Thursday, June 2, 2016

Terapkan daya pemikiran Jepun - Utusan Malaysia

"Belajarlah daya pemikiran rakyat Jepun. Mereka bangkit walaupun pernah hancur suatu ketika dahulu. Kini Jepun muncul kuasa ekonomi dunia." Itulah gesaan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada wartawan Malaysia ketika memulakan lawatan kerja ke negara Matahari Terbit itu baru-baru ini.

Harapan Timbalan Perdana Menteri, gesaan itu disampaikan kepada para pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Jepun dan juga dihayati sepenuhnya rakyat Malaysia di negara sendiri.

Kebangkitan semula Jepun diharap dapat membuka mata rak­yat Malaysia bagaimana negara itu mencapai kejayaan.

Mesej ringkas Ahmad Zahid itu merujuk kepada keadaan Jepun yang pernah musnah akibat Perang Dunia Kedua.

Kini negara itu bangkit de­ngan megah sebagai kuasa ekonomi dunia. Jepun kini memiliki syarikat-syarikat gergasi elektronik, permotoran, perkhidmatan dan banyak lagi.

Daya pemikiran dimaksudkan Ahmad Zahid itu termasuk mencontohi tatakerja rakyat Jepun yang rajin dan pada masa sama tidak melupakan budaya kehidupan mereka.

Juga diakui kebangkitan semula Jepun itu sesuatu yang menakjubkan hingga meletakkan negara tersebut di peta dunia sebagai sebuah negara maju dan dihormati.

"Semuanya kerana nilai-nilai murni seperti tatakerja dan daya pemikiran rakyatnya. Ini perlu dicontohi," kata Timbalan Perdana Menteri.

Daya pemikiran rakyat Jepun itu terbukti apabila para pemimpin negara itu sentiasa menghormati pemimpin luar yang datang.

Walaupun program Ahmad Zahid tidak melibatkan kunjungan hormat dan perbincangan dengan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, namun Abe tetap meluangkan masa bertemu Ahmad Zahid.

Tambahan pula ketika hari bertemu Abe itu berlangsung, politik Jepun dalam keadaan tidak menentu apabila Perdana Menteri Jepun itu berdepan undi tidak percaya daripada anggota-anggota Parlimen.

Seperkara lagi yang menarik dari lawatan itu apabila Jepun menyatakan hasrat untuk belajar kejayaan Malaysia dalam industri halal.

Jepun yang kini dalam persiapan rancak untuk menganjurkan Sukan Olimpik 2020 yang kelak memperlihatkan kehadiran ramai olahragawan dan olahragawati Islam, mahu memastikan persiapan dan penyediaan makanan halal untuk atlet beragama Islam.

Abe dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Jepun, Taro Aso mahu Malaysia menggunakan kepakarannya membantu Jepun dalam perkara berkenaan. Inisiatif Jepun dalam soal penyediaan makanan halal sempena Sukan Olimpik 2020 tidak terhenti di situ sahaja, sebaliknya negara itu sudah melihat menjelang 2050, jumlah penduduk Islam seluruh dunia akan meningkat hingga 2.8 bilion.

Justeru setelah mempelajari dan memiliki kepakaran industri halal, Jepun mahu memper­luaskan lagi penguasaan ekonomi­nya dalam sektor itu.

Difahamkan sebelum ini pun Jepun telah menghantar pegawai-pegawainya meninjau serta mempelajari perkembangan dan piawaian tinggi industri halal di Malaysia.

Langkah Jepun ini memperlihatkan pandangan jauh kepemim-
pinan negara itu dalam industri halal. Tidak terhad dalam soal pemakanan sahaja, kini sudah ada syarikat Jepun yang melabur jutaan ringgit dalam industri wangian halal di Malaysia.

Bagi Malaysia, memiliki piawai­an dan kepakaran dalam industri halal memang membanggakan. Namun Malaysia tidak boleh berhenti di situ sahaja, sebaliknya perlu memperluaskan lagi peranannya bagi merebut peluang-peluang ekonomi hasil pertambahan dan perkembangan penduduk Islam dunia.

Ketika lawatan Ahmad Zahid itu, beliau juga sempat berkunjung ke Sendai di mana sebahagian wilayah berkenaan pernah musnah akibat gempa dan tsunami pada 2011.

Sesuatu yang boleh dipelajari, Jepun sekali lagi dapat bangkit dalam masa singkat. Di bawah program pemulihan untuk mangsa tsunami di sana, kerajaan Jepun berjaya menjadikan sebuah wilayah yang musnah teruk menjadi kawasan pembangunan baharu.

Malah elemen terpenting kejayaan Jepun itu apabila memberi fokus membantu mangsa bencana mencari pendapatan dengan meletakkan mereka dalam bidang pekerjaan yang berbeza.

Di Sendai, mangsa tsunami kebanyakannya dalam kalangan nelayan, sedia bertukar bidang pekerjaan setelah menyahut seruan kerajaan agar berubah.

"Sikap beginilah yang kita mahu ada pada rakyat Malaysia," kata Ahmad Zahid.

Sepanjang lawatan kerja ke Jepun itu, Ahmad Zahid yakin Malaysia juga akan mencapai kejayaan dan pencapaian membanggakan daripada apa yang dapat dipelajari dengan melihat ketabahan dan daya pemikiran rakyat Jepun.

"Lawatan ini telah mengeratkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Jepun, yang sedia erat terjalin bukan sahaja di peringkat kerajaan dengan kerajaan, pemimpin dengan pemimpin bahkan rakyat dengan rakyat," katanya mengakhiri lawatan kerja tersebut.

No comments:

Post a Comment