MENJADI tradisi saban tahun ketika Ramadan tiba, Nirwana Caterer Sdn Bhd, yang cukup terkenal di Lembah Klang, menyediakan pelbagai juadah untuk bufet berbuka puasa yang kini menjengah tahun ketiga.
Pemiliknya, Datin Nurulhuda Yaacob berkata, bermula di Shah Alam, beliau kini memilih Jalan Ritchie, Ampang sebagai lokasi kedua bufet Ramadan.
"Tahun ini merupakan kali kedua ia diadakan di Ampang, sama seperti tahun sebelumnya, kami menyediakan 60 jenis menu dengan 12 gerai masakan panas.
"Sedar akan kenaikan harga barang sedikit sebanyak membebankan orang ramai, saya masih kekalkan harga bufet," katanya.
Bagi dewasa, Nirwana Caterer Sdn Bhd menawarkan harga RM38, manakala kanak-kanak pula RM24. Jika dibandingkan dengan tempat lain, harga itu dilihat jauh lebih murah.
Mengulas mengenainya, Nurulhuda berkata, dia sedaya upaya memberikan harga rendah kepada pelanggan, sementelah ia juga untuk tujuan beramal di bulan mulia ini.
"Saya tidak mengejar keuntungan sahaja sebaliknya ingin melakukan amal jariah dengan menawarkan harga rendah.
"Mudah-mudahan rezeki lebih banyak dan pahala lebih besar terutamanya di bulan mulia ini," katanya.
Menurutnya, bufet Ramadan ini mampu memuatkan kapasiti 400 hingga 500 orang dalam satu masa.
"Bagi memenuhi permintaan pelanggan, saya turut menambah empat lagi gerai pada tahun ini," katanya.
Konsep gerai diperkenalkan supaya memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggannya seperti roti John, yong tau fu, mee kari dan banyak lagi.
Manakala hidangan istimewa yang mendapat sambutan setiap kali bufet Ramadan adalah kambing bakar, otak-otak dan roti bom bersama sambal ikan bilis. Tidak ketinggalan asam pedas yang menjadi satu kewajipan bagi anak jati Johor itu.
Selain menyediakan pelbagai masakan, beliau turut menyediakan santapan halwa telinga setiap hari dengan persembahan penyanyi baharu dan kumpulan busker.
Untuk memudahkan pelanggan menikmati selera, lokasi tersebut turut menyediakan kemudahan seperti surau, tempat letak kereta dan tandas.
Turun padang
Bagi mengekalkan rasa makanan yang tidak berubah sejak ia diperkenalkan kepada umum, Nurulhuda sendiri melakukan aktiviti memasak dan dibantu tiga tukang masak.
Katanya, aktiviti turun padang itu bagi mengekalkan rasa Nirwana Caterer sejak turun temurun tanpa sebarang perubahan.
Mementingkan konsep hasil tangan, beliau berkata, ia rahsia keenakan setiap masakan yang dihidangkan.
Menekankan prinsip setiap perkara dilakukan perlu ikhlas, sabar dan reda, Nurulhuda percaya ia menjadi resipi kejayaan perniagaannya.
"Setiap perniagaan ada cabaran tersendiri, malah saya pernah melalui zaman kejatuhan namun berjaya bangkit semula.
"Untuk mengecapi kejayaan kita harus berpegang kepada prinsip agar tidak lari daripada matlamat asal," katanya.
Selain bufet, beliau turut menerima tempahan katering bagi majlis perkahwinan sekitar Lembah Klang.
"Bagi menampung tempahan yang semakin meningkat, kami mempunyai dapur berpusat (central kitchen) yang terletak di Desa Tun Razak bagi membantu memenuhi permintaan.
"Harga yang ditawarkan bermula RM7.80 sehingga RM15.80 setiap kepala. Namun selepas raya, kami akan memperkenalkan pakej baharu bagi harga RM20,000 hingga RM25,000," katanya yang mempunyai pengalaman selama 21 tahun dalam bidang masakan dan katering.
No comments:
Post a Comment