman belajar selama 4 tahun di Maktab Tentera Diraja (MTD) banyak membantu beliau.

MTD banyak mengajar Hazmin bersahabat dengan kaum lain. Tidak seperti asrama penuh lain yang mempunyai komposisi pelajar Melayu yang amat besar, MTD mempunyai ramai pelajar Cina, India, Siam, Sikh, Serani dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Hubungan antara kaum amat rapat dan pengalaman tersebut membantu memudahkan beliau berinteraksi dengan kaum lain untuk urusan perniagaan.

Latihan ketenteraan di MTD juga berjaya mendisiplinkan beliau, contohnya dalam menepati masa. Ini amat penting jika diaplikasi dalam perniagaan. Latihan kepimpinan di MTD berjaya mencorakkan beliau sebagai seorang tauke yang tabah menghadapi segala jenis masalah dan rintangan.

Krisis ekonomi yang agak kritikal ketika ini, dengan kejatuhan nilai mata wang ringgit serta harga minyak mentah dunia, sedikit sebanyak memberi kesan terhadap perniagaan Hazmin.

Sebahagian besar daripada pelanggan motosikal berkuasa besar beliau adalah daripada industri minyak dan gas, iaitu antara industri yang terjejas teruk ketika ini.

Salah satu kedai beliau hampir ditutup disebabkan jualan yang merudum. Tetapi ini sedikit pun tidak mematahkan semangat Hazmin. Malah, menurut beliau, krisis ekonomi ini menjadikan beliau lebih kreatif dalam mencari rezeki.

Jika sebelum ini beliau hanya memikirkan idea untuk menjual motosikal sahaja, kini beliau juga menumpukan pada jualan aksesori motosikal seperti helmet.

Untuk membantu meningkatkan jualan, aksesori motosikal diiklan secara dalam talian dan salah satunya melalui laman Facebook. Jika dulunya pasaran adalah sekitar Kelantan dan Kuala Lumpur sahaja, kini pasarannya lebih luas, merentasi sempadan termasuk Sabah dan Sarawak.

Penulis mula lebih mengenali Hazmin ketika bersama-sama ke Kuala Krai dan Manik Urai Lama untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir setelah banjir besar melanda Kelantan pada akhir tahun 2014.

Bukan sahaja bersungguh-sungguh dalam perniagaannya, Hazmin adalah salah seorang wira-wira yang tidak didendang dalam membantu mangsa-mangsa banjir sejak air mula naik sehinggalah surut.

Beliau adalah contoh anak muda yang berdedikasi dan bukan sahaja berusaha untuk diri sendiri dan keluarga malah untuk masyarakat umum.

Nah! Siapa kata anak muda Melayu hanya suka merempit dan tiada potensi? Seorang anak muda berumur 17 tahun telah berjaya membuktikan kejayaan sulungnya sebagai juara Moto3 Grand Prix manakala seorang lagi anak muda berjaya menempatkan diri sebagai salah seorang pemain dalam industri motosikal negara.

Tidak salah meminati motosikal atau apa sahaja, selagi tidak bertentangan dengan syarak. Apa jua minat kita, jika berada pada jalan yang betul, berpandukan ilmu dan agama serta minat yang mendalam, pasti akan menemukan kejayaan, dengan izin ALLAH SWT.

* Penulis Pengerusi Macma Kelantan

Sunday, April 10, 2016

Nasihat jutawan baja... Sizi Oraza - AgendaDaily

Terakhir dikemaskini: 11 April 2016 By ZAINI ZAA Bak kata pengarah drama TV terkenal, Murali Haji Abdullah mengenai nasihat bekas pelakon yang kini bergelar jutawan baja Sidi Oraza, kepadanya, untuk berjaya jangan lupa solat dan mempercepatkan pelan dari sepuluh tahun kepada lima tahun.

"Antara nasihat yang dia beri untuk saya ialah jangan lupa solat dan mempercepatkan pelan kita.

"Kalau kita ada pelan dan kita perlukan masa sepuluh tahun untuk capai pelan itu, nasihat beliau ialah pendekkan waktu itu kepada lima tahun," kata Murali.

Sidi Oraza atau nama sebenarnya, Syed Osman Syed Rashtan, antara pelakon yang mencipta nama pada era 1990-an.

Antara pengiktirafan yang diterima beliau ialah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-41 (1996) di Auckland, New Zealand menerusi filem Sayang Salmah, dan juga Pengarah Terbaik Anugerah Skrin 1999 menerusi drama Surah Terakhir.

Kini selepas meninggalkan dunia lakonan, selepas 15 tahun lalu dengan drama TV berjudul Najwa pada 2004, anak kelahiran Ayer Hitam, Pulau Pinang, ini meneroka bidang perniagaan.

Mendapat gelaran Datuk Paduka, Haji Sidi mengorbankan dirinya dari menjadi pelakon dan bersusah payah membina syarikatnya.

Kata Murali: "Dia banyak membantu saya. Antara banyak-banyak manusia yang saya kenali, inilah manusia yang berjaya. Moga-moga Allah rahmati usahanya".

Bagi Presiden Diversatech, syarikat yang menghasilkan produk bajanya 'Ajib' bermaksud ajaib dalam bahasa Arab, berpegang pada kegigihan dan kesungguhan kunci utama kejayaan.

Berdasarkan komitmen dan kecekalan, usahawan ini terpilih sebagai penerima Anugerah Keusahawanan-Bio Terbaik pada Majlis Malam Penghargaan Bio pada tahun lalu.

"Saya amat bersyukur kerana terpilih sebagai penerima anugerah berprestij itu yang dianggapnya ibarat menerima anugerah pelakon terbaik tahun ini.

"Saya tidak menyangka apabila dimaklumkan mengenai perkara tersebut, namun semua ini adalah ketentuan Allah SWT dan apa yang paling penting kita kena berusaha bersungguh-sungguh jika mahu berjaya.

"Sama juga dalam bidang lakonan dahulu, saya menang tujuh anugerah sebab saya lakukannya dengan bersungguh-sunguh dan ikhlas.

"Pokok pangkalnya tidak kira dalam apa jua lapangan yang kita ceburi, kita harus bekerja keras kerana kejayaan tidak akan datang dengan mudah," katanya.

Mengulas lanjut berhubung cabaran ketika menceburkan diri dalam dunia perniagaan, Sidi Oraza memulakan perniagaan itu hanya berbekalkan modal sebanyak RM6,000 yang dipinjam daripada arwah ibunya pada 1997.

"Selepas berhenti berlakon, pada awal 2000-an bersama abang saya, Prof Dr Syed Omar, kami memulakan penghasilan produk baja.

"Oleh kerana kesungguhan untuk memajukan diri saya juga sanggup pergi ke China untuk mempelajari selok-belok menjalankan perniagaan.

"Pada awalnya, amat perlahan perniagaan kami iaitu 1998 tetapi kini sudah menghasilkan baja berasaskan teknologi bio sintetik.

"Baja Ajib 99 yang berfungsi untuk mengawal penyakit Ganoderma khusus untuk tanaman sawit," katanya.

Sidi yang akan mencapai usia 51, pada 31 Oktober ini, dikenali sebagai seorang pelakon yang selektif.

Dia juga telah mencuba berlakon teater bagi mengasah kembali bakat berlakon setelah berhenti seketika.

Antara belasan filem lakonannya bermula filem Pelumba Malam pada 1989 diikuti Pening-pening Lalat, Juara, Suci Dalam Debu, Konstable Mamat, Anak Angkat, Aku Anak Siapa dan sebagainya.

Tetapi filem Sayang Salmah pada 1995, benar-benar mengubah namanya sebagai pelakon lelaki popular di hati peminat filem tanah air.

Meskipun Sidi Oraza telah meninggalkan bidang lakonan, namun masih ramai peminat yang mengingati pelakon hebat ini.

Pada tahun lalu, Sidi Oraza menunaikan haji bersama-sama isterinya, Tengku Ismawati Badrulzaman dan anak perempuan mereka. -11/4/2016 OLEH ZAINI ZAA

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Saturday, April 9, 2016

Seni lakon, suara serentak - Harian Metro

hellinie@hmetro.com.my

Karier Amar Baharin berjalan dengan baik. Berjaya menambat hati penonton menerusi drama Kerana Terpaksa Aku Relakan, kini semakin ramai pengarah dan produser mengejar Amar membintangi naskhah mereka.

Kedudukannya sebagai pelakon semakin kukuh tetapi jejaka kelahiran Kajang, Selangor ini enggan bersikap terlalu selesa, Justeru, Amar mencari alternatif lain bagi terus maju dalam industri seni.

Menubuhkan Jack Jupiter Records dengan seorang rakan, Amar memilih cabang muzik untuk perniagaan dan bukan syarikat produksi.

Status Amar Baharin sebagai pelakon mungkin menimbulkan tanda tanya mengapa dia memilih muzik untuk perniagaan. Menubuhkan syarikat rakaman awal bulan lalu, buat masa ini, Jack Jupiter Records belum mempunyai artis.

Sebagai permulaan, syarikat ini fokus pada misi menaikkan nama Amar sebagai penyanyi dan menghasilkan lagu raya duet bersama Amyra Rosli.

Amar akui ramai bertanya mengapa membuka label rakaman dan tidak syarikat produksi kerana pengalamannya sebagai pelakon. Amar ada alasannya kerana Jack Jupiter Records lebih kepada perniagaan.

"Saya terlebih dulu meneliti keadaan semasa sebelum membuat keputusan dan saya lihat ia ada potensi dalam nyanyian.

"Saya bimbang tidak mampu bertahan lama apabila membuka syarikat produksi, tambah pula banyak syarikat terpaksa ditutup kerana kesukaran untuk bersaing menerbitkan karya berkualiti," katanya.

Serius dengan cabang baru ini, Amar menafikan dia memperlahankan langkahnya dalam seni lakon. Katanya, dia akan berusaha menggerakkan kedua-duanya serentak.

"Sebenarnya minat pada bidang muzik bercambah sejak kecil lagi. Saya boleh menyanyi dan juga bermain alat muzik seperti gitar dan dram. Saya juga mempunyai lagu dan siap ditulis liriknya," katanya.

Kata Amar, dia tidak lihat kegagalan sebagai pematah semangat. Lakonan mengajarnya untuk menerima semua kritikan sama ada negatif mahupun positif sebagai motivasi dalam kerjaya.

"Pasti ada yang akan bercakap tetapi semua itu terpulang pada penerimaan terhadap apa yang saya lakukan. Saya bersyukur andai diterima tapi kalau sebaliknya, saya akan perbaiki kelemahan.

"Sama seperti ketika awal-awal berlakon, ada yang kurang puas hati dengan lakonan saya. Tidak mustahil pembabitan dalam seni suara pun akan berhadapan dengan situasi sama. Namun, tidak bermakna saya gagal.

"Saya tidak menyanyi atau mencipta lagu untuk dipertandingkan dalam Anugerah Juara Lagu tetapi lebih sekadar untuk berkongsi bakat dan minat. Ini adalah satu cara mencabar diri sendiri. Sampai bila saya berada pada tahap sama?" katanya.

Sebagai pengenalan diri, Amar akan bermula dengan lagu Kita berentak rock moden yang cuma menunggu masa sesuai untuk dilancar. Dia mengakui gementar menantikan reaksi peminat.

Anak seni yang menempa nama menerusi siri Suamiku Encik Sotong itu juga berkata dia bersedia andai diminta menyanyikan lagu secara langsung. Dia sudah bersiap sedia dengan segala kemungkinan.

Memulakan perniagaan pada usia 31 tahun, mungkin ada yang beranggapan sudah terlewat baginya untuk berjinak-jinak dalam bidang perniagaan. Bagaimanapun, baginya usia bukan pengukur pada kejayaan seseorang.

Mengenai lakonan, dia kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri Akadku Yang Terakhir. Menerusi drama 43 episod itu, Amar kali pertama berganding dengan Tiz Zaqyah.

Dia akui seronok bekerjasama dengan Tiz. Kali ini Amar tampil dengan karakter lebih matang berkumis tipis bagi menghidupkan karakter Irham Zahri yang sudah tiga kali berkahwin dan bercerai.

Akadku Yang Terakhir juga adalah drama paling panjang yang pernah Amar jayakan. Ia mengisahkan Irham sudah tiga kali kahwin dan cerai hingga ibu bapanya beranggapan dia ada masalah jiwa. Dia kemudian berjumpa pakar psikologi, Rania Bahira lakonan Tiz. Di situlah bermulanya perkenalan mereka.

"Awalnya Irham yang banyak tanya Rania macam dia pula pakar psikologi. Komunikasi itu kemudian perlahan-lahan melahirkan perasaan cinta," katanya.

Friday, April 8, 2016

RM1.5 bilion bantu Proton - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 8 April - Kerajaan meluluskan pinjaman mudah berjumlah RM1.5 bilion kepada Proton Holdings Berhad (Proton) bagi membolehkan syarikat automotif itu membuat pembayaran kepada vendor-vendor yang membekalkan komponen kepadanya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dalam masa sama, Proton perlu memenuhi beberapa syarat yang dikenakan untuk memulihkan perniagaannya termasuk meyakinkan kerajaan tentang model perniagaan baharunya yang berdaya maju dan berdaya saing.

Katanya, Proton perlu melaksanakan tiga perkara utama iaitu mewujudkan pelan penstrukturan semula dan menyediakan pelan strategik untuk memperluaskan pasaran di dalam dan luar negara.

Di samping itu, menurut beliau, Proton juga harus mendapatkan rakan kongsi terkemuka yang akan membantu dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) supaya mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

"Langkah ini dilaksanakan memandangkan kerajaan sedar bahawa industri automotif adalah industri yang strategik. Proton setakat ini mempunyai 12,000 pekerja yang bekerja secara langsung dan kira-kira 50,000 lagi yang bekerja dengan syarikat-syarikat vendor yang bergantung kepada syarikat ini.

"Keputusan Kabinet ini turut mengambil kira kebajikan kira-kira 60,000 pekerja yang bergantung secara langsung kepada masa depan Proton," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

DRB-Hicom Bhd. (DRB-Hicom) pada 25 Mac lalu mengumumkan pelantikan Datuk Ahmad Fuaad Mohd. Kenali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Proton menggantikan Datuk Abdul Harith Abdullah yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan bagi Pengedaran Automotif dan Pertahanan DRB-Hicom.

Selang beberapa hari kemudian, Proton mengumumkan peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusinya, berkuat kuasa serta-merta. Beliau memegang jawatan Penasihat Proton sejak 2003 selepas bersara sebagai Perdana Menteri keempat dan dilantik Pengerusi syarikat bermula 16 Mei 2014.

Mustapa sebelum ini berkata, kerajaan telah memperuntukkan bantuan kepada Proton dalam bentuk geran dan pelbagai bentuk bantuan lain serta cukai yang tidak dikutip berjumlah RM13.9 bilion sejak syarikat itu ditubuhkan pada 1983.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad baru-baru ini berkata, penstrukturan semula Proton adalah penting untuk membawa perubahan kepada industri automotif secara keseluruhan termasuk vendor-vendor yang turut me­nerima kesan daripada kelembapan ekonomi.

Menurut Mustapa, bagi memastikan program transformasi Proton mencapai kejayaan, sebuah pasukan petugas ditubuhkan dengan diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala yang turut disertai tiga wakil daripada sektor swasta dan kerajaan.

Katanya, wakil kerajaan terdiri daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Unit Pe­rancang Ekonomi manakala wakil-wakil sektor swasta akan dikenal pasti secepat mungkin.

"Selain daripada memastikan syarat-syarat pinjaman mudah dipatuhi, pasukan ini juga dikehendaki meneliti model perniagaan Proton pada masa lalu, mengenal pasti kelemahan dan langkah-langkah untuk mengatasinya," katanya.

Thursday, April 7, 2016

Contohi sikap tak mengaku kalah pelumba motosikal - Berita Harian

KHAIRUL Idham Pawi yang memenangi perlumbaan Moto3 pada Grand Pix (GP) Argentina Isnin lalu. - Foto AFP

PELUMBA motosikal Khairul Idham Pawi yang memenangi perlumbaan Moto3 pada Grand Pix (GP) Argentina Isnin lalu, menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi perlumbaan motosikal di peringkat dunia.

Seluruh rakyat Malaysia bangga dengan kejayaannya itu. Dalam perspektif masyarakat Malaysia, Khairul Idham adalah pencipta sejarah dalam sukan permotoran negara.

Ia menjadi kebanggaan kerana tidak ramai rakyat negara ini yang mampu menjadi juara dunia. Mungkin pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, pemain skuasy negara Nicol David dan segelintir yang lain sahaja yang dapat menempa nama di peringkat tertinggi. Kemenangan Khairul Idhan dalam perlumbaan kelas Moto3 itu meletakkan pelumba motosikal negara kini setanding dengan pelumba terkemuka lain di dunia.

Kemenangan itu juga meletakkan nama Malaysia dalam peta sukan lumba motosikal dunia. Usaha memperkenalkan negara dalam sukan permotoran ini bukanlah baru, khususnya selepas Malaysia menjadi antara penganjur perlumbaan Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang. Cuma, malang bagi seorang lagi pelumba negara, Adam Norrodin yang terbabit dalam kemalangan di saat-saat akhir.

Namun, walaupun terjatuh, beliau berjaya menamatkan perlumbaan dengan menolak motosikalnya sambil berlari ke garisan penamat untuk membolehkan beliau menduduki tempat ke-11. Sikap Adam pula menjadi kebanggaan, semangat kesukanan yang ditunjukkan sangat menakjubkan.

Ia boleh dijadikan teladan untuk meningkatkan semangat orang lain dalam apa bidang sekali pun. Ia menunjukkan semangat tidak mengenal erti kalah atau dalam erti perjuangan, beliau berjuang hingga ke 'titisan darah' yang terakhir.

Sebelum meletakkan dirinya sebagai pelumba negara, sudah tentulah beliau terpaksa bertatih dari bawah. Jika tidak sabar atau mudah kecewa, apa yang dicapainya ini tidak mungkin berlaku. Kejayaan Khairul Idham ini adalah satu contoh ciri ketabahan diri yang perlu ada bagi setiap individu.

Untuk maju, seseorang itu perlu menempuh pelbagai rintangan sebelum meraih kejayaan. Barangkali, tidak ada seorang manusia pun yang tidak pernah menemui kegagalan dalam kehidupan. Setiap orang pasti pernah mengalami kegagalan dan faham erti kekalahan. Bagi mereka yang berusaha memperbaiki kelemahan, mereka akan maju dan mencapai apa yang dicita-citakan.

Khairul Idham pastinya bercita-cita menjadi pelumba terkemuka dunia dan cita-citanya sudah pun berhasil. Begitu juga dengan sikap manusia dalam menghadapi perubahan. Setiap individu perlu berubah mengikut keadaan dan suasana semasa. Di Malaysia, ramai rakyat yang berusaha mengubah diri untuk menjadi yang lebih baik daripada sebelumnya. Pepatah pun ada menyebut, kita mestilah berusaha menjadi manusia yang lebih baik daripada semalam.

Tekad untuk berjaya

Sebagai contoh, jika seseorang itu adalah pelumba haram motosikal, mungkin beliau boleh berubah dan mengikuti jejak kejayaan Khairul Idham. Tanya pada diri sendiri, sehingga bila mahu menjadi pelumba haram yang sentiasa diburu polis dan meletakkan nyawa ibarat tidak berharga. Kemungkinan mereka boleh berubah dengan menyertai kelab berkaitan dan belajar menunggang secara betul dan menyertai perlumbaan motosikal secara sah.

Dengan tekad yang bulat dan semangat tinggi, mungkin satu hari nanti, mereka boleh menempa kejayaan. Tetapi, jika lima tahun lalu mereka adalah pelumba haram dan sekarang pun masih pelumba haram, mereka hanya membazir masa tanpa mencipta sebarang kejayaan diri. Analogi ini sama dalam apa bidang sekali pun.

Begitu juga dengan seorang peniaga gerai atau kedai runcit yang perlu memikirkan cara mana mahu berubah dan mampu memenuhi kehendak pelanggan yang sentiasa berubah. Jika sepuluh tahun lalu, mereka berniaga di gerai atau kedai runcit, sepatutnya mereka sudah mempunyai sebuah restoran atau pasar mini. Perniagaan kedai runcit mungkin relevan di kampung itu kerana ia masih membenarkan amalan berhutang.

Pembeli boleh membeli barang tetapi membayarnya setiap hujung atau awal bulan. Di bandar-bandar, malah di pekan kecil, kedai runcit sudah hampir pupus. Konsep perniagaan pasar mini sudah pun berkembang di merata tempat di negara ini sejak sekian lama. Jika masih ada orang yang berniaga kedai runcit, khasnya di bandar-bandar besar, mereka dianggap sebagai ketinggalan zaman dan menjalankan amalan tradisi.

Adalah sukar bagi mereka untuk bersaing dengan perniagaan pasar mini yang dianggap sebagai 'kedai serenti' yang lebih praktikal.

Penulis ialah Felo Universiti Utara Malaysia (UUM)

Wednesday, April 6, 2016

Pimpinan Tertinggi CyberSecurity Kini Adalah C|CISO Bertauliah - Bernama

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- CyberSecurity Malaysia telah berjaya melatih barisan pemimpin maklumat tertingginya dalam satu daripada program persijilan keselamatan maklumat tahap-C terkemuka dunia, EC-Council Certified CISO (C|CISO).

Latihan itu adalah sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan tahap keselamatan maklumat kerajaan Malaysia melalui kepimpinan yang berkesan, kata CyberSecurity, sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam satu kenyataan di sini Rabu.

"Inisiatif CyberSecurity Malaysia ini adalah penting dalam sebuah negara di mana terdapat kekurangan bagi ketua pegawai keselamatan maklumat (CISO) atau pemimpin keselamatan maklumat yang berwibawa di mana majoriti pertubuhan yang strategik kini beroperasi tanpa seorang CISO sebagai sebahagian daripada hieraki syarikat mereka," katanya.

C|CISO adalah satu program untuk menangani tentang bagaimana untuk menjajarkan keselamatan maklumat dengan matlamat perniagaan atau menganjurka n dengan berkesan bagi mewujudkan program keselamatan yang penting kepada kejayaan perniagaan atau organisasi.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Dr Amiruddin Abdul Wahab berkata program ini membantu untuk melengkapkan dan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pekerja serta keupayaan untuk bekerja dengan penuh yakin dan berkesan.

"Pekerja yang mempunyai kemahiran keselamatan siber adalah kritikal untuk melindungi infrastruktur digital. Kita perlu mereka yang profesional dalam keselamatan siber yang memahami apa yang boleh dilakukan mengikut amalan dan secara teori.

"Dengan negara menghadapi risiko baru dan dinamik, ancaman dan kelemahan, tenaga kerja keselamatan siber berkemahiran tinggi yang mampu bertindak balas kepada cabaran amat diperlukan lebih daripada biasa," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif EC-Council Global Services Danish Arshad menegaskan bahawa cabaran yang paling besar di negara-negara ASEAN kini adalah kekurangan pemimpin yang fok us untuk keselamatan maklumat dalam organisasi.

Beliau berkata kekurangan CISO juga mewujudkan individu yang silo dalam organisasi di pelbagai jabatan di mana semuanya menyumbang kepada maklumat keselamatan namun bekerja secara berasingan.

Katanya keadaan ini juga membawa kepada jurang dalam ekosistem keselamatan maklumat yang boleh dieksploitasi penjenayah siber.

-- BERNAMA