Di kesempatan titah ini, Beta dan Raja Permaisuri Agong ingin merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan di atas ucapan sembah tahniah serta ikrar taat setia oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Mamanda Perdana Menteri, yang mewakili pihak kerajaan, anggota pasukan keselamatan, penjawat-penjawat awam dan rakyat Malaysia sekalian.
Beta berasa sukacita dengan ucapan Mamanda Perdana Menteri sebentar tadi, yang telah menzahirkan makna tulus dan keikhlasan, dalam tradisi menjunjung institusi Raja Berperlembagaan, yang selama ini memayungi negara kita yang tercinta ini.
Beta juga ingin mengucapkan penghargaan kepada Tuan Yang TerutamaManuel Antonio Guzman Hernandez yang mewakili para Tuan Yang Terutama dan duta-duta serta Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi Asing di atas ucapan selamat dan tahniah yang telah dipersembahkan.
Sesungguhnya, keputeraan rasmi ini adalah yang terakhir bagi pemerintahan kali kedua Beta, sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, di mana kali pertama Beta bertakhta di peringkat Persekutuan pada tahun 1970 sehingga 1975. Apa yang pasti, masa berlalu begitu pantas. Beta bersyukur, dalam tempoh pemerintahan, Beta telah diberi kesempatan dan kurnia oleh Allah Subhanahuwa Taala, melihat negara ini berkembang dari satu fasa ke satu fasa.
Tambahan pula, bagi penggal pemerintahan kali ini, bermula dari tahun 2011, dalam era pentadbiran Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib sebagai Perdana Menteri, Malaysia ternyata telah berjaya menongkah arus cabaran ekonomi global dan meletakkan namanya di peta antarabangsa dalam pelbagai pencapaian.
Beta sukacita dan mengambil maklum, tentang laporan kejayaan Program Transformasi Negara atau NTP, yang bernaung di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional atau DTN, apabila mendapati bahawa, Petunjuk Prestasi Utama atau KPI keseluruhan bagi Program Transformasi Kerajaan atau GTP, telah mencapai 99 peratus penyampaiannya.
Manakala KPI keseluruhan Program Transformasi Ekonomi atau ETP pula, mencapai 111 peratus, serta menerusi Inisiatif Pembaharuan Strategik pula, 108 peratus KPI telah dicapai.
Beta mengucapkan sekalung tahniah kepada kepimpinan kerajaan atas segala usaha dan kerja keras selama ini.
Seterusnya, dalam tempoh lima tahun terakhir, sebagaimana yang dimaklumkan dalam laporan NTP baru-baru ini, Beta berasa gembira dengan antaranya lima petunjuk utama pencapaian ekonomi negara seperti yang telah disebutkan oleh Mamanda Perdana Menteri sebentar tadi.
Hal-hal sedemikian, telah meyakinkan Beta bahawa kerajaan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib, telah mencapai satu tahap prestasi yang membanggakan, sekali gus sedang memandu Malaysia pada landasan yang betul, ke arah menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi dalam tempoh yang telah direncanakan.
Sejak kebelakangan ini, khususnya pada awal tahun 2016, sememangnya, Beta berasa bimbang dengan pergolakan yang sedang berlaku di pelbagai penjuru dunia dan serangan pengganas di beberapa negara di dunia seperti Belgium, Turki, Perancis dan Indonesia.
Serangan-serangan tersebut, bukan sahaja telah menyebabkan kemusnahan harta benda, malah telah mengakibatkan banyak nyawa terkorban termasuklah orang awam dan rakyat yang tidak berdosa.
Ini disebabkan oleh angkara kumpulan-kumpulan pengganas dan munculnya kefahaman serta ideologi yang terlalu ekstrem dan taasub kepada kelompok sempit mereka masing-masing, di samping telah menyimpang jauh daripada ajaran Islam yang sebenar.
Sehubungan itu, Beta menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya tidak terjebak dan mudah terpengaruh dengan ideologi-ideologi songsang, yang boleh mengakibatkan kehancuran kepada negara serta tamadun dunia.
Beta akui, bukanlah mudah untuk rakyat berbilang bangsa dan agama, mendiami sebuah negara dan berkongsi segalanya dalam keadaan aman, rukun dan damai. Namun, rakyat Malaysia telah membuktikan bahawa kepelbagaian bangsa, agama dan budaya yang kita miliki bukanlah satu halangan dan masalah, sebaliknya adalah satu keunikan yang membina kekuatan kita bersama. Ini amat bertepatan dengan hasrat dan cita-cita Beta untuk melihat bukan sahaja perpaduan terus terpelihara, tetapi bertambah kukuh dan utuh merentasi semua perkara. Rakyat Malaysia berbilang kaum perlu memanfaatkan segala kesempatan yang ada untuk lebih bergaul, mengenali dan memahami agar lebih menyayangi.
Di kesempatan ini, Beta melahirkan rasa simpati dan ucapan takziah, kepada mangsa tragedi helikopter yang telah terhempas di Batang Lupar, sewaktu tempoh kempen Pilihanraya Negeri Sarawak ke-11 berlangsung, yang membawa enam penumpang, termasuk seorang Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Ahli Parlimen Kuala Kangsar. Beta dan Raja Permaisuri Agong berdoa semoga roh mereka dicucuri rahmat, dan berharap agar ahli keluarga mangsa dan sanak-saudara mereka, terus cekal serta bersabar dalam menghadapi insiden malang ini.
Akhir titah, Beta dan Raja Permaisuri Agong juga berdoa agar kerajaan dan rakyat akan terus mendukung cita-cita kita untuk menjadi negara maju yang beretika dan bermoral tinggi. Marilah kita sama-sama pastikan bahawa negara yang majmuk ini terus maju dan aman makmur. Dengan ikatan perpaduan yang kuat serta usaha gigih untuk terus maju, Insya-Allah kita akan diberkati Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
No comments:
Post a Comment