Thursday, June 23, 2016

DAP sedang menggelabah - Utusan Malaysia

Namun, lidi yang dilerai dari ikatan, sebatang demi sebatang senang dipatah. Jika Barisan Nasional (BN) tidak sepakat, parti akan menjadi lemah. Tetapi jika BN bersatu-padu, kekuatan menjadi teguh dan padu.

Penulis percaya DAP sedang menggelabah ketika ini. 'Pakar-pakar' strateginya seperti Tony Pua dan Anthony Loke sedang saling menuding jari menyalahkan sesama sendiri dan sekutu masing-masing, PKR dan PAN akibat kekalahan teruk dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar Sabtu lalu.

Anak beranak daripada 'Dinasti Lim', Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tentunya hairan mengapa 2016 ini tahun yang begitu malang bagi mereka.

Sudahlah tewas memalukan di Bumi Kenyalang bulan lalu dalam pilihan raya negeri dengan terdaya menang tujuh dari 31 kerusi ditandingi, rakan-rakan dalam pakatan pula tidak boleh diharap langsung. PKR hanya mampu membawa balik tiga kerusi manakala 13 calon PAN pulang dengan tangan kosong.

Lebih sedikit sebulan selepas itu, impian Sarawak yang dihampakan BN dan hancur bersepai berulang di dua PRK terbaharu, dengan kekalahan besar undi, hampir 10,000 dan 7,000 undi.

DAP sebenarnya perlu mencermin diri sendiri punca kekalahannya. Orang kata kita tidak akan dipatuk ular yang sama dalam lubang yang sama (one does not get bitten by the same snake from the same hole twice). Tetapi bidalan itu tidak pernah singgah dalam kamus politik DAP.

Putar belit atau spin yang dimainkan pakatan pembangkang memperlekehkan kerajaan bagaikan bermaharajalela tiada kawalan. Dengan persepsi rakyat Malaysia menerima apa sahaja tohmahan dan pembohongan pembangkang, DAP-PKR dan PAN menjadi leka, angkuh dan gelojoh.

Penulis terkejut apabila dimaklumkan jurukempen pakatan itu sanggup memasang perkataan dan ayat-ayat berunsur provokatif di papan-papan iklan di pekan Sekinchan semasa ming­gu pertama kempen PRK di Se­kinchan.

Kalau mengikut pemikiran rasional, amat keterlaluan diletakkan perkataan seperti c*n* b*b*, namun jurukempen pakatan ini seolah-olah sudah 'buta hati' untuk mencatat kemenangan.

Mujurlah kalau tidak kerana desakan jentera daripada UMNO dan MCA supaya menurunkan segera dalam beberapa jam pos­ter itu dipasang, insiden tidak diingini boleh terjadi.

Kalau mengikut gerak kerja BN di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, tidak mustahil DAP dan sekutu pakatannya boleh dikalahkan.

MCA dan Gerakan jangan rendah diri. Mengapa Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang ibarat MCA di Sarawak, Datuk Dr. Sim Kui Hian boleh me­lakukannya di Batu Kawah. Di Piasau, Sebastian Ting Chew Yew dan pemenang kerusi Senadin, Datuk Lee Kim Shin turut berbuat perkara sama.

Ketiga-tiga kerusi itu letaknya di kawasan bandar Kuching dan mereka menang pun bukannya tipis seperti pilihan raya negeri Sarawak 2011. Tetapi dengan majoriti cukup meyakinkan. Kim Shin sendiri meraih majoriti 3,538 undi berbanding hanya 58 undi sebelumnya.

Benar, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang bertindak sebagai penyelaras jentera dua PRK berkenaan bahawa gerak kerja tersusun dan perpaduan kukuh jentera BN adalah antara faktor yang membawa kemenangan parti itu di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Walaupun berdepan banyak kepayahan dan halangan namun, dengan kerjasama semua jentera parti di setiap peringkat, akhirnya membuahkan hasil buat BN.

Ini lebih-lebih lagi MCA dan Gerakan yang dilihat tidak gusar menerobos pusat-pusat daerah mengundi yang dihuni pengundi atau penyokong tegar DAP.

Kedua-dua parti komponen masyarakat Tionghua itu tidak lagi umpama 'penumpang berhias' dalam 'bas' BN apabila dilihat berusaha gigih untuk memenangi hati pengundi Cina.

Mereka tidak lagi melaung tetapi ini kali bertindak melemahkan DAP. Tidak lagi duduk di belakang bas, tetapi kini di depan.

"Perjuangan BN bukan lagi soal undi tetapi soal semua kaum," kata presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai di Sekinchan minggu lalu. Jika sebilangan masyarakat Cina melihat diri mereka tertindas, dikelaskan sebagai kelas kedua dan sebagainya, perjuangan melenyapkan persepsi itu sudah pun bermula.

Jika semua parti komponen di dalam BN melakukan transformasi luar biasa, slogan 'ini kalilah' atau 'jom ubah' atau 'tsunami Cina' yang diuar-uarkan pakatan pembangkang akan berbalik semula kepada pakatan pembangkang.

Ini tidak mustahil. DAP sudah semakin kalut. Pakatan tidak keruan.

Tuai padi antara yang masak,

Agar tidak layu-layuan,

Pembangkang bohongi rakyat sudah nampak,

Di peti undi Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru ketahuan!

Bangkit, bangkit, bangkit BN!

Hidup, hidup, hidup BN!

Ini kalilah, Jom Ubah Pembangkang!

DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa.

No comments:

Post a Comment