Saturday, June 18, 2016

Bateriku.com bantu masalah bateri 'kong' - Kosmo!

Bateriku.com bantu masalah bateri 'kong'

Oleh MOHAMMAD SHAHEMY AZMI

KHIDMAT pemeriksaan, pemasangan dan penyelenggaraan bateri kereta dilakukan secara percuma kepada pelanggan.

BAYANGKAN situasi jika enjin kereta anda tidak dapat dihidupkan gara-gara masalah bateri. Anda pasti berasa cemas sementelah ketika sedang menguruskan sesuatu hal penting ataupun dalam perjalanan ke mana sahaja.

Keadaan seperti itu tidak dapat dielakkan, malah boleh terjadi di mana-mana sahaja tanpa mengira waktu. Bateri yang telah lama digunakan perlu ditukar terutama ketika ia melebihi usia dua tahun.

Apabila keadaan tersebut berlaku, pengguna akan runsing lalu menyangka masalah tersebut adalah disebabkan oleh kerosakan enjin atau masalah lain.

Sebagai jalan penyelesaian, pengguna selalunya akan memanggil trak penunda untuk menarik kereta ke bengkel sebagai jalan terakhir.

Kos untuk menunda kereta pula mahal bergantung pada jarak kereta tersebut ditunda sehingga ke bengkel.

Prihatin

SETIAP runner akan berada di kawasan-kawasan tertentu dan sedia menunggu pelanggan yang menghadapi masalah bateri kereta.

Selain memakan masa yang panjang dan memenatkan, pemilik kenderaan pula tidak dijanjikan akan mendapat servis yang memuaskan hati selain tidak pasti bekalan bateri yang dikehendaki terdapat di bengkel tersebut.

Atas dasar prihatin terhadap nasib segelintir pengguna yang sering terpedaya dengan helah pemilik bengkel yang gemar mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan lebih, pengarah urusan Green Initiative Sdn. Bhd. (GISB), Azarol Faizi telah memperkenalkan servis perkhidmatan menukar bateri di bawah jenama Bateriku.com.

Menurut Azarol,

Bateriku.com tidak menjual bateri di bawah jenama sendiri, sebaliknya menawarkan khidmat menghantar dan memasang bateri terus kepada pengguna yang tersadai di tepi jalan akibat masalah kerosakan pada bateri kereta.

"Bateriku.com menyediakan bateri daripada pelbagai jenama sedia ada mengikut pilihan pelanggan," ujar Azarol yang menubuhkan syarikat itu sejak 2007.

Katanya lagi, kelebihan Bateriku.com terletak pada servis perkhidmatan yang dibuat secara percuma di mana pelanggan hanya perlu membayar kos bateri baharu yang ditukar.

Bateriku.com merupakan sejenis perkhidmatan berbentuk servis penghantaran dan pemasangan bateri yang memudahkan pelanggan selain menawarkan harga kompetitif.

"Perkhidmatan ini tidak mengenakan caj tambahan bagi penghantaran, pemasangan, pemeriksaan bateri dan penyelarasan kerana ia diberikan secara percuma," ujar Azarol yang memberi jaminan

Bateriku.com dapat menjimatkan masa pengguna kenderaan.

Walaupun runner (penghantar) Bateriku.com telah sampai ke lokasi dan pelanggan tersebut tidak jadi untuk menukar bateri kereta, pelanggan tersebut tetap tidak akan dikenakan sebarang caj perjalanan.

Pemeriksaan percuma

HUBUNGAN baik antara pekerja turut menyumbang kepada kejayaan Bateriku.com.

Sewaktu ditebak persoalan tentang perkhidmatan

Bateriku.com, Azarol memberitahu, setakat ini servis runner Bateriku.com telah beroperasi di sekitar kawasan Lembah Klang, Johor Bahru, bandar raya Melaka, Seremban, Terengganu dan terbaharu di Pulau Pinang.

Pelanggan yang mengalami masalah bateri kereta dan tersadai di tepi jalan boleh menghubungi talian perkhidmatan Bateriku.com dan seterusnya akan menyambung panggilan tersebut ke kawasan terdekat, katanya.

Selalunya petugas runner Bateriku.com yang datang akan melakukan pemeriksaan ke atas kereta untuk mengetahui punca sama ada ia disebabkan masalah bateri atau teknikal lain.

Jika pemeriksaan menunjukkan masalah tersebut adalah berpunca daripada masalah bateri kereta, pelanggan boleh membuat pilihan sama ada untuk menukar terus bateri kereta tersebut pada waktu itu juga atau pergi ke bengkel kereta yang sememangnya memerlukan kos lebih besar.

Kemudahan yang ditawarkan oleh Bateriku.com sekali gus memberi kelebihan kepada perkhidmatan dengan menawarkan servis terbaik kepada pelanggan dengan memberi penjimatan bukan sahaja masa, malah kos penyelenggaraan yang murah dan pantas.

"Kami juga akan memastikan perkhidmatan yang ditawarkan sentiasa memenuhi spesifikasi pengeluar dan hanya menjual jenama bateri kenderaan yang berkualiti tinggi," ujar Azarol.

Menurut lelaki yang berasal dari Perak itu, sejak

Bateriku.com dilancarkan pada 2014, perkhidmatan tersebut berjaya menjana hasil jualan yang memberangsangkan dengan peningkatan jualan sebanyak 2,000 peratus.

"Bukan itu sahaja,

Bateriku.com turut membantu kerajaan untuk menjaga alam sekitar dengan memastikan pelupusan bateri lusuh dijalankan mengikut prosedur Jabatan Alam Sekitar," ujar lelaki berusia 42 tahun itu.

Merancang strategi untuk mengembangkan rangkaian pembekalan bateri ke seluruh Malaysia, Bateriku.com sangat komited untuk memberikan servis yang melangkaui jangkaan setiap pelanggan kerana ia merupakan satu faktor paling sukar untuk ditiru oleh pesaing lain.

Dalam berkongsi tip perniagaan, Azarol percaya, berkat doa dan usaha merupakan jalan terbaik bagi memudahkan segala urusan.

"Sebagai seorang penganut agama Islam, kita perlulah memperbanyakkan doa dan menjaga solat selain bersedekah untuk mendapat keredaan dari-Nya," tutur Azarol.

Menutup bicara, Azarol memberitahu perjalanannya bersama Bateriku.com masih jauh dan mempunyai sasaran dalam menyediakan platform untuk membantu usahawan Bumiputera membina jaringan yang kukuh dalam sektor pembekalan bateri automotif di seluruh negara menjelang tahun 2020.

No comments:

Post a Comment