Saturday, June 25, 2016

Nasib Britain tinggalkan Eropah - Utusan Malaysia

Akhirnya Britain melakukan Brexit iaitu keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) apabila majoriti pengundinya memilih Leave (tinggalkan) mengalahkan pihak Remain (kekal) dalam referundum atau pungutan suara pada Khamis, 23 Jun lalu, dengan mendatangkan kesan meluas bukan saja bagi negara itu dan benuanya tetapi juga seluruh dunia.

Dorongan utama kebanyakan pengundi Britain memilih supaya negara itu meninggalkan EU adalah soal ekonomi yang dikaitkan dengan kebanjiran pendatang dan identiti. Sebagai anggota EU, banyak dasar ekonomi ditentukan di Brussels, Belgium iaitu pusat pentadbiran pertubuhan itu. Ciri-ciri utama EU ialah pasaran bersama 28 negara anggota dengan kebebasan bergerak bagi warga-warganya.

Lantaran itu, terdapat banyak pendatang asing yang mencuba nasib mereka di Britain. Kebanyakan pendatang itu berasal dari Eropah Timur yang dahulunya bekas negara-negara komunis dalam blok Soviet Union. Selepas keruntuhan komunisme, negara-negara ini menganggotai EU dan sudah tentu rakyatnya bebas bergerak ke seluruh benua itu termasuk Britain.

Penyatuan Eropah Barat dan Eropah Timur dalam EU merealisasikan impian bersejarah penyatuan benua itu untuk mencapai kemakmuran dan peradaban setelah mengharungi zaman peperangan sejak runtuhnya Empayar Rom, Empayar Napoleon Bonaparte, Perang Dunia Pertama, Penaklukan Adolf Hitler, Perang Dunia Kedua diikuti dengan Perang Dingin.

Cita-cita Eropah dengan nilai-nilai pencerahannya termasuk demokrasi terserlah dalam bentuk EU yang bukan saja sebuah pertubuhan serantau biasa tetapi sebuah entiti politik superstate atau mahanegara yang tidak ada tolok bandingannya dalam sejarah dunia. Tetapi kehadiran imigran-imigran Eropah Timur ini dirasakan menjejas ekonomi Britain di samping menghakis identiti bangsa dan budaya negara itu. Maka perasaan ini terkumpul dan digunakan oleh Parti Kemerdekaan United Kingdom (UKIP) pimpinan Nigel Farage memperjuangkan Brexit.

Parti itu memenangi kerusi Parlimen pertamanya dalam Pilihan Raya 2015 yang mana ketika itu, Parti Konservatif pimpinan Perdana Menteri David Cameron membentuk kerajaan. Parti Konservatif berbelah bahagi mengenai Brexit. Ini kerana sebahagian Parti Konservatif adalah juga Eurosceptic, iaitu golongan yang menolak gagasan EU. Cameron yang menyokong supaya Britain kekal dalam EU menjanjikan referendum dan memberi kebebasan kepada anggota partinya menyokong dan berkempen untuk Brexit. Antara pemimpin penting Konservatif menyokong Brexit ialah bekas Datuk Bandar London, Boris Johnson.

Sengit

Pihak pembangkang utama Britain, Parti Buruh pimpinan Jeremy Corbyn turut menyokong Remain. Begitu juga kebanyakan ahli ekonomi dan ahli perniagaan, juga ahli akademik serta para saintis yang berpendapat bahawa Britain adalah lebih baik dari segi ekonomi, politik dan akademik untuk terus berada dalam EU. Media-media bisnes utama Britain, akhbar The Financial Times dan The Economist juga mendokong Remain.

Sementara ada golongan kiri daripada kalangan kesatuan sekerja, Parti Buruh, Parti Socialist Worker dan akhbar The Morning Star berkempen untuk keluar daripada EU melalui platfom Left Leave. Maka kempen antara Leave dan Remain amat sengit terutama menjelang pengundian dengan tinjauan suara menunjukkan peralihan pendirian yang berubah-ubah.

Sehari sebelum pengundian, Datuk Bandar London, Sadiq Khan turut berkempen dan berdebat menyokong Remain. Acara itu menarik perhatian kerana Sadiq berpuasa. Di London ketika ini waktu puasa mengambil masa hingga 19 jam. Beliau berbuka semasa debat di Wembley itu masih berlangsung.

Pada hari pengundian, menurut kiraan pertaruhan, pihak Remain akan menang. Malah beberapa jam selepas pengundian tutup Farange mengaku pihak Leave kalah dan Britain akan kekal dalam EU. Tetapi beberapa jam kemudian undi Leave meningkat dan akhirnya 52 peratus mahukan Britain keluar EU dan 48 peratus mengundi kekal. England dan Wales mengundi Leave tetapi Scotland dan Ireland Utara mahukan Remain.

Tetapi warga London mahu kekal dalam EU. Keputusan referendum memberi kesan langsung kepada ekonomi dengan pasaran saham dunia jatuh khususnya di London dengan tukaran nilai mata wang Britain menjunam paling rendah sejak 30 tahun lalu.

Antara kesan ekonomi Brexit ialah Britain menjadi kurang menarik bagi para pelabur dengan nilai hartanah menjadi tidak menentu. Perdagangan antara Britain dan EU akan bermasalah. Sebelum ini, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengingatkan bahawa Brexit akan merosakkan ekonomi dunia. Britain sendiri akan mengalami kemelesetan. Ahli-ahli politik Scotland dan Ireland Utara menyatakan hasrat supaya wilayah-wilayah itu keluar daripada Britain kerana warga mereka mengundi kekal dalam EU.

Beberapa jam selepas keputusan referendum itu, Cameron mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri mulai Oktober ini supaya Britain dipimpin oleh ahli politik yang menyokong dan boleh melaksanakan Brexit. Oktober adalah bulan diadakan Mesyuarat Agung Parti Konservatif. Boris Johnson disebut mungkin dipilih menggantikan Cameron.

Proses untuk keluar daripada EU yang termaktub dalam piagamnya mengambil masa dan perlu rundingan panjang. Ini kerana perjanjian baharu perlu dibuat dalam urusan hubungan Britain dengan EU sebagai bukan anggota. Negara-negara Eropah yang tidak menganggotai EU ialah Norway, Iceland, Liechstentein, Albania, Switzerland, Macedonia dan Montenegro. Turki dan Rusia juga bukan anggota EU.

Walaupun ada pihak yang akan mengaut keuntungan ekonomi daripada Brexit tetapi banyak pula orang biasa terutama pendatang dari Eropah Timur menghadapi masa depan tidak menentu. Mungkinkah antara mereka perlu kembali ke negara asal mereka seperti Poland, Romania atau Hungary adalah satu perkara yang menimbulkan keadaan tidak menentu.

Begitu juga dengan warganegara Britain yang berada di negara-negara anggota EU. Sementara untuk masa depan, generasi muda Britain akan kehilangan peluang kerja di 27 negara EU yang lain. Bagi EU, kerugian kepada mereka adalah jelas kerana Britain adalah ekonomi ketiga terbesarnya selepas Jerman dan Perancis.

Maka sebab itu keluarnya Britain daripada EU merupakan tragedi terbesar pernah dilalui oleh pertubuhan itu.

Britain menjadi negara anggota EU pertama meninggalkannya setelah berada di dalamnya selama 43 tahun. Sebelum EU, gabungan negara ini bernama Komuniti Ekonomi Eropah (EEC). Apa yang membimbangkan lagi ialah kemungkinan ada rakyat negara anggota EU lain yang turut mahu mengikut jejak Britain.

Pemimpin utama negara-negara EU, Canselor Jerman Angela Merkel menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan Britain kerana ia menjejas proses penyatuan Eropah. Bagaimanapun beliau menegaskan perlu mengukuhkan dan memperbaiki EU supaya 27 negara yang tinggal tidak mengikut jejak Britain. Ini kerana projek EU ini sewajarnya memperbaiki kehidupan rakyat negara-negara anggota.

Brexit ini juga kemungkinan merupakan sebahagian daripada gelombang politik arah ke kanan sebagai luahan rasa tidak senang penduduk tempatan di negara-negara Barat terhadap para pendatang asing dan para pelarian dalam suasana ekonomi yang tertekan.

No comments:

Post a Comment