Tuesday, June 28, 2016

Mueller bakal sertai Emirates? - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 28 Jun - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Bhd. (MAB), Christoph Mu­e­ller dilaporkan akan menyertai syarikat penerbangan Dubai, Emirates sebaik sahaja meninggalkan MAB berkuat kuasa September ini.

Menurut laman web berita penerbangan travelnews yang berpangkalan di Switzerland, Mu­eller bakal menyertai syarikat pe­nerbangan Asia Barat itu sebagai Ketua Pegawai Transformasi yang bertanggungjawab dalam aspek-aspek pendigitalan dan teknologi.

Bagaimanapun ketika dihu­bungi Utusan Malaysia, MAB menjelaskan syarikat itu tidak boleh memberi sebaran kenya­taan mengenai perkara tersebut sementara Emirates tidak memberi sebarang maklum balas.

Antara spekulasi yang turut dikaitkan dengan perkemba­ngan itu ialah kemungkinan Mueller yang ber­usia 54 tahun akan menggantikan Presiden Emira­tes, Tim Clark yang berusia 66 tahun.

Pada 19 April lalu, MAB meng­umumkan Mueller akan mele­takkan jawatannya berkuat kuasa September ini iaitu lebih awal daripada kontrak perkhidmatan tiga tahun yang diberikan kepadanya. Keputusan itu dibuat atas permintaan beliau sendiri.

Di bawah kepemimpinannya, be­berapa langkah pemulihan di­laksanakan termasuk pemberhentian hampir 6,000 kakitangan dan kajian semula kontrak pembekalan makanan serta menjayakan kerjasama perkongsian kod penerbangan antara Malaysia Airlines (MAS) dan Emirates de­ngan membolehkan MAS menggunakan kapasiti Emirates untuk pe­nerbangan ke Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Mueller bagaimanapun men­cetuskan kontroversi apabila mendakwa beberapa kakita­ngan MAS tidak menjalankan tugas dan tidur sewaktu bertugas, se­kali gus menganggap pembu­angan kakitangan MAS sebagai satu langkah yang tepat.

Penganalisis Maybank IB Research, Mohshin Aziz berkata, keputusan Mueller untuk me­ning­galkan MAB bakal mengganggu momentum pemulihan syarikat itu setelah beberapa rancangan yang dilaksanakan berjalan lancar.

Katanya, terdapat pelbagai kha­bar angin me­ngapa Mueller ingin meninggalkan MAB termasuklah krisis po­litik dalaman dan tiada persefahaman de­ngan Kha­za­nah Nasional Bhd. (Kha­zanah), dan apa jua masalah tersebut semestinya mengganggu pemulihan MAB.

Bekas Pengarah Urusan MAS, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman juga menganggap pe­lan pemulihan semula syarikat penerbangan negara itu gagal mencapai apa-apa matlamat walaupun tindakan pelaksanaannya telah memasuki tahun ketiga.

Beliau mendakwa, MAB sema­kin hilang identiti kebangsaannya selepas 'orang luar' dilantik mene­rajui entiti itu bersama 15 lagi ekspatriat kononnya untuk memperbaiki modal perniagaan demi menjana keuntungan semula.

MAB diunjur menca­tatkan pendapatan RM2.3 bilion bagi suku pertama tahun ini dan secara marginal merekodkan untung dengan ti­dak mengambil kira beberapa kos penstrukturan semula.

Kos operasi syarikat itu berjaya dikurangkan hampir 33 peratus menerusi beberapa inisiatif antaranya penjimatan bayaran mi­nyak, pe­ngurangan tenaga kerja dan pembekalan serta rundi­ngan semula kontrak-kontrak.

No comments:

Post a Comment