Sunday, June 26, 2016

KL Raya Fest 2016 tarik lebih 500000 pengunjung - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 26 Jun – Festival fesyen sempena Hari Raya Aidilfitri, KL Raya Fest 2016 anjuran Mood Republik yang berlangsung selama 72 jam tanpa henti sehingga esok di Pusat Daga­ngan Dunia Putra (PWTC) berjaya menarik lebih setengah juta pengunjung.

Malah, sambutan luar biasa itu memaksa beberapa peniaga menutup perniagaan lebih awal kerana kehabisan stok.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati pengunjung berpuas hati dengan penganjuran festival tersebut yang disifatkan sebagai memenuhi kemahuan dan gaya masa kini apabila menghimpunkan lebih 600 jenama popular termasuk usahawan atas talian.

Salah seorang pengunjung, Nurfaiz Ab. Aziz, 27, memuji pemilihan PWTC sebagai lokasi penganjuran kerana kedudukannya yang strategik di sam­ping kejayaan menghimpunkan banyak perniagaan dalam talian.

Katanya, walaupun orang ramai tidak henti-henti datang, namun keadaan masih terkawal disebabkan pihak penganjur menyediakan ruang rehat dan kemudahan seperti tandas dan surau yang selesa.

"Tahniah diucapkan kepada penganjur kerana memilih untuk mengadakan festival ini di sini dan memudahkan orang ramai membeli produk perniagaan dalam talian yang mana kita boleh rasai sendiri sama ada produk berkenaan kena dengan cita rasa ataupun tidak.

"Saya bersama rakan-rakan tiba seawal 10 pagi dari Sungai Buloh dan rambang mata apabila banyak jenama popular menjual produk mereka dengan harga yang berpatutan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Ami­rul Zainol Razak, 23, berkata, festival seumpama ini seharus­nya diadakan setiap tahun kerana mampu menjadi tempat tumpuan pelancong asing sekali gus meningkatkan imej Malaysia sebagai pusat pelancongan dan lokasi beli-belah.

"Saya dapati ramai juga pelancong asing yang hadir dan mungkin untuk tahun akan datang, festival seperti ini boleh menjadi salah satu program dalam kalendar pelancongan negara," katanya.

Dalam pada itu, pemilik A&K Cookies, Muhammad Khafidz Khalil, 31, berkata, KL Raya Fest 2016 berjaya membantu usahawan kecil seperti dirinya memperkenalkan produk keluaran syarikatnya kepada orang ramai.

"Kami baru berniaga kira-kira setahun lepas dengan menjadikan media sosial sebagai platform perniagaan dan syukur Alhamdulillah dengan adanya program seperti ini, sambutan yang diterima sangat mengga­lakkan," katanya.

Pengasas Emeraldscent Resources, Sheirman Rofaisal Shazula, 31, yang menjual minyak wangi keluaran sendiri berkata, strategi Mood Republik me­ngumpulkan usahawan bumiputera di bawah satu bumbung harus dipuji.

"Strategi Mood Republik sekali gus menolong kami (usahawan bumiputera) mencari tapak yang lebih kukuh bagi mengembangkan perniagaan ke tahap lebih tinggi," katanya yang baru empat bulan mengusahakan perniagaan tersebut.

No comments:

Post a Comment