Monday, June 13, 2016

FB Dicemuh belajar di sekolah Cina - Sinarharian

BACHOK - Pada 1978, seorang peniaga di perkampungan kecil di Gunong, Che Abdul Hadi Che Jaafar mempunyai wawasan jauh yang mahu anaknya menguasai bahasa ketiga iaitu bahasa Mandarin.

Bagaimanapun, hasrat murninya itu bukan senang direalisasikan. Dengan landskap sosial dan politik ketika itu, pelbagai cemuhan daripada masyarakat setempat yang masih belum terbuka dan memandang serong terhadap masyarakat Cina.

Namun ia tidak mematahkan semangat Che Abdul Hadi yang sanggup bersusah payah menghantar semua anaknya seramai lapan orang ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) bermula 1980-an lagi.

Dengan jarak perjalanan dari Kampung Gunong ke Kota Bharu sejauh lebih 20 kilometer, si anak, Che Muhammad Sardi, 41, bersama adik-beradiknya bangun seawal jam 5 pagi setiap hari untuk berulang-alik ke sekolah aliran Cina di Kota Bharu.

Jadi jambatan penghubung antara kaum dalam kerjaya

Kini, hasil usaha bapanya berbaloi. Che Muhammad Sardi kini bergelar ahli perniagaan yang membuka perniagaan di kampung halamannya sendiri sejak beberapa tahun lalu, selepas melepaskan jawatan penting di syarikat media di Kuala Lumpur.

Anak kedua daripada lapan beradik ini membesar dalam suasana kampung dan hasil kesedaran bapanya itulah, dia kini berkebolehan berbahasa mandarin dan hokkien.

Menurutnya, kelebihan berbahasa Cina itu mampu menjadi jambatan perpaduan antara masyarakat terutamanya di pekan Jelawat yang terdiri daripada ramai kaum Cina.

"Bahasa merupakan elemen penting sesuatu budaya, maka secara tidak langsung bahasa membantu pemahaman budaya. Kebolehan berbahasa juga menghadirkan perasaan kekitaan di antara individu.

"Pengalaman saya bekerja di syarikat media dahulu, memberi kelebihan untuk membantu dalam urusan kerjaya, terutamanya ibu bapa pelajar Cina yang ingin mendaftar di tempat kerja saya ketika itu yang tidak fasih berbahasa Melayu," katanya yang merupakan antara pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 1993.

Di kawasan Dun Jelawat, Che Muhammad  Sardi  memegang jawatan penting dan terlibat aktif dalam aktiviti bersama Adun Jelawat, Abdul Azziz Kadir, sudah pasti memberi kelebihan dari aspek pergaulan dengan masyarakat Cina setempat.

Kesedaran ibu bapa

Che Muhammad Sardi berkata, dalam konteks peribadi, dia dan anak menjadi contoh kejayaan akademik iaitu simbol seorang pelajar Melayu yang mampu berjaya di sekolah Cina, seperti mana seorang pelajar Cina berjaya di sekolah kebangsaan.

Menurutnya, teori kejayaan dan kecemerlangan  akademik berasaskan bangsa boleh disangkal sementelah kini, sudah ramai ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah Cina.

Selain kelebihan bahasa Cina di SJKC, Che Muhammad Sardi menjelaskan bahawa sistem pengajaran sekolah Cina lebih menekankan kepada penguasaan ilmu secara menyeluruh.

Anak pula cemerlang

Di samping itu, asas jati diri pelajar, budaya dan penerapan nilai murni sangat ditekankan.

"Kini suasana sudah berubah, masyarakat lebih terbuka dan faham  integrasi dan toleransi antara kaum.

"Lima anak saya kini meneruskan rutin itu. Mereka belajar di SJK (C) Chung Cheng .

"Mereka menamatkan pendidikan SJKC Cina sehingga darjah enam dan sambung pengajian ke sekolah menengah di sekolah aliran agama," kata pemegang Ijazah Sarjana Muda (kepujian) Pengurusan Perniagaan dari Universiti Utara Malaysia ini.

Anak sulungnya, Che Alia Nur Fatiha antara pelajar terbaik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah 2013 SJK (C) Chung Cheng dengan keputusan 6A 1B.

Anak keduanya, Che Muhammad Asif Aisamuddin kini di Maahad Yaakubiah, Nipah.

Manakala yang lain masih di SJK (C) Chung Cheng iaitu Che Muhammad Ammar Amani,11; Che Muhammad Aisar Syafi,9; Che Amni Jasmeen, 6.

Pernah masuk akhbar Cina

Pada 2012, Che Muhammad Sardi  menjadi perantara antara media yang ingin menemu bual Ahli Majlis Daerah dalam satu majlis di sebuah hotel di Kota Bharu.

Ada antara ahli majlis berbangsa Cina perlu ditemu bual, namun tidak fasih berbahasa Mandarin. Ketika itu, Che Muhammad Sardi bertindak sebagai penterjemah mereka.

No comments:

Post a Comment