DI MANA ada kemahuan di situ ada jalan. Peribahasa ini sesuai ditujukan buat dua anak muda berusia 25 tahun iaitu Ahmad Zaki Zolkapli dan Aiman Mohd. Nizam yang tidak pernah berputus asa memajukan diri.
Kedua-duanya tidak memiliki latar belakang pendidikan dalam bidang pertanian namun, berkat usaha yang dilakukan, mereka berjaya mewujudkan sebuah laman web yang dapat memberi input serta nilai tambah kepada golongan petani sekali gus menjalankan perniagaan menjual produk-produk pertanian.
Lebih mengejutkan dengan hanya bermodalkan RM200 dan tidak sampai tiga tahun, mereka sudah memiliki premis dan syarikat sendiri di samping mempunyai 12 stokis serta lebih 33 ejen berdaftar di seluruh negara.
www.akademiflora.com merupakan laman web yang diwujudkan bertujuan memberi kemudahan kepada pengguna terutama yang meminati pertanian atau golongan petani mendapatkan maklumat dan panduan berkaitan pelbagai teknik pertanian di samping mengetahui pelbagai produk pertanian yang sesuai digunakan.
Menurut Pengarah Urusannya, Ahmad Zaki, idea untuk terlibat dalam perniagaan berkaitan pertanian tercetus selepas mendapati tidak banyak maklumat berkenaan teknik penanaman yang dipaparkan di internet.
"Melihat kepada situasi tersebut kami merasakan inilah peluang dan ruang menyediakan satu platform kepada golongan petani mendapatkan pelbagai pengetahuan dan panduan bermula dari asas pertanian hinggalah ke tahap seterusnya.
"Memandangkan kami bukanlah pakar dalam bidang tersebut, kami mengambil inisiatif melakukan pembelajaran sendiri sama ada secara teori mahupun praktikal, menjalankan pelbagai kajian dan membuat rujukan daripada pakar-pakar pertanian termasuk beberapa agensi berkaitan seperti Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI)," katanya yang pernah bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta.
Selain berusaha memperkenalkan jenama akademi sendiri, mereka turut menjual pelbagai produk pertanian yang jarang atau sukar didapati di kedai-kedai biasa bagi membantu syarikat memperoleh pendapatan.
Pengarah Pemasarannya, Aiman Mohd. Nizam berkata, syarikat mereka lebih tertumpu kepada usaha memasarkan ciptaan berinovasi tinggi berbanding produk yang biasa digunakan di dalam pertanian.
"Salah satu produk yang kami pasarkan ialah Green Kit iaitu satu sistem penanaman dalam bekas dengan medium tanpa tanah yang menggunakan tindakan kapilari bagi membekalkan air serta nutrien secara sendirinya.
"Selain itu kami juga menjual baja semi organik iaitu Foliar Max Flora. Baja yang digunakan berbeza dengan baja lain kerana penggunaannya terdiri daripada campuran baja dan air dalam sukatan tertentu. Penggunaan baja ini lebih menjimatkan dan serapan lebih pantas berbanding biasa," katanya yang berkelulusan dalam bidang perakaunan.
Dalam pada itu, bagi melancarkan perjalanan syarikat, mereka kini dibantu tujuh tenaga pekerja mahir dalam pelbagai bidang. Kesemuanya memainkan peranan penting dalam pemasaran dalam talian dan bertindak sebagai penyumbang utama untuk operasi, jualan, latihan stokis serta penghantaran.
Berkat kerjasama dan semangat sepasukan yang diberikan membolehkan akademi itu melangkah ke tahap lebih maju. Salah satu pencapaian terbaik diperoleh apabila kedua-dua anak muda ini diberi kepercayaan oleh stesen televisyen Al-Hijrah mengendalikan slot yang dikenali Laman Botani dalam program Masam-masam Manis yang bersiaran selama 36 episod bermula pada Februari tahun lalu.
Mereka juga diberi kepercayaan Jabatan Pertanian menguruskan sebidang tanah seluas 1.5 hektar di Pusat Pertanian Labu Lanjut, Sepang bagi menjalankan kajian dan ujian untuk mengenal pasti segala kelemahan produk pertanian yang digunakan akademi tersebut sekali gus mendapatkan hasil yang dikehendaki.
Kini, mereka dalah usaha menghasilkan e-book dan mewujudkan kursus-kursus pertanian yang disampaikan secara dalam talian.
Membicarakan tentang kejayaan mereka, menurut Ahmad Zaki bukan mudah untuk mencapai hasil yang positif kerana mereka juga sebelum ini berdepan dengan pelbagai cabaran dan kesukaran.
"Banyak cabaran yang kami hadapi antaranya seperti ditinggalkan kawan dan masalah team berpecah (disebabkan tiada keserasian). Kami juga pernah menghadapi situasi sukar sehingga buntu memikirkan cara membuat keuntungan. Masalah dengan pembekal juga pernah berlaku apabila barang yang kami pesan tidak disediakan sebagaimana dijanjikan.
"Namun semua itu tidak menghalang kami untuk meneruskan perniagaan," katanya.
No comments:
Post a Comment